Powered by Blogger.

Jul 30, 2009

Penguasaan ekuiti asing dalam Bernas tak wajar

SAYA tertarik dengan laporan muka depan akhbar semalam mengenai penguasaan firma Hong Kong terhadap Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bertajuk 'Firma HK kuasai 31 peratus Bernas'. Dilaporkan firma pelaburan yang berpangkalan di Hong Kong itu, kini muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar dalam Bernas.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kepentingan dan kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara yang menitikberatkan kepentingan rakyatnya, saya amat khuatir perkara sebegini boleh menjejaskan negara, sama ada dari segi ekonomi, sosial dan politik.

Fenomena pengurangan penguasaan pelabur tempatan dalam syarikat strategik amat membimbangkan kerana dikhuatiri kepentingan negara akan terjejas dan ditakuti menjadi satu ancaman kepada kita suatu hari nanti.

Disebabkan padi adalah sumber makanan utama bagi rakyat Malaysia, sewajarnya pegangan sahamnya juga dikuasai rakyat Malaysia.

Jika diimbas sejarah penswastaan Bernas yang dulunya dikenali sebagai Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN), tujuan utama penswastaan LPN adalah untuk menaik taraf dan menambah nilai terhadap perkhidmatan yang disediakan.

Faktor keberkesanan operasi juga adalah faktor utama diwujudkan kaedah penswastaan itu. Sudah semestinya konsep penswastaan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh syarikat tempatan dan pihak kerajaan seharusnya memantau perkembangan dari segi pegangan saham dalam syarikat strategik seperti Bernas yang membabitkan kepentingan umum.

Kesungguhan kerajaan memastikan keperluan beras rakyat negara ini mencukupi dapat dilihat dengan penubuhan LPN pada September 1971. Tanggungjawab LPN kemudiannya digalas Padiberas Nasional Berhad (Bernas) apabila LPN diswastakan pada 1994 di bawah Dasar Penswastaan Negara.

Tetapi apakah dengan ada penguasaan oleh syarikat asing akan menjamin misi yang digalas selama ini? Inilah yang menjadi persoalan.

Trend seperti penguasaan oleh syarikat asing dalam syarikat strategik negara sesungguhnya akan menimbulkan kebimbangan terhadap dasar penswastaan kerana berlakunya beberapa pemindahan hak milik yang sepatutnya dikendalikan oleh sektor swasta tempatan tetapi sebaliknya berlaku pemindahan ekuiti kepada syarikat asing.

Justeru, tujuan utama dasar penswastaan yang dicetuskan sejak pertengahan 1983 akan terjejas. Sepatutnya rakyat/syarikat tempatan yang beroleh manfaat tetapi malangnya syarikat asing yang lebih mendapat faedahnya.

Pemindahan itu dikhuatiri boleh menyebabkan kenaikan kos, harga dan agihan pendapatan yang tidak sekata disebabkan oleh monopoli berkenaan.

Secara logiknya, pihak kerajaan di bawah kementerian yang dipertanggungjawabkan semestinya memantau perkembangan yang berlaku ini supaya kepentingan Malaysia sentiasa dilindungi. Biarlah pepatah Melayu 'beruk di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan' tidak terjadi kepada kita di sini.

Seandainya kita tidak berjaya menguasai industri yang selama ini menjadi teras, apakah nanti anggapan orang luar terhadap keberkesanan kepemimpinan negara. Mereka mungkin beranggapan kita sudah tidak

berdaya menjaga kepentingan rakyat sendiri. Renung-renungkanlah.

OTHMAN ISMAIL,
Setiausaha Kehormat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Selangor.




0 comments:


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP