Powered by Blogger.

Nov 16, 2009

Perlembagaan Persekutuan pertahan kedaulatan Islam

Tahukah Anda ?

Tindakan persenda peraturan gugat kebebasan beragama di Malaysia

MINGGU lalu, saya menulis mengenai sekumpulan pelajar bukan Islam di Betong, Sarawak yang mempermainkan laungan azan dan solat berjemaah di sebuah gereja. Perbuatan cemar itu masih belum diambil tindakan pihak berkuasa. Jelaslah di sini kedudukan Islam sebagai 'Agama Persekutuan' masih lagi retorik dan seolah-olah tidak mempunyai sebarang kelebihan.

Apatah lagi ramai yang tidak menghiraukan kedudukan istimewa ini dan menutup sebelah mata saja terhadap ketidakadilan yang dilakukan terhadap Islam. Sebenarnya, Islam sudah lama bertapak di Nusantara. Artifak lama menunjukkan kedatangan Islam seawal kurun ketiga Hijrah lagi. Fakta sejarah ini tidak dapat dinafikan lagi.

Ada bukti juga yang menunjukkan Islam datang lebih awal daripada pengaruh Buddha dan Hindu ke Nusantara. Mubaligh China Islam dari Canton, China umpamanya lebih dulu datang ke Nusantara mengembangkan syiar Islam khususnya di Kedah. Sinar keimanan ini terus berkembang pesat apabila kesultanan Melayu Melaka menerima Islam.

Apabila Kesultanan Melayu Melaka menerima Islam, maka rakyat jelata berduyun-duyun meninggalkan kegelapan batil dan bersyahadah. Undang-undang Islam sudah diamalkan sepenuhnya seperti yang wujud di dalam Kanun Melaka, Undang-Undang 99 Perak dan teks undang-undang lain. Undang-undang Islam sudah menjadi `lex loci` atau undang-undang utama negara ketika itu.

Hakikat ini diperakui sehingga Suruhanjaya Reid yang dibentuk Kerajaan British untuk merangka perlembagaan negara memasukkan kedudukan istimewa Islam ini. Hanya Islam satu-satunya agama yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tiada agama lain diungkap secara khusus di dalam Perlembagaan Persekutuan, melainkan hanya sebagai boleh diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni dalam negara saja. Ini adalah jaminan perlembagaan bahawa pengamalan agama lain oleh orang bukan Islam dibenarkan, tertakluk kepada Perkara 11(4) yang akan saya bincangkan selepas ini.

Ada pelbagai peruntukan lain yang memberi kelebihan kepada Islam sebagai agama Persekutuan, antaranya:

a) Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka kepada orang Islam;

b) Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Kerajaan Persekutuan diberi kuasa untuk mengurus dan menghulur bantuan kepada institusi Islam seperti masjid, sekolah agama dan juga bagi tujuan pembangunan syiar Islam;

c) Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan kerajaan negeri berkuasa membuat undang-undang bagi mentadbir urusan agama Islam;

d) Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan juga memberi pengiktirafan kepada mahkamah syariah untuk mendengar kes dan persoalan mengenai agama Islam dan mahkamah sivil tidak boleh campur tangan, membatalkan atau tidak menghiraukan keputusan mahkamah syariah.

Namun mutakhir ini, ada usaha begitu agresif dan berterusan sesetengah golongan yang seolah-olah cuba menggugat kedudukan Islam di negara ini sehingga menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat Islam.

Sebenarnya di dalam undang-undang, tidak ada kebebasan mutlak. Setiap kebebasan perlu dikawal dengan undang-undang bagi menjaga keharmonian masyarakat dan ketenteraman negara. Umpamanya, apabila seorang itu lulus ujian memandu dan membeli kereta serta membayar cukai jalan bagi kereta itu. Orang itu tidaklah bebas dalam erti kata sebenar untuk memandu keretanya ke mana saja yang disukainya dan mengikut cara atau kelajuan yang dia inginkan.

Pemandu itu masih 'disekat' kebebasannya dengan undang-undang dan peraturan lalu lintas seperti berhenti tatkala lampu isyarat berwarna merah, memandu pada had kelajuan dibenarkan dan tidak memandu bertentangan dengan arah lalu lintas.

Begitu juga seseorang yang pakar di dalam sesuatu bidang umpamanya bidang syariah. Orang itu masih perlu mendapatkan tauliah atau permit bagi menjadi peguam syariah atau untuk mengajar agama. Perbandingan yang boleh kita ambil ialah seorang pemandu profesional Formula Satu yang hebat masih lagi perlu mempunyai lesen memandu sekiranya beliau ingin memandu di jalan raya.

Ia bukan suatu penghinaan terhadap keilmuwan atau kepakarannya memandu tetapi adalah aspek pentadbiran yang perlu dikawal oleh pihak berkuasa dan bagi memastikan keharmonian sejagat. Begitu juga di dalam aspek kebebasan beragama dan kebebasan itu sudah tentu ada hadnya.

Walaupun Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan di dalam negara dalam aman dan harmoni. Secara jelasnya Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan kepada penganut setiap agama untuk mengamalkan agamanya dalam keadaan aman dan harmoni.

Namun kebebasan ini juga tidaklah mutlak. Perkara 11(4) mengehadkan penyebaran agama lain kepada orang Islam melalui enakmen bagi negeri dan akta bagi Wilayah Persekutuan. Inilah hakikat yang ada di dalam perlembagaan dan mesti diakui setiap rakyat Malaysia yang percaya kepada keagungan Perlembagaan Persekutuan seperti termaktub di dalam Perkara 4 perlembagaan.

Kita tidak boleh mengatakan Perkara 11(4) ini tidak berperlembagaan kerana Perkara 11(4) itu sendiri adalah sebahagian daripada perlembagaan.

Tujuan Perkara 11(4) Perlembagaan ini adalah jelas iaitu bagi mengiktiraf kedudukan istimewa Islam sebagai agama persekutuan dan satu-satunya agama yang disebut di dalam perlembagaan. Ia juga bagi mengelak kucar-kacir terutama di kalangan orang Melayu kerana Perkara 160 Perlembagaan memberi definisi orang Melayu sebagai seorang yang berketurunan Melayu, beragama Islam mengamalkan budaya dan bercakap Melayu.

Jika elemen agama ini hilang dalam diri Melayu, maka ia akan menjemput pelbagai masalah lain seperti keistimewaan orang Melayu, pemilikan tanah rizab Melayu dan sebagainya. Perkara 160 ini sudah sebati dalam jati diri bangsa Melayu di Malaysia walaupun orang Melayu pernah dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan juga Jepun.

Nenek moyang orang Melayu mempertahankan jati diri ini dan enggan mengubah agama mereka walaupun dijajah selama lebih 500 tahun. Dalam hal ini, orang Islam dan bukan Islam janganlah mengusik kedudukan Islam yang sudah diterima sekian lama segenap lapisan masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Penulis ialah peguam bela, peguam cara dan peguam syarie, boleh dihubungi melalui e-mel zainul.rijal@abubakar.my

Dari Sini....




0 comments:


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP