Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman melakukan perkara "lebih teruk" dalam tindakan memberi kad pengenalan kepada warga asing.

Mahathir ketika ditanya pemberita, mengakui bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing semasa pentadbirannya.
NONENamun beliau mendakwa tindakan berkenaan dijalankan mengikut undang-undang.

"Kita patut tengok balik dan ingat. Tunku Abdul Rahman lebih teruk daripada saya. Dia beri sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak. Jadi kenapa apa yang dia (Tunku Abdul Rahman) buat tak salah dan apa yang saya buat ini salah?
"Ya saya memang buat (beri kad pengenalan), tetapi mengikut undang-undang," katanya dalam sidang media selepas program Bicara Minda Tun Mahathir di Shah Alam hari ini.

Ditanya sama ada pemberian kad pengenalan itu bertujuan untuk pilihan raya kerana ia dijalankan dua minggu sebelum pilihan raya Sabah, Mahathir berkena beliau "tidak tahu".

Bekas perdana menteri – yang menjawat jawatan itu selama 22 tahun – itu berkata, perkara itu mungkin berlaku secara kebetulan tetapi menegaskan sekali lagi bahawa ianya mengikut undang-undang.

NONE"Saya buat sebelum pilihan raya. Mungkin kebetulan. Saya tak tahu. Tapi ia mengikut undang-undang. Perkara itu berlaku sebelum pilihan raya tak bermakna melanggar undang-undang," katanya lagi.

Ditanya lagi sama ada pemberian kad pengenalan itu bertujuan untuk membolehkan Umno merampas kuasa di Sabah, Mahathir berkata penerima kad pengenalan itu bebas untuk mengundi mana-mana parti selepas menjadi warganegara.

"Itu hak mereka. Bila dah jadi warganegara, mereka nak sokong Umno, BN atau apa-apa itu mereka punya hak," katanya.

Semalam, dua bekas orang kanan Mahathir dikaitkan oleh saksi yang memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah.

Bekas ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah semalam memberi keterangan bahawa dia dan beberapa orang lain menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, yang merupakan setiausaha politik kepada Dr Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing.

Seorang lagi saksi, bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin mendakwa menerima arahan dari timbalan menteri dalam negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya.

Turut hadir dalam program di Shah Alam hari ini ialah bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.