Jumlah Minimum Di Dalam Solat Jemaah
Ibnu Qudamah menyatakan,“Solat jemaah dapat dilakukan oleh dua orang atau lebih. Kami belum menemui perbezaan pendapat dalam masalah ini.” [Al Mughni 3/7]
Ibnu Hubairoh berkata, “Para ulama bersepakat, batasan minimum solat jemaah ialah dua orang. Iaitu imam dan seorang makmum yang berdiri di sebelah kanannya.” [Al-Ifshah An Ma’anish Shihah, 1/155. Dinukil daripada Solatul Jemaah, karya Prof. Dr. Shalih bin Ghanim As Sadlan, hal. 47. Lihat juga pernyataan kesepakatan ini dalam Raudhatun Nadiyah, karya Siddiq Hasan Khan, 1/308.]
Sah Solat Jemaah Dengan Kanak-Kanak Atau Wanita
Ibnu Abbas Radiallahu ‘anhu berkata:
بِتُّ عِنْدَ خَالَتِي فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ فَقُمْتُ أُصَلِّي مَعَهُ فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ فَأَخَذَ بِرَأْسِي فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ
Aku tidur di rumah makcikku, lalu Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bangun mengerjakan solat malam. Lalu aku turut solat bersamanya dan berdiri di sebelah kirinya. Kemudian baginda meraih kepalaku dan memindahkanku ke sebelah kanannya. [Sahih al-Bukhari: 662]
Demikian juga hadis Anas bin Malik Radiallahu ‘anhu :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِهِ وَبِأُمِّهِ قَالَ فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ وَأَقَامَ الْمَرْأَةَ خَلْفَنَا
Rasululah Sallallahu ‘alaihi wa sallam solat mengimami dia dan ibunya. Anas berkata, “Baginda meletakkanku di sebelah kanannya dan wanita (ibunya) di belakang kami.” [Sahih Muslim: 1062]
Lebih Ramai Jemaah, Lebih Banyak Pahala
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam:
وَصَلَاةُ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلِ أَزْكَى مِنْ صَلَاتِهِ وَحْدَهُ وَصَلَاةُ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلَيْنِ أَزْكَى مِنْ صَلَاتِهِ مَعَ الرَّجُلِ وَمَا كَانُوا أَكْثَرَ فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Solat bersama orang lain lebih baik daripada solat sendirian. Solat bersama dua orang lebih baik daripada solat bersama seorang. Semakin banyak (yang solat) semakim disukai Allah Azza wa Jalla. [Sunan Abu Daud: 467., Sunan an-Nasai: 834, Musnad Ahmad: 20312, Al-Mustadrak: 3/269 dan Sahih Ibn Khuzaimah:1477]
Kanak-Kanak Boleh Menjadi Imam
Hadis Amru bin Salamah Radiallahu ‘anhu yang berbunyi:
فَلَمَّا كَانَتْ وَقْعَةُ أَهْلِ الْفَتْحِ بَادَرَ كُلُّ قَوْمٍ بِإِسْلَامِهِمْ وَبَدَرَ أَبِي قَوْمِي بِإِسْلَامِهِمْ فَلَمَّا قَدِمَ قَالَ جِئْتُكُمْ وَاللَّهِ مِنْ عِنْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقًّا فَقَالَ صَلُّوا صَلَاةَ كَذَا فِي حِينِ كَذَا وَصَلُّوا صَلَاةَ كَذَا فِي حِينِ كَذَا فَإِذَا حَضَرَتْ الصَّلَاةُ فَلْيُؤَذِّنْ أَحَدُكُمْ وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْثَرُكُمْ قُرْآنًا فَنَظَرُوا فَلَمْ يَكُنْ أَحَدٌ أَكْثَرَ قُرْآنًا مِنِّي فَقَدَّمُونِي بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَأَنَا ابْنُ سِتٍّ أَوْ سَبْعِ سِنِينَ
Ketika terjadi penaklukan kota Makkah, setiap kaum datang menyatakan keislaman mereka. Bapaku datang menyatakan keislaman kaumku. Ketika pulang beliau berkata,“Demi Allah, aku membawakan kepada kalian kebenaran daripada Rasulullah,” lalu beliau berkata,“Solatlah kalian, solat ini pada waktu ini dan solatlah ini pada waktu ini. Jika telah masuk waktu solat, hendaklah salah seorang kalian melaungkan azan dan orang yang paling banyak hafalan Al-Qurannya yang menjadi imam.” Lalu mereka mencari (imam). Ternyata tidak ada seorangpun yang lebih banyak hafalan Al-Quran daripada aku. Lalu mereka menjadikan aku sebagai imam dan aku pada waktu itu berusia enam atau tujuh tahun. [Sahih al-Bukhari: 3963]
Bila Dikatakan Mendapat Solat Jemaah
Dalam isu ini, ulama terbahagi kepada tiga pendapat:
Pertama : Sebelum Imam Memberi Salam
Ini pendapat mazhab Hanafi dan Syafii. Dalilnya:
Daripada Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِذَا أُقِيمَتْ الصَّلَاةُ فَلَا تَأْتُوهَا تَسْعَوْنَ وَأْتُوهَا تَمْشُونَ عَلَيْكُمْ السَّكِينَةُ فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا
Jika solat telah iqamat, maka janganlah mendatanginya dengan berlari. Datangilah dengan berjalan. Kalian mesti tenang. Apa yang kalian dapatkan (bersama imam), maka solatlah dan yang terlepas sempurnakanlah.[Sahih al-Bukhari: 863 dan Muslim: 949]
Kedua : Membezakan Antara Solat Jumaat Dan jemaah. Jika Solat Jumaat, Melihat Kepada Rakaat Dan Jemaah Melihat Kepada Takbir.
Maksudnya: Dalam solat Jumaat, seseorang dikatakan mendapatkan solat Jumaat bersama imam bila mendapat satu rakaat bersama imam.
Untuk solat jemaah selain solat Jumaat, dikira mendapat jemaah apabila bertakbir sebelum imam mengucapkan salam. Ini pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafii. [Majmu’ Fatawa 23/331]
Ketiga : Bila Mendapat Satu Rakaat Bersama Imam
Ini merupakan pendapat mazhab Malik, Imam al-Ghazali dan Ibn Taimiyyah.
Shaikh Muhammad bin Abdil Wahab dan Abdurrahman bin Nashir Assa’di telah merajihkannya.[Lihat Solatul Jemaah, hal. 50. Tentang tarjih mereka ini dapat dilihat dalam kitab Adab Al Masyi Ila Solat, hal. 29 dan Al Mukhtarat Al Jaliyah Fil Masail Al Fiqhiyah (dalam Al Majmu’ah Al Kamilah Li Mualafat, Syaikh Abdurrahman bin Nashir Assa’di, 2/109]
Dalilnya:
Daripada Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
مَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنْ الصَّلَاةِ فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلَاةَ
Siapa yang mendapat satu rakaat daripada solat, maka telah mendapat solat. [Sahih al-Bukhari: 546 dan Sahih Muslim: 954]
Hadis Ibn Umar:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنْ صَلَاةِ الْجُمُعَةِ أَوْ غَيْرِهَا فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلَاةَ
Rasulullah bersabda,“Sesiapa yang mendapat satu rakaat daripada solat Jumaat atau selainnya, maka telah mendapat solat.” [Sunan an-Nasaie: 554, Sunan Ibn Majah: 1113 dan Sahih Ibn Khuzaimah: 3/173.]
Pendapat ketiga adalah pendapat yang paling kuat menurut Ibn Taimiyyah.
Bilakah Dikira Mendapat Rakaat?
Ulama terbahagi kepada dua pendapat:
a) Apabila Sempat Membaca Al-Fatihah
Ini merupakan pendapat Imam al-Bukhari, Ibn Hazm dan salah satu pendapat Imam asy-Syaukani [Lihat Juz’ul Qira’ah Khalfal Imam; Al Muhalla 2/274-278; Nailul Authar 2/511-514]
Dalilnya:
Daripada Ubadah Bin as-Somit bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ
Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah. [Sahih al-Bukhari: 756 dan Muslim: 394]
Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu berkata:
إِذَا أَدْرَكْتَ الْقَوْمَ رُكُوْعًا لَمْ تُعْتَدَّ بِتِلْكَ الرَّكْعَةَ
Jika engkau mendapati orang-orang sedang ruku’, jangan kira ia sebagai rakaat [Riwayat imam al-Bukhari dalam Khairul Kalam Fil Qira’ah Khalfal Imam]
b) Apabila Sempat Ruku’ Bersama Imam
Ini merupakan pendapat majoriti ulama’. Ia pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam As-Syafii, Imam Ahmad bin Hanbal. Juga pendapat para sahabat: Ali, Ibnu Mas’ud, Zaid, dan Ibnu Umar. Pendapat ini juga dirajihkan oleh Imam Ibnu Abdil Barr, Imam Nawawi, Ash Shan’ani, Asy Syaukani pada pendapat kedua, Syaikh Bin Baz, Syaikh Al-Albani dan lainnya. [Lihat Shalatul Jama’ah, 96-98, karya Dr. Sa’id bin Ali bin Wahf Al Qahthani]
Dalilnya:
عَنْ أَبِي بَكْرَةَ أَنَّهُ انْتَهَى إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ رَاكِعٌ فَرَكَعَ قَبْلَ أَنْ يَصِلَ إِلَى الصَّفِّ (ثُمَّ مَشَي إِلَى الصَّفِّ ) فَذَكَرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ زَادَكَ اللَّهُ حِرْصًا وَلاَ تَعُدْ
Daripada Abu Bakrah Radiallahu ‘anhu, bahawa dia sampai kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam ketika baginda sedang ruku’, lalu dia ruku’ sebelum sampai ke saf (lalu dia berjalan menuju saf). Kemudian dia menyebutkan hal itu kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam, lantas baginda bersabda, “Semoga Allah menambahkan semangat terhadapmu, dan janganlah engkau ulangi (perbuatan tadi).” [Sahih al-Bukhari: 783. Tambahan dalam kurungan riwayat Sunan Abu Daud: 684]
Daripada Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِذَا جِئْتُمْ إِلَى الصَّلاَةِ وَنَحْنُ سُجُودٌ فَاسْجُدُوا وَلاَ تَعُدُّوهَا شَيْئًا وَمَنْ أَدْرَكَ الرَّكْعَةَ فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلاَةَ
Jika kamu mendatangi solat, dan kami sedang sujud, maka sujudlah, dan janganlah kamu menghitungnya sesuatu. Dan barangsiapa mendapatkan rakaat (ruku’), maka dia mendapat solat. [Sunan Abu Daud: 893]
diringkaskan daripada:
http://almanhaj.or.id/content/2254/slash/0
http://almanhaj.or.id/content/3038/slash/0
0 comments:
Post a Comment