Powered by Blogger.

May 30, 2010

Dampingilah Puterimu Duhai Ayah!

Sebagai panduan & pedoman..menarik utk dibaca..

Cerita 1
Zaza (bukan nama sebenar) berumur akhir 20an, baru empat tahun mendirikan rumahtangga dan dikurniakan dua orang cahayamata. Beliau merupakan anak bongsu di mana bapanya sudah meninggal dunia sewaktu ibunya mengandungkannya. Beliau mengadu tentang perangai suaminya yang mula berubah ketika beliau di dalam pantang selepas melahirkan anak kedua. Mereka berkahwin suka sama suka setelah berkenalan sewaktu masih sama-sama menuntut di universiti. Zaza mengaku sering mencurigai suaminya walaupun beliau merasakan suaminya seorang yang baik, penyayang dan bertanggungjawab. Namun mereka agak sering bertengkar mengenai hal-hal yang melibatkan pengurusan rumahtangga dan penjagaan anak-anak. Zaza pernah terfikir untuk bercerai setelah suaminya mengaku curang namun membatalkan hasratnya apabila suami memohon maaf dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi. Zaza tetap sukar mempercayai suaminya malah sering membaca mesej di telefon bimbit suaminya dan memeriksa dompet mahupun poket seluar si suami untuk mencari bukti kecurangan si suami. Zaza sukar memaafkan suaminya. Zaza hidup dalam keresahan dan kebimbangan menanti saat-saat kecurangan suaminya sekali lagi.


Cerita 2


Mira (bukan nama sebenar), sudah berkahwin dan bekerja di ibukota. Hatinya hancur apabila suaminya membuka rahsia yang beliau ingin berkahwin seorang lagi. Rupa-rupanya si suami telah terlanjur dengan seorang gadis yang bekerja sepejabat dengannya sewaktu kedua-dua mereka ditugaskan ke luar kota. Dengan teresak-esak, Mira membuka cerita tentang perkahwinannya. Beliau mengakui kurang kemesraan dengan suami semenjak kebelakangan ini kerana kesibukan kerjaya masing-masing. Sementelah suaminya sering ditugaskan ke luar kawasan. Mira sangat sayangkan suaminya dan telahpun memberi keizinan untuk suaminya bernikah lagi walaupun hatinya sangat berat. Tambahan lagi, mereka sama-sama masih muda dan sedang membina karier. Mira tidak menyangka suaminya sanggup mengkhianati cinta mereka. Mira mula mengingati sikap bapanya sendiri yang berpoligami dan sering mengabaikan kasih sayang terhadapnya. Ibu Mira merupakan isteri pertama. Mira mengakui bapanya sering menyisihkan beliau dan adik beradik serta melebihkan keluarga isteri kedua. Anak-anak isteri kedua semuanya mempunyai basikal untuk ke sekolah sedangkan Mira terpaksa menumpang abangnya.


Cerita 3


Tati (bukan nama sebenar), merupakan anak bongsu dari lapan adik beradik. Dibesarkan dengan penuh kemewahan dan kemanjaan namun Tati tidak dibenarkan bergaul bebas dengan rakan-rakannya yang lain. Bapanya seorang yang sangat tegas. Beliau memberikan didikan agama dengan cara yang cukup ketat dan tegas serta mengawal segala pergerakan Tati sehingga beliau terasa dikongkong. Namun, sebagai anak yang taat, Tati tidak pernah membantah. Bapanya juga yang memutuskan bidang apa yang beliau patut ambil di peringkat pengajian ijazahnya. Setelah tamat ijazah, Tati mendapat pekerjaan di ibukota. Tati jatuh cinta dengan seorang lelaki yang rupa-rupanya telah berkahwin. Demi cinta dan pujuk rayu si lelaki, Tati telah menggadaikan maruah dirinya. Menurut Tati, lelaki itu bersungguh-sungguh ingin mengahwininya dan sedang memujuk isteri pertama untk membenarkannya. Sebagai bukti cintanya, lelaki tersebut menyewakan sebuah kondominium untuk Tati di kawasan yang agak terpencil agar mudah mereka bertemu. Tati mengaku masih menunaikan solat tetapi melayan teman lelakinya itu seperti suami. Malah jiran-jiran menganggap mereka pasangan suami isteri kerana kerapnya lelaki tersebut mengunjungi Tati di rumahnya. Tati datang ke klinik psikologi kerana mengidap kemurungan di atas komplikasi emosi lantaran hubungan luar nikahnya. Dia ingin bernikah dan menamatkan segala dosa-dosanya tetapi masih menaruh harapan teman lelakinya akan menunaikan janjinya walaupun telah empat tahun berlalu.
Apakah persamaan di antara ketiga-tiga wanita ini? Ketiga-tiganya adalah wanita yang menarik, masih muda dan bergaya, berpendidikan tinggi dan bekerjaya tetapi  menghadapi masalah di dalam hubungan mereka dengan lelaki. Mereka berjaya tetapi tidak bahagia. Mereka juga tidak mempunyai hubungan yang positif dengan bapa masing-masing. Mereka mengalami kesukaran menguruskan emosi lantas sering tersilap di dalam melakukan keputusan.
Zaza dilahirkan tanpa sempat mengecapi belaian kasih sayang seorang ayah. Mira pula melalui banyak episod duka dalam hubungan yang tidak mesra dengan ayahnya. Mira ingin sekali dibelai dan dikasihi oleh ayahnya sewaktu kecil namun setelah ayahnya berpoligami, ayah sangat jarang pulang ke rumah. Mira cuba berbaik dengan adik tirinya agar ayahnya mengasihinya namun si ayah tidak menyedarinya di samping sikap negatif ibu tirinya. Tati pula tidak pernah diberi peluang membuat keputusan. Dibesarkan dengan penuh kawalan, Tati tidak tahu apa ertinya berdikari. Menyebabkan dia tidak pandai membantah dan hanya menurut kata-kata orang yang dikasihinya. Tati yakin orang lain lebih tahu apa yang terbaik untuk dirinya.
Apakah peranan seorang bapa? Masyarakat sering menganggap seorang ibu sangat penting di dalam peringkat awal kehidupan seorang manusia. Ibulah yang membelai, mendidik dan membesarkan anak dengan penuh kasih sayang. Sebenarnya bapa juga berperanan besar di dalam mendidik anak-anak. Hubungan kasih sayang yang mesra di antara seorang bapa dan anak akan membentuk keyakinan diri, kepuasan emosi yang tinggi dan seterusnya membantu membina jati diri dan penghargaan kendiri seseorang.
Hubungan di antara seorang bapa dan anak perempuannya adalah satu hubungan yang sangat istimewa. Bapa berperanan memberikan gambaran bagaimana seseorang wanita akan menjalinkan hubungan dengan lelaki di waktu dewasanya kelak. Bapa yang sering tiada atau ketiadaan figur bapa akan mempengaruhi perkembangan emosi kanak-kanak perempuan. Dia akan merasakan bahawa lelaki memang tidak boleh digantung harap atau dipercayai. Oleh itu ketika dewasanya kelak, wanita ini akan mempunyai masalah di dalam hubungannya dengan lelaki. Di peringkat awal hubungan dia terlalu mempercayai lelaki bahkan sanggup menggadaikan maruahnya untuk meraih cinta si lelaki. Namun kemudian dia sukar mempercayai lelaki walaupun telah bersuami. Sikap bapanya yang sering tiada di waktu dia memerlukan akan menyebabkan wanita ini sering mencurigai suaminya. Sudah tentu sikap ini akan membosankan suami dan mungkinkah akhirnya suami akan betul-betul curang?
Kanak-kanak perempuan yang menikmati hubungan yang rapat, kemesraan, penghargaan, didikan dan kasih sayang yang wajar dari bapanya akan mempunyai pandangan yang positif di dalam hubungannya dengan lelaki. Kanak-kanak suka didengar. Oleh itu para bapa luangkanlah masa mendengar celoteh mereka, dengar pendapat mereka dan beri peluang mereka membuat pilihan. Apabila remaja atau dewasa, mereka akan menjadi wanita yang tahu menilai maruah diri. Dia tidak terburu-buru mendapatkan teman lelaki. Dia tidak terlalu mudah mempercayai lelaki dan akan menilai kejujuran dan kebaikan yang dilihat. Dia akan meletakkan nilai-nilai yang tinggi kepada lelaki yang mendampinginya. Dia hanya akan menyerahkan dirinya kepada lelaki yang sudah sah menjadi suaminya. Setelah berkahwin, dia akan mencintai suaminya sepenuh hati serta berfikiran positif bahawa setiap masalah yang dilalui di dalam perkahwinan akan dapat diatasi dengan persefahaman, kejujuran dan toleransi yang tinggi. Wanita ini juga mudah memaafkan sekiranya suami berbuat silap dan dapat menerimanya kembali tanpa menjejaskan maruah dirinya sendiri. Wanita ini mempunyai emosi yang berdikari (emotional independence) , boleh mempercayai orang lain secara wajar dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Dia boleh membuat keputusannya sendiri dan hanya akan melakukan keputusan yang menguntungkan dirinya tanpa merugikan pihak lain terutamanya keluarganya.


Oleh itu para bapa, kasih sayang, pujian, didikan, nasihat, teguran membina dan penghargaan yang engkau curahkan kepada anak perempuanmu merupakan hadiah terbaik yang boleh engkau berikan agar anakmu dapat mengharungi kehidupannya dengan penuh bermaruah, mempunyai keyakinan diri yang tinggi, sayang kepada dirinya sendiri serta mampu menyayangi orang lain.


Dari Anas bin Malik r.a., 'Telah berkata Rasulullah s.a.w: Siapa yang menanggung dua anak perempuan hingga mereka baligh, nescaya dia akan datang di Hari Kiamat, aku dan dia seperti ini – dikumpulkan semua jari jemarinya'. [Hadis Riwayat Muslim]


Dari Uqbah bin Amir Al Juhani katanya; 'Saya mendengar Rasulullah s.a.w. berkata: Siapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan, lalu dia sabar terhadap mereka, serta diberinya mereka makan minum dan pakaian dari hartanya, nescaya mereka akan menjadi pelindungnya dari api neraka'. [Hadis Riwayat Imam Ahmad]

Azlina Roszy Mohamad Ghaffar
Psikologis Klinikal

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP