Oleh : Ust Dr. Zaharuddin Abd Rahman
www.murshid.my
Umat Islam terutamanya para muda mudi amat memintai muzik dan lagu.
Para remaja Islam dalam kalangan lelaki dan wanita juga tidak terkecuali
daripada menjadi peminat muzik ini. Walau bagaimanapun, mereka
mengalihkan minat itu kepada dendangan lagu-lagu nasyid yang liriknya
membawa kepada kebaikan dan kesedaran agama.
Tidak
dapat dinafikan, banyak juga nasyid-nasyid ini yang dilihat menyimpang
dari landasan asal lalu sifat komersialnya melebihi nasihatnya. Liriknya
yang asalnya membawa kepada nasihat agama mulai bertukar kepada
puja-puji wanita dan kekasih. Bezanya dengan lagu pop rock biasa
hanyalah kerana ia diadun sedikit dengan menyebut nama-nama Allah sekali
sekala, kalimah Islam atau apa-apa elemen Islam.
Saya akan menulis lanjut tentang hal ini kemudian, Insha’ Allah.
Dalam penulisan ini, saya ingin mengajak pembaca melihat peranan kaum
wanita muslimah dalam industri nasyid ini. Adakah ianya halal atau
sebaliknya?
Suara Wanita
Majoriti ulama berfatwa suara wanita bukanlah aurat. Dalilnya mudah iaitu:
أنَّ
رسول الله ـ صلَّى الله عليه وسلَّم ـ قال: “يا معشر النساء تصدقن وأكثرن
الاستغفار؛ فإنِّي رأيتكنَّ أكثر أهل النار، فقالت امرأة جزلة منهنَّ: وما
لنا يا رسول الله أكثر أهل النار؟ فقال: تكثرن اللعن، وتكفرن العشير”..
Ertinya:
Sesungguhnya Rasulullah SAW berkata: wahai seluruh kaum wanita,
bersedeqah dan banyakkan istighfar, sesungguhnya aku melihat wanita
adalah majoriti ahli neraka. Maka berkatalah seorang wanita: Mengapa
kami menjadi majoriti ahli neraka ya Rasulullah? Rasulullah SAW
menjawab: “Wanita banyak yang melaknati dan mencela orang lain serta
mengingkari kebaikan suaminya..” (Riwayat Muslim)
Saya bukan ingin mengulas isi kandungan hadith itu, tetapi ingin
membawakan bukti bahawa suara wanita dalam keadaan biasa bukanlah aurat.
Pertanyaan secara langsung wanita itu membuktinya. Selain hadith ini,
banyak lagi hadith-hadith lain yang membuktikan suara wanita bukan
aurat.
Hasilnya, pandangan terkuat dalam mazhab Hanafi, yang
muktamad dalam Maliki, Syafie dan Hanbali menganggap suara wanita
bukanlah aurat.
Berubah Menjadi Aurat
Bagaimana hukum jika seorang wanita itu melembut dan memanjakan suara di hadapan lelaki bukan mahram?.
Inilah perbincangan saya.
Tidak dapat dinafikan lagi jika demikian keadaannya, sudah tentu ia diharamkan oleh Islam.
“Eh ustaz, sedapnya suara wanita tadi ye” kata seorang rakan saya.
“Yang mana satu ni?” Tanya saya sambil cuba mengingat kembali.
“Ala, yang sekali meeting dengan kita tadi le” katanya menjelaskan.
“Sedap macam mana tu” tanya saya menduga.
“Ish..naik le bulu roma saya dan kalau boleh nak dengar tiap-tiap
hari suara dia, astaghfirullah, eh.. dosa ke ustaz, suara bukan aurat
kan?” katanya
sambil tersenyum kambing.
Bayangkan bagaimana keterlanjuran kata oleh siswa ini di hadapan
saya. Wanita perlu mengetahui betapa lemahnya lelaki di hadapan mereka.
Lelaki secara
umumnya (kecuali yang punyai keimanan yang hebat) memang mudah tergoda
dengan suara merdu wanita walaupun wanita itu tidak langsung berniat
untuk menggoda. Maka apatah lagi jika di ketika ia memang berniat untuk
menggoda.
Saya masih ingat satu ketika di satu universiti, satu mesyuarat sedang berjalan. Saya mempengerusikan mesyuarat.
Suasana agak biasa, sehinggalah tiba-tiba seorang mahasiswi memberikan pandangannya kepada satu isu yang sedang dibincangkan.
Walaupun mahasiswi itu berada di belakang tabir, tetapi oleh kerana
suaranya yang lembut dan lemak gemalai secara semulajadi (bukan sengaja
dibuatnya), semua mahasiswa yang tadinya seperti mengantuk menjadi
cergas dan terbeliak mata sambil berubah wajah seperti malu-malu serta
cukup tekun mendengar setiap butiran ayat yang keluar dari mahasiswi
itu.
Entah apa yang merasuk mereka..
Habis meeting, seorang dari mereka menyapa saya lalu berkata:
“Siapa tadi ye ustaz, siswi tadi tu”.
“Siswi mana?” tanya saya.
“Ala yang suara merdu tu, apa namanya ye ustaz..ehem ehem, terpikat juga saya dengar suaranya” tegaskan tanpa malu-malu.
Cuba lihat apa yang terjadi, hanya dengan suara tanpa melihat rupa
pun sudah boleh meruntun hati seseorang siswa yang mengaji agama di
universiti,
apatah lagi jika siswa yang mengaji rempitan di jalanraya!
Teringat Di Jordan
Saya juga teringat satu hari, ketika saya sampai ke satu universiti
untuk memberikan ceramah, ketika itu agak kecoh siswa di sana
berkenaan satu
VCD nasyid kumpulan wanita yang baru sampai dari Malaysia. Saya
mendengar bahawa terdapat bakal-bakal ustaz ini yang berebut-rebut untuk
melihat dan mendengarnya. Apabila saya bertanya lanjut tentang hal ini
kepada seorang pemimpin mahasiswa, rupanya VCD itu begitu popular kerana
penasyidnya terdiri dari kalangan anak-anak gadis yang ‘ada rupa’ serta
‘solehah’. Hmm solehahkah mereka …?
Pinjam meminjam pun berlaku dengan hebatnya di kalangan mahasiswa,
ada juga yang menyalin ke dalam komputer masing-masing. Kemudian
timbul aduan dari
salah seorang mahasiswa soleh kepada saya bahawa terdapat mahasiswa yang amat asyik dan mengulang-mengulang vcd tersebut.
Lihatlah kesannya, adakah ini dakwah ?..baca sampai ke habis, inshaAllah akan mendapat jawapannya.
Amaran Allah
Allah SWT yang menciptakan manusia sememangnya telah memberi peringatan akan hal ini apabila menyebut :-
تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِى فِى قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلاً مَّعْرُوفاً
Ertinya : “Maka janganlah kamu wahai
wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang
berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya
dengan kata-kata yang baik ( kandungan dan tatacaranya)” (Al-Ahzab: 32)
Para ulama tafsir menyebut, suara wanita yang dilagukan adalah
termasuk dari kecantikan-kecantikan (yang tidak harus dipertonton dan
diperdengarkan kepada lelaki bukan mahram) tiada khilaf dalam hal ini
(Adwa al-Bayan, 5/10: At-Tashil Li Ulum At-Tanzil, 3/137)
Imam As-Suddi berkata: larang ini bermaksud larangan kepada kaum
wanita menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di
hadapan khalayak lelaki. Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara
yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli
maksiat berfikir jahat (Tafsir Ibn Kathir, 3/483; Al-Jami’ Li Ahkam
Al-Quran, 14/177).
Berdasarkan dalil ayat ini, apa yang boleh saya fahami adalah nasyid
wanita juga tergolong dalam bab yang diharamkan oleh Islam apabila ia
diperdengarkan kepada lelaki yang bukan mahram. Adapun jika ia
dinyanyikan oleh kanak-kanak wanita yang belum baligh atau ia
dinyanyikan khas untuk para wanita. Ia adalah harus.
Suara Wanita Ketika Beribadah
Displin Islam dalam hal ini boleh dilihat dari perkara di bawah ini:-
1) Ingin Menegur Imam semasa solat,
Jika kaum wanita ingin menegur imam lelaki yang tersilap bacaan atau
terlupa rakaat dan lainnya. Nabi SAW hanya membenar para wanita
mengingatkan imam dengan menggunakan tepukan sahaja.
Hadithnya :-
فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم ما لي رأيتكم أكثرتم التصفيق من رابه شيء في
صلاته فليسبح فإنه إذا سبح التفت إليه وإنما التصفيق للنساء
Ertinya: Berkata Rasulullah SAW, mengapa aku melihat kamu banyak
bertepuk apabila ragu-ragu (waswas) dalam sesuatu perkara semasa
solatnya. Hendaklah kamu (lelaki) bertasbih dan sesungguhnya tepukan itu
hanya untuk wanita” (Riwayat Al-Bukhari, no 652)
Arahan Nabi untuk wanita bertepuk bagi membantu imam itu adalah bagi
menjaga suaranya dari memesongkan orang lelaki yang sedang solat
(Faidhul qadir, 3/281; Al-hawi al-Kabir, 9/17)
2) Wanita dan azan
Imam al-Jassas ketika mentafsirkan ayat dari surah al-ahzab tadi
menyebut bahawa ayat ini memberi hukum bahawa wanita dilarang dari
melaungkan azan terutamanya jika kemerduan suaranya dijangka mampu
mengelodak hati sang lelaki ( Ahkam al-Quran, 5/229 dengan pindaan
ringkas)
Demikian juga pandangan mazhab Syafie dan hanbali, dan tidak
diketahui ada yang bercanggah pendapat dalam hal ini , kata Imam Ibn
Quddamah, Al-Mughni,
2/68)
3) Wanita menjadi imam solat kepada wanita lain atau ketika solat jahar.
Sudah tentu wanita harus untuk menjadi imam kepada wanita lain,
tetapi mereka tidak dibenarkan mengeraskan bacaan quran mereka jika di
tempat itu terdapatnya para lelaki yang bukan mahramnya. (Al-Mughni, Ibn
Quddamah)
Imam Ibn Hajar berkata: “jika dikatakan bahawa sekiranya wanita
menguatkan bacaannya di ketika solat maka solatnya batal, adalah satu
pendapat yang
ada asasnya” (Fath Al-Bari, 9/509)
Jelas bahawa suara wanita yang dilagukan atau dalam keadaan biasa
apabila melibatkan soal ibadah hukumnya dilihat semakin ketat kerana
dibimbangi
menggangu ibdaaha wanita itu terbawa kepada kerosakan kaum lelaki yang lemah ini. Kerana itu disebutkan
فرع:
صرّح في النوازل بأنّ نغمة المرأة عورة..ولهذا قال عليه الصلاة والسلام:
(التسبيح للرجال والتصفيق للنساء، فلا يحسن أن يسمعها الرجل)
Ertinya: Ditegaskan bahawa suara wanita yang dilagukan adalah aurat
..kerana itu Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya tasbih untuk lelaki, dan
tepukan
khas untuk wanita, maka tiada harus didengari ‘tasbih’ wanita oleh si lelaki”. ( Syarh Fath Al-Qadir, 1/206 )
4) Suara wanita dan talbiah Haji
Ijma’ ulama bahawa wanita tidak mengangkat suaranya kecuali hanya
setakat didengari olehnya sahaja, demikian pendapat Ato’, Imam Malik,
Syafie, Hanafi Awzaie ( AL-Um, 2/156 ; Al-MUghni , Ibn Quddamah, 5/16 )
Kesimpulan
Suara wanita boleh dibahagikan kepada dua jenis :-
1)
Suara biasa wanita yang didengari secara jahar kepada lelaki awam;
Ia diperbezakan hukumnya di kalangan ulama. Ada yang mengharamkannya
secara total, ada yang mengharuskan secara total. Ada pula yang
mengharuskannya apabila dijangka tidak membawa fitnah kepada lelaki
(Al-Jami’ Li Ahkami Quran, 14/227 ; Ibn Qayyim, al-Hasyiah, 6/156;
‘Ianah at-Tolibin, Ad-Dimyati; 3/260, Al-furu’, Ibn Al-Mufleh, 1/372 )
2)
Yang dilembutkan dengan sengaja, dimanjakan dan dimerdukan. Ianya adalah diharamkan untuk diperdengarkan kepada khalayak lelaki
secara Ijma’. ( An-Nihayah, Ibn Athir, 42/2, Lisan al-Arab, Ibn Manzur, 73/8, Tafsir At-Tabari; 3/22, Hasiyah At-Tohawi; 1/161)
Maka
kumpulan nashid wanita hari ini termasuk di dalam kumpulan yang kedua tanpa khilaf.
Malah bukan sekadar ‘illah suara sahaja yang boleh menjadikan mereka
tercebur dalam perkara haram, malah pakaian dan pergerakkan mereka di
khalayak awam juga.
Kebiasaannya apabila persembahan di buat, mereka kerap
bersolek-solekan dengan pakaian yang canggih manggih. Di samping itu,
duduk pula di atas pentas
menjadi tontotan lelaki, jika para ulama semasa menghukumkan haramnya
bersanding pengantin di atas pentas dalam keadaan senyap tanpa berkata.
Apatah lagi kumpulan nasyid wanita yang bersolek adakala seperti
pengantin ini dan melentuk-lentuk tubuh dan suaranya di hadapan lelaki
bukan mahram, sudah tentu haramnya lebih besar.
“
Tapi ustaz, inikan alternative untuk mereka yang suka tengok penyanyi wanita yang seksi..eloklah mereka tengok kami” mungkin ini sebahagian
pertanyaan penyokong kumpulan nasyid wanita.
Jawapannya, benda yang haram tidak boleh dialternatifkan dengan yang haram juga.
Sebagaimana di sebut oleh dalil :-
إِنَّ اللَّهَ عز وجل لاَ يمحوا السيء بالسيء، وَلَكِنْ يَمْحُو السيء بِالْحَسَنِ،
إِنَّ الْخَبِيثَ لاَ يمحوا الْخَبِيثَ.
Ertinya:
” Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memadam yang buruk dengan buruk
juga, tetapi yang buruk (haram) dipadamkan dengan yang baik (halal)
Sesungguhnya yang kotor itu TIDAK boleh mensucikan yang kotor” ( Riwayat
Ahmad, 1/387: Perawi Ahmad adalah thiqah kecuali… sebahagiannya khilaf;
Majma’ Az-Zawaid, 10/228 )
Justeru, tidak boleh menggantikan penyanyi wanita seksi itu dengan
penyanyi nasyid wanita. Kerana kedua-duanya haram buat si lelaki bukan
mahramnya.
Jangan pula ada yang mendakwa kononnya ia adalah bentuk dakwah,
TIDAK! Allah tidak akan menjadikan dakwah berkesan melalui perkara
haram. Tiada siapa
boleh mengatakan ia sengaja minum arak kerana ingin mendakwah rakannya bahawa arak itu buruk.
Nabi SAW bersabda:
إن الله لم يجعل شفائكم فيما حرم عليكم
Ertinya: “Allah SWT tidak menjadikan penyembuhan kamu melalui perkara yang diharamkanNya” ( Riwayat Al-Bukhari )
Hadith ini menjelaskan tidak boleh mengambil apa jua yang diharamkan
oleh Allah SWT untuk dijadikan ubat, kerana Allah tidak akan menjadikan
ubat
dalam perkara yang diharamkanNya. ( Tuhfatul Ahwazi , 6/168 )
Demikianlah dakwah dan pemulihan akhlak dan jiwa manusia, Allah SWT
tidak akan menjadinya perkara yang diharamkanNya (melembutkan suara
hadapan bukan
mahram) sebagai medium dakwah yang berkesan. Ia tidak lain hanyalah untuk komersial dan mengaut untung sahaja.
Setiap hasil untung dari jualan kaset nasyid wanita dewasa ini juga
tidak lain kecuali hasil yang haram menurut sepakat ulama mazhab.
Kecuali jika ia
khas untuk wanita dan dijual secara tertutup di majlis wanita sahaja. Persembahan juga untuk kaum wanita.
Sedarilah kumpulan nasyid wanita dan penyanyi wanita yang mendakwa
dakwah melalui nasyid anda..Ia pasti tidak kan berjaya, usaha itu juga
pastinya
tidak diterima oleh Allah SWT berdasarkan dalil-dalil yang diberi.
BANTAHAN KEPADA ARTIKEL:
Apabila tulisan ini mula disebar
luaskan, maka terdapat suara-suara penyokong nasyid wanita yang cuba
mengharuskan tindakan mereka dengan memberikan
satu hadith berkenaan dua orang hamba wanita yang mempersembahkan nyanyian kepada Aisyah r.a di rumah Nabi SAW
Hadith ini adalah seperti berikut :-
عن عَائِشَةَ رضي الله عنها قالت دخل أبو بَكْرٍ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ
من جَوَارِي الْأَنْصَارِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَقَاوَلَتْ الْأَنْصَارُ
يوم بُعَاثَ قالت وَلَيْسَتَا بِمُغَنِّيَتَيْنِ فقال أبو بَكْرٍ
أَمَزَامِيرُ الشَّيْطَانِ في بَيْتِ رسول اللَّهِ وَذَلِكَ في يَوْمِ عِيدٍ فقال رسول اللَّهِ يا أَبَا بَكْرٍ إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا وَهَذَا عِيدُنَا
Ertinya: Dari ‘Aisyah r.a berkata :
Abu Bakar ( bapa Aisyah r.a ) masuk ke rumah dan dibersamaku dua orang
jariah (hamba wanita) dari kalangan bangsa Ansar sedang menyanyi dengan
kisah-kisah Ansar ketika hari Bu’ath, lalu asiyah berkata: Mereka berdua
bukanlah penyanyi, Berkata Abu Bakar r.a: ” Adakah seruling Syaitan di
rumah Rasulullah SAW? Maka Rasul berkata: WAhai Abu Bakar, ini adalah
hari raya). [HR Bukahri, 1/335]
Dalam riwayat lain:
عن عَائِشَةَ قالت دخل عَلَيَّ رسول اللَّهِ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ
تُغَنِّيَانِ بِغِنَاءِ بُعَاثَ فَاضْطَجَعَ على الْفِرَاشِ وَحَوَّلَ
وَجْهَهُ وَدَخَلَ أبو بَكْرٍ فَانْتَهَرَنِي وقال مِزْمَارَةُ
الشَّيْطَانِ عِنْدَ النبي فَأَقْبَلَ عليه رسول اللَّهِ عليه السَّلَام
فقال دَعْهُمَا
Ertinya:
“Daripada ‘Aisyah, Rasulullah SAW masuk ke rumah dan bersamaku dua
orang jariah (hamba wanita) dari kalangan bangsa Ansar sedang menyanyi
dengan kisah-kisah Ansar ketika hari Bu’ath, maka baginda terus baring
dan memalingkan wajanya, maka masuk pula Abu Bakar r.a lalu menegurku
sambil berkata, adakah seruling syaitan di sisi nabi SAW, maka nabi
terus mendapatkannya lalu berkata : Biarkannya”.
Secara ringkas,
hujjah untuk mengatakan terdapat percanggahan atau harusnya nasyid
wanita dengan dalil ini adalah tersasar dari kebenaran kerana:-
1) Ia dipersembahkan oleh hamba wanita. Maka hukum hamba adalah berbeza dengan hukum wanita merdeka dalam banyak hukum fiqh.
2) Dua orang jariah itu
digambarkan dalam banyak riwayat lain sebagai bukan penyanyi khas, yang
pandai menyanyi dengan teknik menyanyi yang dikenali dengan melembutkan
suara, memerdu dan melunakkannya sebagaimana penyanyi profesional. Ini
disebutkan melalui nas
“وليستا بمغنيتين”
Imam An-Nawawi dan Imam Ibn Hajar al-Asqolani mentafsirkannya sebagai:-
معناه ليس الغناء عادة لهما ولا هما معروفتان به
Ertinya:
Maknanya, ia bukanlah nyanyian yang biasa digunakan pada masa itu, dan
keduanya juga tidak dikenali pandai menyanyi (Nawawi, Syarh muslim,
6/182 : fath Al-Bari, 2/442)
3) Rasulullah juga digambar tidak turut serta menikmatinya tetapi hanya membiarkannya dinikmati oleh ‘Aisyah.
Ia juga adalah di dalam rumah Nabi Saw
dan bukan di khlayak ramai. Imam An-Nawawi mengulas bahawa Nabi juga
disebut berpaling wajah :-
وإنما سكت النبي عنهن لأنه مباح لهن وتسجى بثوبه وحول وجهه اعراضا عن اللهو ولئلا يستحيين فيقطعن ما هو مباح لهن
Ertinya:
Nabi senyap dari tindakan itu kerana ia harus BAGI WANITA, dan nabi
MENUTUP DENGAN PAKAIANNYA dan berpaling wajah darinya sebagai menjauhi
perkara melalaikan” (Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 6/183)
4) Takrif ‘Jariah’ selain bermaksud hamba, ia juga digunakan untuk kanak-kanak wanita belum baligh. Sebagaimana disebut oleh Imam al-Aini & Imam As-Suyuti :-
قوله جاريتان تثنية جارية والجارية في النساء كالغلام في الرجال ويقال على من دون البلوغ
Ertinya: Dua orang jariah: disebutkan bagi mereka yang dibawah umur baligh (Umdatul Qari, 6/269)
قوله جاريتان الجارية في النساء كالغلام في الرجال يقعان على من دون البلوغ
Ertinya:
Jariah untuk wanita, ghulam panggilan untuk lelaki yang keduanya
digunakan untuk mereka yang di bawah umur baligh. (Sindi, 3/194: Syarhu
As-Suyuti li sunan An-Nasaie, 3/197 )
Hal ini juga disebut di dalam Awnul Ma’bud :-
لأنهما جاريتان غير مكلفتين تغنيان بغناء الأعراب
Ertinya : kerana mereka berdua belum mukallaf ( belum baligh) lalu mereka menyanyikan lagu-lagu a’rab ( Awnul Ma’bud, 13/181)
Justeru, apa lagi hujjah yang boleh diguna untuk mengharuskannya?. Dharurat atau maslahat?..lupakan sahaja.
Sekian
http://www.zaharuddin.net/
29 Mei 2007
12 Jumada Awal 1428 H
Sumber:
http://www.zaharuddin.net/lelaki-&-wanita/495-bolehkah-wanita-berdakwah-dengan-nashid.html
Read more...