Powered by Blogger.

Dec 24, 2008

Yoga hanya senaman kenyataan mengelirukan

Yoga hanya senaman kenyataan mengelirukan

Oleh Zakaria Othman

KETEGASAN kepemimpinan terhadap beberapa pihak yang mempertikai fatwa pengharaman yoga oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memperlihatkan kesungguhan memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai penyelewengan akidah melalui yoga.

Namun, tidak dinafikan sesetengah kita ternyata masih keliru dengan penggunaan mantera dalam yoga. Mereka cuba mengasingkan senaman yoga dan mantera. Lalu membuat justifikasi, senaman yoga tanpa mantera adalah halal kerana ia sekadar amalan fizikal yang membawa kebaikan untuk kesihatan pengamalnya.

Kenyataan itu mengelirukan dan perlu dibincang secara ilmiah supaya semua pihak jelas dengan sesuatu hukum berkaitan. Sebenarnya, isu yoga bukan sekadar kebergantungan kepada mantera dan produk kesihatannya, tetapi senaman itu terdiri daripada pelbagai instrumen keagamaan Hindu.
Buktinya, “Sesungguhnya tempat duduk diri adalah hati .... sesungguhnya secara bertahap sampai ke realisasi ini naik ke langit. Inilah yang disebut diri. Ia abadi. Ialah Brahma. Sesungguhnya ada tiga suku kata: Sat - ti - yam ..” Di sini ada benteng bernama Aparjitah; dan ada apartmen emas Tuhan ....' (rujuk The Chandogya Upanishad halaman 288 - 289)

Dalam kitab Upanishad disebutkan: “Tuhan meliputi semua diameter syurga. Dia lahir daripada keabadian. Dia ada di dalam rahim. Dia sudah dilahirkan dan akan dilahirkan.” (Upanishad 424)

Berdasarkan keterangan di atas, jelas kepada kita senaman ini berasal daripada kepercayaan Hindu. Ia bukan sekadar kedudukan biasa, sebaliknya mempunyai prinsip teologi tersendiri dalam agama Hindu. Pengamalnya melakukan senaman sedemikian berdasarkan kepercayaan demi mencapai maksud tertentu. Walau dilihat dalam bentuk duduk atau senaman, formasi berkenaan sinonim dengan amalan keagamaan Hindu.

Jika jelas senaman atau formasi yoga sinonim dengan keagamaan Hindu, maka umat Islam ditegah daripada mengamalkannya. Ketentuan itu berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka seseorang itu terdiri daripada kalangan mereka (kaum berkenaan).”

Penyamaan dalam hadis itu merujuk asal usul fahaman, perbuatan dan pegangan. Jika ada sebarang perkataan, perbuatan dan pegangan Muslim menyerupai doktrin Yahudi, Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain, ia dikira tergolong ke dalam golongan mereka.

Penyamaan dalam bentuk kepercayaan disusuli dengan perbuatan secara langsung adalah haram yang ditetapkan secara ijmak.

Hadis itu juga secara tidak langsung menggambarkan kepada kita umat Islam perlu kekal dengan identiti dan jati diri mereka sebagai Muslim. Mereka dilarang menyerupai golongan Musyrikin disebabkan akidah Muslim terangkum tiga dimensi iaitu perkataan, perbuatan dan pegangan.

Justeru, jika umat Islam tidak membaca mantera sekalipun tidak semestinya yoga halal kerana formasi dan senaman itu adalah simbolik yang sinonim dengan doktrin kepercayaan Hindu dan Islam menegah umatnya melakukan acara berteraskan kepada kepercayaan agama lain.

Ada juga pihak yang cuba menghalalkan yoga atas alasan ia produk kesihatan untuk pengamalnya. Hujah ini boleh disanggah dengan beberapa kriteria:

l Asal usul yoga adalah daripada keagamaan Hindu. Sama ada diamalkan sedikit, juzuk tertentu atau sebahagian ia tetap haram kerana Islam tidak membenarkan umatnya menyerupai upacara keagamaan lain.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Perkara yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas.” Jika senaman ini jelas berlatarbelakangkan keagamaan Hindu, mengapa pula ia ingin diamalkan orang Islam? Bolehkah umat Islam mencantum pegangan Islamnya dengan amalan Hindu? Jawabnya, tidak sama sekali. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan tokok tambah dalam urusan kami (agama) nescaya tertolak.”

l Kaedah fiqhiyyah menyebut, asal pada percakapan (kalam) adalah hakikat. Oleh itu, mari kita sama-sama memahami apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan yoga?

Kamus Dewan (edisi keempat) menyatakan yoga ialah sistem falsafah Hindu yang bertujuan menyatukan diri dengan tuhan dengan mengheningkan fikiran (bertafakur) melalui beberapa senaman gerak badan dan fikiran. Ia juga membawa maksud senaman pelbagai cara untuk menenangkan fikiran seperti bertafakur, terutama satu siri senaman gerak badan yang bertujuan mewujudkan keadaan badan dan fikiran yang sihat.

Menurut sebuah ensiklopedia, yoga merujuk kepada disiplin tradisional berkaitan fizikal dan mental yang berasal dari India; matlamat yang dicapai melalui disiplin ini; dan satu daripada enam fahaman ortodoks (astika) dalam falsafah Hindu. Istilah yoga dalam bahasa Sanskrit, berasal daripada kata yuj, memberikan banyak makna seperti mengawal, menggalas dan menyatukan. Terjemahannya termasuk bergabung, bersatu, kesatuan, penghubung, jalan atau cara.

Yoga dikatakan mempunyai beberapa cabang antaranya Raja Yoga, Karma Yoga, Jnana Yoga, Bhakti Yoga dan Hatha Yoga. Sebenarnya, banyak teks Hindu membincangkan aspek yoga, termasuk Veda, Upanishad, Bhagavad Gita, Hatha Yoga Pradipika, Shiva Samhita dan pelbagai Tantra.

Kesimpulannya, jika diketahui hakikat yoga sinonim dengan Hindu itu diharamkan, Islam pula menggariskan dengan kaedah: “Sesuatu yang haram dilakukan, haram pula untuk dituntut” atau “sesuatu yang haram diambil, haram pula untuk diberikan.”

“Apabila berhimpun perkara yang halal dan haram, maka dimenangkan yang haram ke atas yang halal.” Kaedah ini boleh diguna pakai merangkumi perbuatan yang sedikit, juzuk tertentu atau sebahagian daripada pengharaman berkenaan. Justeru, kandungan mantera saja bukan menggambarkan keseluruhan yoga. Dalam Islam, hukum diputuskan tidak diambil secara juz’iyyah, bahkan turut merangkumi keseluruhan sesuatu pengertian. Oleh itu, mantera dan amalan kesihatan bukan alasan untuk menghalalkan yoga.

Sebahagian masyarakat Muslim hari ini terbabas dalam masalah ini. Masyarakat yang tandus agama mudah saja menyimpulkan sesuatu perkara dengan rasionalisme mereka. Akhirnya, mereka cuba memahami yoga melalui pendekatan liberal. Asal rasional, ia dilihat baik, maka ia dibolehkan.

Mereka sebenarnya lupa ‘matlamat tidak menghalalkan cara’. Ketahuilah, bahawa yoga tidak boleh ditetapkan dengan unsur rasional akal semata-mata. Jika ditetapkan sesuatu berdasarkan rasional akal semata-mata, ternyata kita mendahului akal berbanding naqal.

Penetapan itu dijelaskan Imam al-Syafie: “Sesiapa yang menganggap baik sesuatu perkara (yang tidak jelas) dia sebenarnya sudah meletakkan hukum syarak.” Penetapan hukum secara seperti ini ditegah Islam kerana anda sudah mendahului penetapan nas syarak.

Selain itu, senario menghalalkan sesuatu yang jelas haram juga boleh dikatakan sebagai satu tokok tambah dalam agama. Amalan yang direka cipta tidak berdasarkan ketentuan syarak. Bahkan bertentangan petunjuk syarak dikira sebagai reka cipta yang sesat atau bidah dholalah.

Amalan itu dianggap bidah dholalah (reka cipta yang sesat) kerana bukan daripada Islam. Bahkan bertentangan dengan Islam. Justeru, dalam kes ini, umat Islam wajib menjauhi amalan yoga serta- merta kerana ia bukan dari Islam dan bertentangan dengan Islam.

Tidak hairanlah jika Majlis Agama Islam Singapura (MUIS) mengeluarkan fatwa mengenai yoga dengan mengklasifikasikannya perkara bidaah yang menyesatkan.

Sedarlah bahawa Islam agama yang lengkap dan sempurna menawarkan pelbagai produk untuk kesihatan manusia sama ada sudut fizikal, mental, mahupun spiritual. Namun apabila manusia gagal memahami dan mengenali Islam dengan mata hati yang suci, maka pemahaman Islam mereka dicampuri pelbagai unsur luar.

Akhirnya, ummah terjebak dengan pelbagai amalan karut bertentangan Islam dalam keadaan tidak sedar. Lebih menyedihkan apabila ada pihak menubuhkan kelab eksklusif berasaskan yoga dan menjadikannya sumber pendapatan. Apakah kita mahu rezeki yang mengalir dalam urat nadi daripada sumber haram? Fikirkanlah.

Kebimbangan serius ini menjadi aliran masyarakat kita hari ini. Apabila sesuatu fatwa diputuskan terhadap sesuatu perkara, ada kelompok masyarakat bangun membantah. Golongan itu tidak segan silu melaungkan penentangan terhadap fatwa yang diputuskan ulama berdasarkan kajian mendalam. Mereka yang bersikap seperti ini persis pemimpin jahiliah kuno.

Meneliti beberapa pandangan masyarakat mengenai yoga yang diharamkan, ada antaranya menyatakan mereka beramal dengan senaman yoga, melakukan beberapa amalan senaman seperti membakar colok, membaca mantera dan pergerakan yoga, tetapi hati tetap percaya kepada Allah serta mendakwa akidah mereka masih utuh dan tidak terpesong.

Sebenarnya, mereka sudah menyekutukan Allah dalam keadaan tidak sedar. Inilah natijahnya apabila umat Islam dangkal mengenai pegangan ilmu tauhid. Sebagai Muslim, kita patut bersyukur kerana masih ada ulama dan agensi agama yang mengambil berat pegangan akidah umat Islam. Kita harus menyokong hukum yang memang bertujuan menjaga maslahah umum.

Tidak ada satu pun hukum yang dikeluarkan mengongkong hak manusia. Sebaliknya setiap hukum dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang dianggotai kalangan mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidangnya adalah untuk kebaikan ummah.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bertindak secara proaktif sudah menjalankan kajian terhadap amalan yoga sehingga berjaya dibentangkan pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan baru-baru ini.

Walaupun keputusan itu mendatangkan pelbagai reaksi kurang enak, sebenarnya Jakim berjaya menyentak pemikiran masyarakat dengan hukum kontemporari yang berani. Dalam menangani isu ini, kita perlu bijak bertindak.

Muzakarah pada peringkat negeri perlu disegerakan dan diwartakan fatwa berkenaan dalam bidang kuasa masing-masing. Pewartaan pula membolehkan kita menguatkuasakan undang-undang berdasarkan enakmen sedia ada.



Penulis ialah Exco Penerangan dan Penerbitan Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Agama (PKPU) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

0 comments:

Blog Archive

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP