Powered by Blogger.

Mar 9, 2009

TEKS MEMORANDUM GMP KEPADA DYMM YDP AGUNG













Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun.


Adapun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 hari bulan Januari 2009. Alhamdulillah sejak itu sambutannya di seluruh negara sangat memberangsangkan.


MENGAPA KAMI SEKALIAN MEMBANTAH PPSMI

Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:



1.
Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu (iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, kemudian Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah mencapai kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius.


Banyak pelajar kita, beratus ribu banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 1957 hingga tahun 2003) telah berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.



Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak bukti tentang kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah berhasrat untuk membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan panjang.




2.
Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar bahawa hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama, ratusan ribu pelajar kita (seperti yang tersebut di atas) pandai sains dan matematik dalam bahasa sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya menjadi profesor yang mengajar sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi ahli sains, jurutera, pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku sains, menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)?



Tidakkah mereka tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M. Sc.) dalam bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih kurang 400 buah?




3.
Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah baik dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?



4.
Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan mengejut tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan pakar-pakar pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya terhadap bahasa Melayu dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup biasa mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun!



Tiba-tiba anak-anak kita yang tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa yang mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat menganggap bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau dasar penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu tidak maju sains dan teknologi.




5.
Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan PPSMI ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju dalam bidang sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu. Mengapakah setelah lebih 37 tahun pendapat yang salah dan karut ini digunakan untuk mengubah dasar asal dan menggantikannya dengan dasar PPSMI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh untuk mempertahankan alasan itu.



Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi mengajar sains di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar menyebut beberapa contoh, Negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, semua negara Eropah (termasuk Britain), Rusia dan negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains dan teknologi dalam bahasa asing.




6.
Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat menengah dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah, tidak maju sains dan teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di universiti dan kita tahu negara itu tidak maju sains dan teknologi, yakni negara itu tidak sama taraf kemajuan sains dan teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan negara China atau Taiwan.



Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi.




Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina, ialah pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.




7.
Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri.



Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu.




Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.



Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.




8.
Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.




9.
Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris kepada pelajar berbahasa Melayu.



10.
Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai "otak" atau minat untuk belajar atau memahami sains atau matematik; puncanya ialah, mereka tidak memahami soalan yang dibuat dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].



HASIL KAJIAN




11
. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selain Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar.


Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang merudum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.



12.
Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato' Isahak Haron dari UPSI Januari 2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.



APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?





13.
Perkara yang sangat merunsingkan kami ialah, dalam percubaannya untuk mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu 'sudah berjaya' atau 'akan berjaya', para pegawai di Kementerian Pelajaran cuba menurunkan markah lulus mata pelajaran sains dan matematik sehinggakan murid yang mendapat markah 30% dianggap sudah boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C).




Kalau cara yang 'mengelat' ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkat alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan menurun, tidak tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini tidak direndahkan atau dengan kata lain, markah lulusnya tidak diturunkan.




GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS




14.
Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan 'gila bahasa Melayu'. Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong.



Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.




15.
Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, 'pendapat' atau 'teori' yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu.



Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik. Kajian yang disebut para perenggan 7 di atas mengesahkan perkara ini.




16.
GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (foreign language) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V.



Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.




17.
Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan Melayu-Indonesia.



Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang tinggi, memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan Ketua Perlembagaan Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku berkenan menerima Warkah Memorandum ini.




Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik sekalian menghadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah Duli Tuanku, patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Duli Tuanku Dilimpahi rahmat dan hidayah sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara Malaysia.



Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wa billahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.




Patik sekalian yang berdatang sembah.

Rakyat Malaysia

Sumber: Harakahdaily



0 comments:

Blog Archive

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP