Powered by Blogger.

Feb 25, 2009

TIDAK MENGIKUT MAZHAB TERTENTU DALAM TATACARA BERSOLAT

Antara isu yang sering diperdebatkan adalah tentang kewajipan untuk mengikuti hanya satu mazhab di dalam segala perkara berkaitan dengan fiqh termasuk dalam ibadah solat. Di dalam masyarakat Islam di Malaysia telah tersebarnya fahaman bahawa sekiranya seseorang itu tidak mengikuti satu mazhab tertentu dalam ibadah solat maka dia telah dianggap melakukan talfiq[1]. Pada tanggapan mereka mengamalkan talfiq adalah suatu perbuatan yang diharamkan dan dengan itu solat yang tidak bertaklid kepada hanya pada satu mazhab adalah tidak sah.

Sebelum penulis menjawab kekeliruan di atas, ingin penulis sisipkan beberapa firman Allah Subhanahu wa Ta'ala tentang kewajiban kita untuk mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam apa jua keadaan.



Demi sesungguhnya,

adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,

iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah

dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut

dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).[2]

Ayat ini merupakan pokok dan dasar yang agung dalam anjuran dari Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, baik dalam perkataan, perbuatan mahupun keadaan atau keperibadian baginda shalallahu 'alaihi wasallam. Seterusnya Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:



Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman,

lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka.

Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya

maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.[3]





Ayat ini jelas menunjukkan bahawa apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasul-Nya telah menentukan hukum ke atas sesuatu perkara, maka tidak diperbolehkan untuk sesiapapun menentang hukum-hukum tersebut. Sesungguhnya manusia tidak memiliki pilihan selain tunduk atas segala yang telah diputuskan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasul-Nya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala.



Wahai orang-orang yang beriman,

taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah

dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara,

maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran)

dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.[4]





Melalui ayat di atas Allah Subhanahu wa Ta'ala mewajibkan bagi kita sekiranya terjadi sesuatu perselisihan pendapat samada dalam perkara yang pokok atau cabang dalam agama, hendaklah dirujuk semula kepada al-Qur’an dan al-Sunnah untuk mendapatkan kepastian tentang pandangan mana yang lebih benar dan tepat. Keengganan melakukan sedemikian mencerminkan sikap seseorang yang tidak beriman sepenuhnya kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan hari akhirat.

Maka dengan berdalilkan ayat-ayat di atas, Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah berpendirian untuk tetap berada di atas sunnah Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam apa jua bentuk ibadah terutamanya dalam solat. Ini kerana Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:


Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.[5]





Sabda Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam ini secara jelas mewajibkan kita semua untuk mencontohi tatacara ibadah solat baginda. Ahl al-Sunnah berkeyakinan tidak ada manusia yang lebih sempurna solatnya selain Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam kerana baginda merupakan contoh ikutan terbaik sebagaimana yang difirmankan Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah al-Ahzaab ayat ke 21 seperti yang telah penulis paparkan di atas. Mencontohi insan yang sempurna (maksum) ini dapat menjaminkan perlaksanaan ibadah solat yang sempurna. Kesempurnaan dalam ibadah solat ini pula akan memudahkan kita untuk memperolehi keampunan dari Allah Subhanahu wa Ta'ala . Ini sebagaimana sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam:



Lima solat yang diwajibkan Allah,

barangsiapa melakukan wuduk dengan sempurna dan melaksanakan solat pada waktunya, ruku’ dan sujudnya dengan khusyu’ secara sempurna,

mendapatkan janji dari Allah akan memperoleh ampunan-Nya.

Barangsiapa yang tidak melakukan hal ini

tidak akan mendapat janji ampunan dari Allah.

Jika Allah berkehendak, dia akan diampuni atau dia akan diazab.[6]





Berpijak atas dasar ini maka telah wujud kesepakatan antara keempat-empat imam mazhab untuk mengutamakan al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dari pendapat mereka sendiri. Malah mereka melarang keras manusia untuk bertaklid kepada mereka apabila pendapat mereka bertentangan dengan Kitabullah dan hadis-hadis tersebut.



Berkata Abu Hanifah rahimahullah:

Kalau saya mengemukakan suatu pendapat yang bertentangan dengan al-Qur’an dan Hadis Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, tinggalkanlah pendapatku itu.[7]





Malik bin Anas rahimahullah pula berkata:

Saya hanyalah seorang manusia, terkadang salah, terkadang benar. Oleh itu, telitilah pendapatku. Bila sesuai dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, ambillah; dan bila tidak sesuai dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, tinggalkanlah.[8]





Sementara itu Muhammad bin Idris al-Syafi’i rahimahullah berkata:

Bila suatu masalah ada hadisnya yang sah dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam menurut kalangan ahl al-Hadis, tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan mencabutnya, baik selama aku hidup mahupun setelah aku mati.[9]





Selanjutnya al-Syafi’i rahimahullah juga pernah berkata:

Bila kalian menemukan dalam kitabku sesuatu yang berlainan dengan hadis Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah pendapatku itu.[10]





Ahmad bin Hanbal rahimahullah pula menyatakan sebagai berikut:

Barangsiapa yang menolak hadis Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, dia berada di jurang kehancuran.[11]





Oleh itu bolehlah kita rumuskan bahawa mazhab sebenar keempat-empat imam rahimahumullah tersebut berdiri atas tiga prinsip utama iaitu:



1.

Kesahihan hadis Rasulullah shalallahu 'alaihi wasalaam.
2.

Jika pendapat mereka bertentangan dengan sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam, mereka menolak pendapat mereka sendiri dan mengambil sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam.
3.

Jika ada hadis yang sahih dalam suatu masalah yang bertentangan dengan pendapat mereka, maka mereka menarik kembali pendapat mereka, baik ketika mereka masih hidup mahupun sesudah mereka meninggal.[12]





Abdullah Yassin menegaskan:

Menurut Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah tidak ada seorang imam atau ulama’ pun yang terpelihara daripada kesilapan dan kesalahan walaupun mereka telah mencapai darjat ilmu yang sangat tinggi. Manusia yang maksum (tidak berbuat salah) hanyalah Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Oleh itu semestinya, para imam atau ulama’ menyesuaikan pandangan mereka dengan sunnah Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam . Hakikat ini sungguh diyakini oleh imam-imam mazhab. Semua mereka berkata, “Jika hadis itu sahih, itulah mazhabku”.[13]





Oleh itu bukanlah menjadi satu kesalahan untuk meninggalkan pendapat mazhab masing-masing apabila terjumpa hadis yang sahih dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Ini telah dipraktikkan oleh para pengikut imam-imam tersebut. Sebagai contohnya anak murid Abu Hanifah iaitu Muhammad bin Hasan dan Abu Yusuf rahimahumullah telah menolak satu pertiga dari pendapat gurunya. Begitu juga dalam ibadah solat ini yang mana ianya bukanlah menjadi satu kesalahan untuk berittiba’[14] kepada sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dan meninggalkan pendapat mazhab rasmi negara kita iaitu Mazhab al-Syafi’i kerana keempat-empat imam mazhab termasuk Muhammad bin Idris al-Syafi’i sendiri tidak rela pendapat mereka lebih diutamakan dari al-Qur’an dan al-Sunnah.

Mendahulukan hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dari pendapat mazhab masing-masing bukanlah perbuatan talfiq yang tercela, malah telah menjadi kesepakatan bahawa kewajipan dalam beribadah adalah dengan mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam segala permasalahan apatah lagi dalam ibadah yang paling utama dalam Islam iaitu solat. Mazhab-mazhab hanya bertindak sebagai sarana untuk memudahkan kita memahami hukum-hukum yang terkandung dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.



Menurut Syaikh al-Albani rahimahullah:

Sesungguhnya penyeruan untuk kembali kepada al-Sunnah tidak bermaksud meninggalkan semua mazhab yang ada baik secara global mahupun secara rinci, bahkan mereka (yang mengajak untuk kembali kepada sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam - Pen) senantiasa menghargai mazhab-mazhab tersebut dan menghormati para imam mazhab sambil bergantung pada pandangan para imam untuk memahami al-Kitab dan al-Sunnah. Mereka hanya meninggalkan pendapat para imam apabila jelas bertentangan dengan al-Kitab dan al-Sunnah.[15]



Tentang amalan memilih-milih antara mazhab atau talfiq maka tidak ada satu nas dari al-Qur’an dan hadis yang mengharamkannya. Begitu juga tidak ada satu nas dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang mewajibkan kita hanya mengikuti satu mazhab sahaja. Yang wajib kita patuhi tanpa berbelah bagi adalah Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala :



Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman

ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya,

supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka,

hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat":

dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya

dan takut melanggar perintah Allah,

serta menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah,

maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.[16]





Berkata Ibnu Taymiyyah rahimahullah dalam Majmu’ al-Fatawa (jld. 22, ms. 252):

Apabila seorang mengikut mazhab Abu Hanifah, Malik, al-Syafi’i atau Ahmad lalu dia melihat dalam sebahagian masalah, mazhab lain ternyata lebih kuat lalu dia mengikutinya, maka dia telah melakukan sesuatu yang baik. Dia tidak menyalahi agama mahupun kredibilitinya. Bahkan sikap ini adalah lebih benar dan lebih dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya shalallahu 'alaihi wasallam berbanding seorang yang taksub kepada tokoh tertentu selain Nabi, seperti orang yang taksub kepada Malik atau al-Syafi’i atau Ahmad atau Abu Hanifah serta menganggap pendapat tokoh tersebut adalah benar yang mesti diikuti dan tidak boleh mengikuti pendapat imam yang berbeza (pendapat) dengannya. Sesiapa yang melakukan sedemikian, dia adalah orang jahil, sesat bahkan mungkin menjadi kafir…[17]





Muhammad Sulthan al-Maksumi al-Khajandi rahimahullah pula menerangkan:

Mazhab-mazhab adalah pendapat dan pemahaman orang-orang berilmu dalam beberapa masalah serta ijtihad. Pendapat, ijtihad dan pemahaman ini tidak diwajibkan Allah dan tidak pula diwajibkan oleh Rasul-Nya kepada seseorang untuk mengikutinya. Di dalamnya (pendapat mazhab-mazhab tersebut – pen) terdapat kemungkinan betul dan salah, dan tidak ada yang betul-betul benar kecuali yang berasal dari Rasul shalallahu 'alaihi wasallam. Seringkali terjadi para imam memiliki satu pendapat dalam sesuatu masalah lantas apabila mereka melihat kebenaran yang berlawanan dengan pendapat tersebut, mereka menarik kembali pendapat (yang awal).[18]





Yusuf al-Qaradhawi berkata:

Yang terpenting adalah, hendaklah engkau mengetahui bahawa taklid seorang awam kepada salah seorang imam merupakan hal yang dibolehkan sesuai dengan kaedah dan darjatnya dan ia bukan merupakan satu kewajipan sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian ulama’ kebelakangan. Ini kerana tidak ada satupun yang wajib kecuali apa yang telah diwajibkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Kenyataannya, kedua-dua sumber tersebut tidak mewajibkannya. Berdasarkan hal ini tidak ada larangan bagi seorang Muslim untuk bebas mengikuti sesuatu mazhab tertentu atau bertanya kepada salah seorang ulama’ yang mudah dihubunginya berkenaan sesuatu masalah yang dihadapinya tanpa harus terikat kepada seorang imam sahaja sehingga tidak boleh bertanya kepada imam yang lain.



Jalan inilah yang ditempoh oleh para sahabat dan orang-orang yang mengikuti jejak mereka pada abad-abad terbaik umat ini. Allah telah menghindari mereka daripada praktik taklid yang tercela ini (iaitu terbatas kepada satu imam atau mazhab sahaja).



Orang yang paling penting diberi kebebasan dalam menentukan mazhab mana yang ingin diikutinya ialah orang-orang baru memeluk Islam. Mereka boleh sahaja mengikuti apa yang sebenarnya tidak ditetapkan oleh Allah Ta‘ala, iaitu bertanya kepada mana-mana ulama’ yang mereka kehendaki. Juga sebaiknya untuk mereka dikarang buku-buku yang bersifat sederhana yang menjelaskan ajaran Islam tanpa terikat kepada satu mazhab tertentu.[19]





Selanjutnya M. Said Ramadhan al-Buthi[20] pula berkata:

Tidaklah menjadi satu kewajipan bagi seseorang muqallid (orang yang bertaklid) untuk mengikuti salah satu mazhab tertentu, atau menjadi satu perkara yang haram baginya untuk berpindah-pindah mazhab. Begitu pula telah menjadi satu kesepakatan kaum muslimin, bahawa seorang muqallid dapat memilih atau mengikuti salah satu mujtahid jika telah diyakini kebenaran mazhab-mazhab dan pendapat-pendapatnya, seperti seseorang yang berpindah-pindah kepada salah satu dari keempat imam mazhab.



Maka seandainya, pada masa sekarang ada yang melarang untuk berpindah-pindah mazhab, orang itu telah masuk dalam kategori fanatik yang menyesatkan, yang telah menjadi suatu kesepakatan kaum Muslimin untuk meniadakannya.



Suatu yang harus diketahui bagi seorang peneliti, tidak ada pertentangan bahawa tidak ada hukumnya bagi seorang muqallid untuk tidak mengikuti satu mazhab sahaja, atau berpindah-pindah ke mazhab yang lain. Artinya tidak ada kewajipan untuk terikat kepada salah satu mazhab tertentu, sama dengan tidak ada pelarangan untuk terikat kepada salah satu mazhab.[21]





Tambah beliau lagi:

Seorang muqallid jika dapat memahami suatu permasalahan dengan memahami dalil-dalilnya, baik dari al-Qur’an, hadis, atau kaedah ushuliyyah, maka wajib baginya untuk melepaskan diri dari mengambil pendapat imam-imam mazhab, apabila telah mampu melakukan ijtihad sendiri berdasarkan keilmuan yang dimiliki.[22]



Dengan ini boleh kita simpulkan bahawa Ahl al-Sunnah mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam segala bentuk ibadah termasuk solat. Sekiranya ada hadis yang sahih berkaitan dengan tatacara solat, maka Ahl al-Sunnah tanpa ragu-ragu akan mengamalkannya walaupun amalan tersebut berbeza dari amalan kebiasaan umat Islam di Malaysia yang rata-ratanya bermazhab al-Syafi’i. Sesungguhnya yang wajib dicontohi ialah Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, seorang yang terpelihara dari melakukan kesilapan (maksum). Selain baginda shalallahu 'alaihi wasallam maka perkataan sesiapapun boleh ditolak termasuklah keempat-empat imam mazhab tersebut. Ini sebagaimana yang diperkatakan oleh Imam Malik rahimahullah sendiri: “Siapapun perkataannya boleh ditolak dan diterima, kecuali Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sendiri.”[23] Oleh itu tindakan sesetengah pihak yang melihat kesempurnaan ibadah solat itu hanya diiktiraf sekiranya ianya secocok dengan satu mazhab adalah tindakan yang tidak tepat dan bertentangan dengan syari’at. Pada hakikatnya Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam mewajibkan kita hanya mengikuti baginda dalam ibadah solat sebagaimana sabdanya:


Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.[24]





Budaya taksub mazhab ini harus dikikis dari jiwa setiap umat Islam. Apa yang penulis ingin tekankan ialah sebenarnya tidak ada salah untuk mengikuti mazhab asalkan pendapat mazhab itu tidak lebih diutamakan dari al-Qur’an dan hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Dalam ertikata lain sekiranya di dalam sesuatu mazhab itu terdapat amalan yang bercanggah dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka hendaklah ditinggalkan pendapat mazhab tersebut. Diakibatkan oleh bisikan syaitan, wujud di kalangan umat Islam yang begitu taksub terhadap mazhab masing-masing sehingga mereka beranggapan hanya mazhab mereka sahaja yang benar dan wajib ditaati dalam apa jua keadaan.



Muhammad Sulthan al-Maksumi al-Khajandi rahimahullah berkata:

Dari sanalah (sikap fanatik mazhab – pen) munculnya saling membenci, saling meninggalkan, saling menghasut dan takbur, hingga urusan umat Islam berantakan dan persatuan menjadi cerai-berai. Jadilah mereka santapan orang-orang Eropah dan penindas. Bukankah setiap imam Ahl al-Sunnah rahimahumullah itu merupakan imam kita dan kita di barisan mereka? Sangat disesalkan orang-orang fanatik ini! Ya Allah, tunjukilah kami dan mereka ke jalan yang lurus.[25]

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP