Powered by Blogger.

Jun 11, 2009

Penjaga kabel dasar laut

Ramai yang tidak tahu, ada syarikat penyelenggara khas yang membaiki kerosakan kabel dasar laut bagi mengelak gangguan rangkaian Internet.




PANJANG kabel dasar laut yang disambung keseluruhannya adalah 804,672 kilometer.




CAPAIAN Internet melalui satelit adalah amat rendah.


PADA Disember tahun lalu, perkhidmatan Internet di Timur Tengah dan sebahagian Asia Tenggara tergendala apabila tiga kabel dasar laut di Laut Mediterranean mengalami kerosakan. Mesir menjadi negara yang terjejas teruk apabila kehilangan lebih daripada 80 peratus rangkaiannya. Akses e-mel dan laman web juga terganggu di Arab Saudi dan beberapa negara teluk yang lain.

Malaysia dan Taiwan tidak ketinggalan menerima kesan daripada insiden itu, menyebabkan kelajuan Internet perlahan. India yang terkenal dengan sokongan perkhidmatan pelanggan globalnya tidak terlepas menerima impak sehingga terpaksa menjadikan mesin faks sebagai medium sokongan, sementara menunggu perkhidmatan Internet pulih sepenuhnya.

Gangguan perkhidmatan Internet seperti itu sering berlaku di mana-mana pelosok dunia. Kabel Internet dasar laut yang menjadi penghubung sebuah benua dengan benua yang lain sering menjadi mangsa pukat nelayan yang boleh mengoyakkannya atau terputus akibat tertarik sauh kapal laut. Kebiasaannya, apabila berlaku insiden sebegini, penyedia perkhidmatan Internet mengubah haluan trafik dengan melalui rangkaian berbeza. Tetapi apabila beberapa kabel terputus pada masa yang sama, masalah besar timbul seperti yang berlaku dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Insiden seperti ini membuktikan perkhidmatan Internet memerlukan penyelenggaraan fizikal yang berterusan. Syarikat penyelenggaraan marin seperti Global Marine System yang berpusat di Britain merupakan antara syarikat yang bertanggungjawab dalam menyelenggara dan membaiki kerosakan kabel dasar laut.

Syarikat itu juga memainkan peranan penting dalam memulihkan rangkaian telekomunikasi penting di Asia selepas dilanda gempa bumi yang merosakkan kabel komunikasi gentian optik yang menjadi tunjang penghubung Taiwan, Hong Kong, Amerika Syarikat, Asia Tenggara dan Eropah.

Beroperasi di samudera dengan kapal khusus untuk melakukan tugasan ini, Wave Sentinel merupakan salah satu daripada barisan kapal penyelenggara milik Global Marine yang dilengkapi dengan kapal selam kawalan jauh yang dapat menyelam ke dasar laut untuk membaiki kerosakan kabel. Jurutera pembaikan akan mengendalikan kapal selam ini menggunakan joystick dengan bantuan sonar, kamera video serta pengesan logam bagi mengesan kedudukan kabel yang mengalami kerosakan.

Ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana sedikit kesilapan boleh mengakibatkan kabel lain turut terjejas. Hanya dengan kepakaran dan pengalaman sahaja, jurutera boleh melakukan tugas rumit itu dalam situasi yang tidak menentu. Arus bawah laut yang deras boleh menyukarkan lagi tugas mengawal kapal selam. Jarak pandangan dasar laut yang ada kalanya kurang dari satu meter boleh menyebabkan tugas mencari kabel itu menjadi panjang dan melelahkan.

Jika kabel tidak dapat diperbaiki, capaian Internet akan perlahan-lahan terhenti. Pada mulanya, trafik akan menjadi begitu perlahan apabila laluan data menjadi semakin berkurangan. Selepas itu, gangguan perkhidmatan akan berlaku seperti yang terjadi di Timur Tengah.

Dengan perlahan-lahan, rangkaian akan terhenti sepenuhnya dan apabila ia berlaku, perniagaan di Amerika Syarikat akan terputus dari perkhidmatan sokongan mereka yang rata-ratanya terletak di Asia, perkhidmatan e-mel antarabangsa dan transaksi kewangan global juga akan terhenti. Apabila itu terjadi, Internet yang kita harapkan untuk berhubung dengan dunia luar akan terbatas kepada rangkaian setempat seperti di pejabat sahaja.

Populariti capaian Internet tanpa wayar atau lebih popular dengan panggilan WiFi menyebabkan ramai yang melihat capaian ini tidak ubah seperti siaran radio. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan sekiranya ada yang menganggap capaian Internet yang rata-rata kita gunakan hari ini merupakan hasil pancaran satelit.

Capaian Internet melalui satelit sebenarnya amat rendah, kurang 10 peratus daripada jumlah trafik Internet di dunia. Kebergantungan Internet kita sebenarnya terletak pada kabel dasar laut yang jika disambung panjangnya, mencecah 804,672 kilometer. Kabel itu pula bersambung pada kabel darat yang menyeberangi benua, membawakan akses web, audio dan visual kepada pengguna rumah dan perniagaan.




0 comments:

Blog Archive

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP