SAAT pasangan ini melangkah masuk ke studio Utusan, kemesraan cinta mereka 'ditayang' tanpa disorok lagi, dan tanpa dihalang perasaan segan dan silu.
Apalagi sementara menantikan jurufoto merakam gambar mereka, sempat lagi pasangan ini mengusik sesama sendiri dan saling bermanja tanpa menyedari gelagat mereka diperhatikan ramai.
Seolah-olah mahu menyerlahkan kebahagiaan cinta di mata umum, bekas finalis program realiti Raja Lawak, Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz atau Johan dan pelakon Ozlynn Waty Ismail (Ozlynn) bersikap selamba dan terbuka mengenai hubungan mereka.
Sepanjang sesi fotografi dan sesi temu bual tersebut, kemesraan mereka bagaikan tiada titik noktah. Sering sahaja mereka bergurau senda. Sampaikan Ozlynn sempat juga merajuk sekejap kerana dek gurauan Johan itu.
"Kami memang macam ini. Kalau terasa sikit, masa itu juga kami akan merajuk dan bergaduh tak kira tempat.
"Dan hubungan kami ni brutal ('ganas'). Tapi kalau masing-masing tengah naik angin, jadi brutal terus," ujar Ozlynn dalam tawa apabila menyedari gelagat mereka meraih perhatian.
|
KELUARGA Johan dan Ozlynn memahami betapa hubungan mereka kini sangat intim. |
Biarpun sedang ditemu bual, mereka turut menyelitkan lawak jenaka yang hanya difahami mereka berdua. Malah sempat lagi mereka mengambil gambar berdua sendiri.
Dalam pada itu ada kalanya, mereka tidak serius dek kerana gurauan spontan yang dicipta mereka itu. Lebih-lebih lagi Johan yang sememangnya tidak pernah kering idea dalam membuat lawak.
Jelas sekali, cinta mereka begitu mekar sehinggakan sukar untuk mereka selindungkan. Bagi Johan dan Ozlynn, hubungan mereka itu bagaikan isi dan kuku kerana saling memerlukan antara satu sama lain.
Disebabkan keintiman mereka juga, hubungan yang sudah mencecah setahun lebih itu tiba-tiba menjadi kontroversi apabila mereka dikatakan berpeluk dan bercium di khalayak ramai.
"Cinta kami ini sempoi. Semua perkara kami kongsi. Cuma kalau duit saya, saya punya dan duit Johan saya punya juga (ketawa).
"Tapi bila ada orang tak puas hati, mulalah nak jaja cerita yang tak elok tentang kami sampai jadi bualan orang.
"Alhamdulillah, setakat ini kami langsung tak tertekan pun dengan kontroversi itu. Kami cuma buat apa yang kami rasa mahu buat," ujar Ozlynn.
Tambah gadis berusia 27 tahun ini, keluarganya juga tidak tergugat dengan kontroversi hubungan intim mereka itu.
Malah, keluarga Ozlynn begitu memahami dan mengetahui mereka sentiasa berdua ke mana-mana sahaja.
"Mak tahu kami sentiasa berdua. Sampaikan mak kata 'ala... buat tak kisah sahaja'.
"Kami tak hairan sebenarnya dengan kata-kata orang. Yang penting keluarga kami faham dan tahu setiap langkah kami," tegasnya.
Anggap orang sekeliling tidak faham
Seperti umum sedia maklum, hubungan Johan dan Ozlynn sering dijadikan isu kononnya, keakraban mereka tidak kena tempat.
Malah, sikap mereka yang saling menyuap makanan antara sesama sendiri juga turut dijadikan bahan cerita oleh mulut-mulut yang nakal.
Apa pun, seperti biasa, mereka langsung tidak mempedulikannya. Sebaliknya, mereka menganggap orang sekeliling tidak faham dengan keadaan mereka.
Ketika ditanya, bersambung-sambung pula jawapan yang diberikan Ozlynn dan Johan.
"Biarlah, orang kata kami sering suap-suap makan. Kalau nak tahu di rumah, mak saya selalu suapkan makan untuk saya," ujar Ozlynn.
Johan pula menyambung: "Dia ni manja. Nampak sahaja badan besar panjang macam ini, tali kasut pun saya kena ikatkan. Malah saya juga yang memotong kukunya.
"(Ketawa) Betul tu. Sebab kalau saya potong kuku sendiri, sampai ke dalam-dalam kulit saya potong. Tapi, bab masak jangan main-main, saya pakar tau."
Sengaja mahu mengusik teman wanitanya, Johan menyampuk lagi: "Masak air! (ketawa). Itu pun air tak masak!"
Bertanyakan pula tentang perancangan ke alam rumah tangga, pasangan ini belum lagi merancang untuk memikul tanggungjawab sebagai suami isteri.
Namun, perkahwinan yang diidamkan sudah pun ada dalam kotak fikiran mereka.
"Kalau nak cakap tentang sama ada kami sudah bersedia atau tidak untuk berumah tangga, memang saya dah bersedia. Cuma, persediaan untuk kahwin saja belum lagi.
"Biar masa yang menentukan. Tapi kami mahukan perkahwinan yang berbeza, mungkin kami akan buat majlis minum petang. Atau mungkin kami akan nikah dahulu dan bersanding, tengoklah dulu macam mana.
"Keluarga pun tak kisah dengan perancangan perkahwinan kami. Mereka cuma mahu saya cari lelaki yang terbaik," akui Ozlynn.
Sempat juga Johan menyampuk: "Jangan cari yang terbalik!"
Ozlynn sudah ada anak?
Sementara itu, gosip sebelum ini tersebar kononnya Ozlynn sudah pun mempunyai seorang anak.
Ditebak persoalan itu, Ozlynn bagaimanapun enggan mengulas panjang perkara tersebut.
"Tentang anak, saya tak mahu komen. Apa yang boleh saya bagi tahu, saya menjaga seorang anak lelaki yang berusia lima tahun," tegasnya
Sebenarnya, sejak kontroversi mengenai hubungan cinta mereka kecoh diperkatakan, nama Ozlynn baru dikenali umum, walaupun dia sudah 14 tahun bergelar seorang anak seni.
|
BAGAIKAN belangkas. Johan dan Ozlynn tidak segan untuk menunjukkan kemesraan mereka untuk disaksikan pandangan umum. |
Ozlynn juga dikatakan mencipta nama atas dasar populariti Johan semata-mata. Namun, kerana kontroversi yang ditimbulkan itu juga, rezekinya semakin melimpah ruah. Begitu juga dengan Johan.
"Sebenarnya saya nak ucapkan terima kasih kepada orang yang membuat kecoh tentang kami kerana rezeki kami semakin terbuka luas.
"Alhamdulillah banyak tawaran yang kami terima. Sekarang ini kami baru saja selesai penggambaran drama YB, Isteri dan Janda. Sebelum itu, Johan juga berlakon dalam drama Impak Minima.
"Pada masa akan datang, saya akan mengacarakan program memasak pula dan akan pusing satu Malaysia. Kasihan Johan, selama 20 hari saya akan tinggalkan dia," selorohnya.
Mendengar kata Ozlynn, terus Johan berkata sambil membuat mimik muka: "Kenalah ikut sama! Ozlynn sebenarnya ialah pembantu peribadi (PA) saya dan saya juga PA dia.
"Bila dia ada penggambaram, saya akan ikut dia. Begitu juga dengan saya bila ada penggambaran, dia pula akan ikut saya. Tak payah pakai PA."
Sambil mengangguk Ozlynn memberitahu, dengan cara itu kerjaya mereka bertambah mudah. "Lagipun boleh elak benda yang tidak elok," katanya.
"Oh! mahu buat benda yang tak elok di belakang akulah tu?" seloroh Johan pula yang bakal memulakan penggambaran filem Uncle Usin tidak lama lagi.