Powered by Blogger.

Oct 30, 2008

Adu domba, fitnah perosak masyarakat

BERBICARA mengenai bahaya lisan memang tidak ada hujungnya kerana lisan boleh mendatangkan kemudaratan jika tidak dijaga dengan baik. Kata pepatah, kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa.

Sesungguhnya, nilai seseorang ada pada lisannya. Nilainya akan baik jika lisannya baik, atau sebaliknya. Bahkan Rasulullah SAW memberi jaminan syurga pada seorang Muslim yang dapat menjamin lisannya.

Daripada Sahal bin Sa’ad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menjamin untukku apa yang ada di antara kedua dagunya (lisan) dan apa yang ada di antara kedua kakinya (kemaluan) maka aku akan menjamin untuknya syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari)



Salah satu bentuk kejahatan lisan adalah namimah, iaitu mengadu domba yang berpunca daripada kebencian dan permusuhan. Kita mungkin dapat menjaga lisan daripada mengadu domba tetapi sering kali terpengaruh apabila ada yang memulakannya.

Al-Baghawi menjelaskan bahawa mengadu domba adalah mengutip suatu perkataan dengan tujuan mengadu mengenai seseorang kepada orang lain.

Banyak dalil al-Quran dan sunnah menjelaskan bahawa mengadu domba adalah haram seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina yang banyak mencela yang ke sana ke mari menghambur fitnah.” (Surah al-Qalam, ayat 10-11)
Diriwayatkan Hudzaifah hadis yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga bagi al-Qattat (tukang adu domba).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ibnu Katsir menjelaskan bahawa ‘Al-Qattat’ adalah orang yang menguping (mencuri dengar pembicaraan) tanpa pengetahuan mereka, lalu ia membawa pembicaraan itu kepada orang lain dengan tujuan mengadu domba.

Mereka yang suka mengadu domba juga diancam dengan azab di alam kubur. Ibnu Abbas meriwayatkan, Suatu hari Rasulullah SAW melewati dua kuburan lalu bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya penghuni kedua kubur ini sedang diazab. Dan keduanya bukanlah diazab kerana perkara yang berat untuk ditinggalkan. Yang pertama, tidak membersihkan diri dari air kencingnya. Sedang yang kedua, berjalan ke sana ke mari menyebarkan namimah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Imam An-Nawawi berkata: “Dan setiap orang yang disampaikan kepadanya perkataan namimah, dikatakan kepadanya: Fulan telah berkata mengenaimu begini. Atau melakukan ini dan ini terhadapmu, maka hendaklah ia melakukan enam perkara berikut:

l Tidak membenarkan perkataannya kerana tukang namimah adalah orang fasik

l Mencegahnya daripada perbuatan itu, menasihatinya dan mencela perbuatannya.

l Membencinya kerana Allah SWT, kerana ia adalah orang yang dibenci di sisi Allah SWT. Maka wajib membenci orang yang dibenci Allah SWT.

l Tidak berprasangka buruk kepada saudaranya yang diceritakan mengenainya oleh pelaku namimah.

l Tidak mencari-cari aib saudaranya kerana namimah yang didengarnya.

l Tidak membiarkan dirinya ikut melakukan namimah, sedangkan dirinya sendiri melarangnya.

Maknanya, jangan pula ia menyebarkan perkataan namimah itu dengan mengatakan, “Fulan telah menyampaikan padaku begini dan begini.” Dengan begitu ia juga menjadi tukang namimah kerana melakukan perkara yang dilarang.

Tidak semua bentuk berita mengenai perkataan atau perbuatan orang dikatakan namimah. Bukan termasuk namimah seseorang yang mengkhabarkan apa diceritakan kepadanya jika ada unsur kemaslahatan di dalamnya.

Contohnya, melaporkan pada pemerintah mengenai orang yang mahu berbuat kerosakan, orang yang mahu melakukan aniaya terhadap orang lain.

An-Nawawi berkata: “Jika ada kepentingan menyampaikan namimah, maka tidak ada halangan menyampaikannya. Misalnya jika ia menyampaikan kepada seseorang bahawa ada orang yang ingin mencelakakan diri atau keluarga atau hartanya.”

Sesungguhnya menyebarkan berita menjadi tercela apabila ia bertujuan merosak. Tetapi apabila tujuannya memberi nasihat, mencari kebenaran dan menjauhi atau mencegah gangguan maka ia dibenarkan.

Akan tetapi ada kalanya sangat sulit untuk membezakan keduanya. Meskipun sudah berhati-hati, ada kala niat dalam hati berubah ketika melakukannya sehingga bagi yang khuatir adalah lebih baik untuk menahan diri daripada menyebarkan berita.

Imam Asy-Syafi’l berkata, “Seseorang selayaknya memikirkan apa yang hendak diucapkannya. Dan hendaklah dia membayangkan akibatnya. Jika tampak baginya bahawa ucapannya akan benar-benar mendatangkan kebaikan tanpa menimbulkan kerosakan serta tidak menjerumuskan ke dalam larangan, maka dia boleh mengucapkannya. Jika sebaliknya, maka lebih baik dia diam.”

Janganlah rasa tidak suka atau hasad pada seseorang menjadikan kita berlaku jahat dan tidak adil kepadanya seperti namimah kerana banyak perbuatan namimah yang terjadi lantaran timbulnya hasad di hati.

Lebih daripada itu, hendaknya kita tidak memendam hasad kepada saudara dan namimah adalah akhlak tercela yang dibenci Allah kerana menimbulkan permusuhan, sedangkan Islam memerintahkan supaya kaum muslimin bersaudara dan bersatu bagaikan bangunan yang kukuh.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu saling mendengki, saling membenci, saling bermusuhan, dan janganlah kamu menjual barang serupa yang sedang ditawarkan saudaramu kepada orang lain, dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat Muslim)

Berusaha dan bersungguhlah untuk menjaga lisan dan menahannya daripada perkataan yang tidak berguna, apalagi perkataan yang kerananya saudara kita disakiti dan dizalimi. Sesungguhnya, mulut seorang mukmin tidak akan berkata kecuali yang baik.

Semoga Allah SWT selalu melindungi kita daripada kejahatan lisan dan tidak memasukkan kita ke dalam golongan manusia yang rugi di akhirat kerana lisan yang tidak terjaga.

Sumber dari Sini

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP