Powered by Blogger.

Sep 18, 2012

Tiga cara mengerjakan ibadat haji


Ibadat haji dilakukan dalam tiga kaedah, sama ada haji tamatuk, ifrad atau qiran. Bagi kebanyakan jemaah haji yang tiba lebih awal termasuk dari Malaysia, mereka biasanya mengerjakan haji tamatuk. 

Haji tamatuk 
Mengerjakan haji tamatuk ialah mengerjakan umrah terlebih dulu dalam bulan haji sebelum mengerjakan haji. Mereka berihram umrah dan haji (dua kali) secara berasingan. 

Mula-mula berniat ihram umrah di miqat yang ditetapkan dalam perjalanan ke Makkah. Selesai mengerjakan umrah mereka bertahallul. 

Apabila tiba tarikh mengerjakan haji iaitu dimulai dengan wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, mereka berihram sekali lagi iaitu ihram haji dari tempat tinggalnya di Makkah. Seterusnya ditunaikan ibadat haji hingga selesai. Kaedah tamatuk dikatakan lebih afdal daripada haji qiran. 

Mereka yang mengerjakan haji tamatuk dikenakan dam iaitu menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu, wajib berpuasa sepuluh hari, iaitu tiga hari dalam masa haji di Makkah dan tujuh hari lagi selepas pulang ke kampung. 

Sebab dikenakan dam atau denda kerana mereka membebaskan diri dari ihram dan larangan apabila masuk ke Makkah hingga tiba waktu berangkat ke Arafah. 

Haji ifrad 
Haji ifrad ialah mendahulukan ibadat haji daripada umrah dengan niat ihramnya berasingan. Inilah pekerjaan haji yang paling afdal daripada kaedah tamatuk dan qiran serta tidak dikenakan dam. Biasanya ia dikerjakan jemaah haji yang lewat tiba di Makkah iaitu beberapa hari sebelum wukuf pada 9 Zulhijjah. 

Anda berniat ihram mengerjakan haji di miqatnya iaitu di tempat yang ditentukan dalam perjalanan dari tanah air menuju ke Makkah. Apabila tiba di Makkah hendaklah menyempurnakan tawaf qudum (tawaf sunat) dan saei (rukun haji). 

Selepas itu ke Arafah untuk wukuf pada 9 Zulhijjah dan mengerjakan lain-lain tugas haji kecuali saei kerana memadai dengan saei yang dikerjakan selepas tawaf qudum ketika baru tiba di Makkah. 

Selepas selesai mengerjakan ibadat haji termasuk bertahallul, ia keluar ke tanah haram seperti Ji'ranah atau Tana'im, lalu berniat ihram mengerjakan umrah pula. Seterusnya menyempurnakan rukun umrahnya iaitu tawaf, sa'ei dan bercukur. 

Haji qiran 

Haji kaedah qiran ialah menggabungkan antara ibadat haji dan umrah, iaitu mengerjakan keduanya serentak. Mereka berniat ihram di miqatnya dengan niat untuk berihram haji dan umrah sekali gus. 

Rukun tawaf dan sa'ei diwajibkan sekali saja untuk haji dan umrah dalam kaedah haji qiran ini. Kebanyakan mereka yang mengerjakan haji qiran ialah mereka yang lewat tiba di Makkah, iaitu beberapa hari sebelum wukuf atau mereka yang tidak mempunyai masa yang lama di Makkah. 

Demikian juga orang perempuan yang datang haid atau orang sakit yang sedang berihram umrah, tiba-tiba sampai tarikhnya untuk berangkat wukuf di Arafah. Ketika ini mereka boleh menambah niat ihram umrahnya dengan berniat ihram haji sekali gus. Jadilah haji qiran. 

Mereka yang mengerjakan haji qiran dikenakan dam atau denda iaitu menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu wajib berpuasa sepuluh hari; iaitu tiga hari dalam masa haji di Makkah dan tujuh hari lagi selepas pulang ke kampung halaman.

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP