Powered by Blogger.

Apr 9, 2012

GADIS SEMASA di Masjid Besi Putrajaya

Sudah lama saya tidak berpatisipasi di dalam program anjuran Nisa’.
Dulu ada sebuah program di Kompleks PKNS Shah Alam. Pernah juga di Masjid Shah Alam berdekatan. Ada sekali berforum di Hotel Quality. Nisa’ merupakan sebuah NGO yang aktif menganjurkan program-program yang berbentuk pemerkasaan ilmu di dalam komuniti wanita kita.

Alhamdulillah pagi tadi, saya berpeluang menyertai sebuah program anjuran Nisa’ Putrajaya.  Kuliah Dhuha kali ini diadakan di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi), Putrajaya. Tajuk yang diberikan adalah GADIS SEMASA.


Di celah-celah kesibukan tugas, saya mengambil peluang menyemak lembaran-lembaran buku berkaitan biografi tokoh-tokoh gadis atau wanita di kurun emas Islam. Kita ada senarai nama yang panjang, bermula daripada Khadijah bin Khuwailid, Aisyah bt. Abu Bakr, Fatimah al-Zahra’, Asma’ bt. Abu Bakr, Zunairah al-Rumiyyah, Ummu Salamah, Sumayyah dan ramai lagi sahabiyyat, radhiyallaahu ‘anhum ajma’een.

Membaca Sirah kehidupan mereka, saya tertanya-tanya bagaimanakah persepsi GADIS SEMASA semasa membacanya. Adakah sama seperti saya? Kita bukan hanya perlu membaca, tetapi kita kena tahu apa yang hendak dicari dalam bacaan itu. Sebab itu ada ribuan buku Sirah, setiap satunya signifikan kerana setiap satunya membantu kita mencari.

Apa yang GADIS SEMASA sepatutnya cari?
klik imej untuk besarkan paparan

Sesungguhnya di dalam sejarah, semasa dan masa depan kita, umat telah memiliki Khadijah, Aisyah, Fatimah dan Asma’ yang telah berdiri untuk zaman mereka.  Apa yang kita mahukan adalah GADIS SEMASA yang memiliki kualiti-kualiti Khadijah, Aisyah, Fatimah dan Asma’ untuk berdiri dalam bahasa kita, mendepani cabaran kita dan menjadi srikandi untuk zaman kita.  Kualiti mereka itu yang hendak dipetik dan dipeluk sebagai karakter bawaan semasa.

KHADIJAH
Khadijah radhiyallahu ‘anha memaparkan watak seorang wanita yang unik. Mengimani Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ketika baginda masih keseorangan dalam membawa risalahnya, Khadijah adalah contoh wanita terpuji yang berkerjaya, dinamik, beranak pinak dan berhasil pada mendidik anak-anaknya, cerdas pandangan, berani menongkah arus dan semuanya dilakukan dengan penuh keseimbangan di dalam persekitaran rosak yang penuh tekanan.

AISYAH
Aisyah radhiyallahu ‘anha pula kelihatan sebagai seorang wanita yang ‘hidup’, penuh ‘emosi’ dan intelektual yang tinggi, menjadi ‘pencabar’ peribadi kepada pengendalian hidup oleh suami yang mulia, menjadikan Sirah Baginda tidak akan berwarna warni untuk menjadi uswah hasanah kita, tanpa seorang isteri, anak murid, teman karib, penghibur dan sesekali ‘perunsing’ seorang manusia mulia yang amat manusiawi bernama Muhammad bin Abdullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

FATIMAH
Fatimah al-Zahra’, anak perempuan kesayangan Rasulullaah sallaallaahu ‘alayhi wa sallam, seorang insan yang amat hampir dengan baginda. Anak seorang VIP yang dipandang mulia, baik dari sudut pandang siapa ayahnya, mahu pun bonda. Namun Fatimah membesar dengan watak wanita berpengaruh. Bijaksana, tegas, tahu apa yang dimahukannya, dan tidak pernah menjadi mangsa status diri. Beliau bukan anak VIP yang ‘spoilt’!  Dia penghulu wanita di Syurga.

klik imej untuk paparan lebih besar

Semasa berbicara tentang perkakas-perkakas benteng diri semasa, timbul sebuah persoalan.
Antara anak gadis yang suka bertanya, sesekali melawan kata, adakalanya lebih menenangkan kita berbanding dengan anak gadis yang pendiam, dengar, taat dan patuh namun pemikirannya tidak pernah kedengaran, tahap cengkaman kepercayaan tidak sampai ke pengetahuan. Biar pun anak gadis yang ‘baik’ itu mendengar kata, tetapi kata-kata mereka juga perlu diperdengar dan didengar. Adakah GADIS SEMASA mempunyai karakter itu?

Lebih menjadi keutamaan, adakah karakter diri mereka kuat?

ERA DAJJAL
GADIS SEMASA adalah gadis yang hidup di era fitnah Dajjal.

Justeru, zaman memerlukan bukan wanita lemah lembut sopan longlai yang  ’jinak’.
Kita memerlukan GADIS SEMASA yang pemikirannya tajam. Namun tajamnya tidak sampai meluka!
Kita memerlukan GADIS SEMASA yang pendiriannya teguh. Tetapi keyakinan dan teguhnya dia tidak sampai jadi taassub.

Kita memerlukan GADIS SEMASA yang pembawaannya degil. Tetapi degilnya tidak sampai tidak boleh diajar.

Jati dirinya tepat dengan pertimbangan semasa, di atas neraca Al-Quran, al-Sunnah, serta Fitrah kemanusiaan yang diperkasa.

klikimej untuk paparan lebih besar


Semoga perkongsian ringkas Dhuha itu bermanfaat buat semua, ameen.
Kepada Nisa’, teruskan perjuangan. Jangan lelah.

Tajuk Kuliah Dhuha pagi tadi adalah integriti dan kompetensi kalian.
SUMBER  ABU SAIF @ www.saifulislam.com
 

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP