Powered by Blogger.

Jun 4, 2009

Gelatin miliki multifungsi

khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

Gelatin adalah salah satu anugerah Tuhan kepada manusia. Dengan gelatin, pelbagai perkara dapat diselesaikan dan ia menjadi pelengkap kepada sesuatu dalam pelbagai industri.




IA dihasilkan melalui proses hidrolisis daripada kulit, tulang dan usus haiwan mamalia seperti babi, lembu atau kerbau. Justeru, gelatin merupakan protein tulen yang dianggap sebagai bahan paling ajaib di dunia.

Ini kerana boleh dikatakan, tanpa gelatin kehidupan kita tidak akan lengkap kerana bahan ini mempunyai pelbagai fungsi yang sukar dinafikan kehebatannya.



KAPSUL gel lembut dalam produk farmaseutikal menggunakan gelatin untuk dihasilkan.


Menurut Timbalan Dekan Fakulti Sains Makanan dan Teknologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Jamilah Bakar, keunikan fungsi gelatin menyebabkan ia tidak dapat ditandingi oleh mana-mana bahan lain di dunia.

"Gelatin adalah salah satu anugerah Tuhan kepada manusia. Dengan gelatin, pelbagai perkara dapat diselesaikan dan ia menjadi pelengkap kepada sesuatu dalam pelbagai industri.

"Contohnya dalam industri makanan, gelatin digunakan untuk berfungsi sebagai penebal, pelekat, pengemulsi, egen pembuih, penahan lembapan, pembaik tekstur dan egen pengikat yang menjadikan sesuatu makanan kelihatan dan dilihat lebih baik.

"Oleh itu, tanpa gelatin sesetengah produk mungkin tidak dapat dihasilkan," kata Jamilah mengenai kehebatan gelatin ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.



PROSES keluar dan masuk aiskrim dari peti sejuk tidak menjejaskan rasa dan kehalusan tekstur jika aiskrim mempunyai gelatin.



Beliau telah menjalankan kajian ke atas gelatin yang diekstrak daripada sisik ikan patin sejak sembilan tahun lalu dan masih meneruskannya sehingga hari ini.

Berdasarkan sejarah, gelatin telah digunakan oleh manusia sejak beratus-ratus tahun lalu dalam aspek pemakanan di negara-negara Eropah.

Namun, seiring dengan peredaran zaman, kegunaan gelatin juga telah diperluaskan ke dalam industri tertentu seperti farmaseutikal, kosmetik, produk kesihatan dan sebagainya.

"Ini kerana gelatin merupakan bahan semula jadi yang tidak terjejas dengan apa juga suhu. Sama ada dalam suhu yang paling sejuk di bawah paras negatif darjah celsius hinggalah pada suhu paling panas, ia langsung tidak terkesan.

"Sebab itulah, jika sesuatu bahan dicampurkan gelatin, ia akan sentiasa kekal seperti sewaktu dibeli. Contoh paling mudah ialah aiskrim. Jika tiada gelatin, aiskrim tersebut akan mudah cair dan teksturnya bertukar menjadi kasar apabila melalui proses dikeluar dan dimasukkan ke dalam peti sejuk berulang kali.

"Dengan penggunaan gelatin di dalam aiskrim, ia akan menjadi agen pembaik tekstur dengan memekatkan aiskrim agar lebih tahan lama dan sedap dimakan," ujar Jamilah sambil menambah gelatin mudah dihadam, rendah kalori dan tidak mengandungi kolesterol walaupun diambil dalam jumlah yang banyak.



CARTA menunjukkan kira-kira 500,000 ribu ekor haiwan bovine diperlukan bagi tempoh setahun untuk menghasilkan 1,500 tan metrik gelatin.


Selain daripada aiskrim, barang makanan yang biasa menggunakan campuran gelatin adalah jeli, coklat, gula-gula lembut, marshmallow, toffee, gula-gula getah, yogurt, keju, mentega dan produk daging.

Bagi industri farmaseutikal, gelatin digunakan dalam pembuatan kapsul keras, kapsul lembut, tablet, serum gantian dan suntikan manakala dalam industri kosmetik pula, ia termasuklah produk penjagaan kulit, alat solek, pengilat kuku dan krim muka.

Tidak ketinggalan, industri fotografi turut menggunakan gelatin dalam menghasilkan filem gambar, kertas cetak, filem x-ray dan sebagainya. Sementara itu, penggunaan gelatin juga melibatkan industri teknikal dan sukan seperti pengeluaran kertas, pembuatan kotak, mancis dan paintball.



BUKAN sahaja krim wajah atau gel lembut malah mancis juga memerlukan gelatin sebagai pelengkap produk.







GELATIN bertindak sebagai agen pengikat dalam tablet ubat-ubatan.



AISKRIM yang tidak mengandungi gelatin mudah cair dan mempunyai tekstur yang kasar. - Gambar hiasan



GULA-GULA marshmallow termasuk antara produk makanan yang mempunyai gelatin.


Dalam pada itu, Prof. Abd.Karim Alias, Timbalan Dekan Bahagian Penyelidikan dan Pengajian Siswazah dari Fakulti Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM) pula berkata, terdapat dua jenis gelatin

yang dihasilkan di seluruh dunia iaitu jenis A dan B.

"Gelatin jenis A biasanya terdiri daripada sumber haiwan porsine atau tidak halal iaitu babi. Gelatin jenis ini diproses menggunakan asid dan ia boleh menghasilkan kuantiti gelatin yang banyak dan berkualiti.


"Untuk gelatin jenis B pula, ia diproses menggunakan alkali atau air kapur dan menggunakan sumber tulang serta kulit-kulit haiwan bovine seperti lembu, kambing dan kerbau.

"Bagaimanapun, gelatin yang dihasilkan daripada haiwan-haiwan ini agak sedikit kuantitinya berbanding dengan babi. Justeru, masalah yang timbul dalam kalangan umat Islam adalah bagaimana mengetahui produk gelatin yang digunakan itu halal atau tidak?

"Ini merupakan persoalan penting yang harus diteliti kerana kebanyakan daripada kita tidak menyedari bahawa adakah gelatin yang digunakan itu disahkan halal atau sebaliknya memandangkan kita kurang mengambil berat mengenai masalah tersebut," jelas Abd. Karim.

Tambahnya, sehingga kini Malaysia masih belum dapat menghasilkan gelatin sendiri. Semua gelatin yang ada merupakan produk yang diimport dari luar negara.

Justeru, dengan peningkatan populasi umat Islam hari ini, permintaan terhadap gelatin halal juga perlu diutamakan.

"Harus diingat, jika sumber gelatin diambil daripada haiwan halal seperti lembu, kerbau atau kambing, tetapi cara penyembelihan haiwan tersebut tidak menepati syariat Islam, ia tetap daripada sumber yang haram," jelas Abd. Karim yang banyak menjalankan kajian menghasilkan gelatin dari sumber lain seperti ikan dan tumbuh-tumbuhan.

Apa yang membuatkan gelatin begitu istimewa ialah ia mengandungi 84 hingga 90 peratus protein tulen, lebih kurang dua peratus garam mineral dan selebihnya adalah air.

Disebabkan kandungannya itulah, maka gelatin tidak mempunyai kolesterol dan bahan pengawet atau aditif berbanding dengan agar-agar, gam Arab dan gam locus yang mengandungi karbohidrat.

Antara nama gelatin yang biasa digunakan pada label sesuatu produk adalah gelatin, gelatin halal, bovin gelatin, gum base, pengemulsi, penstabil dan E441.

Proses untuk menghasilkan gelatin mengambil tempoh yang agak lama. Terdapat tujuh langkah yang perlu dilakukan sebelum gelatin berjaya dihasilkan iaitu proses pra-rawatan, direndam dalam asid atau alkali, diekstrak, pembersihan, kawalan kualiti, pensterilan dan pengeringan.

Kesemua langkah itu mengambil masa 60 hingga 80 hari untuk menghasilkan satu lot gelatin.



0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP