Powered by Blogger.

Jul 23, 2010

Harta pusaka suami bukan hanya milik isteri

Waris simati berhak dapat pembahagian secara faraid

SANIAH (bukan nama sebenar) kehilangan tempat bergantung apabila suaminya Musa (bukan nama sebenar) meninggal dunia akibat serangan jantung. Sebelum kematian Musa, beliau hidup serba sederhana dan bagi menambah pendapatan keluarga, Saniah yang tinggal bersama ibu mentua mengambil upah membuat kuih. Kehidupan mereka bahagia walaupun masih belum dikurniakan zuriat setelah hampir 15 tahun mendirikan rumah tangga. Bagaimanapun, kematian suami tercinta mengubah sikap Saniah terhadap ibu mentua dan adik-beradik iparnya. Seminggu selepas Musa meninggal dunia, Saniah mengambil keputusan keluar dari rumah mentuanya dengan membawa semua barangan milik arwah termasuk kereta dan buku simpanan bank. Beliau menyewa rumah di daerah lain, tidak jauh dari rumah mentuanya.

Adik beradik iparnya hairan dengan tindakan Saniah berpindah ke rumah lain dan berusaha menasihatinya supaya terus tinggal dengan ibu mentua yang begitu menyayanginya. Saniah tetap dengan keputusan itu dan yakin dia mampu berdikari dengan harta pusaka peninggalan Musa.

Keluarga Musa memberitahu Saniah bahawa harta arwah perlu dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid dan menasihatinya mendapatkan khidmat pakar seperti AmanahRaya bagi tujuan itu. Namun, nasihat itu tidak dipedulikan Saniah yang menganggap harta peninggalan suaminya menjadi miliknya seorang.

Bagi mendapat kepastian prosedur pembahagian harta pusaka, abang simati, Isa (bukan nama sebenar) datang ke AmanahRaya. Beliau dimaklumkan mengenai cara pengagihan dibuat serta dokumen yang diperlukan bagi menguruskan pembahagian harta pusaka itu.

Isa kemudian ke rumah sewa Saniah untuk mendapatkan beberapa dokumen diperlukan seperti salinan kad pengenalan, sijil kematian suaminya, sijil nikah dan dokumen lain yang disimpan Saniah. Kunjungan Isa tidak disenangi Saniah yang mahu menguruskan sendiri harta pusaka milik arwah suaminya.

Selepas kunjungan iparnya itu, Saniah ke bank untuk mengeluarkan wang simpanan milik arwah berjumlah kira-kira RM20,000. Dia mengharapkan wang itu dapat digunakan untuk membayar tunggakan sewa rumah serta memperbaharui cukai jalan kereta arwah.

Harapan Saniah untuk mengeluarkan wang simpanan itu bagaimanapun tidak tercapai apabila pihak bank meminta Surat Kuasa Mentadbir. Pihak bank menyuruh Saniah ke AmanahRaya untuk memohon Surat Kuasa Mentadbir bagi membolehkan wang simpanan itu dikeluarkan.

Selepas mendengar penjelasan pegawai bank terbabit barulah Saniah sedar kehadiran abang iparnya, Isa, sebelum ini memang untuk membantunya menyelesaikan urusan harta pusaka peninggalan arwah suaminya.

Saniah bergegas ke pejabat AmanahRaya dan memaklumkan bahawa arwah suaminya tidak meninggalkan waris lain kecuali dirinya. Pegawai itu memberitahu, Saniah perlu mendapatkan sijil faraid dan jika tiada waris lain, pihak Baitulmal berhak mendapat tiga perempat bahagian daripada pusaka simati.

Saniah pula akan dapat satu perempat bahagian. Saniah jadi serba salah setelah mendengar penjelasan itu kerana sebelum ini dia yakin jika dia mengaku sebagai waris tunggal, kesemua harta pusaka arwah menjadi miliknya.

Setelah menyedari kesilapan itu, Saniah mengubah kenyataannya dan memberitahu simati mempunyai ibu, seorang abang dan seorang kakak seibu sebapa.

Atas permintaan Saniah, pegawai AmanahRaya membuat perkiraan dan memaklumkan ibu simati berhak mendapat 6/36 bahagian, saudara lelaki kandung (14/36), saudara perempuan kandung (7/36) sementara Saniah sebagai balu mendapat 9/36 bahagian.

Bagi membolehkan AmanahRaya menguruskan pembahagian harta pusaka simati, Saniah dinasihatkan mengisi borang permohonan dan menyertakan salinan kad pengenalan waris, sijil nikah, sijil kematian suaminya serta dokumen lain berkaitan harta pusaka arwah seperti buku simpanan bank dan kad pendaftaran kereta.

Pegawai AmanahRaya juga mencadangkan Saniah berbincang dengan waris yang ada mengenai cara pembahagian harta pusaka. Beliau diberitahu pembahagian wang simpanan di bank boleh dibahagikan mengikut kiraan faraid sementara kereta boleh dipindah milik kepada Saniah jika semua waris bersetuju.

Seminggu selepas pertemuan dengan pegawai AmanahRaya, Saniah datang semula bersama waris simati iaitu mentua dan iparnya. Saniah dengan nada terharu memaklumkan, setelah berbincang dengan semua waris, mereka bersetuju menyerahkan semua harta pusaka milik arwah suaminya kepada beliau.

Dengan persetujuan itu, kereta dan wang simpanan arwah diserahkan kepada Saniah. Melalui Surat Kuasa Mentadbir, Saniah mengeluarkan wang simpanan bank.

Hubungan kekeluargaan antara Saniah dan keluarga arwah suaminya kembali pulih. Saniah menghadiahkan sebahagian wang peninggalan arwah suami kepada ibu mentuanya. Selebihnya digunakan untuk membuka perniagaan dan memulakan hidup baru dengan tekad menjaga ibu mentuanya seperti ibu sendiri.

FAKTA: Fakta Kes

Pemilik Harta: Musa (suami/simati)
Pemohon: Saniah (balu simati)
Bidang kuasa: Seksyen 17 (1), Akta Perbadanan Amanah Raya 1995
Harta pusaka: Sebuah kereta dan wang simpanan di bank tempatan
Hutang: Tiada
Waris dan pembahagian faraid:
- balu - 9/36
- ibu - 6/36
- saudara lelaki - 14/36
- saudara perempuan - 7/36

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP