Powered by Blogger.

May 12, 2009

MUSAFIR YANG DIHARUSKAN MENQASHAR



بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan na`ma Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Orang yang membuat pelayaran atau disebut juga sebagai musafir
diberikan rukhshah iaitu keringanan hukum untuk menqashar atau
menjama‘ sembahyang fardhu.

Maksud menqashar sembahyang ialah memendekkan sembahyang
fardhu empat rakaat menjadi dua rakaat iaitu memendekkan
sembahyang fardhu Zhuhr, ‘Ashr dan Isya’.

Manakala menjama‘ sembahyang pula bermaksud
menghimpunkan dua sembahyang fardhu yang beriringan di dalam
satu waktu iaitu menghimpunkan sembahyang fardhu Jumaat
dengan sembahyang fardhu ‘Ashr secara jama‘ taqdim atau
menghimpunkan sembahyang fardhu Zhuhr dengan sembahyang
fardhu ‘Ashr dan sembahyang fardhu Maghrib dengan
sembahyang fardhu Isya’, sama ada secara jama‘ taqdim atau
jama‘ ta’khir.

Tujuan rukshah ini adalah untuk memberi kemudahan kepada
musafir yang pada kebiasaannya menghadapi kesusahan dan
keletihan sepanjang pelayaran mereka.

Walau bagaimanapun perlu difahami tidak semua musafir (orang
yang belayar) diharuskan untuk menqashar atau menjama‘
sembahyang fardhu mereka. Ini kerana seseorang yang dalam
pelayaran itu hendaklah memenuhi syarat-syarat tertentu untuk
membolehkannya mengqashar dan menjama‘ sembahyang
fardhunya.

Jarak Pelayaran Yang Boleh Menqashar Dan Menjama‘
Sembahyang Seorang musafir dibolehkan menqashar sembahyangnya apabila
jarak perjalanannya pergi belayar (tidak termasuk jarak balik dari
pelayaran) tidak kurang dari dua marhalah iaitu kira-kira 56 batu
atau kira-kira 90 kilometer. Jika jarak perjalanan itu kurang
daripada kadar tersebut, maka dia tidak dibolehkan mengqashar
dan menjama‘ sembahyangnya.

Jika dia belayar ke satu jarak jauhnya melebihi dua marhalah,
kemudian pada suatu tempat di pertengahan pelayarannya dia
berniat untuk pulang, maka pada ketika itu dia tidak boleh
mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya selama mana dia
masih berada di tempat tersebut. Akan tetapi jika dia keluar dari
tempat tersebut, sama ada belayar balik semula ke negerinya atau
meneruskan pelayarannya ke tempat lain, dan jarak perjalanannya
itu dua marhalah atau lebih, maka pada ketika itu diharuskan
baginya menqashar dan menjama‘ sembahyangnya.

Tujuan Pelayaran Yang Boleh Menqashar Dan Menjama‘
Sembahyang. Tidak semua permusafiran atau pelayaran diharuskan mengqashar
dan menjama‘ sembahyang. Tujuan permusafiran atau pelayaran
itu perlu juga dinilai untuk mendapatkan rukhshah menjama‘ dan
mengqashar sembahyang.

Pelayaran yang dibolehkan mengqashar dan menjama‘
sembahyang itu disyaratkan pelayaran yang mempunyai tujuan
yang diharuskan oleh syara‘seperti menunaikan fardhu haji, umrah,
urusan kerja, mengurus perniagaan, menziarahi sahabat handai dan
seumpamanya.

Manakala pelayaran kerana tujuan yang diharamkan seperti
bertujuan untuk melakukan jenayah, mengurus perniagaan haram,
ingin melakukan zina dan yang seumpamanya, tidak ada ruang
untuk mendapat rukhshah mengqashar atau menjama‘
sembahyangnya.

Menentukan Tempat Yang Dituju Untuk Membolehkan
Menqashar Dan Menjama‘ Sembahyang

Untuk membolehkan seseorang itu menqashar dan menjama‘
sembahyangnya, disyaratkan baginya menentukan tempat yang
hendak dituju. Oleh itu tidak harus bagi orang yang tidak tahu
ke mana hendak ditujunya atau seseorang yang berhenti di suatu
tempat yang tidak ditentukannya menqashar dan menjama‘
sembahyangnya.

Begitu juga halnya bagi orang yang mencari orang yang berhutang
atau mencari orang yang lari dan tidak diketahui di mana ia berada
dan dia ini tidak berkeinginan untuk membuat pelayaran yang jauh
(disebabkan mencari orang tersebut), maka dia tidak boleh
menqashar dan menjama‘ sembahyangnya dan wajib baginya
menunaikan sembahyang secara sempurna sekalipun perjalanannya
mencapai dua marhalah atau lebih. Walau bagaimanapun jika dia
mengetahui bahawa dia tidak akan menemui orang yang dicari
kecuali pada tempat yang jauh dari dua marhalah, maka
dibolehkan baginya menqashar dan menjama‘ sembahyang fardhu.

Tempoh Menetap Di Sesebuah Tempat Yang Dibenarkan
Untuk Menqashar Dan Menjama‘ Sembahyang

Adapun tempoh menetap pada satu-satu tempat di negeri yang
dituju, disyaratkan seorang musafir itu menetap tidak melebihi tiga
hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik) yang diharuskan
mengqashar dan menjama‘ sembahyang.

Jika seseorang itu sampai dan berniat untuk menetap atau
bermukim pada satu tempat selama empat hari atau lebih (tidak
termasuk hari sampai dan hari balik), maka putuslah safarnya
(pelayarannya) sebaik-baik saja tiba di tempat tersebut dan tidak
harus baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya.

Jika dia sampai pada tempat yang dituju kerana sesuatu urusan atau
tugas dan dia tidak mengetahui berapa lama urusannya itu akan
selesai di samping berniat akan meninggalkan tempat tersebut
sebaik-baik saja selesai hajat atau urusan yang ditunggutungguhnya
setiap hari itu, maka diharuskan baginya mengqashar
dan menjama‘ sembahyangnya dalam tempoh empat hari (tidak
termasuk hari sampai dan hari balik).
 Walau bagaimanapun jika
urusan atau tugas tersebut tidak selesai dalam tempoh empat hari
mengikut qaul al-azhar, maka harus baginya mengqashar dan
menjama‘ sembahyang fardhu sehingga lapan belas hari sahaja.
Jika dia sampai pada satu tempat dan dia mengetahui bahawa
urusan atau hajatnya tidak akan selesai melainkan selepas empat
hari (tidak termasuk hari sampai dan balik), maka tidak diharuskan
baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya.

Berdasarkan keterangan di atas, jelas bahawa tidak semua orang
yang hendak belayar itu dianggap sebagai musafir yang boleh
menqashar atau menjama‘ sembahyang fardhunya, kecuali setelah
memenuhi syarat-syarat qashar dan jama‘ seperti yang telah
ditentukan oleh syara‘.
brunet.bn

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP