Powered by Blogger.

Feb 25, 2009

BACAAN SESUDAH AL-FATIHAH

Tidak diperselisihkan lagi bahawa membaca mana-mana ayat al-Qur’an setelah membaca al-Fatihah itu sememangnya disyari’atkan.[1] Antara dalil disyari’atkan pembacaan ayat-ayat al-Qur’an setelah pembacaan al-Fatihah adalah hadis Abi Sa’id radhiallahu 'anh:



أُمِرْنَا أَنْ نَقْرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَمَا تَيَسَّرَ.



Kami telah diperintah (oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam) agar membaca al-Fatihah dan apa-apa (ayat /surah) yang mudah (bagi kami).[2]





عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي قَتَادَةَ عَنْ أَبِيهِ



أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ



كَانَ يَقْرَأُ فِي الظُّهْرِ فِي الأُولَيَيْنِ بِأُمِّ الْكِتَابِ



وَسُورَتَيْنِ وَفِي الرَّكْعَتَيْنِ الأُخْرَيَيْنِ بِأُمِّ الْكِتَابِ.



Dari Abdullah bin Abi Qatadah, dari bapanya

bahawasanya Nabi shalallahu 'alaihi wasallam biasa membaca pada solat Zuhur di dua rakaat pertama dengan Umm al-Kitab (al-Fatihah)

dan dua surah, lalu pada dua rakaat terakhir membaca Umm al-Kitab.[3]



Menurut al-Syafi’i rahimahullah:

Saya menyukai bahawa orang yang mengerjakan solat itu, membaca sesudah Umm al-Qur’an, akan satu surah dari al-Qur’an. Kalau dibacanya setengah surah nescaya memadai. Kalau hanya dibacakan Umm al-Qur’an tanpa membaca apa-apa surah dari al-Qur’an maka tidak perlu diulangi rakaat tersebut. Saya tidak menyukai perbuatan itu bagi mereka yang mengerjakan solat. Saya menyukai sekiranya paling kurang dibacanya sesudah Umm al-Qur’an surah yang terpendek dari al-Qur’an seperti surah al-Kautsar atau yang serupa dengan itu.[4]

Inilah panduan yang telah ditunjukkan oleh al-Syafi’i rahimahullah dalam hal ini. Namun terdapat ramai dari kalangan mereka yang mengaku bermazhab al-Syafi’i tetapi tidak membaca sebarang ayat al-Qur’an setelah bacaan al-Fatihah samada dalam solat yang fardhu mahupun solat sunat semata-mata kerana tergesa-gesa untuk menamatkan solat dan juga disebabkan tanggapan bahawa amalan ini hanya satu perkara sunat yang tidak begitu penting. Perhatikanlah kata-kata al-Syafi’i: “Saya tidak menyukai perbuatan itu bagi mereka yang mengerjakan solat”. Penulis beranggapan bahawa mereka yang meninggalkan pembacaan ayat al-Qur’an sesudah al-Fatihah dengan sengaja kerana malas adalah termasuk dalam golongan yang mengambil sikap sambil-lewa[5] dalam mengerjakan ibadah dan sikap tersebut merupakan antara sikap golongan munafik. Firman Allah 'Azza wa Jalla:



Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya

(terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka

(dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik).

Mereka pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas.

Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman),

dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan solat)

melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).[6]





Seterusnya penulis akan membahaskan beberapa perkara yang berkaitan dengan pembacaan ayat atau surah sesudah al-Fatihah.



1) Membaca surah atau ayat al-Qur’an pada rakaat ketiga dan keempat.

Kebiasaannya masyarakat Islam di Malaysia hanya membaca surah atau ayat al-Qur’an pada rakaat pertama dan ke dua sahaja. Dalil tentang hal ini adalah hadis yang dikemukakan sebelum ini:

Dari Abdullah bin Abi Qatadah, dari bapanya bahawasanya

Nabi shalallahu 'alaihi wasallam biasa membaca pada solat Zuhur

pada dua rakaat pertama dengan Umm al-Kitab (al-Fatihah) dan dua surah,

lalu pada dua rakaat terakhir membaca Umm al-Kitab.[7]



Sebenarnya Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam juga pernah membaca ayat atau surah dari al-Qur’an di rakaat ketiga dan keempat dalam solat Zuhur dan Asar. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Said al-Khudri radhiallahu’anh:



أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي صَلاَةِ الظُّهْرِ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الأُولَيَيْنِ



فِي كُلِّ رَكْعَةٍ قَدْرَ ثَلاَثِينَ آيَةً وَفِي الأُخْرَيَيْنِ قَدْرَ خَمْسَ عَشْرَةَ آيَةً



(أَوْ قَالَ نِصْفَ ذَلِكَ) وَفِي الْعَصْرِ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الأُولَيَيْنِ



فِي كُلِّ رَكْعَةٍ قَدْرَ قِرَاءَةِ خَمْسَ عَشْرَةَ آيَةً وَفِي الأُخْرَيَيْنِ قَدْرَ نِصْفِ ذَلِكَ.



Bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam membaca (ayat)

pada dua rakaat yang pertama dalam solat Zuhur

kira-kira 30 ayat pada setiap rakaat dan pada dua rakaat yang akhir kira-kira 15 ayat. Dan pada dua rakaat yang pertama dalam solat Asar

pada setiap rakaatnya kira-kira 15 ayat.

Sedang pada dua rakaat (yang akhir) setengah dari itu.[8]



Hadis yang telah penulis sebutkan di awal bab ini juga menunjukkan kebolehan membaca ayat atau surah dari al-Qur’an setelah pembacaan al-Fatihah dalam setiap rakaat solat fardhu:



Dari Abi Said, dia berkata: “Kami telah diperintah

(oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam) supaya kami membaca al-Fatihah

dan apa-apa (ayat /surah) yang mudah (bagi kami).



Hadis di atas tidak hanya membatasi pembacaan surah atau ayat al-Qur’an hanya di rakaat pertama dan kedua, tetapi ianya membuktikan bahawa bukanlah menjadi satu kesalahan untuk membaca ayat atau surah al-Qur’an di rakaat yang ketiga mahupun keempat dalam solat Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak malah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sendiri pernah melakukannya ketika solat Zuhur dan Asar sebagaimana telah penulis buktikan di atas. Maka sewajarnya sunnah yang semakin dilupakan ini dihidupkan semula sekali-sekala oleh kita semua.





2) Menetapkan cara atau bacaan surah tertentu dalam solat.

Pada dasarnya kita boleh memilih apa sahaja ayat-ayat dari al-Qur’an yang mudah untuk dibaca setelah pembacaan Umm al-Kitab.[9] Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Abi Said radhiallahu’anh:“Kami telah diperintah (oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam) supaya kami membaca al-Fatihah dan apa-apa (ayat /surah) yang mudah (bagi kami). Menurut Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah: “Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam tidaklah menentukan surah-surah tertentu yang dibaca pada waktu solat tertentu hingga tidak boleh membaca yang lain…”[10]

Memang terdapat beberapa riwayat yang mengisyaratkan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam pernah membaca surah tertentu dalam solat pada waktu tertentu. Akan tetapi riwayat-riwayat tersebut bukanlah satu perintah untuk membatasi hanya pada ayat-ayat itu sahaja.[11] Contohnya baginda shalallahu 'alaihi wasallam selalu membaca surah al-Sajda (surah ke 32) pada rakaat pertama dan surah al-Insan (surah ke 76) pada rakaat ke dua solat Subuh pada hari Jumaat. Namun begitu baginda tidak pula melarang untuk kita membaca selain dari kedua surah tersebut. Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam juga pernah membaca satu surah yang sama dalam kedua-dua rakaat.



أَنَّ رَجُلاً مِنْ جُهَيْنَةَ أَخْبَرَهُ



أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ



يَقْرَأُ فِي الصُّبْحِ إِذَا زُلْزِلَتْ الأَرْضُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ



كِلْتَيْهِمَا فَلاَ أَدْرِي أَنَسِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ



أَمْ قَرَأَ ذَلِكَ عَمْدًا.

Seorang lelaki dari Juhainah mengkhabarkan bahawa dia mendengar Nabi shalallahu 'alaihi wasallam membaca pada waktu solat Subuh “Idza zulzilati’l ardhu” (al-Zalzalah) pada kedua rakaatnya.

Ulasnya pula: “Saya tidak tahu apakah Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam lupa ataukah dibacanya itu dengan sengaja.”[12]



Memadailah dengan contoh-contoh di atas bagi membuktikan hukum asal dalam hal ini adalah dibenarkan untuk kita memilih apa sahaja dari al-Qur’an setelah pembacaan Umm al-Kitab ketika solat. Namun begitu mencontohi hadis-hadis Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam yang sahih ketika memilih ayat-ayat dari al-Qur’an yang hendak dibaca dalam solat merupakan perbuatan yang terpuji kerana baginda shalallahu 'alaihi wasallam merupakan contoh ikutan yang terbaik bagi seluruh umat manusia. Cuma janganlah hal ini terlalu diberatkan sehingga ada dari kalangan kita yang mengelak untuk menjadi imam ketika solat yang dibaca secara jahar (kuat) kerana tidak menghafal surah-surah yang tertentu. Pernah terjadi di sebuah masjid ketika solat Subuh pada hari Jumaat dan ketika itu imam rasmi masjid tersebut tidak dapat hadir kerana uzur, maka makmum agak keberatan untuk menggantikan tempat imam tersebut. Ini adalah kerana mereka tidak begitu lancar dalam membaca surah al-Sajda dan al-Insan. Maka setelah tolak-menolak akhirnya seorang telah bersetuju untuk menjadi imam tetapi beliau telah membaca surah-surah tersebut secara merangkak-rangkak malah ada yang tersilap. Alangkah baik sekiranya beliau memilih surah-surah lain yang beliau mampu membacanya dengan lancar dan baik.



3) Disunnahkan memanjangkan bacaan pada rakaat pertama berbanding rakaat kedua.

Adalah disunnahkan ketika solat untuk dipanjangkan bacaan dalam rakaat pertama berbanding dengan rakaat kedua. Dalilnya adalah hadis dari Abdullah bin Abi Qatadah dari bapanya radhiallahu’anhuma:



أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ



كَانَ يُطَوِّلُ فِي الرَّكْعَةِ الأُولَى مِنْ صَلاَةِ الظُّهْرِ



وَيُقَصِّرُ فِي الثَّانِيَةِ وَيَفْعَلُ ذَلِكَ فِي صَلاَةِ الصُّبْحِ.



Bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam biasa memperpanjangkan rakaat pertama pada solat Zuhur dan memendekkan pada rakaat kedua, dan baginda melakukan yang demikian juga pada solat Subuh.[13]





عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ:



لَقَدْ كَانَتْ صَلاَةُ الظُّهْرِ تُقَامُ فَيَذْهَبُ الذَّاهِبُ إِلَى الْبَقِيعِ فَيَقْضِي



حَاجَتَهُ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ ثُمَّ يَأْتِي وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ



فِي الرَّكْعَةِ الأُولَى مِمَّا يُطَوِّلُهَا.



Dari Abu Sai’d al-Khudri, dia berkata:

“Sungguh solat itu telah diiqamati, lalu ada seorang pergi ke Baqi’ untuk menunaikan hajatnya, kemudian dia wuduk dan datang lagi,

sedang Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam masih di dalam rakaat pertama sebagai sebab baginda memperpanjangkannya.”[14]



Antara hikmahnya perbuatan ini adalah:

Pada rakaat pertama semangat para makmum adalah lebih tinggi jika dibandingkan pada rakaat kedua maka lebih baik sekiranya bacaan pada rakaat kedua dipendekkan untuk mengelakkan perasaan bosan.

Memanjang rakaat pertama dapat meramaikan bilangan orang yang datang untuk berjemaah dan memberi kesempatan kepada orang ramai untuk bersama imam semenjak rakaat pertama lagi.[15]



4) Memendekkan Bacaan Ayat al-Qur’an Sekiranya Ada Keuzuran.

Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam ketika menjadi imam dalam solat begitu peka dengan keadaan makmum dalam menentukan jumlah ayat yang ingin baginda bacakan. Sekiranya ada keuzuran maka baginda akan memendekkan bacaan baginda dalam solat. Di antara keuzuran tersebut adalah sekiranya baginda terdengar bayi yang sedang menangis, keadaan cuaca yang mendung menunjukkan hari hendak hujan, dalam keadaan musafir dan juga ketika solat khauf. Dalilnya adalah sebuah hadis dari Qatadah bahawa Anas bin Malik radhiallahu’anhma menceritakan kepadanya:



أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:



إِنِّي لأَدْخُلُ فِي الصَلاَةِ وَأَنَا أُرِيدُ إِطَالَتَهَا



فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأَتَجَوَّزُ فِي صَلاَتِي



مِمَّا أَعْلَمُ مِنْ شِدَّةِ وَجْدِ أُمِّهِ مِنْ بُكَائِهِ.



Bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya aku masuk dalam solat dan berkeinginan untuk memperpanjangkan solat tersebut. Lalu aku mendengar tangisan anak kecil, maka aku pun meringankan[16] solatku kerana aku mengetahui besarnya kesedihan ibu anak itu kerana tangisannya.[17]



Kekhuatiran Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam memang sungguh berasas sekali kerana bukan sahaja tangisan anak tersebut boleh mengganggu konsentrasi ibunya malah makmum yang lain juga akan terjejas tumpuan mereka dalam solat.

Dalam riwayat yang lain Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam juga menasihati para sahabat radhiallahu’anhum agar jangan terlalu memanjangkan bacaan dalam solat sekiranya mereka menjadi imam sehingga boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati oleh makmum di belakang:



أَخْبَرَنِي أَبُو مَسْعُودٍ أَنَّ رَجُلاً قَالَ:



وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي لأَتَأَخَّرُ عَنْ صَلاَةِ الْغَدَاةِ



مِنْ أَجْلِ فُلاَنٍ مِمَّا يُطِيلُ بِنَا.



فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ



فِي مَوْعِظَةٍ أَشَدَّ غَضَبًا مِنْهُ يَوْمَئِذٍ ثُمَّ قَالَ:



إِنَّ مِنْكُمْ مُنَفِّرِينَ فَأَيُّكُمْ مَا صَلَّى بِالنَّاسِ فَلْيَتَجَوَّزْ



فَإِنَّ فِيهِمْ الضَّعِيفَ وَالْكَبِيرَ وَذَا الْحَاجَةِ.



Telah dikhabarkan dari Abu Mas’ud bahawa seorang lelaki berkata:

“Demi Allah, wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tidak mengikuti solat Subuh disebabkan si fulan memperpanjangkan solat atas kami.”

Maka aku tidak pernah melihat Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam menyampaikan nasihat dengan kemarahan yang lebih hebat daripada hari itu. Kemudian baginda bersabda:

“Sesungguhnya di antara kalian ada yang membuat orang menjauhkan (dari solat berjemaah). Maka barangsiapa di antara kalian solat mengimami manusia hendaklah dia meringankan (solatnya), kerana di antara mereka ada yang lemah, orang tua dan ada yang memiliki kepentingan.”[18]



Beginilah perintah dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam supaya para imam jangan terlalu memanjangkan bacaan dalam solat sehingga menyebabkan orang menjauhkan diri dari melakukan solat berjemaah. Para imam harus prihatin bahawa di antara para makmum mungkin terdapat mereka yang sakit, lemah, sudah lanjut usia dan juga mereka yang memiliki urusan penting untuk dilakukan selepas solat tersebut. Menurut Ibnu Hajar rahimahullah:

Saya katakan, bahawa sumber paling tepat untuk menentukan batasan meringankan solat adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan al-Nasa’i dari Utsman bin Abu al-Ash bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bersabda kepadanya:



أَنْتَ إِمَامُ قَوْمِك , وَاقْدِرْ الْقَوْمَ بِأَضْعَفِهِمْ.



Engkau adalah imam kaummu, maka jadikanlah orang yang paling lemah di antara mereka sebagai kayu ukuran

(dalam memperpanjangkan bacaan dalam solat).[19]



Demikianlah secara ringkasnya beberapa perkara berkaitan tentang bacaan surah atau ayat setelah membaca Umm al-Kitab dalam solat. Semoga kita sentiasa bercita-cita untuk mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam walaupun ianya hanyalah perkara yang sunat malah dianggap kecil oleh sesetengah pihak. Kerana sesungghnya baginda shalallahu 'alaihi wasallam adalah contoh ikutan yang terbaik bagi kita semua sebagaimana firman Allah 'Azza wa Jalla:



Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).[20]






--------------------------------------------------------------------------------

[1] Hukum membaca Basmallah sebelum sesuatu surah dalam solat jahriyah adalah sama seperti yang telah penulis bahaskan dalam bab “Tidak Membaca Basmalah Sebelum Dibacakan Surah Al-Fatihah” iaitu tidak perlu dilafazkan dan cukup sekadar dibaca dalam hati. Manakala jika dibaca ayat-ayat al-Qur’an yang bukan dari permulaan surah (secara tidak lengkap) maka tidak perlu dibaca Basmallah.

[2]Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya. Berkata al-Nawawi dalam Majmu’ Syarah al-Muhazzab, jld. 3, ms. 285: “Sanadnya sahih atas syarat al-Bukhari dan Muslim.” Juga dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no. 818.

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 776.

[4] al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jld.1, ms. 260.

[5] Termasuk dalam sikap sambil lewa dalam beribadah adalah golongan yang membaca surah atau ayat dari al-Qur’an dengan laju dan tergesa-gesa. Menurut Sayyid Sabiq rahimahullah: “Bacaan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam itu ialah secara panjang (perlahan-lahan). Baginda berhenti pada setiap ayat memanjangkan suaranya.” (Fikih Sunnah, jld.1, ms 338). Disunnahkan juga membacanya dengan suara yang baik serta berlagu. Al-Bara’ bin ‘Azib radhiallahu 'anh berberkata:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ.

Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Hiasilah (bacaan) al-Qur’an dengan suaramu.” (Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’i, hadis no. 1015)



Menurut Abu Hurairah radhiallahu 'anh:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ.

Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Tidaklah termasuk golongan kami orang yang tidak melagukan (bacaan) al-Qur’an.” (Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 7527)

Hukum lain berkaitan dengan tatacara membaca ayat al-Qur’an dalam solat jahriyah dan sirriyah ialah sepertimana pembacaan al-Fatihah yang telah penulis bahaskan dalam bab "Makmum Tidak Membaca Surah Al-Fatihah Dalam Solat Berjemaah Secara Jahar". Cuma apa yang ingin penulis tambahkan di sini adalah sikap sesetengah imam yang berhenti sejenak setelah membaca al-Fatihah dalam solat jahriyah dan sebelum memulakan pembacaan ayat al-Qur’an bertujuan untuk memberi kesempatan makmun menghabiskan bacaan al-Fatihah, sesungguhnya perbuatan ini tidak disyari’atkan. Menurut al-Albani rahimahullah: “Sesungguhnya diam seperti itu adalah bid’ah dalam agama. Tidak ada dasarnya sama sekali dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam.” (Tamamul Minnah, jld.1, ms. 227)

[6] al-Nisaa’ (4): 142

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 776.

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 452.

[9] Kebiasaan dalam solat siriyah apabila kita telah menghabiskan bacaan sesuatu surah atau ayat dari al-Qur’an dan imam pula masih belum rukuk maka kita akan hanya menunggu imam tersebut untuk menghabiskan bacaannya tanpa membaca apa-apa. Maka dari hadis ini dapatlah kita fahami bahawa bukanlah menjadi satu kesalahan untuk kita membaca beberapa surah sementara menunggu imam untuk rukuk. Malah perbuatan ini adalah lebih baik kerana sekiranya kita tidak membaca apa-apa maka fikiran kita tentu akan mengelamun tentang perkara-perkara lain yang tidak berkaitan dengan ibadah solat.

[10] Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jld.1, ms. 336.

[11] al-Bukhari sendiri telah menyusun beberapa bab yang menunjukkan bacaan Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam waktu solat yang tertentu. Sila lihat kitab al-Azan dalam kitab Shahih al-Bukhari. Malah kebanyakan kitab-kitab Fiqh juga mempunyai bab-bab membahaskan perkara yang sama.

[12] Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no. 816.

[13] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 779.

[14] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya, hadis no. 454.

[15] Sila rujuk perbahasan Ibnu Hajar rahimahullah dalam Fathul Baari, jld.4, ms. 482 dan 532 dan juga al-Syaukani rahimahullah dalam Nailul Authar (edisi terjemahan oleh Drs Hadimulyo dan Drs Kathur Suhardi, CV. Asy-Syifa, Semarang 1994), jld.3, ms. 311).

[16] Ibnu Hajar rahimahullah menyatakan maksud meringankan atau menyingkatkan solat adalah dengan membaca surah yang pendek. (Fathul Baari, jld.4, ms. 365)

[17] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no 709.

[18] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 702

[19] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jld.4, ms. 355.

[20] al-Ahzaab (33): 21

Sumber Dari Sini....

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP