Powered by Blogger.

Apr 14, 2009

HUKUM SUJUD TILAWAH


SUJUD TILAWAH DAN SUJUD SYUKUR

(Bilangan 113 Bahagian Kedua)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Sujud tilawah adalah sunat menurut pendapat jumhur ulama. Manakala Imam Abu Hanifah (Imam mazhab Hanafi) berkata bahawa sujud tilawah itu wajib sama ada ke atas pendengar atau pembaca.

Hukum sunat ini bersandarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Syaikhain (Al-Bukhari dan Muslim) daripada Ibnu Umar katanya yang maksudnya :

"Bahawasanya Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam telah membaca al-Qur’an, lalu Baginda membaca satu surah yang di dalamnya ada ayat ‘sajdah’, maka Baginda pun bersujud lalu kami pun sujud bersama-sama Baginda sehingga sesetengah daripada kami tidak mendapati tempat untuk meletakkan dahinya”.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu tentang fadhilat melakukan sujud tilawah, Baginda bersabda yang maksudnya :

“Apabila anak Adam itu membaca ayat al-Quran yang menuntut untuk sujud, syaitan akan mengasingkan dirinya lalu menangis dan berkata:” “Celakalah! Anak Adam telah diperintahkan untuk sujud ia pun sujud, maka baginya balasan syurga, dan aku diperintahkan untuk sujud maka aku enggan, maka balasan bagiku adalah neraka.

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

AYAT-AYAT SAJDAH DI DALAM AL-QURAN

Ayat-ayat yang disunatkan sujud setelah membacanya, menurut mazhab Asy-Syaf‘ie, adalah seperti berikut:

1. Ayat ke 206 dari surah Al -A’raf.

2. Ayat ke 15 dari surah Al- Ra’d.

3. Ayat ke 50 dari surah Al- Nahl.

4. Ayat ke 109 dari surah Al- Isra’.

5. Ayat ke 58 dari surah Maryam.

6. Ayat ke 17 dari surah Al- Haj.

7. Ayat ke 77 dari surah Al- Haj.

8. Ayat ke 60 dari surah Al -Furqan.

9. Ayat ke 25 hingga 26 dari surah Al- Naml.

10. Ayat ke 15 dari surah Al -Sajdah.

11. Ayat ke 38 dari surah Fusshilat.

12. Ayat ke 62 dari surah Al- Najm.

13. Ayat pertama dari surah Al- Insyiqaq.

14. Ayat ke 21 dari surah Al -Insyiqaq.

15. Ayat ke 19 dari Al- ‘Alaq

Untuk mengenali ayat-ayat sajdah itu pada kebiasaannya, di dalam mushhaf ditanda dengan garis dan di penghujung ayat itu ditanda dengan tanda yang berbentuk seakan-akan dom masjid sementara itu di bidainya tertulis perkataan sajdah.

Adapun hikmah pengkhususan sujud pada tempat-tempat atau ayat-ayat yang tersebut di atas kerana ayat-ayat tersebut adalah merupakan pujian bagi mereka yang bersujud dan celaan bagi yang tidak bersujud sama ada secara terang-terangan ataupun secara isyarat sebagaimana yang dinaqalkan oleh Imam Al-Qalyubiy perkataan Ibnu Hajar.(Al-Hasyiyatan 1/235).

BILA WAKTU SUNAT SUJUD TILAWAH ITU DILAKUKAN ?

Sujud tilawah itu sunat dilakukan apabila ayat sajdah itu dibaca di luar sembahyang bukan pada waktu-waktu yang makruh menunaikan sembahyang sama ada ia bertujuan untuk melakukan sujud atau tidak.

Begitu juga sunat melakukan sujud tilawah ketika dalam sembahyang jika dibacakan ayat sajdah tersebut. Tetapi tidak disunatkan melakukan sujud tilawah jika membaca ayat sajdah itu semata-mata bertujuan (qasad) untuk melakukan sujud, kecuali jika ia membacanya pada sembahyang fardhu Subuh pada hari Jumaat adalah sunat ia melakukan sujud tilawah sekalipun ia bertujuan membacanya untuk sujud.

Berdasarkan keterangan di atas tidak sunat melakukan sujud pada waktu makruh menunaikan sembahyang sekalipun ayat sajdah dibaca di luar sembahyang begitu juga ketika dalam dalam sembahyang dengan tujuan membaca ayat sajdah itu untuk melakukan sujud. Bahkan jika dibaca dalam sembahyang dengan qasad sujud tilawah lalu dia bersujud maka batallah sembahyangnya itu.

HUKUM MEMBACA AYAT SAJDAH

Jika ayat sajdah itu dibaca pada waktu yang dimakruhkan menunaikan sembahyang bukan untuk tujuan sujud, tidaklah dilarang membacanya tetapi tidak disunatkan bersujud padanya, namun jika dia bersujud juga tidaklah batal sujudnya itu. Begitu juga jika dibaca ayat sajdah pada waktu makruh tersebut dengan tujuan melakukan sujud tilawah selepas waktu makruh maka tidaklah disunatkan sujud dan hukum bacaannya pada ketika itu pula adalah makruh.

Berlainan halnya jika dibaca pada waktu makruh atau sebelumnya dengan maksud untuk sujud pada waktu makruh maka dihukumkan bacaannya itu haram dan sujud tersebut adalah batal dan tidak dikira.(Al-Hasyiyatan 1/235)

SYARAT-SYARAT SUJUD TILAWAH

Di dalam kitab Al-Majmuk menurut Ashhab Syafi‘ieyah bahawa hukum sujud tilawah itu sama seperti hukum sembahyang sunat dari segi syarat-syarat sahnya sujud itu, syarat-syarat itu adalah seperti berikut:

(i) Bersih daripada hadas kecil atau besar dan juga bersih daripada najis sama ada pada tubuh badan, pakaian dan juga tempat.

(ii) Orang yang hendak melakukan sujud tilawah itu juga di kehendaki dalam keadaan menutup aurat.

(iii) Untuk melakukannya hendaklah menghadap kiblat.

(iv) Hendaklah masuk waktunya ketika melakukan sujud itu. Adapun masuknya waktu sujud itu ialah sejurus sahaja ia selesai mambaca atau mendengar keseluruhan ayat sajdah. Jika sekiranya ia bersujud sebelum lagi habis ayat itu di bacanya atau didengarnya maka sujud tilawah itu tidak sah dan tidak memadai.

SUJUD TILAWAH DI DALAM SEMBAHYANG

Cara untuk melaksanakan sujud tilawah itu ada dua keadaan iaitu ketika dalam keadaan bersembahyang dan di luar sembahyang.

Sujud tilawah boleh dilakukan di dalam sembahyang, bahkan hukumnya adalah sunat, sama ada sembahyang itu dilakukan secara persendirian atau berjemaah. Kedudukan makmum pula untuk melakukan sujud tilawah itu, bergantung kepada imam. Jika imam bersujud kerana ayat sajdah iaitu ayat yang menuntut sujud, maka wajib ke atas makmum mengikuti perbuatan imam dengan melakukan sujud itu kerana jika tidak, maka batallah sembahyangnya.

Sebaliknya jika imam tidak melakukannya maka makmum adalah tidak dikehendaki untuk melakukan sujud. Jika dilakukannya juga, maka sembahyangnya menjadi batal. Akan tetapi harus dan sunat hukumnya bagi makmum melakukan sujud tilawah selepas selesai memberi salam dengan syarat jarak di antara sujud dan salam itu tidak lama.

Jika sekiranya makmum tidak mengetahui bahawa imam telah melakukan sujud tilawah sehinggalah imam mengangkat kepalanya daripada sujud, maka tidaklah batal sembahyang makmum itu. Dia dimaafkan kerana tertinggalnya daripada perbuatan imamnya itu dan juga tidak dikehendaki melakukan sujud.

Sujud tilawah adalah sunat dilakukan di dalam sembahyang sama ada pada sembahyang yang dinyaringkan bacaan (jahar) atau pada sembahyang yang dibaca secara suara perlahan (sir). Walau bagaimanapun bagi sembahyang yang tidak disunatkan menyaringkan suara, sujud tilawah itu sunat dibuat oleh imam setelah dia selesai menunaikan sembahyang supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan makmum. (Nihayah Al-Muhtaj 2/100)

Diambil daripada illah di atas (sembahyang yang dibaca secara suara perlahan) maka begitu juga halnya pada sembahyang yang disunatkan menyaringkan suara (jahar), sunat (mustahab) bagi imam melakukan sujud tilawah setelah selesai sembahyang, jika (diketahui) jarak di antara imam dan makmum itu jauh sehingga dia tidak mendengar bacaan imam atau tidak dapat melihat perbuatan imam atau diselangi oleh dinding dan sebagainya bagi mengelakkan kekeliruan para makmum. (Nihayah Al-Muhtaj 2/100)

Adapun cara melakukannya ketika di dalam sembahyang hendaklah dia sujud dengan disunatkan dia bertakbir tanpa mengangkat tangannya kerana tangan tidak diangkat ketika hendak melakukan sujud di dalam sembahyang.

Selepas sujud iaitu bangun dari sujud tersebut untuk bangkit semula meneruskan sembahyangnya, maka disunatkan ia bertakbir. Dia tidak wajib berniat untuk menunaikan sujud tilawah di dalam sembahyang kerana ia sudah terkandung di dalam niat sembahyang (iaitu dengan terkandungnya niat sujud itu kerana bacaannya) sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Khatib.(Al-Hasyiyatan1/238) Tetapi jika ia berniat juga hendaklah jangan di lafazkan kerana dengan lafaz itu boleh menyebabkan sembahyangnya itu terbatal.

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP