Powered by Blogger.

Dec 17, 2010

Untung dapat 'kelahiran' kedua

SESUNGGUHNYA kehidupan dunia ibarat hujan dari langit lalu menyuburkan tumbuh-tumbuhan di muka bumi.
Tiba masanya tumbuh-tumbuhan menjadi kering kontang dan diterbangkan angin. 
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia sebagai air hujan yang Kami turunkan dari langit.
Maka menjadi subur kerananya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Surah Al Kahfi ayat 45) 

Begitu pula dengan kehidupan manusia. Ia ibarat peredaran bulan. Di awal bulan (hijriyah) terbentuk bulan sabit (kecil) lalu membesar hingga menjadi bulan purnama. 

Kemudian, pada manzilah (kedudukan) terakhir, bulan kembali mengecil sampai akhirnya tidak kelihatan lagi. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Kami tetapkan bagi bulan manzilah (kedudukan), sehingga (setelah Dia sampai ke manzilah yang terakhir), kembalilah Dia sebagai bentuk tandan yang tua." (Surah Yaasin ayat 39)

Manusia juga begitu. Dilahirkan dalam keadaan lemah (bayi), membesar menjadi seorang pemuda atau pemudi Keadaan itu tidak berlaku lama kerana akhirnya mereka akan kembali lemah dan tua.

Allah berfirman yang bermaksud: "Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa." (Surah Ar Rum ayat 54)

Manusia dilahirkan hanya sekali dari kegelapan rahim ibunya ke alam dunia.
Namun, di sana terdapat manusia yang dilahirkan dua kali, iaitu manusia yang diberi petunjuk oleh Allah, maka mereka lahirlah kembali dari kegelapan maksiat kepada cahaya iman.

Kelahiran seperti itu tersirat dalam Firman Allah yang bermaksud: "Dan apakah orang yang sudah mati, kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang yang dengan cahaya itu ia dapat berjalan di tengah-tengah manusia serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap-gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya? Demikianlah Kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan." (Surah Al An'am ayat 122)

Beruntunglah orang yang 'dilahirkan kembali' sebelum maut datang tanpa diundang. Ahli hikmah berkata: "Wahai manusia! Ketika ibumu melahirkanmu, manusia tersenyum gembira dengan tangisanmu. Maka beramallah untuk dirimu, sehingga pada hari kematianmu engkau tersenyum gembira di saat manusia menangisimu."

Menyedari hakikat itu perbaharui taubat kepada Allah. Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya (taubat nasuha). Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai..." (Surah At-Tahrim ayat 8). 

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Nya setiap hari seratus kali." (Hadis Riwayat Muslim).

Rasulullah sendiri bertaubat 100 kali setiap hari, padahal baginda sudah mendapat jaminan syurga. Bagaimana pula dengan kita yang setiap hari bergelumang dengan maksiat dan dosa? 

Justeru banyakkan amal soleh kerana setiap amal soleh itu tidak hanya terbatas pada mengerjakan kewajipan fardu dan melaksanakan sunnah (nawafil) saja.

Malah, meninggalkan maksiat kerana Allah juga termasuk dalam amal soleh. Pada hakikatnya setiap perkataan dan perbuatan yang dicintai oleh Allah, baik yang jelas atau yang tersembunyi, seluruhnya termasuk amal soleh.

Setiap Muslim Allah memberikan ganjaran pahala jika mereka meninggalkan maksiat kerana takutkan azab Allah. Seorang pedagang misalnya tidak mahu berlaku curang dengan mengurangi timbangan kerana takut Allah akan menurunkan azab seperti yang ditimpakan kepada kaum Syu'aib berupa gempa dahsyat (Surah Al A'raf ayat 85-93).

Dari itu, dalam mengisi sisa kehidupan di dunia cara yang terbaik bagi seorang Muslim ialah mengutamakan akhirat tanpa melupakan dunia.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia, dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan." (Surah Al-Qashash ayat 77)

Saidina Umar al-Khattab selalu mengulangi perkataannya: "Setiap hari selalu ada yang mengatakan mati si fulan...mati si fulan..." Akan datang suatu hari di mana akan dikatakan "Telah mati Umar... Telah mati Umar...'" Hal berkenaan menunjukkan kesedaran bahawa maut pasti akan datang.

Namun, tidak ada seorang pun yang mengetahui bila dan di mana mereka akan mati. Allah berfirman yang bermaksud: "...Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (Surah Lukman ayat 34).

0 comments:


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP