Assalamualaikum
Di Negara kita Malaysia,
mazhab Syafi’i merupakan mazhab rasmi ummat Islam. Pertanyaan saya
bolehkah kalau saya tidak mengikut pendapat Mazhab Syafi’i sepenuhnya
dalam amalan2 saya. Contohnya saya ingin mengikut pendapat Hanafi dalam
berwudhu’ iaitu batal wudhu’ hanya jika berniat syahwat atau mendapat
keseronokan. Sementara dalam masalah solat saya mengikut mazhab Syafi’i,
bolehkah jika demikian?
Sekian, Wassalam
JAWAPAN - Oleh Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad
Perkara ini menyangkut masalah taqlid dan talfiq.
Pembahasan ini telah dibicarakan secara terperinci dan hingga ke
dasarnya di dalam ilmu Usul Fiqh. Ilmu ini amat penting bagi mereka yang
benar-benar mendalami dasar-dasar pembinaan hukum Islam.
Taqlid ialah: Mengikut pendapat seorang mujtahid tanpa mengetahui sumber dan cara pengambilannya.
Seperti seseorang itu mengikut pendapat Imam Syafi’i
tanpa mengetahui dalilnya atau hujahnya. Orang seperti ini disebut
muqallid.
Apa hukum bertaqlid?
Hukum-hakam amaliyah dapat kita bahagikan kepada dua:
1. Hukum-hakam yang dapat diketahui tanpa memerlukan
penelitian dan ijtihad. Iaitu hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh
dalil yang qath’i dan yang dapat diketahui dengan segera. Ia disebut
sebagai `al-ma’lum minad din bid-dharurah’. Contohnya ialah hukum
tentang kewajipan sembahyang lima waktu, kewajipan puasa bulan ramadhan,
bilangan rakaat dalam sembahyang dsbnya. Ini semua dapat diketahui oleh
semua umat Islam. Pengetahuan tentang hukumnya tidak memerlukan kepada
penelitian terhadap dalil-dalilnya.
Dalam masalah ini, seseorang itu tidak dibenarkan bertaklid, kerana semua orang dapat mengetahuinya.
2. Hukum-hakam yang memerlukan penelitian dan
ijtihad. Masalah-masalah yang berada di bawah kategori ini amat banyak
sekali. Seperti masalah yang kita telah bincangkan sebelum ini mengenai
hukum menyentuh perempuan ajnabi, apakah batal wuduk? Ini adalah masalah
yang termasuk di dalam kategori ini. Sebab, masalah ini memang ada
dalilnya dari al-Quran. Tetapi dalilnya perlu diteliti terlebih dahulu
untuk diketahui – Apakah hukum yang boleh dikeluarkan darinya. Dalam
penelitian dan kajian ini, sudah semestinya terjadi perselisihan
pendapat. Mazhab-mazhab dan perbedaan-perbedaan pendapat di kalangan
ulamak terjadi dalam dalam masalah yang seumpama ini.
Orang yang berusaha meneliti dalil-dalil, kemudian
mengeluarkan hukum dari dalil berkenaan di namakan sebagai mujtahid.
Antara mereka adalah seperti Imam Syafi’I, Imam Malik,Imam Hanbali dll.
Manakala mereka yang mengikutnya atau memakai hukum yang dikeluarkan
oleh mujtahid disebut sebagai orang yang bertaklid. Perbuatan
mengikut/memakai hukum berkenaan disebut sebagai bertaklid.
Dalam masalah inilah yang dibenarkan bertaklid.
Kebanyakkan ulamak Usul (Usul Fiqh) mengatakan bahawa mereka yang
tidak berkeupayaan untuk berijtihad wajib mengikut dan mengambil
pendapat atau fatwa dari para mujtahid (org yg berkeupayaan berijtihad)
.
Bertaklid kepada mazhab-mazhab
Mazhab-mazhab masyhur yang wujud hingga sekarang ini
ialah mazhab Syafi’I, Maliki, Hanafi dan Hanbali. Kita di Malaysia ini
rata-rata bertaklid kepada mazhab Syafi’i.
Soalan: Apakah kita boleh bertukar kepada mazhab lain?
Jawab: Boleh. Kerana, apa bezanya Syafi’I dan lain-lain mazhab di
atas? Jika kita boleh bertaklid kepada mazhab Syafi’i, ini bermakna kita
juga boleh bertaklid kepada mazhab-mazhab lain.
Menurut Al-Amidi, Ibnu al-Najib dan Kamal al-Hummam,
tidak wajib bertaklid kepada seorang mujtahid (mazhab) tertentu. Dalam
satu masalah, mereka boleh beramal dengan mazhab ini, kemudian dalam
masalah lain mereka beramal dengan mazhab lain.
Berdasarkan pendapat ini, jika kita bertaklid dengan mazhab Syafi’i
dalam satu-satu masalah, tidak semestinya kita mesti bertaklid dengan
mazhab ini dalam semua masalah. Dibenarkan mengamalkan pendapat dari
mazhab-mazhab lain.
Taklid yang diharamkan ialah:
1. Bertaklid kepada seseorang tanpa mengendahkan al-Quran dan Sunnah.
2. Bertaklid kepada seseorang yang tidak diketahui kemampuannya berijtihad.
Talfiq
Ialah mengikut pendapat satu-satu imam dalam
satu-satu masalah, kemudian bertaklid kepada imam lain dalam masalah
lain. Contoh, mengambil wuduk ikut cara Hanafi dan sembahyang ikut cara
Syafi’i. Ataupun, pada hari ini dia bersembahyang ikut pendapat Syafi’i
dengan membaca Bismillah, esoknya dia bersembahyang ikut pendapat Hanafi
dengan tidak membaca bismillah.
Inilah yang dikatakan sebagai talfiq.
Kebanyakkan ulamak membahagikan talfiq kepada dua:
1. Mengambil pendapat yang paling ringan di antara
mazhab-mazhab dalam beberapa masalah yang berbeza. Contoh: Berwuduk ikut
Hanafi dan sembahyang ikut Maliki.
Apa hukumnya? Menurut ulamak-ulamak ini, talfiq dengan cara begini
adalah dibenarkan, kerana dia mengamalkan pendapat yang berbeza dalam
dua masalah yang berbeza – Wuduk dan sembahyang.
Talfiq begini dibenarkan dalam bidang ibadah dan muamalat sebagai keringanan dan rahmat dari Allah Taala terhadap umat Muhamad.
Dibenarkan juga mengambil pendapat yang paling
ringan antara mazhab-mazhab dalam satu masalah. Ia diamalkan pada masa
yang berlainan yang tidak bergantung satu sama lain.
Contoh, Ali berwuduk menurut syarat-syarat yang telah ditetap oleh
Syafi’i. Pada waktu lain dia berwuduk menurut syarat-syarat yang
ditetapkan oleh Hanafi.
Talfiq seperti ini dibenarkan kerana wuduk pertama
yang menurut syarat Syafi’i telah selesai dan digunakan untuk satu-satu
ibadah hingga selesai. Kemudian wuduk keduanya menurut Hanafi juga
selesai dan digunakan untuk tujuan tertentu hingga selesai. Jelasnya ia
dilakukan, sekalipun masalahnya sama tetapi dalam peristiwanya berbeza.
2. Mengambil pendapat yang paling ringan daripada mazhab-mazhab dalam satu masalah. Talfiq begini tidak benarkan.
Contoh, Ali bernikah tidak menggunakan wali kerana
ikut Hanafi. Disamping itu dalam masa yg sama dia tidak memakai 2 saksi
kerana mengikut pendapat Maliki.
Pernikahan seperti ini adalah batal/tidak sah.
Ittiba’
Ialah menerima pendapat orang lain dengan mengetahui sumber atau hujahnya.
Ittiba’ adalah sebaik-baik cara menerima dan mengamalkan pendapat dari mujtahid.
Bagaimana kita di Malaysia?
Memang, secara umumnya, dalam soal-soal fikah
masyarakat Malaysia beramal dengan mazhab Syafi’i. Namun sudah tidak
dalam semua cabang permasalahan. Ia lebih banyak tertumpu kepada
soal-soal ibadah individu sahaja. Zakat? Sudah banyak yang tidak
mengikut Syafi’i. Dalam soal-soal muamalat, adalah sukar seandainya jika
kita mengikat diri kepada satu mazhab sahaja. Ini termasuk di dalam
urusan-urusan perbankan Islam. Seandainya negara kita ini melaksanakan
undang-undang Islam – Mengikat diri kepada mazhab juga menjadikan
keadaan amat sulit sekali.
Di Malaysia, kita dapati amalan kita bercampur2
dengan maksud kita mengambil berbagai pendapat mazhab dalam amalan
seharian kita.
Contohnya, mengenai masalah zakat pendapatan. Jika
mengikut pendapat Syafi’I, sudah tentu tidak ada. Tetapi hasil dari
penelitian beberapa ulamak abad ini, ia wajib dizakatkan. Bagaimana
penerimaan masyarakat Malaysia? Semesti berbagai, terutamanya para
ulama’ tradisional. Setelah proses penerangan dan campurtangan
pemerintah, akhirnya ramai di kalangan mereka yang menerimanya dengan
dada yang lapang. Saya percaya, jika usaha begini terusdilakukan,
semuanya akan menerima.
Ini membuktikan bahawa umat Islam di Malaysia ini
boleh dan mudah menerima satu-satu pendapat sekalipun bertentangan
dengan mazhab Syafi’i – jika kena caranya. Tapi, kalau silap gayanya,
kita akan dijadikan sebagai musuh tradisi. Ini pernah terjadi kepada
sebahagian golongan yang secara keras dan tegas, gemar memaksa-maksa
umat Islam agar menerima pendapat mereka. Jika umat Islam tidak
menerima, mereka akan cela dan bid’ahkan. Saya percaya, ini akan
memberikan kesan yang lebih buruk .Jadi untuk menukar pandangan dari
beramal dengan satu mazhab kepada pelbagai mazhab, kita perlu melakukan
dengan beransur-ansur dan berhati, dan mungkin juga mengambil masa yang
lama.
Wallahu ‘A’lam.
Sumber
( + )
0 comments:
Post a Comment