Powered by Blogger.

Oct 24, 2013

KALIMAH ALLAH: ANTARA MURTAD DAN BERDOSA? ANTARA DATO NOOH DAN MAZA



KALIMAH ALLAH: ANTARA MURTAD DAN BERDOSA? ANTARA DATO NOOH DAN MAZA.



Oleh : Dr Asmadi Mohamed Naim

Para pembaca yang budiman,

Polimik kalimah Allah mungkin memasuki tahap 'menjuarai sesuatu isu dan menempelak yang lain'. Ini yang berlaku apabila Dato Nooh Gadut memberi peringatan

(http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131016/dn_06/Pertikai-keputusan-boleh-jadi--murtad), lantas disambut oleh bekas mufti, Dato Dr Asri Zainul Abidin (MAZA) berkaitan isu ini (dlm http://my.news.yahoo.com/scholars-counter-infidel-argument-over-allah-084949271.html).

Jadi benarkah dakwaan Dato Nooh bahawa isu ini boleh membawa murtad? Pada saya, kenyataan beliau boleh dilihat dalam dua keadaan:

1. Sekiranya Dato Nooh Gadut mengatakan ialah seseorang yang menyokong penggunaan oleh Kristian terhadap kalimah Allah boleh jatuh murtad, saya tidak bersetuju dengan kenyataan ini kerana perbuatannya belum boleh menjatuhkannya murtad. Dalam konteks Malaysia, mungkin jatuh dalam tahap berdosa sahaja. Kenapa berdosa? Sebab kita membuka ruang mereka menggunakan secara tidak tepat dalam Bible mereka, walhal kita sudah menutup ruang ini sebelumnya.

2. Sekiranya Dato Nooh bermaksud bahawa seseorang yang menyokong nama Allah SWT digunakan untuk konsep triniti iaitu untuk secara syirik dalam konteks triniti, maka boleh jatuh murtad, maka saya menyokong dakwaan ini. Kita tidak menunding jari, sebaliknya kita mengatakan perbuatan anda boleh menyebabkan anda jatuh murtad sebab bersetuju supaya kalimah Allah SWT disyirikkan dengan perkara lain.

Lantas bagaimana pula dakwaan bekas mufti, MAZA yang memberikan beberapa hujah iaitu:

1. Penggunaan Allah SWT telah digunakan sejak ribuan tahun. Jawapannya mudah sahaja iaitu kenyataan ini hanya khusus kepada Kristian Arab bukan Kristian Rome dan lain-lain. Salah fakta MAZA bila menjadikan penggunaan Allah umum kepada semua Kristian.

Cuba semak bahasa asal kalimah tuhan dalam Bible yang bukan berbahasa Arab. Hak untuk menggunakan kalimah Allah kepada tuhan dibenarkan oleh para ulama kepada orang-orang Arab. Bahkan sekarang, orang-orang Kristian Arab pula berpandangan tidak tepat mereka menggunakan perkataan Allah SWT terhadap tuhan mereka. Kamus al-Maurid yang ditulis oleh seorang Kristian, jelas merujuk perkataan Allah kepada tuhan orang-orang Islam.

2. Maza berkata: Kalau begitu, keseluruhan ulama menjadi murtad sebab membenarkan penggunaan Allah kepada orang-orang Kristian? Jawapannya juga mudah, mereka tidak murtad sekiranya berpandangan seperti andaian saya yang pertama dan sememangnya mereka menyatakan pandangan umum sebegitu. Saya kira Dato Nooh yang dimaksudkan 'murtad; ialah sesiapa yang bersetuju supaya disyirikkan kalimah Allah.

Rupanya, para Mufti yang tidak bersetuju penggunaan kalimah Allah kepada Bible bahasa Melayu telah melaksanakan tanggungjawab ijtihad yang cukup hebat. Menyanggahi taklid kepada ulama Timur Tengah yang telah mengeluarkan hukum berdasarkan konteks dan adat negara dan masyarakat mereka. Apa boleh buat sekiranya MAZA masih mahu bertaklid kepada ulama-ulama Timur Tengah berdasarkan konteks masyarakat Timur Tengah.

Perlu diingat, ketegangan hubungan di Timur tengah antara Muslim dan Kristian telah membawa kepada serangan fizikal dan serangan militan. Kita tidak mahu hubungan sebegini dengan kawan-kawan kita yang beragama Kristian kerana kita mahukan tolenrasi dan menjauhi dendam kesumat. Jauhkan rasa benci masayrakat Islam terhadap masyarakat Kristian. Bahkan ajaran agama langit adalah lebih dekat dengan ajaran Islam.

Tinggal lagi Wan Ji pula memberi beberapa 'tempelakan' terhadap Dato Nooh iaitu:

1. Arahan supaya menerima sembelihan ahli kitab yang menggunakan nama 'Allah'. Ini dalil boleh menggunakan kalimah Allah?

Jawabannya cukup mudah: Larangan terhadap Gereja menggunakan kalimah Allah ialah hanya pada penterjemahan Bible dan penerbitan mereka sebab mereka rangkumkan penggunaan kalimah Allah secara syirik, kepada apa sahaja terjemahan kepada yang bersifat tuhan. Larangan ini tidak termasuk kepada sebarang ucapan untuk memperkatakan tuhan yang Esa. Adalah suatu yang tidak betul apabila Wan Ji menggunakan hujah ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan keesaan Allah untuk menyokong gereja?

Sebenarnya, arahan menerima sembelihan oleh ahli Kitab yang menyebut nama Allah SWT itu adalah dalil yang menunjukkan kalimah Allah SWT hanya untuk Yang Esa. Sekiranya mereka menyembelih menggunakan nama 'Tuhan Anak' atau 'tuhan bapa' atau ruh al-quddus, maka haram memakan sembelihan mereka. Jadi, Allah SWT hendak memberitahu kita bahawa sekiranya mereka menyebut Allah SWT, barulah sembelihan mereka boleh dimakan oleh umat Islam.

Ini juga dalil bahawa Kristian Arab menggunakan beberapa nama nama lain seperti ruh al-quddus dan tuhan Isa (ilah Isa), tuhan bapa. Haram memakan sembelihan mereka jika mereka menggunakan nama-nama tersebut ketika menyembelih binatang sembelihan walaupun ada khilaf ulama yang mengarahkan umat Islam membacakan 'basmalah' apabila menerima sembelihan ahli Kitab.

Perlu diingat, ulama-ulama muktabar masih khilaf membenarkan memakan sembelihan ahli kitab di zaman mutaakhir disebabkan berbeza ajaran ahli Kitab terdahulu berbanding dengan ahli kitab sekarang khususnya ajaran Kristian.

2. Wan Ji pula berkata: Bagaimana pula kalau Mahkamah England melarang penggunaan Isa, adakah umat Islam dilarang menggunakannya.

Jawapannya cukup mudah: Dalam Bible menggunakan perkataan 'Jesus', bukan 'Isa'. Kalau dilarang menggunakan perkataan 'Jesus', kita tidak ada masalah sangat sebab kita mengggunakan nama-nama Arab iaitu 'Isa 'Alahissalam atau Masih'. Sehingga sekarang, kita tak menerima penterjemahan nama-nama Nabi kepada bahasa lain seperti Ibrahim kepada Abraham. Muslim sedunia lebih selesa mengekalkan nama kearaban daripada semuanya diterjemahkan kepada bahasa lain.

Nasihat untuk MAZA dan Wan Ji

Saudara berdua perlu melihat isu ini secara holistik iaitu:

1. Larangan adalah kepada penterjemahan kalimah Allah secara salah dalam penerbitan gereja berbahasa Melayu, seperti Allah Jesus dan lain-lain.

Dalam konteks Negara Malaysia, Allah bukan kalimah yang lazim untuk menunjukkan istilah 'tuhan' kepada bukan Melayu. Hanya Melayu Islam yang menggunakannya untuk menunjukkan tuhan yang disembah. Jadi, apa tujuan mahu digunakan perkataan 'Allah' dalam Bible bahasa Melayu?

2. Kenapa mereka tidak beria-ria menukarkan perkataan Lord dan God kepada Allah dalam Bible bahasa Inggeris? Saya mengharapkan sedikit kebijaksaan saudara berdua memikirkan persoalan ini. Kalau benarpun ini adalah peluang untuk berdakwah kepada masyarakat Kristian, minta mereka mulakan dahulu untuk perjuangkan penggunaannya dalam bahasa Inggeris supaya berjaya. Tetapi, mereka tak guna pun perkataan 'Allah' untuk Bible edisi bahasa Inggeris. Lantas, apa tujuan menggunakannya untuk bahasa Melayu? Saya hanya mahukan sedikit kebijaksanaan saudara berdua dan para penyokong saudara berdua. Kalau Kristian mahu menggunakan dalam semua penerbitan mereka dalam pelbagai bahasa, saya orang pertama yang akan menyokong sebab ini peluang kita berdakwah.

3. Saudara perlu memahami suasana semasa, maksud akhir penggunaan kalimah ini dalam Bible bahasa Melayu. Orang-orang biasa yang tidak mempunyai pendidikan mendalam pun boleh memahami tujuan penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu. Kita tidak perlu belajar sehingga Phd pun untuk memahami hasrat tersurat ini. Cukuplah, sad al-zari'ah menjadi hujah penting ada isu ini.

Wallahu a'lam. Saya mengharapkan keikhlasan semua pihak menangani isu ini.


Allahu al-musta'an.


Abu al-'Izz


Sumber : http://drasmadinet.blogspot.com/2013/10/kalimah-allah-antara-murtad-dan-berdosa.html

0 comments:

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP