Powered by Blogger.

Apr 7, 2010

Air Tercemar: Siapa Yang Gagal, Siapa Yang Menanggung?

Oleh Sakina Mohamed

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Di Jerman, keseluruhan pengurusan air terletak di bawah kuasa kerajaan persekutuan dan meliputi kesemua aspek dari sumber air hinggalah pengurusan air kumbahan.

Bila 'diterjemahkan', ini bermakna kalau ada masalah atau kesilapan di mana-mana peringkat, maka kerajaanlah yang bertanggungjawab. Itulah sebabnya negara tersebut memilih pengurusan air secara holistik.

Tetapi di negara ini, 'skripnya' lain pula, menurut Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N. Marimuthu.

Pada awal tahun 2005, Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan pengurusan perkhidmatan bekalan air di bawah tanggungjawab bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Tetapi ada juga negeri-negeri yang enggan membenarkan pengurusan air diletak di bawah satu pihak berkuasa disebabkan terdapat hanya sedikit sumber air.

Dan bila ia melibatkan wang, senarionya terus bertukar sama sekali.

Hutan belantara yang sepatutnya diwarta sebagai kawasan tadahan hujan boleh menjadi 'tempayan emas' jika diguna bagi tujuan pembalakan serta pertanian. Membersihkan kawasan hutan selain daripada meratakan tanah dan mengairkan estet serta ladang semuanya boleh mendatangkan sumber kewangan yang lumayan bagi kerajaan negeri.

UNTUNG JANGKA PENDEK, RUGI JANGKA PANJANG

Disebabkan kerja-kerja merata tanah serta menebang pokok, kualiti air di kawasan tadahan ini menurun.

Kadang-kadang, kualiti air menjadi merudum dengan begitu teruk hinggakan memaksa loji-loji rawatan air terpaksa ditutup sebagaimana yang berlaku di beberapa tempat di Malaysia.

Dan bila loji rawatan air terpaksa ditutup, pihak pengguna yang akan menanggung akibatnya, kata Marimuthu.

Menurut beliau, kebocoran air bukan hasil (non-revenue water - NRW) juga dimasukan ke dalam bil.

"Badan gabungan kami, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) telah menjalankan perkiraan dan dengan purata NRW sebanyak 37 peratus pada 2008, kos NRW adalah RM 1.5 billion, yang perlu dijelaskan melalui tarif air".

KETEPI POLITIK, AIR UNTUK SEMUA

Menurut Marimuthu, satu lagi faktor yang menambah kepada 'kemelut air' ialah kefahaman politik.

Beliau memberi contoh Sungai Klang, yang merentas Kuala Lumpur dan Selangor. Ibu kota Kuala Lumpur ditadbir Kerajaan Persekutuan tetapi Selangor pula di bawah kerajaan negeri yang ditadbir parti pembangkang.

"Kerajaan negeri terpaksa membelanjakan RM10 billion bagi membersihkan Sungai Klang. Tetapi bila saya tanya adakah mereka akan bekerjasama dalam hal ini, mereka memberi banyak sebab kenapa mereka sukar untuk mengenepikan perbezaan pendirian," kata beliau.

Menurut Marimuthu lagi bagi proses membersihkan sungai dari pencemaran, langkah pertama ialah bertindak menghalang sumber-sumber pencemaran. Air kumbahan yang sudah sememangnya tercemar hendaklah dialirkan daripada memasuki sungai dan dirawat seperti yang dipraktikkan di banyak negara dengan jayanya.

Bila kualiti air ini sudah terjamin, barulah ianya boleh dilepaskan di Sungai Klang.

"Air dari Sungai Klang datang dari wap air dan kita tidak pasti dari mana asal atau lokasinyanya, (air) jatuh di beberapa tempat di Pahang dan Selangor sebelum mengalir ke Selangor dan Kuala Lumpur. Di sempadan, air ini bercampur tetapi kita masih mengatakan ianya kepunyaan dan hak negeri.

"Adakah bermakna jika saya berasal dari Selangor dan pergi ke Perak, maka saya tidak berhak minum air di Perak? Air adalah anugerah Tuhan dan ianya mengalir".

Kata Marimuthu, fahaman politik seharusnya diketepikan bila ianya tiba bagi menyelamatkan sumber air yang berharga.

Satu contoh yang agak unik diberikan Marimuthu ialah Sungai Rhine yang merentas sembilan negara di Eropah dan merupakan antara sungai yang paling teruk tercemar di benua tersebut.

Tetapi sembilan negara ini, bukannya negeri, walaupun mempunyai fahaman politik, kepentingan dan kepercayaan telah dapat bekerjasama membersihkan sungai tersebut dari pencemaran.

"Kini, Sungai Rhine lebih bersih dari mana-mana sungai di Malaysia," kata Marimuthu.

Bagaimanapun Malaysia masih punya kesempatan untuk memperbetulkan keadaan.

"Kalau kita dapat menstabilkan harga air pada kadar yang rendah selain daripada memastikan kualiti air mentah terjamin, kenapa tidak? Yang demikian Malaysia dapat menguruskan bekalan airnya dengan lebih baik dari negara-negara Eropah. Akhirnya, kita boleh menjadi contoh."

-- BERNAMA

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP