Powered by Blogger.

Mar 20, 2012

Jawapan Hilal Asyraf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Assalamu’alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barokatuh.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, diizinkan saya mengarang
warkah ini. Semoga Allah SWT memandu kita semua ke arah kebenaran, dan
sentiasa meletakkan kita agar sentiasa lurus berada di atas jalanNya.

Ini adalah warkah jawapan saya kepada Tun Dr Mahathir yang menyuakan
beberapa soalan kepada saya di dalam blognya pada link berikut:
http://chedet.cc/blog/?p=718

Sukalah saya mendahulukan terima kasih saya, sebagai seorang rakyat
biasa, kerana Tun Dr Mahathir sudi memberikan respon kepada nota saya.
Yang nyatanya saya sangka, tidak sampai kepada Tun. Hal ini kerana
ramai lagi orang lain memberikan respon kepada ucapan Tun berkenaan
Hudud tersebut. Apa-apa hal pun, saya berbesar hati atas keterbukaan
Tun ini, dengan izin Allah SWT.

Saya Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak bin Kaprawi. Tahun ini
berumur 23 tahun mengikut tahun masihi. Ya benar, saya taraf cucunda
Tun, yang nyata usianya sudah menjengah 90 tahun dalam tahun hijrah.
Saya merupakan pelajar tahun akhir di Universiy of Yarmouk, Jordan
dalam pengkhususan Usuluddin. Jika tiada aral melintang, saya akan
menamatkan pengajian saya di semester ini. Saya juga, mengasaskan
website ini(LangitIlahi.Com), dan menulis beberapa buah buku.

Tun Dr Mahathir yang dikasihi kerana Allah,

Maafkan saya atas intro yang panjang. Kini saya pergi menjawab
soalan-soalan yang dilontarkan oleh Tun di dalam blog Tun. Namun suka
saya meminta maaf, jika saya tidak mampu menjawab seringkas yang
dipinta. Tetapi saya berusaha keras untuk meringkaskan penulisan saya.


Soalan 1 –  Punca ajaran agama Islam ialah Al-Quran, Hadith, fatwa,

ajaran ulama’-ulama’ dan guru-guru agama. Diantara punca-punca ini
yang mana satukah yang diutamakan?

Izinkan saya memperbaiki statement – “punca ajaran agama Islam ialah
Al-Quran, Hadith, Fatwa, ajaran ulama’-ulama’ dan guru-guru agama.”

Sebenarnya, ‘punca’ ajaran agama Islam adalah Al-Quran dan Hadith
sahaja. Selebihnya, seperti fatwa, ajaran ulama’ atau guru-guru, itu
adalah perkara yang terbit dari kefahaman mereka terhadap Al-Quran dan
Hadith.

Bila ditanyakan yang mana satukah yang patut diutamakan, maka saya jawab:

Al-Quran dan Hadith. Kedua-duanya diutamakan, pada taraf yang sama.
Kerana kewujudan Hadith, yakni sunnah nabawiyah, adalah sebagai
‘penjelasan’ kepada ayat-ayat Al-Quran. Kerana itu Allah SWT
berfirman:

“(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang
jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci
(yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai
Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan
kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan
supaya mereka memikirkannya. (Setelah diterangkan yang demikian) maka
adakah orang-orang yang merancang dan melakukan kejahatan-kejahatan
itu merasa aman daripada ditimbuskan oleh Allah akan mereka ke dalam
bumi, atau mereka didatangi azab dari arah yang mereka tidak
menyedarinya?” Surah An-Nahl ayat 44-45.

Begitulah juga dinyatakan di dalam Surah An-Najm ayat 2-4. Surah
Al-Hasyr ayat 7.

Dan berkenaan Al-Quran, nyata Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul
(ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang
yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh
pahala yang besar. Dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada
hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi
sakitnya.” Surah Al-isra’ ayat 9-10.

Juga wujud penegasan ini dalam banyak tempat yang lain di dalam
Al-Quran, contohnya di dalam Surah Al-Baqarah ayat 1-2, An-Nisa’ ayat
174-175, Surah Al-Maidah ayat 15-16 dan lain-lain.

Tun Dr Mahathir yang saya harapkan berada dalam rahmat Allah,

Soalan 2 –  Sekiranya terdapat perlanggaran atau percanggahan antara
hadith, fatwa, pendapat ulama’ dan guru-guru agama dengan apa yang
terdapat dalam Al-Quran, apakah kita harus tolak Al-Quran (terutama
ayat-ayat yang jelas) dan terima hadith, fatwa dan lain-lain?

Berkenaan soalan ini, pertamanya izinkan saya jelaskan berkenaan
percanggahan hadith dengan Al-Quran. Sesungguhnya Tun yang saya
kasihi, apabila Allah SWT telah berfirman di dalam ayat-ayatNya di
atas berkenaan Rasulullah SAW itu tindakannya adalah wahyu, maka
tiadalah hadith yang sohih, bercanggahan dengan ayat-ayat Al-Quran.

Sekiranya kita menjumpai ta’arudh(perlanggaran, percanggahan) ini, di
antara hadith sohih dengan ayat Al-Quran, maka hendaklah kita kaji
semula apakah sebabnya. Dan biasanya, percanggahan itu bukanlah
percanggahan. Tetapi antaranya disebabkan:

 Silap dalam periwayatan hadith
Ayat Al-Quran itu sudah di’nasakh’(mansuh)kan hukumnya, tetapi tidak
di’nasakh’(mansuh)kan bacaannya.
Atau Rasulullah SAW melakukan/membenarkan/melarang perkara tersebut,
sebelum ayat Al-Quran turun melarang/membenarkan.

Begitu.

Jadi bila ditanya kepada saya, mana yang patut diutamakan, maka saya akan jawab:

Al-Quran dan hadith. Bersama-sama.

Kalau berlaku pencanggahan antara Al-Quran dan hadith, maka nyatakan
hadithnya, dan nyatakan ayat Al-Quran yang mana, kemudian kita periksa
mengikut ilmu asbabul nuzul(sebab-sebab turunnya ayat Al-Quran), dan
periwayatan hadith.

 Tun Dr Mahathir yang dikasihi kerana Allah,

Soalan 3 – Ada pihak yang mendakwa bahawa Al-Bukhari telah mengkaji
sebanyak 600,000 hadith tetapi menerima hanya 7000 sebagai sahih.

Benar. Dan perlu diketahui bahawa Imam Al-Bukhari(Abu ‘Abdullah
Muhammad bin Isma’il Al-Bukhariy) menamakan Kitab Sohih Bukhari itu
dengan “Jami’ Musnad As-Sohih Al-Mukhtasar Min Umur Rasulillah SAW”.
Al-Mukhtasar ini bermaksud “ringkasan”. Imam Al-Bukhari memasukkan
sekitar 7,000 hadith ini ke dalam kitab tersebut kerana 7,000 hadith
ini mencukupi pada pendapatnya, untuk manusia memahami bagaimana mahu
berurusan dengan Islam sebagai cara hidup.

Dan Imam Al-Bukhari sendiri menyatakan: “Aku keluarkan untuk
(isi)kitab ini daripada 600,000 hadith, dan aku jadikannya sebagai
hujjah antara aku dan Allah SWT.”

Berkata Ibrahim ibn Mu’qol: “Aku mendengar Muhammad bin Ismail
berkata: Tiadalah aku masukkan ke dalam kitabku As-Sohih ini melainkan
yang sohih. Dan aku tinggalkan(tidak masukkan) banyak hadith sohih
yang lain agar tidak menjadi panjang(kitab itu tidak menjadi terlalu
tebal)”

Berkata Imam Al-Bukhari: “Tiadalah aku keluarkan(yakni meriwayatkan)
di dalam kitab ini melainkan yang sohih, dan apa yang aku tinggalkan
dari hadith sohih yang lain ada banyak.”

Kerana itu apabila Imam Al-Bukhari menamakan kitabnya “As-Sohih
Al-Mukhtasar Min Umur Rasulillah SAW”, maka itu menjadi dalil bahawa
dia berpendapat hadith-hadith tersebut sudah cukup bagi manusia
mengamalkan dan memahami Islam yang sebenar. Tetapi tidaklah dia
menutup peluang orang lain untuk meriwayatkan hadith sohih yang lain.

Ini saya dapati dari Kitab Al-Wadhih Fi Manahij Al-Muhaddithin
karangan Dr Yaasir Asy-Syimaali.

 Tun Dr Mahathir yang saya kasihi kerana Allah,

Soalan 4 - Apakah kesahihan hadith-hadith ini semuanya sama dengan
sahih pengkaji hadith lain termasuk Muslim, Tarmizi dan lain-lain.
Apakah kita harus tolak kajian-kajian lain dari Bukhari?

Kalau yang Tun maksudkan di sini adalah ‘sama taraf kesohihan’nya,
maka itu bergantung kepada Al-Jarah Wa Ta’dil terhadap hadith
tersebut. Menggunakan teknik Jarah Wa Ta’dil ini, maka periwayatan
akan dikaji semula untuk melihat kesohihannya. Baik sohih dari segi
sanad perawi, mahupun sohih dari segi matan(sebutan hadith) itu.

Tetapi kalau Tun mahu tanya fasal ‘Syarat Sohih Hadith’ yang dikenakan
oleh perawi-perawi ini sebelum memasukkan ke dalam kitab mereka, maka
telah diakui zaman berzaman bahawa syarat yang dikenakan oleh Imam
Bukhari dan Imam Muslim adalah paling ketat sekali.

Imam Bukhari mengenakan syarat-syarat berikut:

1. Memenuhi Syarat hadith Sohih yang disepakati Ulama’
*Sanadnya bersambung.
*Perawinya adil(soleh, bertaqwa, dipercayai)
*Perawinya dobit(tidak nyanyuk, tidak lupa)
*Tidak ada syaz(hadith yang diriwayatkan tidak bertentangan)
*Tidak terdapat ‘illlah(yakni kecacatan/kesamaran yang menyebabkan
hadith itu tidak diterima)

2. Subbut Al-Liqa’ (terbukti perawi itu telah bertemu dengan perawi sebelumnya)

3. Melihat tahap penguasaan murid di sisi syaikhnya(apakah murid yang
bagus penguasaannya, atau tidak)

4. Hendaklah perawi itu masyhur sebagai yang tekun menuntut ilmu
hadith.(maksudnya, perawi itu memang dikenali sebagai yang rajin
menuntut hadith)

Manakala imam-imam yang lain, ada yang membenarkan hadith dho’if wujud
di dalam kitabnya. Ini bukanlah hendak menyatakan Imam-imam tersebut
kurang mulia atau kurang hebat daripada Imam Al-Bukhari dan Imam
Muslim. Tetapi hendak menyatakan, tujuan penulisan kitab mereka adalah
berbeza. Dan perlu diketahui bahawa ulama’-ulama’ yang memasukkan
hadith-hadith sedemikian, mereka memasukkannya dengan amanah. Yakni
menyatakan para perawinya agar boleh diperiksa orang terkemudian
selepas mereka.

Dan untuk isu mana yang lebih patut diambil sebagai rujukan, setakat
ini sememangnya ulama’-ulama’ telah menjadikan Imam Al-Bukhari dan
Imam Muslim sebagai rujukan utama. Biasa akan dikatakan – “Perawi ini
melepasi syarat asy-syaikhain”. Itu bermakna, perawi itu melepasi
syarat yang dikenakan Bukhari dan Muslim.

Namun untuk mengambil hadith-hadith daripada Imam lain, tiada masalah
selagi mana ianya memenuhi syarat hadith sohih.

Perkara ini Tun, dibahaskan dengan amat-amat detail dalam ilmu Jarah
Wa Ta’dil(kritikan dan pujian) terhadap hadith-hadith, di dalam Kitab
Ar-Rijal(kitab yang menceritakan perihal perawi-perawi, sejarah
mereka, kedudukan mereka dalam dunia periwayatan hadith) dan
sebagainya.

Tun Dr Mahathir yang saya kasihi kerana Allah,

Soalan 5 – Apakah ingatan manusia lebih tepat dan kekal dari catitan,
seperti wahyu dari Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. dicatit,
kemudian dibukukan sebagai Al-Quran.

“Lebih tepat” itu pada saya sangat subjektif. Sebab, tidak semestinya
apa yang dicatit itu betul. Dan tak semestinya juga yang diingati itu
lebih tepat dari apa yang tercatat.

Sebab itu Tun, dalam isu pengumpulan, pembukuan Al-Quran dan Hadith,
adalah amat-amat-amat ketat saringannya.

Bukan semata-mata dia hafal, dia sebut, maka terus dimasukkan ke dalam
catitan. Terus dibukukan. Bahkan, jika kita menelaah kitab-kitab
Manahij Al-Muhaddithin(Sistem Para Perawi Hadith), kita akan menjumpai
perkara seperti jarah wa ta’dil yang menilai sanad dan matan hadith,
kitab Ar-Rijal yang menilai perawi-perawi hadith, syarat hadith sohih,
 dan sebagainya, yang jelas menunjukkan ini semua disaring penuh ketat
dan teliti.

Kalau Tun nak kata ingatan manusia boleh terganggu dengan ‘lupa’ dan
sebagainya, saya akan kata, sebab itu wujud sistem Jarah Wa Ta’dil,
Kitab Ar-Rijal, Syarat-syarat hadith sohih, dan sebagainya, untuk
memastikan apa yang disampaikan itu terjaga.

Sebentar lagi saya akan nyatakan bahawa hadith juga dicatit. Ada juga
yang dihafal. Sama seperti Al-Quran. Ada yang tercatat di pelepah
kurma, batu dan sebagainya. Ada juga yang tidak ditulis, tetapi
dihafal. Namun sistem pengumpulan yang amat ketat itulah yang menjaga
dari apa yang tidak sohih itu terlepas.

Tun Dr Mahathir yang saya kasihi kerana Allah SWT,

Soalan 6 – Bukhari membuat kajian hadithnya 200 tahun selepas wafat
Nabi. Apakah orang pertama yang melihat atau mendengar Nabi bersabda
mencatat apa yang dilihat dan didengar dan catitan ini disimpan
sehingga Bukhari mengkajinya? Atau apakah Bukhari bergantung kepada
riwayat yang diperturunkan melalui beberapa generasi sehingga sampai
kepada Al-Bukhari?

Sebenarnya Tun, hadith itu ditulis dari zaman Rasulullah SAW lagi.
Bukan semata-mata hafalan dan ingatan. Di zaman Rasulullah SAW, antara
yang dikhaskan oleh Rasulullah SAW untuk menjadi pencatit hadith
baginda adalah: ‘Abdullah ibn ‘Amru Radhiallahu’anhuma.

Dinamakan penulisan Hadith ‘Abdullah ibn ‘Amru ini sebagai Sohifah As-Soodiqoh.

Antara lain yang wujud adalah Sohifah ‘Ali bin Abi Talib Radhiallahu’anhu.

Dan wujud di dalam Sohih Bukhari dalam Kitabul ‘Ilm bahawa Rasulullah
SAW pernah menyuruh agar ditulis pesanan dan ajaran baginda kepada
seorang yang berasal dari Yaman.

Dan amat masyhur kita mengetahui bahawa baginda mempunyai penulis
surat, dan dihantar surat itu kepada raja-raja di zaman baginda. Ini
dinyatakan di dalam Kitab Jaami’ Bayan Al-‘Ilm karangan Ibn Abdul
Barr.

Jadi jelas di zaman Rasulullah SAW, hadith-hadith baginda ditulis.
Tanpa dinafikan, ada juga yang dihafal.

Kita mendalami ilmu hadith ini dengan memahami bahawa Al-Quran adalah
wahyu daripada Allah SWT makna dan lafaz. Manakala hadith adalah
maknanya daripada Allah, sedang lafaznya adalah lafaz Rasulullah SAW.
Maka, ada sahaja yang meriwayatkannya berdasarkan makna sahaja. Itu
pun, semua ini melalui jarah wa ta’dil yang kita nyatakan tadi.

Di zaman Sohabah(para sahabat) pula, wujud tulisan Zaid ibn Thabit RA
yang mengumpulkan hadith-hadith berkenaan Fara’idh. Khotib
Al-Baghdadi(Abu Bakr Ahmad ibn `Ali ibn Thabit ibn Ahmad ibn Mahdi)
juga pernah meriwayatkan daripada Basyir ibn Nuhaik bahawa Basyir
berkata: “Aku menulis untuk Abu Hurairah setiap hadith yang aku
pelajari daripadanya. Kala aku hendak berpisah dengannya, maka aku
membacakan apa yang aku tulis. Kemudian aku nyatakan bahawa ini semua
adalah hadith yang aku ambil daripadanya. Abu Hurairah menjawab: Ya.”
Khotib Al-Baghdadi, dalam kitabnya, Taqyid Al-Ilm.

Terdapat juga sohifah Jabir ibn Abdullah. Dan para sahabat yang hidup
jelas memperturunkan hadith-hadith yang didapati daripada Rasulullah
SAW kepada masyarakat di mana mereka hidup.

Dan ini semua tidak mati di situ sahaja. Di Zaman Tabi’in, wujud juga
penulisan Hadith, bahkan jadi lebih meluas lagi kerana telah
terbukanya banyak wilayah di tangan Islam. Ketika zaman inilah,
Khalifah Abdul Aziz ibn Marwan(meninggal pada tahun 85H) mula menyeru
agar dikumpulkan hadith secara rasmi. Kemudian usaha ini juga
diteruskan oleh Khalifan Umar bin Abdul Aziz di zamannya.

Perkara ini dijelaskan secara detail di dalam kitab-kitab Manahij
Al-Muhaddithin. Ini bukanlah maklumat yang boleh kita biarkan begitu
sahaja, atau memandangnya dengan sebelah mata semata-mata.

Kemudian, apabila ingin membicarakan perihal Imam Al-Bukhari,
bagaimana dia menuntut hadith, dia nyata adalah seorang yang
mengembara. 16 tahun dia keluar mengembara bertemu dengan
perawi-perawi untuk mengumpulkan hadith-hadith, dalam rangka
mengumpulkan yang sohih. Dia bukannya duduk diam di dalam perpustakaan
semata-mata, atau menunggu seseorang datang kepadanya menyampaikan
buatnya hadith.

Dan sekali lagi saya nyatakan, Imam Al-Bukhari bukannya sekadar
dengar, dan terus catit masukkan ke dalam Kitabnya. Dia menyaringnya
pula. Ada pula hadith-hadith yang lebih kurang sama, diletakkan
sebagai bukti bahawa makna yang dibawa oleh hadith-hadith itu sohih,
saling sokong menyokong satu sama lain.

Bahkan, untuk tambah meyakinkan lagi, Imam Al-Bukhari telah memanggil
para ulama’ di zamannya untuk menilai Kitab Jami’ Musnad As-Sohih
miliknya itu. Antara ulama’ yang menilai adalah ‘Ali ibn Al-Madini,
Ahmad ibn Hanbal, Yahya Ibn Mu’in dan lain-lain. Mereka
memperkemaskannya lagi dan menjadi saksi bahawa apa yang dikumpulkan
itu adalah sohih.

Dan bukanlah Imam Al-Bukhari itu terus mati selepas menyelesaikan
kitabnya. Dia masih hidup. Didatangi para ulama’, dan keluar ke negeri
demi negeri membawa kitabnya. Sekiranya wujud kesalahan dan kecacatan,
semestinya kitabnya telah tertolak lebih awal kala kehidupannya.

Tun Dr Mahathir yang saya kasihi,

Soalan 7 – Tuhan menjadikan manusia berbeza dengan haiwan kerana
manusia diberi akal fikiran. Apakah agama Islam melarang manusia dari
mengguna akal dan berfikir?


Guru saya di dalam bidang Aqidah, bernama ‘Ala Hilat, pernah berkata
bahawa Allah SWT menyediakan ayat musytabihat di dalam Al-Quran,
sebagai tanda penghormatan Allah SWT kepada akal yang diciptakanNya
buat manusia. Ayat musytabihat adalah ruang yang diberikan Allah SWT
agar manusia berfikir, menjana pemikirannya sendiri.

Tetapi adalah perlu kita fahami bahawa, tiadalah pemikiran akan timbul
sendiri tanpa bantuan. Dan tiadalah pemikiran akan menghala kepada
arah yang betul sekiranya tidak mendapat panduan.

Kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat-ayat Muhkamat. Yang qat’ie,
jelas tidak boleh diubah dan diperbahaskan perlaksanaannya. Hal ini
boleh dirujuk dalam Surah Ali Imran ayat 7.

Allah SWT juga beberapa kali menyebut ayat Al-Quran seperti:

“Apakah mereka tidak mendalami/memikirkan Al-Quran?” Surah Muhammad
ayat 24.  “Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang
yang berfikir.” Surah Rum ayat 21.

Maka tidaklah Islam melarang kita menggunakan akal kita. Tetapi
perlulah kita letakkan akal kita atas landasan sebagaimana yang telah
ditetapkan oleh Allah SWT di dalam kitabNya, sebagaimana yang telah
ditunjukkan oleh Rasulullah SAW daripada hadith yang sohih yang sampai
kepada kita.

Jika Islam melarang kita menggunakan akal, maka tiadalah ulama’-ulama’
terdahulu terfikir untuk mengumpulkan Al-Quran dan mengumpulkan
hadith. Tiadalah cendekiawan Islam membuat penemuan-penemuan yang
menghidupkan ketamadunan dunia.

Tetapi perlulah pada kebebasan berfikir itu, wujud limitnya. Kerana
pemikiran manusia itu terbatas.

Sebagaimana limit yang diletakkan kepada kita, agar tidak membicarakan
akan dzat Allah SWT.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, dari Rasulullah
SAW, beliau bersabda: “Sesungguhnya syaitan mendatangi salah seorang
dari kamu, lalu berkata: Siapakah yang telah menciptakan ini ?
Siapakah yang telah menciptakan itu ? Hingga syaitan berkata
kepadanya: Siapakah yang menciptakan Rabbmu? Jika sudah sampai
demikian, maka hendaklah ia berlindung kepada Allah dengan mengucapkan
isti’adzah dan berhenti.” Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Kerana jelas, makhluk jika mampu memikirkan bagaimana ‘bentuk’
Tuhannya, adalah satu kecacatan kepada Maha Besarnya Tuhan itu.
Tidakkah Tun rasa demikian? Ini salah satu bentuk keterbatasan akal
manusia. Tidak mampu menjengah kepada perkara-perkara ghaib. Maka
Al-Quran dan hadith memandu. Islam benarkan kita terbang seperti
layang-layang, tetapi mestilah bertali agar tidak jadi layang-layang
yang lepas pergi begitu sahaja, Tun.

Maka begitulah saya melihat Islam mendidik kita berfikir, Tun.

Penutup: Inilah jawapan Saya, Tun Dr Mahathir, yang saya kasihi kerana
Allah SWT.

Tun Dr Mahathir yang saya kasihi.

Pada hemat saya Tun, kalau saya diizinkan memberikan buah pandangan,
saya kira lebih afdhol dari Tun memfokuskan soalan ini kepada saya,
dan membukanya agar diperbincangkan ulama’ luar dan dalam negara. Saya
cadangkan Tun menulis soalan-soalan ini di dalam bahasa Inggeris.
Pastinya akan mendapat sambutan dan perhatian ulama’ international.
Jika Tun mahu tahu, nama Tun masih disebut-sebut. Ada rakyat Jordan
yang menyangka bahawa Tun masih Perdana Menteri kami.

Saya ini, ini sahajalah yang saya mampu beri. Mahu kata pakar, tidak
sepakar mana. Saya pun tidak expect Tun akan tanya saya hal sebegini.
Sedang ulama’-ulama’ yang lebih pakar, pastinya mungkin ada yang mampu
memuaskan hati Tun.

 Apa-apa hal pun Tun, inilah jawapan saya. Saya yakin, do’if dan
kerdil, ditonton masyarakat Malaysia, kala berhadapan dengan Tun.
Nyata, saya hanya cucunda Tun yang berumur 23 tahun, belum lagi
menamatkan ijazahnya. Namun saya kekal dengan jawapan saya ini setakat
ini. Saya percaya dengan ilmu yang saya perolehi ini, sebagaimana yang
saya tulis.

Nota saya yang sebelum ini hanya berniat untuk menyatakan, bagaimana
kelirunya masyarakat dengan kata-kata Tun tempoh hari. Saya,
berdasarkan ilmu yang sedikit, yang ada pada saya ini, juga penjelasan
saya tadi, jelas bahawasanya Hukum Hudud bukan satu ‘rekaan’ ulama’
Fiqah. Ianya memang datang daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Bila Tun
bicara berkenaan ‘hukum yang keras’ tiada di dalam Al-Quran, saya
nyatakan adanya potong tangan di dalam Al-Quran. Berkenaan dengan
rejam, wujud di dalam hadith sohih, namun kedudukan rejam ini saya
menjumpai pelbagai pandangan. Sebat ada di dalam Al-Quran. Apa-apa hal
pun, Tun kemudiannya bicara berkenaan bagaimana ruginya kita jika amal
hudud, orang melayu Islam akan tak ada tangan dan sebagainya.

Tun minta tidak dicap sebagai anti-hadith, dan Tun jelas mengakui
betapa hadith diperlukan untuk menjelaskan bagaimana untuk bersolat.
Maka saya bawakan hadith sohih berkenaan potong tangan, yang jelas
tiada diskriminasi. Hatta anak kepada Nabi pun, jika mencuri dan
sampai hadnya, maka akan dikenakan hukumannya.

Dari Aisyah r.a., Orang Quraisy merasa tidak senang akan hukuman yang
dijatuhkan kepada seorang perempuan suku Makhzum mencuri. Mereka
berkata: “Siapakah yang boleh menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w.
supaya perempuan itu dibebaskan saja?” Kata mereka: “Siapakah yang
berani selain Usamah bin Zaid, kesayangan Rasulullah s.a.w.!” Usamah
lalu menyampaikannya kepada beliau. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Mengapa engkau memberikan pertolongan untuk membebaskan seseorang
dari had (hukum) Allah?” Kemudian beliau berdiri lalu berpidato,
sebagai berikut: “Orang-orang yang sebelum kamu dibinasakan, kerana
kalau orang yang terhormat (mulia) mencuri, mereka biarkan saja.
Tetapi kalau yang mencuri itu orang lemah, mereka jatuhi hukuman. Demi
Tuhan! Kalau sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, saya potong
juga tangannya!” Hadith Riwayat Bukhari.

Inilah penjelasan kepada ayat berkenaan potong tangan yang wujud di
dalam Al-Quran pada ayat 38 Surah Al-Maidah. Saya sudah nyatakan di
dalam nota saya, saya ‘tidak arif berkenaan bagaimana hudud itu perlu
dilaksanakan.’ Tetapi saya amat pasti bahawa, hudud bukan semata-mata
rekaan ulama’ fiqah.

Sekiranya orang menyatakan nota saya adalah satu bentuk salah faham
kepada bicara Tun, maka semestinya Tun perlu memberikan penjelasan.
Sebab apa yang saya nampak, kenyataan Tun tempoh hari mengundang salah
faham yang nyata besar. Kerana nyata, Tun diikuti ramai orang. Suara
saya, hanya pasir di tengah suara rakyat yang lain. Dan adalah menjadi
kegembiraan saya, apabila Tun memberikan respon. Walaupun saya kira,
respon Tun sepatutnya berbentuk umum, kerana ada lagi beberapa orang
menulis kritikan yang sama, bahkan ada yang lebih keras, kepada Tun.

Jadi, setakat ini sahajalah daripada saya. Terima kasih kerana sudi
menyantuni penulisan saya, membaca nota saya yang terdahulu. Sebarang
kesilapan, saya minta maaf. Sebarang kecacatan bahasa dalam penulisan
saya, mungkin ada yang dianggap kasar, maka saya minta maaf.

Di kesempatan ini, saya sampaikan salam dua sheikh saya, pakar ilmu
hadith daripada Yarmouk, bernama Dr Mehmed Thowalbeh dan Dr Sa’id
Bawa’anah. Mereka kata, jika Tun ingin bertanya lebih banyak, mereka
sedia membantu. Mereka juga mencadangkan sebuah buku untuk ditelaah
Tun, bertajuk: Manahij Al-Muhaddithin karangan Ali Qudhoh.

Jika Tun sudi, sampaikan salam saya kepada ‘nenda’ Tun Dr Siti Hasmah.
Dan doakan agar saya selamat melayari bahtera perkahwinan, tarikhnya
sekitar sebelum Ramadhan tahun ini.

Sekali lagi, terima kasih, dan minta maaf, daripada saya, Hilal
Asyraf, ‘cucunda’ Tun yang masih banyak perlu belajar lagi,
semestinya.

Semoga Allah redha, dan membuahkan dari penulisan ini manfaat. Bukan
sahaja untuk kita berdua, tetapi juga buat masyarakat.

Sekian.


~ seorang hamba,

HilalAsyraf

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP