Powered by Blogger.

Jul 19, 2011

Ibu bercinta dalam facebook

Untuk Renungan Kita Bersama


SAYA sedih dan marah terhadap sikap ibu menjalin hubungan sulit dengan seorang lelaki yang juga suami orang. Saya mengetahui hal itu sejak akhir tahun lalu.
Saya mengetahui hubungan mereka melalui laman sosial facebook ibu saya. Saya meneliti setiap baris ayat mereka. Ibu saya juga mengaku kepada lelaki itu dia mencintainya.

Lelaki itu adalah bekas teman lelakinya sewaktu zaman persekolahan. Selepas berjumpa, hubungan mereka semakin intim dan kerap berhubung melalui khidmat pesanan ringkas. Lebih teruk, jika ayah tiada di rumah, teman lelaki ibu akan menghubunginya dengan lebih galak.
Saya benci keadaan ini namun tidak berani bersuara dan tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini. Hanya saya saja yang tahu mengenai hubungan sulit ibu. Saya kasihankan ayah kerana ditipu ibu.
Hamba Allah,
Kedah
DR empati dengan kesedihan adik. Namun, perasaan kesedihan adik ini bukannya satu simptom patologi dan bukan kecelaruan mental. Sebagai seorang anak yang menyayangi ibu, adik berhak mempunyai perasaan kesedihan itu.

Apabila krisis rumah tangga berlaku, ada ibu bapa yang berusaha untuk tidak membabitkan anak tapi anak menerima akibat pergaduhan rumah tangga itu.

Lebih teruk apabila pergaduhan antara suami isteri meletakkan anak dalam keadaan tersepit. Ibu adik mungkin tidak menyedari kesan hubungan sulitnya terhadap perasaan dan jiwa adik.
Dr Dawn Taylor, seorang ahli psikologi menjelaskan, anak tidak boleh menyebabkan perceraian atau mengekalkan perkahwinan ibu bapa mereka. Keputusan dibuat orang dewasa.

Banyak faktor menyumbang kepada kecurangan pasangan dalam perkahwinan. Penyelesaian masalah dalam konflik rumah tangga perlu melihat kepada punca masalah dan bergantung kepada keputusan mereka yang terbabit.

Faktor sama ada pasangan itu gembira atau tidak dalam perkahwinan juga terbabit dalam membuat sesuatu keputusan, iaitu sama ada mengakhiri atau mengekal sesuatu perkahwinan.

Dalam masalah adik ini, pihak yang boleh membuat keputusan ialah ibu, kekasihnya dan bapa adik. Peranan adik hanya sebagai penonton yang melihat dari luar. Oleh itu, tidak banyak yang boleh adik lakukan dalam masalah hubungan ibu dengan kekasihnya.

Namun, sebagai anak, adik boleh melahirkan kesedihan adik atas apa yang berlaku. Caranya perlu berhemah. Jika adik tidak berani memberitahu ibu perasaan sedih itu, adik boleh menggunakan khidmat orang ketiga yang amat dipercayai ibu.

Adik juga boleh menulis surat kepada ibu untuk memberitahu perasaan kecewa dan sedih adik. Bersemuka adalah lebih baik. Tetapi sebagai seorang anak, lakukanlah dengan hormat.

Dengan mengetahui perasaan adik, ibu boleh menilai semula hubungannya dengan kekasih. Ibu yang prihatin dan sayangkan keluarga selalunya akan mengorbankan perasaannya untuk mengekalkan satu institusi keluarga.

Bagaimanapun, adik perlu bersedia atas apa saja kemungkinan yang akan berlaku dalam hubungan antara ibu dengan kekasih dan ibu dengan bapa. Apa saja kemungkinan akan berlaku.

Adalah baik jika adik memberi fokus kepada masa hadapan adik. Contohnya, jika adik belajar, beri penuh perhatian kepada pelajaran. Jika bekerja, jadi pekerja yang baik. Cari sokongan rakan atau saudara yang boleh mengalih pandangan atau kerisauan adik terhadap hubungan ibu dengan kekasihnya.

Ramai anak yang melalui peristiwa perceraian atau konflik ibu bapa berjaya melalui saat sukar dan berjaya dalam kehidupan mereka. Dr doakan agar konflik ibu bapa adik selesai dan adik menjalani kehidupan keluarga yang bahagia.

0 comments:


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP