Powered by Blogger.

Dec 31, 2008

10 personaliti paling menyerlah 2008


10 personaliti paling menyerlah 2008

PENCAPAIAN personaliti/selebriti yang disenaraikan di bawah sepanjang tahun 2008 mencatat sejarahnya tersendiri.

Pemilihan dibuat bukan atas dasar populariti semata-mata tetapi disebabkan kejayaan karier, bakat dan peribadi yang boleh dijadikan contoh. Juga atas faktor 'news value' yang dibawa oleh personaliti terbabit.

Ada antara mereka yang berjaya menukarkan situasi negatif kepada positif. Ada yang berjaya membuktikan tekanan atau desakan tidak menjejaskan karier. Semua yang tersenarai mempunyai semanjat juang yang tinggi.

Pilihan mStar dibuat atas kapasiti setiap individu, kredibiliti mereka dalam dunia masing-masing dan sejauh mana impak dan inspirasi yang dibawa oleh personaliti ini.

NABIL

Nabil menjadi rebutan semua stesen TV kerana lawaknya yang original.

Raja Lawak musim kedua ini begitu menyerlah sekali bintangnya. Tidak seperti Mawi yang memilih Maestro untuk menguruskan kerjayanya, Nabil sanggup mengambil risiko mengurus kariernya sendiri.

Ternyata pulangannya lebih lumayan dan hasilnya, Nabil menjadi rebutan kesemua TV stesen.

Yang menariknya, bintang kelahiran program Astro ini bukan milik Astro secara eksklusif. Ini dibuat atas pilihan Nabil sendiri yang tidak mahu terikat terlalu cepat dan bebas membuat pilihan.

'Siapa cepat dia dapat' - begitulah agaknya cara Nabil melobi dirinya yang semakin laris di pasaran.

Nabil pandai bergaul dan mempunyai hubungan baik dengan pihak media membuat Nabil disenangi dan beritanya sering mendapat tempat.

Daripada budak despatch yang tidak dikenali, kini namanya meniti di setiap bibir. Nabil juga sering dilabelkan sebagai pengganti Saiful Apek yang memegang takhta sebagai pelawak nombor satu negara.

Meskipun Nabil merupakan bintang kelahiran Astro, tetapi rezekinya lebih menyerlah di rangkaian saluran Media Prima Berhad (MPB) apabila menjadi salah seorang pengacara rancangan hiburan sensasi, Melodi.

Untuk tahun 2009, wajah komik Nabil akan dapat ditonton oleh para peminat setia beberapa rancangan di TV3 dan TV9.

Bagi saluran TV3, Nabil akan muncul bersama Raja Azura menerusi rancangan Ewah-Ewah, manakala di TV9 pula dalam rancangan kanak-kanak, Pondok Pondok.

MAWI

Benarkah populariti Mawi semakin pudar? Hanya masa akan menentukan....

Kejayaan Mawi adalah kejayaan Maestro juga dan begitulah sebaliknya. Pihak pengurusan Maestro bijak menyusun strategi untuk anak emasnya Mawi.

Dari berita kediaman banglo bernilai RM1.4 juta pada pertengahan tahun ini, kisah cinta dengan pelakon Nora'ashikin Rahmat atau Ikin pada 30 Mac lalu, diselit pula album baru bertajuk 'Habeebi, filem baru KRU Jin Notti, rakaman program TV Mawi Di Bumi Anbia di Timur Tengah, nama Mawi tidak pernah lekang dibibir peminatnya.

Meskipun penjualan album agak malap, Mawi masih mendapat pencalonan ke Anugerah Juara Lagu 23 bersama 'Doa Dalam Lagu' dengan penyanyi jelita Heliza.

Apa saja yang dilakukan, Raja SMS ini tetap menjadi buruan media. Tika membuat pengakuan terbuka pada akhir Oktober tahun ini tentang kisah cintanya dengan Ekin, nama Mawi sekali lagi melonjak, gara-gara sudah berpunya.

Sebelum tirai 2008 berlabuh, Mawi meraih tumpuan apabila perkahwinannya mendapat liputan meluas dari Astro. Bayangkan, selama 1 bulan lebih, kisah pernikahannya dengan Ekin diulang-ulang di media cetak dan letronik hinggalah ke 11 Januari 2009 (resepsi terakhirnya di Palace of the Golden Horses).

Bosan? Peminat Mawi tidak merasa bosan meskipun ramai yang menjangka auranya semakin pupus.

SITI NURHALIZA

Bukan senang hendak mengalahkan Datuk Siti Nurhaliza. Langsung tidak terjejas popularitinya walau ramai yang mengkritik tudung yang dikenakan.

Seorang lagi bintang popular yang pandai 'membawa diri' dan ada strategi sendiri untuk melayakkan dirinya senantiasa di tempat istimewa.

Selepas album pop 'Hadiah Daripada Hati', Siti mensasarkan album baru berkonsepkan pop Melayu dan tradisional bertajuk 'Lentera Timur' yang sudah diedarkan di pasaran baru-baru ini.

Walaupun tidak berminat bergelar pelakon, Siti tetap diburu untuk berlakon filem. Terbaru, pengarah filem Ayat-Ayat Cinta melamarnya untuk mendendangkan lagu runut bunyi filem terbaru arahannya yang bertemakan ketuhanan, bertajuk 'Perempuan Berkalung Serban.'

Dan dua buah lagu 'Ketika Cinta' dan 'Batasku Asaku' sudahpun dibuat klip video.

Gelombang perkahwinan dengan Datuk K yang aman dan bahagia kadang kala berkocak jua bila tangan-tangan nakal mula menulis dan mengusik tentang kedatangan cahaya mata yang masih belum menampakkan tanda.

Keresahan dan keterujaan bergelar ibu menjadikan Siti fokus berita.

Begitu juga dengan pilihan Siti untuk bertudung selepas kembali menunaikan Haji. Disebabkan cara pemakaian tudung Siti yang agak berlainan, maka selalu saja beliau mendapat kritikan.

AZNIL NAWAWI

Pengacara No 1 masih kekal di tangan Aznil Nawawi. Kesederhanaan, kebijaksanaan mengacarakan apa saja bentuk rancangan menjadikan Aznil tetap dekat di hati.

Pengacara nombor satu tanahair ini adalah ikon dan begitu sinonim dengan populariti Akademi Fantasia (AF).

Kebolehan Aznil, 46, mengendalikan pelbagai program memberikan kelebihan padanya. Selain AF, Aznil juga popular menerusi program bual bicara Macam-Macam Aznil (MMA).

Selepas memenangi anugerah Program TV Terbaik pada Anugerah Sri Angkasa 2004, Aznil ibarat artis contoh yang pentingkan kualiti kerja setiap masa.

Tahun depan, dua bengkel jelajah Aznil akan diadakan serentak. Salah satunya adalah anjuran Astro Ceria iaitu Suara Kita Aje dan satu lagi menyaksikan dirinya bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam program yang diberi nama Speak Up!

Pelbagai anugerah diperolehinya sepanjang 20 tahun karier seninya memahat nama Aznil sebagai selebriti yang unggul.

Pelakon/pengacara terkenal yang kreatif ini berhasrat melakukan 'hijrah' seni tidak lama lagi. Hasrat ini disuarakan selepas beliau kembali dari menyempurnakan Haji baru-baru ini.

Aznil kepingin berhijrah ke satu daerah seni yang lebih sesuai. Mudah-mudahan.

CHEF WAN

Selebriti terkenal Chef Wan banyak membawa kemasyuran pada negara Malaysia.

Selebriti masakan yang dikenali hampir seluruh dunia, Chef Wan seharusnya berbangga dengan pencapaian hidupnya hari ini.

Saban tahun, resumenya semakin cemerlang dan padat. Kejayaan tidak mengubah peribadi tukang masak terkenal ini.

Populariti yang dikecapi Chef Wan bukan hasil kerja setahun dua tetapi 25 tahun pengabdian dalam bidang yang digemarinya.

Selebriti yang peramah ini jarang berada di dalam negara kerana tugas sebagai duta masakan memasyurkan negara dan masakan tradisional.

Chef Wan juga terpaksa mengorbankan waktu untuk keluarga walaupun ketika menyambut hari raya Aidilfitri.

Tahun ini, Chef Wan terpaksa meninggalkan keluarga dan tanah air untuk beberapa rakaman program masakan di negara China. Dalam pada itu, Chef Wan sempat juga mencuri masa terbang balik untuk rakaman program khas, Ole-Ole Chef Wan Raya.

Pada bulan Julai tahun ini, Chef Wan memanaskan industri dengan berita yang dia disihirkan oleh rakan seperjuangan. Namun berita itu 'mati' begitu sahaja bila Chef Wan membuat cabaran di media.

Dan tukang masak terkenal ini kembali sibuk dengan tugasnya sebagai duta masak Malaysia ke seluruh dunia.

VERNON KEDIT

Kredibilitinya sebagai Pengurus Artis tahap profesional tidak boleh dinafikan.

Kredibiliti pengurus artis bernama Vernon Kedit-Jolly ini tidak perlu dipertikaikan lagi.

Kejayaan demi kejayaan yang diperolehi anak didiknya, penyanyi Ning Baizura adalah pembuka mata segala usaha keras Vernon selama ini.

Pengurus yang mempunyai latar belakang undang-undang dan pernah menjadi penkritik program Gang Starz ini cekap membawa perubahan positif ke atas Ning yang sebelum ini bagaikan tersadung oleh beberapa musibah.

Antara kejayaannya ialah pengiktirafan album Selagi Ada yang mencapai kejayaan besar di majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) 2003.

Semua kerja keras pengurus berpengalaman ini berjaya meletakkan Ning di tempat yang paling selesa sebagai artis pujaan tanah air.

Namun setelah 10 tahun di bawah kendalian Vernon, tiba-tiba pada bulan Oktober tahun ini, Ning dan Vernon membuat pengumuman membubarkan syarikat pengurusan Ning & Associate Sdn Bhd (NASB). Kini, Vernon adalah pengurus Nubhan dan Niki, dua artis yang bernaung di bawah anak syarikat, Artistes United Records Sdn Bhd (AURSB). Nubhan dan Niki sudahpun menunjukkan peningkatan prestasi dan imej yang dicipta oleh Vernon.

Kepakaran Vernon mengurus artis tidak ubah seperti zaman kegemilangan Mike Bernie, pengurus yang berjaya menaikkan nama-nama besar seperti Anita Sarawak, Sharifah Aini, Khatijah Ibrahim dan Allahyarham Sudirman Hj Arshad pada tahun 70-an.

ADLIN AMAN RAMLIE

Ada saja telatah Adlin Aman Ramlie yang akan menggamit memori silam kehebatan arwah ayahnya, seniman agung A.R Tompel.

Pelakon/pengarah dan penulis skrip ini mula bergiat aktif dalam industri seni tanah air sejak 1996.

Beliau terlibat secara profesional dalam pelbagai produksi teater, drama dan filem serta berkhidmat sebagai Artis Budaya di Pentarama, Jabatan Penerangan Malaysia dari 1990-1994 sebelum melanjutkan pengajian di ASK.

Kelangsungan perjalanan karier seninya cukup memberangsangkan. Selain terkenal sebagai pengkritik Akademi Fantasia dan pembabitan dalam Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical, Adlin telah diberi kepercayaan mengarah telemovie Inspirasi P Ramlee oleh Astro pada tahun ini.

Selain sentuhan magisnya pada interpretasi Teater P Ramlee The Musical arahannya yang mendapat sambutan di luar dugaan bila dipentaskan di Istana Budaya pada tahun ini.

Teater ini pernah memenangi enam trofi pada Anugerah Seni Boh Cameronian 2007 termasuk Arahan Terbaik, Skrip Asal Terbaik (Bahasa Melayu), Rekaan Set Terbaik, Muzik dan Bunyi Terbaik, Aktres Pembantu Terbaik dan Anugerah Pilihan penonton.

Di bawah syarikatnya, Trinini Media Sdn Bhd, pengarah berbakat besar ini merancang menghasilkan filem.

Anak kepada lagenda dan seniman AR Tompel ini bercita-cita untuk menghasilkan skrip serta mengarah filem pada tahun 2009.

ZIELA JALIL

Wanita cekal bernama Ziela Jalil. Bermula dari artis tapi kini bergelar produser dan penerbit.

Penerbit Pena Kreatif Pictures Sdn Bhd ini paling produktif sepanjang tahun ini.

Ziela sudah lama hidup sebagai anak seni dan sudah 'masak' dalam segala selok-belok dalam dunia lakonan. Setelah membintangi 15 buah filem dan beberapa drama, Ziela memberanikan diri menjadi seorang penerbit.

Drama terbitannya, Suara Saleha diangkat sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin 2008 terbitan TV3, baru-baru ini.

Di Anugerah Skrin 2006, drama Lebih Bisa Dari Jelatang menang empat daripada tujuh anugerah dipertandingkan iaitu drama terbaik, skrip terbaik (Mazlan Abdul Manan), pengarah terbaik (Kabir Bhatia) dan pelakon pembantu wanita terbaik (Elza Erdalynna).

Begitu juga dengan drama Anak Angkat dan Kembali juga berjaya mendapat pengiktirafan di Anugerah Skrin TV3.

Kegigihan Ziela mengusahakan syarikat produksi setelah pemergian suami tersayang, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub yang meninggal dunia pada 24 Januari lalu membuktikan beliau seorang wanita yang cekal. Ziela juga merupakan ibu kepada Puteri Julia Nabilah, 16, dan Megat Jufri Nasrullah, 13.

Aktres yang mula dikenali melalui filem Tarzan Rimba sekitar awal tahun 1990-an ini akan mula berlakon kembali dalam filem Dua Hati Satu Jiwa arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen.

Ziela menyimpan impian untuk menerbitkan filem satu hari nanti melalui syarikat produksinya, Pena Kreatif Pictures Sdn. Bhd. yang sebelum ini banyak menerbitkan drama.

NORA DANISH

Seorang lagi artis wanita yang patut menjadi contoh bagi artis wanita bermasalah. Nora Danish tersenyum di dalam duka, menangis dalam suka.

Walaupun disahkan mengandung, Nora tetap diceraikan sebanyak dua kali oleh suami, Rizal Ashram tetapi pelakon drama 'Puteri' ini sedikit tidak menunjukkan riak duka di wajah.

Keperitan hidup bila kasih diduakan juga tidak pernah dikongsi bersama media. Tidak ada sepatah kata nista yang dilemparkan pada bekas suami. Hanya senyum duka terukir di wajah manis wanita kacukan ini.

Kecekalan Nora mengharungi kehidupan sebagai ibu tunggal dalam keadaan mengandung cukup menginsafkan. Dalam usia begitu muda, Nora menunjukkan kematangan yang seharusnya dicontohi.

LINDA ONN

Linda Onn bijak mengendalikan masalah peribadi.

Sungguhpun sepanjang tahun 2008, penyampai radio popular, Linda Onn bagai dirundung malang dan diduga dengan pelbagai kontroversi, personaliti ini tidak buntu dan mampu menanggung tekanan dan bebanan yang diterima.

Daripada kontroversi tidak muncul di kaca televisyen mengendalikan acara permaidani merah Anugerah Academy ke-79 untuk Star Movies di Los Angeles, California satu ketika dulu, tidak surut dugaan yang menimpa tauke kedai Nasi Ayam ini.

Kontroversi hubungan dengan aktor Fahrin Ahmad masih belum padam, tambahan dengan episod ditengking di set Sehati Berdansa, timbul pula kisah penukaran Linda ke Sinar FM secara tiba-tiba.

Tetapi bekas penyampai radio Era FM ini adalah seorang wanita yang tabah dan bijak menggunakan situasi semasa untuk memihak kepadanya.

Sifatnya yang 'cool' membuktikan sememangnya beliau adalah seorang yang profesional.


Read more...

MUHARAM : ELAKKAN KEPERCAYAAN KARUT


Oleh: Abdul Razak bin Abd Muthalib
http://abdulrazak.com/ver1/

Bulan Muharram adalah salah satu daripada bulan agung di dalam kalendar Islam. Beberapa peristiwa penting berlaku di dalam bulan ini. Allah swt juga mengurniakan kelebihan yang banyak bagi sesiapa yang meningkatkan amal di bulan yang mulia ini. Antara yang sering diamalkan oleh umat Islam di dalam bulan ini ialah berpuasa sunat. Namun, persoalannya adakah amalan berpuasa sunat yang dilakukan ini bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw atau pun sebaliknya? Justeru, bagi menjawab persoalan ini, kita tiada pilihan lain lagi yang lebih baik kecuali menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan dan hakim bagi segala penentuan.

Jika diteliti hadith-hadith Rasulullah saw, maka kita akan dapati banyak riwayat yang membicarakan tentang amalan puasa sunat di bulan Muharam ini serta ganjarannya. Namun, satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan riwayat-riwayat tersebut memang pasti bersumberkan daripada Rasulullah saw. Ini penting kerana setiap amalan yang ingin kita lakukan mestilah bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw yang sahihah agar ianya diterima dan diberikan ganjaran pahala. 

Di antara hadith-hadith sahih yang membicarakan tentang amalan puasa di bulan Muharram ini ialah:

Hadith-hadith tentang puasa hari A’syura:

1- Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi saw datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: ((Apakah ini?)). Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda saw bersabda: ((Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu)), maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa“. (Riwayat al-Bukhari )

2- A’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah saw telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)“. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

3- Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Orang-orang Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah saw juga berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: ((Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Inilah beberapa contoh hadith sahih yang menyebut tentang puasa pada hari ‘Asyura. Daripada hadith-hadith ini dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum daripada difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah diantara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (w 852) dan al-Imam Muslim (w 676) ketika menghuraikan hadith-hadith tentang puasa ‘Asyura ini.
(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura‘ 4/245).


Fadhilat Puasa Hari ‘Asyura

Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah saw bagi sesiapa yang mengamalkan puasa sunat ini amatlah besar. Diantaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): “Bahawasanya Rasulullah saw ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda saw menjawab: ((Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu)). (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi).

Di dalam riwayat yang lain pula disebutkan bagaimana Rasulullah saw begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada hari ‘Asyura ini. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abbas bahawa beliau pernah ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura ini, lalu beliau berkata: “Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah saw berpuasa sehari kerana mencari kelebihannya di atas hari-hari yang lain kecuali pada hari ini, dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan di atas bulan-bulan yang lain kecuali bulan ini, iaitu: Ramadhan”. (Riwayat Imam Muslim)


Puasa Tasu’a (hari ke-9 Muharam)

Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharram. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:

1- Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah saw berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah saw bersabda lagi: ((Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9)). Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah saw wafat terlebih dahulu.”. (Riwayat Imam Muslim)

2- Daripada Ibn Abbas r.a berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya): ((Sekiranya aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku pasti akan berpuasa pada hari ke-9)). (Riwayat Muslim).

Imam al-Nawawi (w 676) dalam menghuraikan hadis-hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulamak di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi saw berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulamak berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10“. (Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, (Beirut: Dar al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254) .

Justeru, marilah kita merebut peluang di kesempatan bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat. Renungilah saranan yang diberikan oleh Rasulullah saw seperti mana yang diriwayatkan oleh Jundub bin Sufian bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya): ((Sesungguhnya solat yang paling utama selepas solat fardhu ialah solat diwaktu tengah malam dan puasa yang paling utama selepas puasa Ramadhan ialah puasa di bulan Allah yang kamu panggilnya Muharram)).
(Hadis riwayat Imam al-Nasa’ie dengan sanad yang sahih).

Kepercayaan dan Amalan Yang Bukan Dari Ajaran Sunnah

Kesedaran umat Islam dalam mengisi kedatangan bulan Muharam yang mulia ini dengan pelbagai amalan merupakan satu tabiat yang baik. Kita yakin bahawa semua amalan yang dilakukan ini tidak lain dan tidak bukan kecuali di atas satu niat iaitu semoga ianya akan dimasukkan dalam senarai amalan soleh yang akan diberikan ganjaran pahala di akhirat kelak. Namun, peringatan Nabi saw di dalam urusan ibadah ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Daripada A’isyah r.a berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: ((Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan daripada urusan kami (urusan agama) maka ianya akan tertolak)). (Riwayat Muslim).

Sebab itulah para ulamak, diantaranya ialah al-Fudhail bin ‘Iyadh telah meletakkan bahawa syarat utama menjadikan sesuatu amalan itu diterima ialah ikhlas kerana Allah swt dan bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw. Al-Fudhail dalam menafsirkan firman Allah di dalam surah Hud, ayat ke-8 dan surah al-Mulk ayat ke-2 iaitu (Maksudnya: (Allah menjadikan semua itu) untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya)), beliau berkata: “iaitu yang lebih ikhlas dan lebih tepat. Sesungguhnya sesuatu amalan yang dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak tepat, maka ianya tidak akan diterima, dan jika dilakukan dengan tepat tetapi tidak ikhlas, maka ianya juga tidak akan diterima, sehinggalah ianya dilakukan dengan ikhlas dan tepat“. Beliau berkata lagi: “Dan ikhlas itu ialah apabila dilakukan hanya kerana Allah ‘Azza wa Jalla semata-mata, dan yang dikatakan tepat itu ialah ianya bertepatan dengan sunnah“.
(Ibn Rejab, Jami’ al-Ulum wa al-HIkam, Tahqiq:Dr. Yusof al-Baqa’I (Bierut: al-Maktabah al-‘Asriah, cet. ke-3, 2000), hal.15)

Justeru, dalam keghairahan kita menambahkan amal ibadah di dalam bulan Muharam yang mulia ini, marilah kita mengambil sedikit masa untuk mengkaji dan menyemak semula adakah amalan-amalan yang kita lakukan itu menepati syarat-syarat yang telah digariskan ini.

Di antara amalan-amalan di bulan Muharam ini yang tidak bersumberkan sunnah Rasulullah saw yang sahihah ialah:

1- Memakai celak pada hari ‘Asyura dengan kepercayaan ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya. Amalan ini diambil daripada hadis maudhu’ yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, bahawa Rasulullah saw bersabda: ((Sesiapa yang memakai celak mata daripada arang pencelak mata pada hari ‘Asyura’, maka ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya)). (Rujuk: al-Albani, Silsilah Ahadith al-Dhaifah, 624). Ibn al-Jauzi, al-Maudhu ‘at, 2/116)

Hadis ini hukumnya maudhu’ (palsu). Imam Ahmad berkata: “Tidak ada riwayat (yang sahih) daripada Rasulullah saw tentang amalan memakai celak pada hari ‘Asyura, dan ianya adalah bid’ah“.

2- Solat sunat yang khusus pada hari ‘Asyura. Amalan ini juga bersumberkan hadis maudhu’: ((Sesiapa yang sembahyang padanya (hari ‘Asyura) empat rakaat, ia membaca pada setiap rakaat sekali surah al-Fatihah, dan lima puluh kali Qullhuwallhu ahad, maka Allah akan mengampunkan dosanya lima puluh tahun)).

3- Mandi yang khusus pada hari ‘Asyura’ dengan tanggapan dapat menghindarkan diri daripada sebarang sakit pada sepanjang tahun. Amalan ini juga bersandarkan kepada sebuah hadis maudhu’: ((Barang siapa yang mandi dan bersuci pada hari ‘Asyura’, ia tidak akan ditimpa sebarang sakit pada sepanjang tahun, kecuali mati)).

4- Melebihkan pemberian seperti makanan, minuman, pakaian kepada ahli keluarga pada hari ‘Asyura’ dengan harapan semoga akan dimurahkan rezeki sepanjang tahun. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis daripada ‘Alqamah bin Abdullah bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: ((Sesiapa yang melapangkan pemberian (makanan, minuman, pakaian) kepada ahli keluarganya, pada hari ‘Asyura’, nescaya Allah akan melapangkan ke atasnya rezeki di sepanjang tahunnya)). Hadis ini hukumnya maudhu’, disebut oleh Ibn al-Jauzi di dalam kitabnya al-Maudhu’at,2/115).

5- Menyediakan makanan yang khas seperti bubur (bubur ‘Asyura) yang dikaitkan dengan sunnah Rasulullah saw atau disandarkan kepada peristiwa nabi Nuh a.s yang menyuruh para pengikutnya memasak daripada sisa-sisa makanan dan biji-bijian setelah mendarat dan selamat daripada taufan besar. Ini juga adalah tanggapan yang tidak benar dan ianya bersumberkan daripada cerita-cerita dongeng Israiliyat. Inilah yang disebut oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam kitab “Qashas al-Anbiya’.

6- Membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Tidak terdapat sebarang hadis sahih yang menyebut tentang amalan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun dengan jaminan penghapusan dosa setahun yang lepas. sepertimana yang diamalkan oleh sesetengah daripada umat Islam. Demikian juga tidak ada hadis-hadis sahih yang menyebut doa tersebut secara khusus.

Al-Syeikh Ali Mahfuz di dalam kitabnya al-Ibda’ fi Madhar al-Ibtida’ menyebut bahawa kebanyakan hadis-hadis maudhu’ ini yang berkaitan dengan amalan di bulan Muharam khasnya pada hari ‘Asyura telah dicipta oleh golongan pembunuh al-Husaian. Beliau juga memetik kata-kata al-Allamah Ibn al-‘Izz al-Hanafi: “Sesungguhnya tidak sahih daripada Nabi saw sebarang amalan pun pada hari ‘Asyura selain daripada puasa Baginda. Ada pun golongan Rafidhah melakukan bid’ah dengan mengadakan upacara berkabung demi melahirkan kesedihan di atas pembunuhan al-Husain pada hari ini. Dan golongan yang jahil daripada Ahli Sunnah menzahirkan kegembiraan mereka dengan membuat makanan dari biji-bijian (bubur) dan memakai celak dan mereka meriwayatkan hadith-hadith maudhu’tentang bercelak mata dan melapangkan pemberian makanan dan pakaian kepada ahli keluarga“.
(Syiekh ‘Ali Mahfuz, al-Ibda’ fi Madhar al-Ibtida’ (Beirut: Dar Kutub al-Ilmiah, Cet. 1, 2001), hal. 271)

Demikianlah beberapa contoh daripada amalan-amalan umat Islam di dalam bulan Muharam ini yang tidak bersumberkan daripada sunnah Rasulullah saw yang sahih, mahu pun para sahabat dan para Imam kaum muslimin. Justeru, jalan yang terbaik ialah dengan mengikuti sunnah Baginda saw, dan seburuk-buruk perkara pula ialah mencipta sesuatu yang baru di dalam urusan agama. Semoga kita semua diberikan petunjuk oleh Allah swt untuk mengikuti sunnah Rasulullah saw.


Read more...

Dec 30, 2008

Ziarah Kubur

1. Ziarah Kubur

1.1 Tersebut dalam kitab I'anah At-Thalibin, adalah sunat bagi kaum lelaki menziarahi kubur dan makruh bagi kaum wanita. Ini beralasan suatu ketika Rasulullah s.a.w. melihat seorang wanita menangis atas kubur anaknya.
Maka sabda baginda, maksudnya:
"Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah"
(Ittifaq Bukhari dan Muslim)

Kalaulah haram wanita ziarah kubur nescaya ditegahnya wanita itu. Adapun hadith yang bermaksud, "Allah melaknat wanita-wanita menziarahi kubur" memberi erti wanita yang datang meraung, menangis di atas kubur boleh mendatangkan fitnah, sememangnya dilarang. Sebahagian ulamak mengatakan hadith melarang wanita ziarah kubur telah dimansuhkan oleh hadith yang bermaksud:
Dari Buraidah al-Aslami r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: Aku dahulu melarang kamu dari menziarahi kubur, maka sekarang ziarahlah kubur (kerana ada baiknya)."
(Riwayat Muslim)

1.2 Ketika sampai di kawasan kubur adalah sunat memberi salam.
1.3 Menghadiahkan bacaan ayat suci al-Quran, terdapat dalam hadith Nabi menganjur supaya membaca :

i. Surah Yaasin

ii. Surah al-Ikhlas
iii. Surah al-Falaq
iv. Surah an-Nas

v. Surah al-Fatihah

1.4 Islam melarang menziarah kubur. Jika menjadikan kubur itu sebagai Tawassul, memuja atau dijadikan temasya.

1.5 Berdoa kepada arwah
Tersebut dalam kitab al-Azhar, kata Imam Nawawi telah menjadi Ijmak Ulama' (Assyafieyah) bahawa berdoa dan menghadiahkan pahalanya kepada orang-orang islam yang telah meniggal dunia berfaedah dan sampai pahalanya. Dalam kitab al-Irsyad wa syarhih Ibnu Hajar menambah samada doa itu dari warisnya atau orang lain.
Dalilnya firman Allah s.w.t. surah al-Hasyr ayat 10 yang bermaksud:
"Dan orang-orang Islam yang datang kemudian daripada mereka berdoa dengan katanya, wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami."

1.6 Wanita Ziarah Kubur.

Terdapat sebahagian ulama' mengatakan sunat bagi wanita menziarahi makam Rasul, Ambia, Para Ulama' dan orang-orang solih (lihat l'anah at-Thalibin)


Read more...

Dec 29, 2008

Mencari makna baru di sebalik peristiwa hijrah



Mencari makna baru di sebalik peristiwa hijrah

Oleh Mohd Farid Mohd Shahran
rencanabh@bharian.com.my


GENERASI muda Islam perlu dilengkapkan dengan ilmu dunia dan akhirat untuk menjadi insan cemerlang. - Gambar hiasan

Ummah mesti jadikan sejarah penghijrahan, perjuangan Rasulullah pencetus kejayaan 

SEBAGAI junjungan besar yang sentiasa diagungkan oleh umat Islam, segala detik peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sentiasa dianggap penting dan bermakna oleh masyarakat Islam. 

Nabi Muhammad, bagi mereka bukan manusia biasa yang boleh diletakkan beriringan dengan sosok lain dalam sejarah kemanusiaan. Baginda adalah rasul junjungan dan insan kamil yang diutus Allah SWT bagi menzahirkan kesempurnaan akhlak manusia.

Baginda manusia paling tinggi martabat kerohaniannya dan paling disayangi Allah SWT. Walaupun Baginda seperti manusia lain, hadir dalam latar lingkungan sejarah dan geografi tertentu, peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan Baginda tetap mengungkapkan pengajaran sejagat yang sentiasa abadi dan segar kepada diri setiap Muslim. 

Begitu juga peristiwa hijrah yang dilalui Nabi Muhammad SAW. Ia adalah detik perpindahan dakwah Nabi daripada peringkat pertama di Makkah yang penuh mihnah pesona serta cabaran yang amat mencengkam ke tahap mengancam nyawa Baginda sendiri, ke peringkat kedua di Madinah yang lebih meluas ruang dakwahnya serta menjanjikan cahaya kemenangan. 

Dari segi pensyariatan agama, hijrah adalah dasawarsa baru dalam pelaksanaan undang-undang agama yang lebih berasaskan muamalah dan kemasyarakatan berbanding peringkat Makkah yang lebih tertumpu kepada pengukuhan akidah serta pandangan alam Islam. Namun, di sebalik dimensi sejarah yang selalu diulang sama ada dalam pengajian sirah atau pada siri ceramah maal hijrah, peristiwa ini sesungguhnya menyampaikan kita kepada beberapa pengajaran lebih mendalam dan amat terkait untuk kehidupan sekarang.

Antara hikmah penting di sebalik peristiwa hijrah yang harus diteladani terutama umat Islam zaman ini yang berdepan pelbagai fitnah dan cabaran ialah gambaran sikap realistik serta kebijaksanaan nabi apabila berdepan cabaran dan ancaman semasa. 

Di samping hakikat bahawa Nabi Muhammad SAW ialah insan terpilih dan terbaik di kalangan seluruh makhluk Allah, insan yang mustajab doanya dan dikurnia mukjizat, kehidupan nabi juga seperti manusia lain menurut sunnatullah yang tidak lari daripada cabaran dan pedih getir kehidupan. Dengan kata lain, kehidupan Nabi Muhammad SAW juga terikat dengan batasan manusiawi yang terpaksa melalui pelbagai ranjau perjuangan hidup. Inilah yang terjelma antara lain daripada peristiwa hijrah Baginda apabila sunnatullah mengajar golongan lemah walaupun amat sukar mengalahkan pihak lebih kuat terutama yang mempunyai persediaan. 

Sebagai golongan yang baru muncul, kecil jumlahnya dan kurang persiapan, tekanan serta ancaman yang ditujukan kaum Musyrikin di Makkah ternyata terlalu kuat untuk dihadapi Baginda dan umat Muslimin ketika itu. Justeru, perpindahan dari Makkah bagi menyelamatkan golongan Muslimin tidak dapat dielakkan. 

Nabi Muhammad SAW perlu mencari ruang dan kekuatan baru di Madinah untuk memperkukuhkan kedudukan agama Islam. Apakah noktah pengajaran yang dapat diambil masyarakat Islam sekarang daripada hakikat hijrah Baginda?

Jika Nabi Muhammad SAW insan terpilih yang dikurniakan Allah SWT pelbagai bentuk mukjizat menyedari hakikat bahawa Baginda harus bertindak berdasarkan waqi' semasa, berdasarkan kekuatan dan kelemahan manusiawi, umat Islam dewasa ini pasti harus lebih menyedari mengenai waqi' kehidupan yang melingkungi mereka. Secara umumnya, masyarakat Islam memang berada dalam keadaan lemah. Dilihat dari segi fizikal dan ketenteraan, kekayaan ekonomi, malah kesatuan, mereka agak tertinggal berbanding masyarakat lain terutama Barat. 

Namun, ada sekelompok masyarakat Islam yang gagal menyedari hakikat ini lantas bertindak seolah-seolah mereka berada di dalam keadaan yang kuat. Mereka mengambil tindakan di luar batasan waqi' semasa yang ada pada masyarakat Islam. Ini merujuk tindakan sekelompok umat Islam yang mengebom, menculik serta membunuh membabitkan manusia tidak berdosa yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Kita tidak menafikan sebahagian peristiwa itu adalah tindak balas terhadap tindakan politik yang dilakukan kuasa besar terhadap beberapa negara Islam atau perencanaan pihak tertentu. 

Namun, cara bertindak yang dilakukan ternyata tidak menguntungkan masyarakat Islam keseluruhan terutama apabila dilihat dari sudut kekuatan ummah dan kesediaan mereka menghadapi tindakan balas jika berlaku. 

Kita lihat sebahagian besar tindakan seperti ini sekadar mengundang tindakan balas lebih buruk kepada masyarakat Islam seperti di Afghanistan dan Iraq. Paling penting tindakan ini turut menggambarkan kerangka pemikiran ekstrem hasil kekeliruan mengenai ajaran Islam. 

Di sinilah pentingnya pengajaran peristiwa hijrah yang merakamkan Nabi Muhammad SAW bertindak berdasarkan kekuatan dan kemampuan Baginda apabila mengambil keputusan untuk melakukan hijrah. Dengan kata lain, peristiwa hijrah memberi iktibar bahawa kita harus mengumpul kekuatan dan tidak bertindak menzahirkan kekuatan sebelum masanya, apatah lagi bertindak di luar kebijaksanaan. Sesungguhnya ini antara makna hijrah baru yang harus kita manfaatkan dalam realiti kehidupan sekarang. 

Dengan menyedari bahawa umat Islam berada dalam keadaan lemah bukan bermakna kita pasrah dengan keadaan yang ada. Di samping ingatan bahawa umat Islam harus terus memperbaiki kelemahan mereka dan mempersiapkan kekuatan fizikal seperti disaran al-Qur'an, seperkara yang juga penting ialah hakikat kekuatan Islam sebenarnya masih boleh dijelmakan dalam pelbagai dimensi lain. 

Misalnya umat Islam masih kuat dan kukuh dari segi kepercayaan agama dan akhlak, terutama dalam menolak fahaman yang bertentangan dengan agama. Berbanding Islam, sebahagian agama lain misalnya, sudah berkompromi dan mengorbankan doktrin agama mereka dengan membuka pintu kepada kemasukan aliran asing seperti sekularisme dan sinkretisme. 

Disebabkan kelemahan sistem kepercayaan mereka, agama terbabit mengubah dasar dan kepercayaan bersesuaian dengan ideologi berkenaan. Namun, Islam berkat kekuatan pendidikan agama dan pertahanan ilmiah yang dilakukan ilmuwannya sepanjang zaman masih kukuh bertahan daripada ancaman aliran pemikiran asing. 

Kekuatan Islam ini harus dipertahan dan diperkukuhkan melalui pendidikan yang betul tanpa semestinya membabitkan penzahiran dari segi kekuatan fizikal dan ketenteraan. Dari segi strategi, umat Islam memang lemah kekuatan fizikal, seharusnya mereka menumpukan perhatian dalam memperkukuhkan aspek keilmuan dan pendidikan. 

Tindakan ini juga adalah jihad besar dan harus dilakukan dengan gigih dan serius, malah ia juga 'peperangan' yang membabitkan persediaan kekuatan dari segi intelektual dan keilmuan. Jika kita prihatin terhadap pembunuhan dan serangan ke atas negara Islam oleh kuasa Barat, kita juga harus lebih prihatin terhadap serangan pemikiran asing yang 'mengorbankan' dan mengelirukan jutaan masyarakat Islam. 

Peperangan inilah yang nampaknya banyak dilupakan sebahagian masyarakat Islam apabila kerangka berfikir mereka amat tertumpu kepada penyelesaian daripada aspek siasah dan ketenteraan. Jika ditinjau dari segi sejarah, aspek inilah yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun. Zat kepada kekuatan Islam, dengan kata lain ialah kekuatan kepercayaan dan keilmuan. Mungkin ini antara makna dan rahsia hijrah yang harus diingatkan kepada masyarakat Islam. Hijrah bukan sekadar berpindah kepada suasana baru, malah juga mengembalikan diri kita kepada suasana yang kita sudah pun berada sebelumnya. 

Jika sebelum ini tamadun Islam terletak kepada kekuatan iman dan ilmu, marilah kita berusaha berhijrah dengan mengembalikan kekuatan itu kepada umat Islam. 

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Read more...

Lesung batu hadiah paling istimewa Mawi-Ekin


Lesung batu hadiah paling istimewa Mawi-Ekin

Biarpun majlis perkahwinan pasangan merpati dua sejoli ini berlangsung dengan meriah namun berhampiran dengan kawasan dewan tempat persandingan mereka terdapat beberapa kain rentang yang tertera kata-kata seolah-olah orang kampung Felda Taib Andak berkecil hati dengan penyanyi popular itu.

Antara kata-kata yang terpapar di kain rnetang ialah Selamat datang ke Felda Taib Andak. Penduduk kampung mengalu-alukan kehadiran tetamu-tetamu majlis perkahwinan Mawi. Untuk makluman, penduduk kampung tidak terlibat secara langsung dengan majlis ini. Majlis perkahwinan Mawi adalah majlis persendirian yang diuruskan sepenuhnya oleh Maestro. Pihak Maestro bertanggungjawab ke atas sebarang kesulitan yang dialami oleh tetamu yang hadir.

Ketika yang diajukan persoalan benarkah sebagai didakwa, Mawi tenang berkata:

"Apa yang nak saya jelaskan, sepanjang majlis ini berlangsung kami mendapat kerjasama yang baik daripada orang kampung terutamanya ketua kampung sendiri, Hanafiah Hussien.

Pasangan yang sama cantik dan sama padan bersanding di kampung halaman Mawi semalam.

"Malah bukan saja ketua kampung tapi orang-orang kampung turut sama dalam membantu dalam menyiapkan persiapan terakih kami.

"Bagi saya ia tak beri apa-apa gangguan. Lagipun saya rasa isu ini tak perlu diperbesarkan lagi. Rasa tidak puas hati pasti timbul kerana bukan senang nak puaskan hati semua pihak," kata Mawi tenang.

BAHANG KEMERIAHAN MASIH TERASA

Bahang kemeriahan perkahwinan bintang popular, Mawi dan Ekin masih terasa biarpun sudah lebih seminggu pasangan ini berumahtanggga.

Tarian Kuda Kepang dipersembahkan untuk 'Raja Sehari' di Felda Taib Andak.

Dua majlis resepsi yang berlangsung satu di Johor Bharu dan semalam di Kulai terus memahat majlis perkahwinan Raja SMS ini sebagai 'Wedding of the Year'.

Biarpun si empunya diri, Mawi mahukan sebuah perkahwinan yang ringkas namun populariti yang dimilikinya menjadikan majlis perkahwinannya diberi liputan meluas oleh stesen berbayar Astro.

Malah bukan sahaja Astro yang menaja perkahwinan penyanyi popular ini malah beberapa syarikat gergasi yang punya nama yang gah di persada perniagaan turut tidak ketinggalan menaja perkahwinan mereka.

Antaranya adalah Habib Jewels, Jakel Trading, R&Z Corporation dan LC Catering.

Paling istimewa si pelantun lagu Aduh Saliha ini diarak dengan menaiki helikopter dari perkarangan hotel Sofitel menuju ke Padang Awam di Felda Taib Andak.

Lambaian untuk peminat tersayang. mawi dan isteri kelihatan riang melihat begitu ramai tetamu dan peminat yang hadir.

Sejarah yang tercatat semalam memahatkan nama Mawi sebagai artis pertama yang diarak dengan helikopter dalam sebuah majlis perkahwinan.

Bagi si empunya diri, beliau menerima pelawaan tersebut sebagai hadiah perkahwinannya kerana pihak yang menaja helikopter tersebut, Salleh Hussein yang lebih dikenali sebagai Pak Teh merupakan sahabat baiknya.

Ditanya perasaannya diarak dengan menaiki helikopter, penyanyi yang mendapat gelaran bintang popular tiga kali berturut-turut ini menyifatkan ia sebagai kenangan indah dalam hidupnya.

Mawi dan isteri disandingkan sekali lagi di Felda Taib Andak.

"Ini kali keempat saya naik helikopter. Alhamdulillah perasaan gugup itu dah tak ada, tapi makin lama makin seronok. Masa dalam helikopter pun kami sempat ambil gambar," kata Mawi yang popular dengan lagu Kian.

Sementara bagi Ekin yang jelita bak puteri kraton dalam busana Jawa berkata beliau sangat teruja dan seronok apabila diarak dengan helikopter tersebut.

"Memang rasa seronok sangat sebab Ekin tak pernah naik helikopter. Alhamdulillah hari ini rasa puas hati sangat," ujar Ekin.

Ekin sudah mula memasak

Genap seminggu berumahtannga pasti banyak memori indah yang telah dilalui pasangan merpati dua sejoli ini, menceritakan pengalamannya bergelar suami, Mawi berkata beliau seolah berada di dunia yang baru selepas berkahwin.

"Kini tanggungjawab lebih sikit dan perhatian pada isteri pun kena bagi lebih sikit. Sekarang ini bangun tido dah ada makanan untuk saya. Itu yang paling best," ujar Mawi sambil melirik manja ke wajah isteri tersayang di sisinya.

Menurut Mawi lagi, masakan sambal sardin dan telur masak kicap merupakan dua masakan pertama yang dimasak oleh Ekin untuknya.

Bagi Ekin pula, lebih seminggu memegang status isteri kepada bintang popular itu merupakan saat indah yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

"Banyak perubahan saya ketara. Lagi banyak tanggungjawab. So, far saya seronok sangat, bila bosan sekarang ni ada orang nak berbual terutamanya sebelum dan selepas bangun tido.

"Dulu memang ada Ain (kembar Ekin) tapi bila dia keluar dengan tunang dia, saya kena tinggal sorang-sorang dan sekarang tak de dah sebab saya ada Mawi,” ujarnya ceria.

DAPAT HADIAH LESUNG BATU

Ditanya mengenai hadiah paling istimewa yang diperolehinya Mawi berkata, terlalu banyak hadiah istimewa yang diperolehinya.

"Tapi dalam banyak-banyak hadiah yang kami terima ada tu, kami dapat batu lesung," katanya yang diikuti dengan gelak tawa pihak media yang lucu mendengarnya.

Selain daripada itu, menurut Ekin mereka juga banyak terima barang peralatan rumah untuk rumah baru mereka.

BERSANDING DI PADANG HADIAH UNTUK PEMINAT

Mengikut jejak artis popular lain, Mawi turut mengambil langkah yang serupa apabila bersanding di pelamin khas di padang buat ribuan peminat-peminatnya.

Biarpun cuaca panas terik semalam, namun ribuan peminat juara AF3 ini tidak berganjak dan terus setia menantikan ketibaan artis kesayangan mereka.

Bagi Mawi persandingan di padang itu merupakan hadiah dan tanda terima kasihnya yang tidak terhingga buat semua peminatnya.

"Ini hadiah untuk peminat-peminat yang telah banyak berkorban dan menyokong saya selama ini. Mereka lah yang banyak mengundi saya dalam apa jua pertandingan dan sebagai tanda terima kasih saya buat persandingan di padang untuk mereka," ujar Mawi.

EKIN JADI DUTA ARIYANI Menjadi isteri kepada bintang popular turut memberi tempias glamour kepada sang isteri dan begitulah hal nya dengan Ekin apabila dia dipilih menjadi duta tudung Ariyani milik syarikat kain terkenal, Jakel Trading.

"Lima hari sebelum kami bernikah, saya dah tanda tangani kontrak jadi duta tudung Ariyani. Kami dah sign kontrak selama setahun dulu dan kalau bagus mungkin ia akan diteruskan untuk dua atau tiga tahun lagi," ujar pelakon yang pernah membintangi drama bersiri Kawan.

Difahamkan kontrak tersebut bernilai ratusan ribu ringgit. Namun Ekin enggan megulas mengenainya.

Mengenai karier lakonannya Ekin berkata Mawi tidak pernah menghalang dia dari terus berlakon.

"Mawi tidak pernah halang cuma kena tengok wataknya. Kalau mintak untuk buka tudung memang saya tak akan terima," kata Ekin yang masih memanggil Mawi dengan panggilan Cik Wiwi dan Mawi masih memanggilnya Cik Kikin.

Pasangan ini akan disandingkan buat kali ketiga di Palace of The Golden Horses pada 11 Januari depan dengan tema Arab dan dianggarkan 1500 tetamu jemputan termasuklah VVIP dan barisan artis tanah air akan hadir pada majlis persandingan tersebut.


Read more...

Dec 24, 2008

Yoga hanya senaman kenyataan mengelirukan

Yoga hanya senaman kenyataan mengelirukan

Oleh Zakaria Othman

KETEGASAN kepemimpinan terhadap beberapa pihak yang mempertikai fatwa pengharaman yoga oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memperlihatkan kesungguhan memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai penyelewengan akidah melalui yoga.

Namun, tidak dinafikan sesetengah kita ternyata masih keliru dengan penggunaan mantera dalam yoga. Mereka cuba mengasingkan senaman yoga dan mantera. Lalu membuat justifikasi, senaman yoga tanpa mantera adalah halal kerana ia sekadar amalan fizikal yang membawa kebaikan untuk kesihatan pengamalnya.

Kenyataan itu mengelirukan dan perlu dibincang secara ilmiah supaya semua pihak jelas dengan sesuatu hukum berkaitan. Sebenarnya, isu yoga bukan sekadar kebergantungan kepada mantera dan produk kesihatannya, tetapi senaman itu terdiri daripada pelbagai instrumen keagamaan Hindu.
Buktinya, “Sesungguhnya tempat duduk diri adalah hati .... sesungguhnya secara bertahap sampai ke realisasi ini naik ke langit. Inilah yang disebut diri. Ia abadi. Ialah Brahma. Sesungguhnya ada tiga suku kata: Sat - ti - yam ..” Di sini ada benteng bernama Aparjitah; dan ada apartmen emas Tuhan ....' (rujuk The Chandogya Upanishad halaman 288 - 289)

Dalam kitab Upanishad disebutkan: “Tuhan meliputi semua diameter syurga. Dia lahir daripada keabadian. Dia ada di dalam rahim. Dia sudah dilahirkan dan akan dilahirkan.” (Upanishad 424)

Berdasarkan keterangan di atas, jelas kepada kita senaman ini berasal daripada kepercayaan Hindu. Ia bukan sekadar kedudukan biasa, sebaliknya mempunyai prinsip teologi tersendiri dalam agama Hindu. Pengamalnya melakukan senaman sedemikian berdasarkan kepercayaan demi mencapai maksud tertentu. Walau dilihat dalam bentuk duduk atau senaman, formasi berkenaan sinonim dengan amalan keagamaan Hindu.

Jika jelas senaman atau formasi yoga sinonim dengan keagamaan Hindu, maka umat Islam ditegah daripada mengamalkannya. Ketentuan itu berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka seseorang itu terdiri daripada kalangan mereka (kaum berkenaan).”

Penyamaan dalam hadis itu merujuk asal usul fahaman, perbuatan dan pegangan. Jika ada sebarang perkataan, perbuatan dan pegangan Muslim menyerupai doktrin Yahudi, Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain, ia dikira tergolong ke dalam golongan mereka.

Penyamaan dalam bentuk kepercayaan disusuli dengan perbuatan secara langsung adalah haram yang ditetapkan secara ijmak.

Hadis itu juga secara tidak langsung menggambarkan kepada kita umat Islam perlu kekal dengan identiti dan jati diri mereka sebagai Muslim. Mereka dilarang menyerupai golongan Musyrikin disebabkan akidah Muslim terangkum tiga dimensi iaitu perkataan, perbuatan dan pegangan.

Justeru, jika umat Islam tidak membaca mantera sekalipun tidak semestinya yoga halal kerana formasi dan senaman itu adalah simbolik yang sinonim dengan doktrin kepercayaan Hindu dan Islam menegah umatnya melakukan acara berteraskan kepada kepercayaan agama lain.

Ada juga pihak yang cuba menghalalkan yoga atas alasan ia produk kesihatan untuk pengamalnya. Hujah ini boleh disanggah dengan beberapa kriteria:

l Asal usul yoga adalah daripada keagamaan Hindu. Sama ada diamalkan sedikit, juzuk tertentu atau sebahagian ia tetap haram kerana Islam tidak membenarkan umatnya menyerupai upacara keagamaan lain.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Perkara yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas.” Jika senaman ini jelas berlatarbelakangkan keagamaan Hindu, mengapa pula ia ingin diamalkan orang Islam? Bolehkah umat Islam mencantum pegangan Islamnya dengan amalan Hindu? Jawabnya, tidak sama sekali. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan tokok tambah dalam urusan kami (agama) nescaya tertolak.”

l Kaedah fiqhiyyah menyebut, asal pada percakapan (kalam) adalah hakikat. Oleh itu, mari kita sama-sama memahami apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan yoga?

Kamus Dewan (edisi keempat) menyatakan yoga ialah sistem falsafah Hindu yang bertujuan menyatukan diri dengan tuhan dengan mengheningkan fikiran (bertafakur) melalui beberapa senaman gerak badan dan fikiran. Ia juga membawa maksud senaman pelbagai cara untuk menenangkan fikiran seperti bertafakur, terutama satu siri senaman gerak badan yang bertujuan mewujudkan keadaan badan dan fikiran yang sihat.

Menurut sebuah ensiklopedia, yoga merujuk kepada disiplin tradisional berkaitan fizikal dan mental yang berasal dari India; matlamat yang dicapai melalui disiplin ini; dan satu daripada enam fahaman ortodoks (astika) dalam falsafah Hindu. Istilah yoga dalam bahasa Sanskrit, berasal daripada kata yuj, memberikan banyak makna seperti mengawal, menggalas dan menyatukan. Terjemahannya termasuk bergabung, bersatu, kesatuan, penghubung, jalan atau cara.

Yoga dikatakan mempunyai beberapa cabang antaranya Raja Yoga, Karma Yoga, Jnana Yoga, Bhakti Yoga dan Hatha Yoga. Sebenarnya, banyak teks Hindu membincangkan aspek yoga, termasuk Veda, Upanishad, Bhagavad Gita, Hatha Yoga Pradipika, Shiva Samhita dan pelbagai Tantra.

Kesimpulannya, jika diketahui hakikat yoga sinonim dengan Hindu itu diharamkan, Islam pula menggariskan dengan kaedah: “Sesuatu yang haram dilakukan, haram pula untuk dituntut” atau “sesuatu yang haram diambil, haram pula untuk diberikan.”

“Apabila berhimpun perkara yang halal dan haram, maka dimenangkan yang haram ke atas yang halal.” Kaedah ini boleh diguna pakai merangkumi perbuatan yang sedikit, juzuk tertentu atau sebahagian daripada pengharaman berkenaan. Justeru, kandungan mantera saja bukan menggambarkan keseluruhan yoga. Dalam Islam, hukum diputuskan tidak diambil secara juz’iyyah, bahkan turut merangkumi keseluruhan sesuatu pengertian. Oleh itu, mantera dan amalan kesihatan bukan alasan untuk menghalalkan yoga.

Sebahagian masyarakat Muslim hari ini terbabas dalam masalah ini. Masyarakat yang tandus agama mudah saja menyimpulkan sesuatu perkara dengan rasionalisme mereka. Akhirnya, mereka cuba memahami yoga melalui pendekatan liberal. Asal rasional, ia dilihat baik, maka ia dibolehkan.

Mereka sebenarnya lupa ‘matlamat tidak menghalalkan cara’. Ketahuilah, bahawa yoga tidak boleh ditetapkan dengan unsur rasional akal semata-mata. Jika ditetapkan sesuatu berdasarkan rasional akal semata-mata, ternyata kita mendahului akal berbanding naqal.

Penetapan itu dijelaskan Imam al-Syafie: “Sesiapa yang menganggap baik sesuatu perkara (yang tidak jelas) dia sebenarnya sudah meletakkan hukum syarak.” Penetapan hukum secara seperti ini ditegah Islam kerana anda sudah mendahului penetapan nas syarak.

Selain itu, senario menghalalkan sesuatu yang jelas haram juga boleh dikatakan sebagai satu tokok tambah dalam agama. Amalan yang direka cipta tidak berdasarkan ketentuan syarak. Bahkan bertentangan petunjuk syarak dikira sebagai reka cipta yang sesat atau bidah dholalah.

Amalan itu dianggap bidah dholalah (reka cipta yang sesat) kerana bukan daripada Islam. Bahkan bertentangan dengan Islam. Justeru, dalam kes ini, umat Islam wajib menjauhi amalan yoga serta- merta kerana ia bukan dari Islam dan bertentangan dengan Islam.

Tidak hairanlah jika Majlis Agama Islam Singapura (MUIS) mengeluarkan fatwa mengenai yoga dengan mengklasifikasikannya perkara bidaah yang menyesatkan.

Sedarlah bahawa Islam agama yang lengkap dan sempurna menawarkan pelbagai produk untuk kesihatan manusia sama ada sudut fizikal, mental, mahupun spiritual. Namun apabila manusia gagal memahami dan mengenali Islam dengan mata hati yang suci, maka pemahaman Islam mereka dicampuri pelbagai unsur luar.

Akhirnya, ummah terjebak dengan pelbagai amalan karut bertentangan Islam dalam keadaan tidak sedar. Lebih menyedihkan apabila ada pihak menubuhkan kelab eksklusif berasaskan yoga dan menjadikannya sumber pendapatan. Apakah kita mahu rezeki yang mengalir dalam urat nadi daripada sumber haram? Fikirkanlah.

Kebimbangan serius ini menjadi aliran masyarakat kita hari ini. Apabila sesuatu fatwa diputuskan terhadap sesuatu perkara, ada kelompok masyarakat bangun membantah. Golongan itu tidak segan silu melaungkan penentangan terhadap fatwa yang diputuskan ulama berdasarkan kajian mendalam. Mereka yang bersikap seperti ini persis pemimpin jahiliah kuno.

Meneliti beberapa pandangan masyarakat mengenai yoga yang diharamkan, ada antaranya menyatakan mereka beramal dengan senaman yoga, melakukan beberapa amalan senaman seperti membakar colok, membaca mantera dan pergerakan yoga, tetapi hati tetap percaya kepada Allah serta mendakwa akidah mereka masih utuh dan tidak terpesong.

Sebenarnya, mereka sudah menyekutukan Allah dalam keadaan tidak sedar. Inilah natijahnya apabila umat Islam dangkal mengenai pegangan ilmu tauhid. Sebagai Muslim, kita patut bersyukur kerana masih ada ulama dan agensi agama yang mengambil berat pegangan akidah umat Islam. Kita harus menyokong hukum yang memang bertujuan menjaga maslahah umum.

Tidak ada satu pun hukum yang dikeluarkan mengongkong hak manusia. Sebaliknya setiap hukum dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang dianggotai kalangan mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidangnya adalah untuk kebaikan ummah.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bertindak secara proaktif sudah menjalankan kajian terhadap amalan yoga sehingga berjaya dibentangkan pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan baru-baru ini.

Walaupun keputusan itu mendatangkan pelbagai reaksi kurang enak, sebenarnya Jakim berjaya menyentak pemikiran masyarakat dengan hukum kontemporari yang berani. Dalam menangani isu ini, kita perlu bijak bertindak.

Muzakarah pada peringkat negeri perlu disegerakan dan diwartakan fatwa berkenaan dalam bidang kuasa masing-masing. Pewartaan pula membolehkan kita menguatkuasakan undang-undang berdasarkan enakmen sedia ada.



Penulis ialah Exco Penerangan dan Penerbitan Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Agama (PKPU) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Read more...

Selebriti bercerai: Yang misteri, rahsia dan pelik!

HAJAT di hati ingin bersama kalau boleh hingga ke hujung nyawa tapi kuasa Allah tiada siapa yang tahu.

Mungkin itu yang selalu dirasakan oleh mereka yang kecundang melayari bahtera rumahtangga. Walau berapa talak yang diberi, momen indah tetap terpahat di dalam hati.

Tidak wajar menuding jari, baik suami atau isteri kerana bertepuk tangan sebelah tidak berbunyi. Lagipun, tiada siapa yang inginkan penceraian, apatah lagi jika ada anak kecil yang tidak berdosa menjadi korban.

Rata-rata kehadiran orang ketiga menjadi penyebab rumahtangga bergolak dan akhirnya pecah. Tapi ada juga yang masih bertahan sungguhpun si suami bermain kayu tiga.

NORA DANISH-TOH MUDA RIZAL ASHRAM

Saat-saat manis Nora Danish bersama suami. Ketika membawa perut, Nora ditinggalkan begitu saja.

'Masih mengandung diceraikan'

Tergamakkah si suami menceraikan isteri bila isteri memboyot membawa anak di dalam perut? Tapi itulah yang terjadi apabila nafsu menguasai diri.

Mahkamah Rendah Syariah mengesahkan DUA lafaz cerai Rizal Ashram Ramli, 32, terhadap isterinya pelakon sitkom komedi Puteri, Nora Danish pada

Februari dan Jun lalu sebagai sah dan memutuskan pasangan itu bercerai dengan talak dua pada 12 Ogos 2008.

Ketika lafaz itu, Nora sedang mengandung tiga bulan dan akan tamat tempoh edahnya selepas melahirkan anaknya pada awal tahun depan.

Nora dan Rizal bernikah pada 20 Jun 2006 di Sime Darby Convention Centre, Sri Hartamas di sini. Kalau dulu semasa bercinta seperti Laila dan Majnun, kehadiran 'orang ketiga' menjadikan Nora seperti orang asing dalam hidup Rizal.

NORMAN HAKIM-ABBY ABADI

'Bercerai kali kedua kerana orang ketiga'

Abby dan Norman membawa haluan masing-masing.

Pelakon Norman Hakim akhirnya melepaskan Arbaeyah Abdul Manan atau Abby Abadi dengan talak satu pada 18 Disember dengan berat hati.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 32, menitiskan airmata ketika melafazkan talak manakala Abby reda dan tenang menerima perpisahan yang dipintanya itu.

Norman-Abby telah bernikah pada 8 Januari 2002 dan pernah bercerai pada 5 Mei 2006. Penceraian kedua-dua mereka, juga disebabkan kehadiran orang ketiga telah disahkan pada 10 Mei 2006 tetapi rujuk kembali sehari kemudian iaitu pada 11 Mei 2006.

Gandingan yang sama cantik dan sama padan dalam Gerak Khas mungkin tinggal kenangan pada Abby dan Norman.

Tindakan Abby untuk berpisah dengan Norman pada kali ini, dikatakan berpunca daripada kes tangkapan khalwat suaminya itu bersama pelakon baru, Memey Suhaiza atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 20, pada 30 Oktober lalu.

BELL-FARHANA

'Talak bukan boleh dibuat mainan'

Kelakuan Bell yang lepas laku ketika melafazkan cerai mengundang padah

Cerai SMS Bell yang lucu membuat kes ini agak unik. Pelakon popular Nasrizal Ngasri atau Bell membuat penafian menghantar SMS cerai kepada isterinya tetapi kebenaran akhirnya terungkai apabila kes SMS itu dibawa ke mahkamah sehingga sah bercerai talak satu.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah mengesahkan perceraian talak satu yang dilafazkan Bell terhadap isterinya menerusi SMS pada 22 Oktober lalu selepas dia mengaku menghantar pesanan "Aku ceraikan kau...TQ... Selamat berjaya' menerusi telefon bimbitnya.

Bell kini semakin keliru apabila bekas isterinya, Nur Farhana Mahamad Fauri, 26 (Shasha) enggan kembali ke pangkuannya. Namun, pelakon filem Antoo Fighter ini berkata beliau akan berusaha kembali rujuk dengan bekas isteri selepas segala urusan penggambarannya selesai.

SITI FAIRUZ -ZAINUDDIN KORDI

'Cerai taklik kerana menyanyi balik'

Siapa sangaka perkahwinan yang terbina selama 20 tahun mampu tergugat dek orang ketiga. Penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Bila Ku Rindu Ke Sebut Namamu' Siti Fairuz berkahwin dengan Muhamad Zainuddin yang merupakan pembantu teknik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 1988 dan dikurniakan lima cahaya mata.

Pada 14 Julai lalu, Siti Fairuz disahkan bercerai secara taklik dengan Muhamad Zainuddin pada Mac lalu setelah Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya menyabitkan taklik yang dilafazkan pada tahun 1993.

Lafaz itu berbunyi: "Kalau you (awak) nyanyi lagi, jatuh talak" dan mahkamah mendapati taklik kira-kira 15 tahun lalu dibuat dengan niat untuk menceraikan Siti Fairuz yang dikatakan melanggar taklik tersebut apabila menyanyi di Pentas Lanai Seni kira-kira jam 8.30 malam, 30 Mac lalu.

Menurut Fairuz, beliau terpaksa menyanyi untuk menampung perbelanjaan anak-anak kerana tidak mendapat nafkah sejak suaminya berkahwin lain.

NORANIZA IDRIS-AHLI PERNIAGAAN

'Kahwin misteri, ceraipun misteri'

Noraniza Idris, 40, bercerai dengan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk walaupun usia perkahwinan tidak sampai setahun. Ini perceraian yang kedua bagi Noraniza. Tidak seperti kali pertama, tiada siapa yang tahu siapa suami Noraniza. Semuanya bagaikan satu misteri yang tidak dapat dihidu oleh pihak media.

Penyanyi yang popular dengan Irama Malaysia ini pernah mendirikan rumah tangga kira-kira 18 tahun lalu dengan penyanyi Mohd Fauzi Tajuddin (Fareez), 42. Bagaimanapun, mereka bercerai apabila Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengesahkannya pada 4 Mei 2006.

AZHARINA-SYUKRI

'Perkahwinan rahsia akhirnya terlerai'

Perkahwinan Azharina penuh rahsia tapi akhirnya terbongkar selepas diceraikan.

Penyanyi Azharina diceraikan dengan talak satu oleh Datuk Syukri dengan disaksikan oleh kedua-dua ibu bapa angkatnya. Azharina, 23 memberitahu, soal bekas suaminya tidak mahu anak seperti yang pernah diperkata sebelum ini bukanlah sebab utama mengapa dia berpisah dengan Syukri, 50.

Azharina yang memegang status isteri no 2 tidak mampu bertahan lebih lama dalam perkahwinan yang baru dibinanya dan akhirnya memilih untuk hidup sendiri pada Februari lalu.

FARAH ASYIKIN-DR FARIZ YAHYA

'Mula-mula duduk berasingan kemudian bercerai'

Saat-saat bahagia Farah Asyikin bersama suami.

Sudah suratan takdir bahtera perkahwinan Farah Asyikin, 29 tahun bersama pasangannya, Dr Fariz Yahya, 30 tidak kekal lama. Kisah 'perpisahan' sementara yang selama ini hangat diperkatakan berkesudahan setelah mereka secara sah bercerai tanggal 26 Mei lalu.

Farah menerima penceraian yang berlaku dengan penuh reda. Kenapa dan mengapa bercerai 'biarlah menjadi rahsia'?

RUMAHTANGGA MASIH BERGOLAK

Keadaan sesetengah rumahtangga artis ada seperti 'ribut dalam cawan', ada yang seperti telur hujung tanduk dan ada juga keadaan seperti tali yang tegang menunggu putus saja.

- Kisah penyanyi Erema atau Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 25, memfailkan cerai terhadap suaminya, Jamaludin Sulik atau Seri Bayu, 43, mendapat perhatian kerana permohonan cerai dibuat ketika penulis lirik itu menderita penyakit saraf dan dalam keadaan tidak upaya. Kes tuntutan cerai Erema akan didengar di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya Selangor, pada tahun depan.

- Turut tersenarai dalam kontroversi pergolakan rumah tangga sepanjang tempoh 11 bulan ini ialah pelakon, Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 28, atau Beego dengan isterinya Intan Shahira Mohd Shahru, 27, yang kesnya masih dalam perbicaraan.

Begitu juga penyanyi, Jamaluddin Elias, 48, atau Nash dengan Sosilawati Lawiya, 44, yang perbicaraan kes perceraian mereka sudah selesai tetapi masih tinggal berasingan walaupun mahkamah memutuskan mereka sah sebagai suami isteri.

- Status pernikahan pengarah dan pelakon, Aziz M Osman, 46, dengan ustazah Nor Radhiah Ramli, 22 masih menjadi tanda tanya. Bukan saja Aziz tetapi ramai peminat masih tertanya-tanya status perkahwinannya dengan ustazah, Nor Radhiah Ramli, 22, sehingga terpaksa mencari penyelesaian di Mahkamah.

Kes ini masih dalam perbicaraan. Terbaru, penyanyi dan pelakon, Mohd Radhi Razali, 31, atau Radhi OAG turut terbabit dalam kemelut pergolakan rumah tangga di kalangan artis apabila isterinya, Shazlin Sharif, 30, memohon fasakh dan pengesahan perceraian. Bagaimanapun, Radhi tidak hadir buat kali ketiga 25 November lalu.

- Selain artis, masalah rumah tangga golongan selebriti di kalangan pengacara televisyen turut mendapat perhatian.

- Pada 26 November lalu, Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya menetapkan 14 Januari tahun depan untuk sebutan pengesahan lafaz cerai pengacara rancangan 360 Darjah dan Malaysia Hari Ini (MHI), Mazidul Akmal Sidik, 41, terhadap isterinya, Khairul Fazlin Kamaruddin, 38.

- Pengacara rancangan 999 terbitan TV3, Zakiah Anas memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Mohamad Yusof Mohamad Taib, 46, pada 28

November tetapi terpaksa menunggu hampir sebulan lagi untuk mendengar kes berkenaan kerana suaminya tidak hadir.

KES-KES BERCERAI YANG LAIN

- Pelakon, Nor' Ashikin Karman atau Norish Karman, 34 - Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, 60 (15 Julai).

- Penyanyi Norazlina Abd Rahman atau Leina Hangat, 36 - Muhammad Jamal Delaloy Abdullah, 40 (6 Ogos).

- Penyanyi kumpulan VE, Charma Adizalilullah Abdul Khalil atau Cham VE, 30 - Karmila Khalid, 31 (8 September).

- Penyanyi, Tengku Anis Soraya Tengku Sulaiman atau Anis Suraya, 28 - Wan Kasmaizi Wan Kamaluddin, 28 (14 Oktober).

- Pelakon, Emma Akma Yunus atau Emma Akma, 39 - Mohd Kamal Jaafar Sidek, 34 (29 Oktober).

PERKAHWINAN BERMASALAH

-Pelakon Beego atau Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 28 dan Intan Shahira Mohd Shahru, 27.

- Penyanyi Jamaluddin Elias atau Nash, 48 dan pengusaha kosmetik Sosilawati Lawiya, 44.

- Pengarah dan pelakon, Aziz M Osman, 46 dan ustazah Nor Radhiah Ramli, 22.

- Penyanyi dan pelakon, Mohd Radhi Razali, 31 atau Radhi OAG dan Shazlin Sharif, 30.

- Penyanyi Erema atau Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 25 dan penulis lirik, Jamaludin Sulik atau Seri Bayu, 43.



Read more...

Dec 23, 2008

Pilihan mStar: Pengantin popular dan sensasi 2008


DUA hati yang disatukan dalam satu ikatan perkahwinan pasti akan merakamkan bibit indah yang tidak mudah dilupakan ini. Tapi tidak semua orang, terutama golongan artis, yang mudah berkongsi detik manis ini bersama 'orang luar.' Ada juga yang lebih suka menyorok status dan pura-pura masih solo. Atas muslihat atau alasan apa perkahwinan perlu dirahsiakan, kita sendiri tertanya tanya? Yang pasti, sebelum tahun 2008 melabuhkan detik akhirnya, perkahwinan yang sensasi dan mendapat liputan luas dari media sehingga diberi jolokan 'Wedding of the Year' tentu saja milik Mawi dan Ekin. Begitu juga perkahwinan artis lain walaupun simple dan sederhana dan tersenarai di sini ada 'keistimewaan'nya sendiri.

Diiktiraf sebagai 'Wedding of the Year' memandangkan perkahwinan Mawi dan Ekin mendapat liputan meluas. Ianya juga disiarkan secara langsung dari Astro Oasis pada pagi pernikahan yang berlangsung di Masjid Sultan Abu Bakar.

MAWI-EKIN

Selayaknya diberi gelaran 'Wedding of the Year.' Walau tidak seeksklusif perkahwinan Siti Nurhaliza-Datuk K, pernikahan Mawi-Ekin membawa memorinya sendiri.

Pernikahan Mawi-Ekin di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor disiarkan secara langsung di siaran Astro Oasis.

Mawi-Ekin mengadakan tiga resepsi dengan tiga tema yang berbeza bagi menyambut hari bahagia mereka.

- Yang tidak sedap didengar apabila wartawan TV3 mendakwa mereka dihalang membuat liputan. namun, pihak Astro menafikan dakwaan ini.

MAYA KARIN-STEVEN

Maya dan Steven.

BUKAN AHLI POLITIK PILIHAN MAYA

Bukan tokoh politik atau VIP seperti yang digosipkan sebelum ini tapi seorang guru matematik biasa yang mengajar di Alice Smith International School menjadi pilihan pelakon dan penyanyi jelita Maya Karin Roelcke.

Maya mengambil keputusan bernikah dengan lelaki Inggeris, Steven David Shorthose, 38, pada 14 Ogos nun jauh di Itali. Sekembalinya dari sana, beliau membuat satu resepsi di FRIM Kepong.

- Kad kahwin Maya yang nampak praktikal dan ekonomi menjadi topik bualan.

NING-OMAR SHARIF

Ning dan Omar Sharif.

KONSEP KAMPUNG CERIAKAN MAJLIS KAHWIN

Duda kacak pilihan penyanyi Ning Baizura Sheikh Hamzah, 33. Majlis kahwin Ning dan Omar Shariff Christopher Layton Dalton, 34, agak istimewa kerana berkonsepkan `kampung' dan diadakan di Dewan Matrade Exhibition & Convention Centre, Jalan Duta.

- Jemputan cukup teruja dengan suasana yang dihidupkan seolah-olah jemputan berada di kampung. Dari makanan ala kampung, kambing, ayam, dodol dan semua pinggan mangkuk ada stail kampung, begitu juga dengan joget lambak dan muzik yang mengiringi majlis kahwin Ning.

NABILA-ZAIDY

Nabila dan Zaidy.

KAWAN LAMA PILIHAN NABILA

Anak manja rocker terkenal Amy Search, Nabila Huda, 24, akhirnya menamatkan zaman gadisnya apabila bernikah dengan kawan lamanya Zaidy Zailani (Edy), 27. Mereka telah berkenalan selama 6 tahun.

- Amy yang berpakain jubah menikahkan sendiri anak gadisnya.

ASHRAF-BUNGA

Ashraf dan Bunga.

RESEPSI TERCEMAR DEK LIPUTAN MEMALUKAN

Ashraf Sinclair-Bunga Citra Lestari bernikah pada 8 November di Masjid Al-Bina, Senayan, Jakarta, Indonesia. Sekembali dari sana, mereka membuat dua resepsi di Hotel Saujana Subang dan Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA).

- Wartawan Melodi 'menggamatkan' liputan, kononnya ada wakil media merungut kerana terpaksa menunggu lama untuk menemubual pasangan ini dan menayangkan visual kononnya mereka mengamuk.

Pendedahan itu benar-benar mengecewakan Ashraf mahupun isterinya terutama apabila ada media Indonesia memetik laporan yang disiarkan Melodi. Pasangan ini menganggap berita yang disiarkan mempunyai niat untuk menjatuhkan reputasi mereka berdua.

Sebuah sidang akhbar tergempar diadakan untuk membersihkan kembali nama pasangan Ashraf dan Bunga.

DEJA-FENDY

Deja dan Fendy.

USIA BUKAN PENGHALANG

Penyanyi popular, Deja Moss, 35 atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Mos diijab kabulkan dengan Pengurus Besar DC Industri, Azfendy Azuddin Ahmad (Fendy) 29 di Masjid Wilayah Persekutuan. Jarak usia 6 tahun bukan penghalang.

- Deja-Fendi mengambil keberkatan Ramadhan untuk mendirikan 'masjid.'

RUSDI RAMLI-SHARON PAUL

Rusdi Ramli dan Sharon Paul.

15 TAHUN MENANTI JODOH

Lima belas tahun lamanya menduda, akhirnya penantian berakhir bila hati sudah berkenan pada komposer Sharon Paul. Pelakon popular Rusdi Ramli, 38 telah memperisterikan Sharon Anne Paul Abdullah, 32, dalam suasana yang cukup santai dan sederhana di banglo galeri Creative Element di Seksyen 2, Shah Alam pada bulan lepas.

- Hanya kenalan rapat dan ahli keluarga sahaja yang diundang. Majlis resepsi yang simple dan sederhana tetap melakar kemanisan tersendiri buat kedua mempelai.

RICH - VELVET

Rich dan Velvet.

PERKAHWINAN ITU SUCI DAN 'PRIVASI'

Cukup privasi sekali majlis perkahwinan penyanyi utama kumpulan Estranged, Richael Lawrence Gimbang, 26, atau Rich dengan bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Velvet Lawrence Aduk, 21, pada 5 Disember yang diadakan di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah.

- Ia menimbulkan kontroversi apabila pihak media tidak dibenarkan membuat liputan. Dewan tempat perkahwinan Rich- Velvet berlangsung dikatakan dikawal ketat. Gara-gara tidak puas hati, timbul pula cerita kurang manis kononnya Velvet sedang 'mengandung.'

CICO-ELLE

ISTERI DAH MENGANDUNG 8 BULAN?

Anak seniwati Uji Rashid, Cico atau nama sebenarnya, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaluddin, 30, rupa-rupanya telah bernikah dengan seorang wanita Siam bernama Elle sejak bulan Februari tahun ini. Berita ini tidak dapat dihidu sehinggalah kelibat isterinya Elle atau nama Islamnya ialah Nur Fuziani Abdullah, 25, yang kini sedang sarat mengandung lapan bulan selalu di samping Cico.

- Kata Cico, pernikahannya terpaksa dirahsiakan kerana ingin membuat majlis resepsi. Tetapi resepsi itu pula terpaksa ditangguh kerana dia ditipu beberapa produksi drama dan filem.

AZIZ M.OSMAN-RADHIAH

Aziz M. Osman dan Radhiah.

DALAM EDAH' KAHWIN LAGI?

Pengarah tersohor dan juga duda anak lima, Aziz M.Osman, 42, diijabkabulkan dengan Nor Radhiah, 22, di Masjid Padang Nenas, Tepuh, Kuala Terengganu, pada 16 Ogos lalu.

Dinikahkan sendiri bapa pengantin perempuan, Ramli Yusuf, 52, dengan disaksikan Jurunikah Mukim Batu Rakit, Ismail Yusof, 63, yang juga bapa saudara Nor Radhiah. Aziz mula berkenalan dengan Nor Radhiah ketika mengerjakan umrah pada 9 hingga 20 Mac lalu.

- Sekembali dari berbulan madu, pasangan ini 'berpisah' setelah bonda Afida Es membuat kenyataan anaknya 'ditipu' Radhiah yang kononnya dalam 'edah' dan pernah berkahwin sebelum ini. Radhiah memohon pengesahan nikah dan kes ini telah pun dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

CORRIE-FAZIMA

Corrie dan Fazima.

DAPAT ALAMAT BERTEMU JODOH

Perkenalan singkat antara koreografer popular, Adam Corrie Lee Abdullah dengan Fazima Mohamed Fuad membawa dua sejoli itu ke jinjang pelamin apabila mereka diijabkabulkan di Masjid Zahir, Alor Star bulan lepas.

- Yang manisnya Corrie, 40, mendapat 'alamat' jodohnya adalah Fazima, 30, anak seorang ahli perniagaan berjaya ketika menunaikan umrah.

KHAI-ROSMA

Khai dan Rosma.

KEJUTAN' DISANDINGKAN DI KONSERT AF6.

Pada 26 April lalu, Khai dan Rosma sah menjadi suami isteri selepas dinikahkan Imam Besar Masjid Putra, Abdul Manaf Mat dalam satu majlis ringkas yang dihadiri anggota keluarga dan rakan rapat pasangan itu.

Pada majlis pernikahan itu, Khai menghantar sembilan dulang hantaran termasuk mas kahwin RM100 berserta wang hantaran RM16,161.61 sempena tarikh lahir isterinya dan dibalas 11 dulang hantaran oleh keluarga pengantin perempuan.

- 'Kejutan' apabila pernikahan ini disusuli dengan majlis persandingan mereka pada konsert keenam AF6 di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

ZAFUAN-RITA RUDAINI

10 BULAN SIMPAN RAHSIA DAH KAHWIN.

Mungkin kekecewaan yang mendorong ayah Zafuan untuk memberitahu media yang anaknya Aidil Zafuan Abd. Radzak, 21, telah menikahi pelakon, Rita Rudaini Mokhtar, 32di Songkhla, Thailand pada 25 Februari lalu. Selama 10 bulan, pasangan ini berjaya 'mengaburi mata' keluarga, media dan peminat seolah-olah mereka tiada ikatan.

Ayah mana yang tidak kecewa dan sedih apabila anak kesayangan sanggup membelakangkan keluarga.

Namun sebagai ayah, Abd. Radzak Salleh, 59, tetap berdoa semoga perkahwinan Aidil Zafuan dengan Rita kekal bahagia. Sampai kini, Rita dan Aidil masih mengambil sikap diam seribu bahasa kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

- Yang musykilnya, Rita pernah menafikan dalam akhbar tentang percintaan mereka pada 12 Jun. Entah apa muslihat Rita menyembunyikan statusnya sebagai isteri pada ketika itu. Wallahualam.

Rita yang berasal dari Kangar, Perlis dan pernah berlakon dalam beberapa buah filem antaranya Mendam Berahi, Mistik, Mami Jaru, Cinta serta puluhan drama pernah berkahwin dengan penyampai berita sukan TV3, Akbar Shaari pada 1999. Tetapi perkahwinan itu hanya bertahan selama dua tahun apabila mereka bercerai pada 2001 tanpa dikurniakan cahaya mata.

ROSNAH MAT ARIS-TAJUL

PENGANTIN MENAFIKAN BERKAHWIN

Pelakon Rosnah Mat Aris, 53, yang menjanda selama 15 tahun, akhirnya bertemu jodoh dengan pemuda yang bernama Tajuk Effendie Isa, 27.

Pernikahan mereka disahkan Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Al-Khairiah, Taman Sri Gombak, Ramli Arifin, 49, yang menikahkan pelakon itu di masjid berkenaan. Ramli yang juga Imam 2 Masjid

Al-Khairiah dan dua orang saksi mengesahkan pernikahan itu tetapi Rosnah tetap menafikan.

- Jarak umur suami yang 27 tahun lebih muda dari Rosnah menjadikan pasangan ini begitu unik sekali. Inilah jodoh namanya. Yang tidak sedapnya, pihak Rosnah membuat pengaduan terhadap Ramli Arifin kerana 'membocor' perihal nikah mereka.Perkara yang semulia perkahwinan boleh bertukar sebaliknya apabila ada pihak yang tidak puas hati.



Read more...

Blog Archive

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP