Powered by Blogger.

Oct 30, 2008

Kelebihan tempat ibadat haji


Kelebihan tempat ibadat haji

Oleh Putera Shith al-Madani

Pada minggu yang lalu, telah diceritakan tentang kelebihan Tanah Suci Mekah. Dalam ruangan pada minggu ini, penulis akan menceritakan pula kelebihan al-Masya’ir iaitu Padang Arafah, Muzdalifah dan Mina serta beberapa lokasi terpilih yang sering menjadi tumpuan dan kunjungan jemaah haji.

Kelebihan al-Masya’ir:

Bumi yang mustajab doa ini merupakan lokasi utama bagi jemaah haji mengerjakan sebahagian daripada amalan-amalan haji mereka. Ia terdiri daripada:

1) Padang Arafah - Ia terletak 21.9km dari Masjidil Haram dan merupakan Tanah Halal. Dengan keluasan 10.4 kilometer persegi, Arafah menerima kehadiran jutaan jemaah haji yang berwukuf pada 9 Zulhijjah setiap tahun. Di sini terdapat sebuah masjid yang dinamakan Masjid Namirah.


Sebahagian dari bangunannya terletak di Wadi ‘Uranah iaitu tempat Rasulullah SAW menyampaikan Khutbah Arafah ketika Hajjatul Wada’ pada tahun 10H. Di Arafah juga terdapat Jabal Rahmah yang menjadi tempat pertemuan Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa selepas mereka diturunkan ke bumi, manakala di kaki bukit tersebut terdapat al-Sakhrah iaitu hamparan batu tempat Rasulullah SAW berwukuf .

Wukuf yang merupakan perhimpunan agung tahunan umat Islam menyaksikan pelbagai manfaat dan kelebihan, khususnya kepada jemaah haji. Beribadat dan berdoalah, kerana pada hari tersebut, rahmat dan keampunan sentiasa turun mencurah-mencurah kepada mereka. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya: “Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia (pada hari Arafah) dan berbangga-bangga di hadapan malaikat perihal kamu dengan firman-Nya : Hamba-hamba-Ku yang berkeadaan tidak terurus telah datang dari segenap pelosok dunia semata-mata mendambakan syurga-Ku. Walaupun dosa-dosa kamu sebanyak bilangan pasir, titisan hujan mahupun buih di lautan, nescaya Aku ampunkan kesemuanya.” (riwayat al-Tabrani)

2) Muzdalifah - Ia terletak 13.9 kilometer (km) dari Masjidil Haram dan merupakan Tanah Haram. Muzdalifah adalah tempat mabit (bermalam) bagi jemaah haji pada malam 10 Zulhijjah. Di sini terletaknya Masjid al-Masy’aril Haram yang merupakan tempat Rasulullah SAW mabit. Ketika mabit di sini, jemaah haji disunatkan mengutip anak-anak batu bagi kegunaan lontaran di al-Jamratul Kubra.

Selain itu, banyakkan doa, zikir dan talbiah. Firman Allah: Apabila kamu berangkat dari Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiah dan tasbih) di Masy’aril Haram (di Muzdalifah). (al-Baqarah: 198)

3) Mina - Ia terletak hanya tujuh kilometer dari Masjidil Haram dan termasuk dalam sempadan Tanah Haram. Mina adalah tempat bagi jemaah haji mabit pada malam hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Di sini terdapat Masjid Khaif yang merupakan tapak perkhemahan Rasulullah SAW serta al-Jamratul Sughra, al-Jamratul Wusta dan al-Jamratul Kubra; iaitu tempat melontar anak-anak batu.

Melontar Jamarat adalah syiar penuh simbolik dalam menzahirkan penentangan dan permusuhan kita dengan syaitan sebagaimana yang dizahirkan semasa peristiwa Nabi Ibrahim a.s. melontar batu ke arah syaitan yang cuba menghalang baginda daripada melaksanakan perintah menyembelih anaknya Ismail a.s.

Maka, lakukan lontaran dengan penuh keikhlasan dan pengertian, agar ia menjadi pemangkin untuk terus beribadat dan mengingati Allah. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya dijadikan lontaran Jamarat itu adalah bertujuan bagi menghidupkan al-Zikr (ingatan) kepada Allah.” (riwayat al-Tirmizi).

Selain itu, bumi Mina juga telah menjadi saksi termeterainya dua Perjanjian Aqabah, iaitu baiah antara Rasulullah SAW dan golongan Ansar pada tahun 12 dan 13 Hijrah.

Kini, Mina dibahagikan kepada tiga kawasan utama iaitu Mina Jamarat yang terletak berhampiran dengan tempat melontar, Mina Mu’aisim yang jaraknya lebih kurang tiga km dari jamarat serta merupakan kawasan mabit bagi majoriti jemaah haji Malaysia, dan Mina al-Marhalah al-Thalithah yang jaraknya lebih kurang lima km.

Sempadan Tanah Haram/Tanah Halal:

Tempat-tempat ini amat penting bagi jemaah yang telah berada di Mekah dan berazam untuk mengerjakan umrah setelah sempurna mengerjakan umrah yang pertama bagi jemaah yang mengerjakan haji tamattuk, atau telah sempurna mengerjakan haji bagi jemaah yang mengerjakan haji ifrad atau qiran.

Ini kerana antara wajib umrah ialah berniat ihram di Miqat atau di mana-mana kawasan Tanah Halal. Antara Tanah Halal yang sering menjadi tumpuan mereka adalah:

1) Tan’im - Ia terletak kira-kira 7.5km dari Masjidil Haram dan dihubungkan dengan kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan teksi. Di sini terdapat sebuah masjid yang dinamakan Masjid Aisyah.

Diriwayatkan bahawa Ummul Mukminin Aisyah r.a. berihram umrah di Tan’im setelah beliau mengerjakan haji. Dalam sebuah hadis, Aisyah r.a. berkata: Apabila aku selesai mengerjakan haji, Rasulullah SAW telah mengutus saudaraku Abdul Rahman untuk mengiringiku, lalu Baginda mengarahkan diriku agar berniat umrah dari Tan’im. (riwayat al-Bukhari)

2) Ji’ranah - Sebuah perkampungan yang terletak di Wadi Sarif. Di sini terdapat sebuah masjid bernama Masjid Ji’ranah yang jaraknya kira-kira 24km dari Masjidil Haram.

Sejarah mencatatkan bahawa Rasulullah SAW telah berihram umrah di Ji’ranah selepas peperangan Hunayn iaitu pada bulan Zulkaedah tahun 8H. Muharrish al-Kalbi meriwayatkan: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah keluar dari Ji’ranah pada malam hari dalam keadaan berihram umrah. Apabila tiba di Mekah, Baginda menunaikan kerja-kerja umrah. Kemudian baginda kembali ke Ji’ranah pada malam yang sama.” (riwayat al-Tirmizi)

Menurut Mazhab Syafie, Ji’ranah merupakan tempat paling afdal berihram umrah bagi penduduk Mekah dan sekitarnya.

Jabal al-Nur dan Jabal Thur:

Dua buah bukit yang mempunyai nilai sejarah yang tersendiri. Jabal al-Nur yang memiliki ketinggian 281 meter terletak kira-kira 5km dari Masjidil Haram. Di lerengnya terdapat Gua Hira; tempat Rasulullah SAW beribadat dan menerima wahyu Ilahi yang pertama.

Jabal Thur pula terletak hanya empat km dari Masjidil Haram dengan ketinggian 458 meter. Di sini terdapat sebuah gua iaitu tempat Rasulullah SAW dan Abu Bakar al-Siddiq r.a. menyembunyikan diri selama tiga malam ketika peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah pada tahun 622M.

Demikianlah beberapa kelebihan dan kemuliaan Tanah Suci Mekah dan kawasan sekitarnya buat tatapan bakal jemaah haji. Semoga ia menjadi pendorong kepada mereka untuk hadir, dan sekali gus mempertingkatkan ibadat serta amal soleh demi mengejar ketinggian darjat sebagai hamba dan tetamu Allah yang dirahmati.

Sumber dari Sini



0 comments:

Blog Archive

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP