Powered by Blogger.

Feb 25, 2009

MAKMUM TIDAK MEMBACA SURAH AL-FATIHAH

Membaca surah al-Fatihah (Fatihat al-Kitab) secara umumnya merupakan salah satu perkara yang rukun dalam solat. Hadis-hadis yang menunjukkan kefardhuan membaca al-Fatihah dalam solat sememangnya begitu banyak sehingga tidak ada ruang untuk perbezaan pendapat. Antaranya sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang dimaksudkan adalah:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ.

Tidak ada (tidak sah) solat bagi orang yang tidak membaca Fatihat al-Kitab (surah al-Fatihah).[1]

مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِأُمِّ الْقُرْآنِ فَهِيَ خِدَاجٌ (ثَلاَثًا).
Barangsiapa yang bersolat tidak membaca Umm al-Qur’an (dalam riwayat lain: Fatihat al-Kitab) maka solatnya kurang (diulangi tiga kali).[2]


Antara sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dalam solat yang semakin ditinggallkan adalah membaca surah al-Fatihah ini ayat demi ayat. Ummu Salamah radhiallahu ‘anha pernah ditanya tentang cara bacaan Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam solat maka dia berkata:

Dulu Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam memutuskan bacaan al-Qur’annya ayat demi ayat[3]


Namun begitu apa yang sering kita lihat tentang tatacara pembacaan Fatihat al-Kitab ini, seringkali ianya disambungkan dua atau tiga ayat sekaligus, malah ada yang boleh menghabiskan bacaannya dengan sekali nafas sahaja terutamanya ketika solat Qiyam al-Ramadhan (Solat Tarawih)Sesungguhnya amalan ini bercanggah dengan sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang dikhabarkan oleh Ummu Salamah radhiallahu ‘anha dalam riwayat di atas. Seharusnya bacaan Fatihat al-Kitab ini diperhatikan dengan bersungguh-sungguh kerana setiap baris ayat yang diucapkan itu merupakan doa dan akan Allah Subhanahu wa Ta'ala memperkenankan doa tersebut dengan ucapan-Nya yang sungguh indah sebagaimana sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dalam sebuah hadis qudsi:



قَالَ اللَّهُ تَعَالَى:

قَسَمْتُ الصَّلاَةَ بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي نِصْفَيْنِ وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ

فَإِذَا قَالَ الْعَبْدُالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

قَالَ اللَّهُ تَعَالَى حَمِدَنِي عَبْدِي

وَإِذَا قَالَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

قَالَ اللَّهُ تَعَالَى أَثْنَى عَلَيَّ عَبْدِي

وَإِذَا قَالَ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ قَالَ مَجَّدَنِي عَبْدِي

وَقَالَ مَرَّةً فَوَّضَ إِلَيَّ عَبْدِي

فَإِذَا قَالَ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

قَالَ هَذَا بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ

فَإِذَا قَالَ اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ

قَالَ هَذَا لِعَبْدِي وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ.

Allah Ta’ala berfirman:
“Aku telah membahagi al-Fatihah menjadi dua bahagian, untuk-Ku dan untuk Hamba-Ku. Separuh untuk-Ku dan separuh untuk hamba-Ku dan hamba-Ku akan mendapat bahagian dari permohonan yang diucapkannya.”
(Rasulullah meneruskan):
“Bila hamba membaca Alhamdulillahirabbil’alamiin, Allah Ta’ala menyahut ‘Hamba-Ku memuji-Ku’.
Bila hamba membaca Arrahmaanirrahiim, Allah Ta’ala menyahut ‘Hamba-Ku menyanjung-Ku’.
Bila hamba membaca Malikiyawmiddiin, Allah Ta’ala menyahut, ‘Hamba-Ku memuliakan-Ku.
Bila hamba membaca Iyyaakana’budu Waiyyaakanasta’iin, (Allah menyahut): ‘Ini bahagian-Ku dan bahagian hamba-Ku akan dapat apa yang dimintanya.’
Bila hamba membaca Ihdinashiraathal mustaqiim Shiraathaldzina an’amta’alaihim ghairilmaghdhuubi ’alaihim waladhdhaaliin, (Allah menyahut): ‘Itu adalah hak hamba-Ku, dia akan dapat apa yang dimintanya."


Hukum Membaca Fatihat Al-Kitab Di Belakang Imam
Menurut al-‘Utsaimin rahimahullah[4] secara umumnya terdapat empat pandangan tentang hukum membaca surah al-Fatihah dalam solat:

Pertama: Bacaan Fatihat al-Kitab itu tidak diwajibkan secara mutlak kepada imam dan makmum, baik dalam solat sendirian (munfarid) atau dalam solat berjemaah yang siriyah[5] mahupun jahriyah[6]. Bagi mereka yang diwajibkan hanyalah membaca apa yang mudah dari al-Qur’an. Dalil yang mereka pakai adalah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

… oleh itu bacalah mana-mana yang mudah bagi kamu dari Al-Quran (dalam solat).[7]

Dan Sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam:

ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ

Kemudian bacalah sesuatu yang mudah bagimu dari al-Qur’an.[8]


Kedua: Bacaan al-Fatihah adalah salah satu dari rukun solat yang wajib dibaca dalam semua keadaan oleh imam dan makmun dalam solat berjemaah siriyah dan jahriyah, atas makmum yang masbuq[9] atau orang yang yang menjadi makmum dari awal solat lagi dan kepada mereka yang solat sendirian (munfarid).

Ketiga: Bacaan al-Fatihah adalah rukun dan wajib dibaca bagi imam dalam solat berjema’ah dan mereka yang solat secara munfarid. Tetapi ianya tidak diwajibkan secara mutlak kepada makmum dalam solat berjemaah siriyah dan jahriyah.

Keempat: Bacaan al-Fatihah adalah rukun solat dan wajib dibaca imam, dan mereka yang bersolat munfarid, dan juga wajib dibaca bagi makmum dalam solat berjemaah siriyah namun tidak wajib dibaca dalam solat berjemaah jahriyah.

Pendapat pertama dapat dibantah dengan wujudnya hadis-hadis Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam yang menunjukkan kefardhuan membaca al-Fatihah seperti yang telah saya paparkan sebelum ini. Adapun yang dimaksudkan dengan “mudah” dalam hadis di atas, al-Nawawi rahimahullah berkata:
Sabda baginda shalallahu 'alaihi wasallam “…sesuatu yang mudah…” difahami bahawa ianya adalah al-Fatihah, kerana surah ini mudah bagi seseorang atau yang dimaksudkan adalah surah yang dibaca setelah membaca al-Fatihah, atau khusus bagi mereka yang tidak mampu membaca al-Fatihah.[10]

Berkata Ibnu Hajar rahimahullah:
… bahawa yang dimaksudkan dengan “… sesuatu yang mudah bagimu dari al-Qur’an.” Adalah surah al-Fatihah, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud dari Rifa’ah bin Rafi’ dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam:

إِذَا قُمْتَ فَتَوَجَّهْتَ إِلَى الْقِبْلَةِ فَكَبِّرْ

ثُمَّ اقْرَأْ بِأُمِّ الْقُرْآنِ وَبِمَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَقْرَأَ

وَإِذَا رَكَعْتَ فَضَعْ رَاحَتَيْكَ عَلَى رُكْبَتَيْكَ.

Apabila engkau telah berdiri dan menghadap kiblat maka takbirlah,
kemudian bacalah Umm al-Qur’an dan apa-apa yang Allah kehendaki untuk kau baca. Apabila engkau rukuk maka letakkanlah kedua telapak tanganmu di atas kedua lututmu.[11]


Bagi al-’Utsaimin rahimahullah:
“…pendapat yang terkuat padaku adalah: bahawa bacaan al-Fatihah adalah rukun yang harus dikerjakan imam dan makmum serta munfarid dalam solat siriyah dan jahriyah, kecuali jika masbuq dan dia mendapatkan imam sedang rukuk maka dia tidak wajib membaca al-Fatihah.”[12]

Pendapat al-‘Utsaimin ini lebih menghampiri amalan majoriti umat Islam di Malaysia.[13]

Dalil yang digunakan oleh al-‘Utsaimin rahimahullah adalah hadis-hadis yang menetapkan kefardhuan bacaan al-Fatihah seperti yang telah penulis paparkan di atas. Sedangkan dalil khusus yang dipergunakan untuk menguatkan pendapat bahawa makmum dalam solat berjemaah jahriyah juga wajib membaca surah al-Fatihah adalah:

عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ قَالَ:

صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصُّبْحَ فَثَقُلَتْ عَلَيْهِ الْقِرَاءَةُ

فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ: إِنِّي أَرَاكُمْ تَقْرَءُونَ وَرَاءَ إِمَامِكُمْ؟

قَالَ: قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِي وَاللَّهِ.

قَالَ:فَلاَ تَفْعَلُوا إِلاَّ بِأُمِّ الْقُرْآنِ فَإِنَّهُ لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِهَا.

Dari Ubadah bin Shamit radhiallahu’anh bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam mengerjakan solat Subuh lalu baginda terasa susah membaca
(al-Qur’an).
Setelah selesai baginda berkata kepada sahabatnya:
“Aku melihat kalian membaca sesuatu di belakang imam kalian?”
Mereka menjawab: “Betul Ya Rasulullah.”
Baginda bersabda: ”Janganlah hal itu kalian kerjakan k
ecuali membaca Umm al-Qur’an,
kerana tidak ada (tidak sah) solat bagi yang tidak membacanya.”[14]

Menurut al-‘Utsaimin rahimahullah:
Pendapat inilah yang sahih menurutku, seandainya bukan kerana hadis Ubadah bin Shamit radhiallahu’anh...tentulah pendapat bahawa membaca al-Fatihah dalam solat jahriyah tidak wajib bagi makmum adalah pendapat yang rajih (lebih tepat) kerana orang yang mendengar itu seperti orang yang membaca dalam memperolehi pahala.[15]

Bagi mereka yang berpendapat makmum tidak wajib membaca surah al-Fatihah dalam solat berjemaah yang jahriyah, mereka berdalilkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah serta diamlah
(dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya),
supaya kamu beroleh rahmat.[16]


Menurut Sayyid Sabiq rahimahullah: “Kewajipan membaca bagi makmum jadi gugur pada solat-solat (berjema’ah – pen) jahriyah dan wajib dia mendengarkan bacaan Imam, kerana firman Allah Ta’ala (al-A’raaf (7): 204)…”[17] al-Albani rahimahullah juga menyatakan ayat ini adalah yang paling pokok dalam hal ini.[18]

Dalil-dalil lain yang menunjukkan makmum tidak perlu membaca surah al-Fatihah dalam solat jahriyah adalah hadis berikut:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا.
Dijadikan imam itu hanya untuk diikuti. Oleh kerana itu apabila imam takbir, takbirlah kalian, dan apabila imam membaca, maka hendaklah kalian diam mendengarkan (bacaan imam itu).”[19]

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

انْصَرَفَ مِنْ صَلاَةٍ جَهَرَ فِيهَا بِالْقِرَاءَةِ

فَقَالَ: هَلْ قَرَأَ مَعِي أَحَدٌ مِنْكُمْ آنِفًا؟

فَقَالَ رَجُلٌ: نَعَمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ.

قَالَ: إِنِّي أَقُولُ مَالِي أُنَازَعُ الْقُرْآنَ؟

قَالَ: فَانْتَهَى النَّاسُ عَنْ الْقِرَاءَةِ

مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا جَهَرَ

فِيهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الصَّلَوَاتِ بِالْقِرَاءَةِ

حِينَ سَمِعُوا ذَلِكَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ ِ.

Dari Abu Hurairah sesungguhnya Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam sesudah selesai mendirikan solat yang baginda keraskan bacaannya (jahriyah)
di dalam solat itu, baginda bertanya:
“Apakah ada seseorang di antara kamu yang membaca bersamaku tadi?”
Maka seorang laki-laki menjawab, “Ada ya Rasulullah!”
Kemudian baginda bersabda: “Sesungguhnya aku berkata: Mengapakah (bacaan)ku dilawan dengan al-Qur’an juga?”
Berkata Abu Hurairah: “Kemudian berhentilah orang-orang dari membaca bersama Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam pada solat-solat
yang Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam keraskan bacaannya,
ketika mereka sudah mendengar (larangan) yang demikian itu dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam”[20]

Menurut al-Albani rahimahullah berkenaan hadis ini, “Rasulullah melarang makmum membaca semua bacaan al-Qur’an dalam solat jahriyah.”[21] Disebabkan hadis ini diucapkan oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam terkemudian berbanding hadis yang diriwayatkan dari Abdullah bin Shamit radhiallahu’anh, maka pengecualian terhadap bacaan Umm al-Kitab bagi makmum dalam solat jahriyah telah dimansuhkan.

Berkata Abu Bakar Ibn al-Arabi rahimahullah:
Yang kuat menurut kita ialah diwajibkan membaca (al-Fatihah) pada solat siriyah, kerana umumnya hadis-hadis (yang menunjukkan kefardhuan membaca al-Fatihah seperti yang telah saya paparkan di atas). Mengenai solat jahriyah, maka tidak ada jalan untuk membacanya di sana kerana itu merupakan amalan penduduk Madinah. Kedua, kerana itu adalah hukum al-Qur’an sebagaimana firman-Nya:

Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya),
supaya kamu beroleh rahmat.[22]

Dan ia disokong oleh sunnah dengan dua buah hadis: salah satu di antaranya ialah hadis Imran bin Hussain: “Sungguh, saya mengetahui beberapa orang di antara mu telah mangacaukan saya!” Kedua ialah ucapan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam: “dan apabila imam membaca, maka hendaklah kalian diam mendengarkan (bacaan imam itu).”[23]

Pendapat makmum tidak membaca al-Fatihah dalam solat jahriyah ini juga adalah menjadi pilihan Ahmad bin Hanbal dan Malik bin Anas, al-Zuhri, Ibnul Mubarak, Ishak dan dikuatkan oleh Ibnu Taymiyyah rahimahumullah.
Kesimpulannya, ternyata dalam bab makmum membaca atau tidak al-Fatihah dalam solat berjamaah jahriyah adalah sebuah masalah khilafiyah. Memandangkan kedua-dua pihak memiliki dalil dan hujah, sepatutnya kita berlapang dada dalam bab ini.



[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 756.
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 395.
[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya, hadis no. 4001. Para perawinya adalah thiqah sebagai dinyatakan oleh al-Nawawi dalam al-Majmu’, jld. 3, ms. 303. Beliau juga mengemukakan lafaz
(كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذَا قَرَأَ يَقْطَعُ قِرَاءَتَهُ آيَةً آيَةً) yang dikeluarkan oleh al-Hakim, Ibn Khuzaimah dan al-Daraquthni dan seterusnya menukil kata-kata al-Daraquthni: “(Para perawi dalam) isnadnya thiqah keseluruhannya, dan ia adalah isnad yang sahih.” Hadis ini turut dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no. 4001.
[4] Sila rujuk kitab Majmu’ Fatawa: Bab Ibadah, ms. 360.
[5] Solat berjemaah siriyah adalah solat di mana imam menyembunyikan bacaannya seperti solat Zuhur, Asar, rakaat ke tiga solat Maghrib dan rakaat ketiga dan keempat solat Isyak.
[6] Solat berjemaah jahriyah adalah solat di mana imam mengeraskan bacaannya seperti solat Subuh dan rakaat pertama dan kedua solat Maghrib dan Isyak.
[7] al-Muzzammil (73): 20
[8] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 757.
[9] Masbuq ialah makmum yang terlewat untuk menyertai solat berjemaah sehingga tidak dapat mengikut imam dari awal.
[10] Ibnu Hajar Asqalani, Fathul Baari, jld.4, ms. 479.
[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no. 856.
[12] Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa: Bab Ibadah, ms. 360.
[13] Sengaja penulis membawa pendapat al-‘Utsaimin rahimahullah ini kerana beliau merupakan ulama’ Fiqh dari Arab Saudi yang selalu digelar ulama’ wahhabiyah. Ini secara tidak langsung menunjukkan keterbukaan ulama’ ahl al-Sunnah dalam berbeza pendapat selagi masih ada dalil mendukung sesuatu pendapat. Insya-Allah penulis juga akan membawa pendapat ulama’ ahl al-Sunnah yang lain seperti Sayyid Sabiq dan al-Albani yang berbeza dengan al-‘Utsaimin.
[14] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam kitab Sunannya, hadis no. 311 dan beliau berkata: “Hadis Ubadah adalah hadis hasan.” Berkata Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Nataij al-Afkar (نتائج الأفكار) Litakhrij Ahadits al-Azkar: “Hadis ini hasan.” Demikian dikemukakan oleh al-Murakfuri ketika mensyarahkan hadis di atas dalam Tuhfah al-Ahwazi Syarh Jami’ al-Tirmizi.
[15] Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa: Bab Ibadah, ms. 361.
[16] al-A’raaf (7): 204
[17] Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jld.1, ms. 342
[18] Muhammad Nashiruddin al-Abani, Fatwa-Fatwa Albani, (edisi terjemahan oleh Adni Kurniawan, Pustaka At Tauhid, Jakarta, 2002) ms. 85.
[19] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no: 846.
[20] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata: “Hadis ini hasan.” Al-Albani menilainya sahih, rujuk Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no. 312.
[21] Muhammad Nashiruddin al-Abani, Sifat Shalat Nabi, ms. 121.
[22] al-A’raaf (7): 204
[23] Dinukil daripada Fikih Sunnah, jld.1, ms. 342-343.

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP