Powered by Blogger.

Jul 19, 2011

PERSIAPAN MENJELANG RAMADHAN

RUJUKAN +++


PERSIAPAN MENJELANG RAMADHAN
Membuat persiapan untuk memasuki Ramadhan
Pertama; Mengulangkaji kembali ilmu atau pengetahuan tentang
puasa
Kedua; Membaca kembali kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan
a) Ramadhan adalah penghapus dosa
b) Pada bulan Ramadhan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka
dan dirantai syaitan-syaitan
c) Lima anugerah khusus Allah untuk umat Muhammad di bulan
Ramadhan
d) Malam al-Qadar
Ketiga; mengetahui amalan-amalan utama dan besar pahalanya di
bulan Ramadhan
15 AMALAN UTAMA DI BULAN RAMADHAN
1) Berpuasa dengan sesungguh hati
2) Menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan solat sunat
(terawikh, tahajjud dan sebagainya)
3) Menggiatkan ibadah di sepuluh malam terakhir ramadhan
4) Beriktikaf
5) Mencari malam al-Qadar (lailatul Qadar)
6) Membanyakkan bacaan al-Quran termasuklah bertadarus
7) Membanyakkan sedekah dan melakukan kebaikan untuk orang lain
8) Menunaikan umrah sunat bagi yang berkemampuan
9) Banyak berzikir, beristighfar dan memohon diberi syurga dan
dijauhi neraka
10) Banyak berdoa (terutamanya ketika sedang berpuasa, ketika
berbuka puasa dan doa lailatul-Qadar)
11) Bersahur
12) Segera berbuka sebaik saja masuk waktu berbuka
a) Berbuka dengan buah kurma atau air
b) Membaca doa ketika berbuka atau sesudahnya
c) Tidak berlebihan ketika berbuka puasa
13) Memberi makanan untuk orang berbuka puasa
14) Menjaga segala anggota, tingkah-laku dan tutur-kata sepanjang
bulan Ramadhan
15) Meningkatkan ketakwaan dan kesabaran
Bacaan dan Rujukan


(Rebutlah peluang keemasan di bulan Ramadhan)
Bulan Ramadhan adalah bulan yang terlalu banyak kelebihannya. Di
dalamnya terdapat lailatul Qadar iaitu malam kemuliaan yang lebih
baik dari 1000 bulan. Pada bulan tersebut Allah membuka pintu
syurga, menutup pintu neraka dan mengikat syaitan-syaitan untuk
memberi peluang kepada manusia membersihkan diri mereka
sebersih-bersihnya. Amal-amal ibadah dan kebajikan digandakan
Allah di mana yang sunat diberi pahala wajib/fardhu dan yang fardhu
menyamai 70 fardhu di bulan-bulan yang lain. Amat banyak
kelebihan bulan Ramadhan yang kesemuanya insya Allah akan kita
bentangkan satu persatu dalam risalah kecil ini.
Sekarang ini kita berada di bulan Sya‟ban. Inilah masanya kita
menanam azam untuk kita merebut segala kelebihan Ramadhan yang
dijanjikan Allah. Jika Ramadhan tahun lalu kita lalai dan leka
sehingga tanpa disedari Ramadhan telahpun berlalu dan kita
ketinggalan merebut kelebihannya, maka pada tahun ini kita diberi
peluang sekali lagi oleh Allah. Maka janganlah sia-siakan peluang
kali ini kerana entah-entah inilah Ramadhan terakhir buat kita. Mati
datang tidak menentu. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa bersedia.
Rebutlah peluang semasa hayat masih ada ini supaya di akhirat kita
tidak menyesal dengan sesalan yang tiada gunanya lagi.
Membuat persiapan untuk memasuki Ramadhan
Bulan yang besar dan penuh keberkatan serta banyak kelebihannya
haruslah disambut dengan penuh perasaan ta’zim (membesarkan) dan
mengalu-alukannya. Antara persiapan yang dapat kita lakukan  –
malah perlu kita lakukan- sebelum menjelang Ramadhan ialah;
1. Mengulangkaji ilmu tentang puasa
2. Membaca kembali hadis-hadis Nabi  –sallallahu „alaihi wasallamtentang fadhilat (kelebihan) puasa dan bulan Ramadhan.
3. Mengetahui amalan-amalan utama dan besar pahalanya di bulan
Ramadhan.


Pertama; Mengulangkaji kembali ilmu atau pengetahuan tentang
puasa
Amalan yang paling utama di bulan Ramadhan ialah puasa. Puasa
difardhukan pada siang hari sepanjang bulan Ramadhan. Untuk
mencapai puasa yang sempurna kita hendaklah memiliki ilmu tentang
bagaimana melaksanakan puasa yang sebenarnya sebagaimana yang
dituntut oleh Syara‟. Oleh itu, ada baiknya sebelum menjelang
Ramadhan kita mengulangkaji ilmu-ilmu tentang puasa merangkumi;
1. Rukun-rukun puasa serta sunat-sunatnya
2. Perkara-perkara yang membatalkan puasa
3. Perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa
4. Dan segala yang berkaitan dengan ibadah puasa
Selain itu, kita juga perlu mempelajari puasa dari sudut batin atau
rohaninya supaya puasa kita akan mendatangkan lebih kesan kepada
jiwa dan rohani kita.  Imam al-Ghazali membahagikan darjat puasa
manusia kepada tiga bahagian;
1. Puasa umum:  iaitu berpuasa dengan  sekadar menahan perut dan
faraj (kemaluan) dari menikmati keinginannya (makan, minum dan
sebagainya).
2. Puasa  khusus: iaitu berpuasa yang disertakan dengan menjaga
pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota
dari melakukan yang haram atau dosa.
3. Puasa  khususul khusus  (paling khusus): iaitu berpuasa dengan
menyertakan semua yang tersebut di atas dan menambah lagi dengan
berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiranpemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian dari selain Allah
sama sekali.
Jadi  puasa yang sebenar bukanlah hanya puasa zahir sahaja (iaitu
dengan menegah diri dari makan, minum, bersetubuh dan
sebagainya) tetapi juga berpuasa batin iaitu dengan menegah diri dari
maksiat dan dosa. Seorang yang berpuasa di samping menjaga diri
dari makan, minum dan sebagainya, ia juga mesti menjaga anggotaanggotanya dari dosa dan maksiat. Jika tidak, ia tidak akan mencapai
kesempurnaan puasa sebagaimana yang dikehendaki Allah.


Kedua; Membaca kembali kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan
Ada di kalangan kita tidak merasa apa-apa dengan kedatangan
Ramadhan. Bagi mereka, Ramadhan sama seperti bulan-bulan yang
lain; tiba masanya ia datang dan tiba masanya ia berlalu pergi. Punca
sikap ini adalah kerana mereka tidak mengetahui kelebihan dan
keistimewaan bulan Ramadhan atau kerana mereka melupainya.
Kerana itu amat  perlulah hadis-hadis Nabi  –sallallahu „alaihi
wasallam- tentang fadhilat dan kelebihan Ramadhan dibaca dan
diulang-ulangkan kembali  –kepada diri sendiri dan kepada
masyarakat- terutamanya di hujung-hujung Sya‟ban ini.
Amat banyak hadis Nabi  –sallallahu „alaihi wasallam- yang
menceritakan kelebihan dan keistimewaan Ramadhan, antaranya;
a) Ramadhan adalah penghapus dosa
Sabda Rasulullah s.a.w. melalui hadis yang disampaikan oleh Abu
Hurairah r.a.; “Solat lima waktu, jumaat ke jumaat dan Ramadhan ke
Ramadhan merupakan penghapus dosa di antaranya selama mana
dijauhi dosa besar”. (Riwayat Imam Muslim)
b) Pada bulan Ramadhan dibuka pintu syurga, ditutup pintu
neraka dan dirantai syaitan-syaitan
Sabda Rasulullah s.a.w; “Apabila tiba malam pertama Ramadhan
akan diikat/dirantai segala syaitan dan jin-jin yang sesat, ditutup
segala pintu neraka hingga tidak ada satu pintu pun yang dibuka,
dibuka segala pintu syurga hingga tidak ada satu pintupun yang
ditutup. Seorang penyeru (yakni Malaikat) akan berseru; “Wahai
orang yang mengejar kebaikan! Tampillah kamu. Wahai orang yang
ingin melakukan kejahatan! Undurlah kamu (yakni berhentilah dari
melakukan kejahatan)”. Akan terdapat orang-orang yang bakal
dibebaskan Allah dari api neraka. Hal demikian itu berlaku pada
setiap malam (di sepanjang Ramadhan)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi,
Baihaqi dan Ibnu Hibban dari Abu Hurairah r.a.)


c) Lima anugerah khusus Allah untuk umat Muhammad di
bulan Ramadhan


Sabda Rasulullah s.a.w.; “Telah diberikan kepada umatku di bulan
Ramadhan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada seorang
nabi pun sebelumku, iaitu;
1. Di permulaan Ramadhan Allah akan melihat kepada umatku.
Sesiapa Allah melihat kepadanya nescaya ia tidak akan diazab
selama-lamanya.
2. Bau mulut mereka (yang berpuasa) ketika petang hari lebih
wangi di sisi Allah dari bau kasturi.
3. Malaikat akan memohon ampun untuk mereka di sepanjang
hari dan malam.
4. Allah menyuruh syurga supaya bersiap-sedia dengan berkata
kepadanya; “Bersiaplah kamu dan berhiaslah untuk hambahambaKu. Mereka hampir datang (memasukimu) untuk
beristirehat dari kepayahan dunia menuju ke rumahKu dan
kemuliaanKu”.
5. Pada akhir malam bulan Ramadhan, Allah mengampuni dosa
semua mereka. Seorang lelaki dari sahabat bertanya; „Adakah
malam itu lailatul Qadar?‟. Jawab Rasulullah; „Tidak. Apakah
engkau tidak melihat kepada pekerja-pekerja yang bekerja.
Apabila mereka telah selesai dari pekerjaan mereka, akan
disempurnakanlah upah-upah bagi mereka”.
(Riwayat Imam Ahmad, al-Bazzar dan al-Baihaqi dari Jabir r.a.)
d) Malam al-Qadar
Antara kelebihan besar bulan Ramadhan ialah di dalamnya terdapat
lalilatul-Qadar atau malam al-Qadar (kemuliaan) yang dinyatakan
keistimewaannya secara khusus oleh Allah dalam surah al-Qadr;
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur'an) pada malam
al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar
itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu
turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya
untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan
sampai terbit fajar”. (al-Qadr: 1-5)
Dalam surah ini kita melihat kelebihan malam al-Qadar iaitu;
1. Ia merupakan malam penurunan al-Quran. Menurut Ibnu
„Abbas; penurunan yang dimaksudkan ialah penurunan alQuran secara sekaligus dari Luh Mahfudz ke Baitil-„Izzah
yang terdapat di langit dunia/pertama. Setelah itu barulah


diturunkan berperingkat-peringkat kepada Rasulullah s.a.w.
selama 23 tahun.
2. Beramal pada malam al-Qadar lebih baik dari beramal selama
seribu bulan (iaitu 83 tahun 4 bulan) yang tidak terdapat di
dalamnya malam al-Qadar.
3. Pada malam itu, Jibril dan juga para malaikat turun ke langit
dunia atau ke bumi dengan membawa kebaikan dan
keberkatan yang ditetapkan Allah untuk tahun tersebut hingga
datang malam al-Qadar berikutnya. Menurut Imam Ibnu
Kathir; “Banyaknya malaikat yang turun pada malam alQadar adalah kerana banyaknya keberkatan malam tersebut.
Para malaikat turun bersama turunnya berkat dan rahmat
sebagaimana mereka turun tatkala mendengar bacaan alQuran, mereka melingkungi halaqah-halaqah zikir dan mereka
membentangkan sayap-sayap mereka kepada orang yang
keluar mencari ilmu untuk membesarkannya”.
4. Malam al-Qadar itu penuh dengan kesejahteraan hingga terbit
fajar, yakni; pada malam tersebut Allah tidak mentakdirkan
melainkan perkara-perkara yang baik, selamat dan sejahtera.
Ada ulama‟ berpendapat; pada malam al-Qadar itu para
malaikat yang turun akan mengucap salam kepada sekelian
orang beriman  yang mereka temui sama ada lelaki atau
perempuan.
     
Walaupun surah di atas tidak menjelaskan bilakah akan munculnya
malam al-Qadar?, namun jawapan bagi persoalan ini dijelaskan oleh
Nabi s.a.w. dalam sabdanya; “Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh
malam terakhir dari bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari dan
Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.)
Begitulah  antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan.
Orang yang tahu menilainya sudah pasti tidak akan mensia-siakan
peluang untuk merebut kelebihan-kelebihan tersebut. Bahkan
Rasulullah sendiri pernah menegaskan; “Sekiranya manusia benarbenar menyedari kebaikan-kebaikan yang ada di bulan Ramadhan ini,
pastinya mereka akan mengharapkan supaya sepanjang tahun adalah
Ramadhan”. (Riwayat Ibnu Abi Dunya)


15 AMALAN UTAMA DI BULAN RAMADHAN
1) Berpuasa dengan sesungguh hati
Sabda Rasulullah s.a.w.; “Sesiapa mengerjakan puasa Ramadhan
kerana imannya (kepada Allah) dan mengharapkan pahala dariNya,
akan diampunkan untuknya segala dosanya yang lalu”. (Riwayat
Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;
“Setiap amalan anak Adam akan digandakan di mana satu amalan
kebaikan akan digandakan sebanyak sepuluh hingga 700 kali ganda,
kecuali puasa. Allah berkata; „Puasa itu untukKu, maka Aku sendiri
yang akan menentukan pahalanya. Ia (yakni orang yang berpuasa itu)
meninggalkan syahwatnya dan makanannya dengan sebabKu‟. Bagi
orang yang berpuasa dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka
dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya nanti. Sesungguhnya bau
mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi”.
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
2) Menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan solat sunat
(terawikh, tahajjud dan sebagainya)
Sabda Rasulullah s.a.w.; “Sesiapa bangun (untuk beribadah) pada
malam-malam Ramadhan  kerana imannya kepada Allah dan kerana
mengharapkan pahala dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu”.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Menurut Imam an-Nawawi, yang dimaksudkan dengan Qiyam
Ramadhan dalam hadis di atas ialah solat Terawikh. Namun ada
ulama‟ yang memberi makna yang umum iaitu segala solat sunat
yang dilakukan untuk menghidupkan malam iaitulah qiyamullail. Jadi
mengikut pandangan kedua ini termasuk di dalam Qiyam-Ramadhan
itu; solat Terawikh, solat Tahajjud, solat Taubah dan sebagainya.
(Rujuk; Soheh Muslim bisyarhi an-Nawawi dan Raudhatul-Muttaqien
syarh Riyadhus-Salihin)
3) Menggiatkan ibadah di sepuluh malam terakhir ramadhan
Terdapat hadis di mana Saidatina „Aisyah menceritakan; “Rasulullah
s.a.w. apabila masuk sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan,
baginda bangun menghidupkan malamnya (dengan ibadah lebih dari

biasa), membangunkan ahli-ahli keluarga baginda (untuk sama
mengerjakan ibadah seperti baginda), baginda bersungguhbersungguh (mengerjakan ibadah) dan baginda mengikat kainnya
(*kiasan kepada  kesungguhan untuk beribadah atau kiasan kepada
meninggalkan isteri untuk menumpukan kepada ibadah)”. (Riwayat
Imam Bukhari dan Muslim)
Dalam satu riwayat yang lain, Saidatina „Aisyah menceritakan;
“Rasulullah menggiatkan ibadahnya pada malam-malam sepuluh
terakhir Ramadhan melebihi ibadahnya pada malam-malam yang
lain”. (Riwayat oleh Imam Muslim)
4) Beriktikaf
Di antara Ibadah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. di bulan
Ramadhan terutamanya pada sepuluh hari terakhirnya ialah iktikaf.
Saidatina „Aisyah r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. beriktikaf
pada sepuluh hari terakhir Ramadhan hingga ia meninggal dunia.
Kemudian isteri-isteri baginda meneruskan iktikaf selepas kewafatan
baginda”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Iktikaf bermaksud menetap di dalam masjid dengan niat ibadah.
Syaratnya ada tiga iaitu;
Pertama: Berniat iktikaf (yakni berniat untuk tinggal/berdiam di
dalam masjid dalam tempoh tertentu dengan tujuan ibadah bagi
melaksanakan sunnah Nabi s.a.w.)
Kedua: Menetap/tinggal di dalam masjid dalam tempoh tertentu
yang dapat dianggap pada  uruf bahawa seseorang itu beriktikaf atau
duduk diam di dalam masjid.
Ketiga: Seorang yang beriktikaf pula disyaratkan hendaklah seorang
muslim, berakal sihat dan suci dari haid, nifas dan janabah.
(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam asy-Syafi’ie, jil. 2)
Beriktikaf hukumnya adalah sunat pada setiap waktu dan
lebih disunatkan lagi pada sepuluh malam terakhir dari bulan
Ramadhan kerana di antara malam-malam tersebut terdapatnya
lailatul-Qadar atau malam al-Qadar. Menurut ulama‟, beriktikaf pada
sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan hukumnya adalah sunat
muakkad (yakni sunat yang amat-amat disuruh).
(Rujuk: Raudhatul-Muttaqien syarh Riyadhus-Salihin, jil. 3, kitab alI’tikaf)


5) Mencari malam al-Qadar (lailatul Qadar)
Firman Allah menjelaskan kelebihan malam al-Qadar (lailatulQadar); “Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan”. (al-Qadar:
3)
Menurut kebanyakan ahli Tafsir, ayat ini memberi pengertian kepada
kita bahawa beramal pada malam al-Qadar atau lailatul-Qadar lebih
baik dari beramal selama 1000 bulan yang tidak ada lailatul-Qadar
(malam al-Qadar) di dalamnya. (Rujuk:  al-Asas fi at-tafsir, Said
Hawa, surah al-Qadr)
Sabda Rasulullah s.a.w.; “Sesiapa bangun (untuk mengerjakan
ibadah) pada malam al-Qadar kerana imannya kepada Allah dan
mengharapkan ganjaran dariNya, akan diampunkan dosanya yang
lalu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Menurut penjelasan beberapa hadis Rasulullah s.a.w., lailatulQadar ini terdapat di sepuluh malam terakhir Ramadhan iaitu pada
malam-malam ganjil darinya. Kerana itulah, Rasulullah menggiatkan
ibadahnya pada malam-malam tersebut termasuklah beriktikaf di
masjid sebagaimana yang telah kita jelas tadi. Sabda baginda;
“Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan
Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina
Aisyah r.a.)
“Carilah lailatul-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam
terakhir bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari)
Menurut ulama‟, sekurang-kurangnya  qiyam lailatil-Qadr  (yakni
bangun mengerjakan ibadah pada malam al-Qadar untuk
mendapatkan kelebihannya) ialah dengan seseorang itu menunaikan
solat Maghrib, Isyak dan Subuh berjamaah. Ini kerana Rasulullah
s.a.w. bersabda dalam satu hadisnya;
“Sesiapa menunaikan solat Isyak berjamaah, maka ia seolah-olah
bangun berqiyamullail separuh malam. Dan sesiapa menunaikan solat
subuh berjamaah, maka ia seolah-olah bangun berqiyamullail
keseluruhan malam”. (Riwayat Imam Muslim dari Ustman r.a.)


Namun demikian, yang paling sempurna ialah dengan memenuhi
keseluruhan malam atau sebahagian besarnya dengan solat, bacaan
al-Quran, zikir atau seumpamanya dari jenis-jenis ketaatan.
(Rujuk: at-Tajul Jami’ Lil-Ushul, Syeikh Manshur „Ali Nashif, jil. 2,
hlm. 80)
6) Membanyakkan bacaan al-Quran termasuklah bertadarus
Bulan Ramadhan adalah bulan penurunan al-Quran sebagaimana
yang dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya; “Bulan Ramadhan,
bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur'an sebagai
petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk
itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)”. (al-Baqarah:
185)
Oleh itu, amat digalakkan kita menghidupkan Ramadhan ini dengan
memperbanyakkan membaca al-Quran. Membaca al-Quran termasuk
antara amalan-amalan terbaik untuk kita mendekatkan diri kepada
Allah terutamanya di bulan Ramadhan ini di mana pahalanya lebih
berlipat-ganda lagi. Sabda Rasulullah s.a.w.;
“Tidak (ada cara terbaik) hamba-hamba mendekatkan (diri mereka)
dengan Allah seumpama apa yang keluar dariNya (yakni yang datang
dari Allah) iaitulah al-Quran”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, atThabrani dari Abu Umamah r.a.)
Selain membaca secara bersendirian, digalakkan juga kita membaca
secara berkumpulan atau bertadarus. Dalam hadis Bukhari, Ibnu
„Abbas  menceritakan; “Pada setiap malam di bulan Ramadhan
malaikat Jibri datang kepada Rasulullah s.a.w. untuk bertadarus alQuran dengan baginda”. Mengenai fadhilat bertadarus, ia dijelaskan
oleh Rasulullah s.a..w. dalam satu hadis baginda;
“Apabila berhimpun sekumpulan manusia di suatu rumah Allah
(masjid) kerana membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling
mempelarinya antara sesama mereka (yakni bertadarus), maka
turunlah ke atas mereka ketenteraman, mereka dilimpahi oleh rahmat,
dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut nama mereka di
hadapan malaikat-malaikat yang berada di sisiNya”. (Riwayat Abu Daud


7) Membanyakkan sedekah dan melakukan kebaikan untuk
orang lain
Anas r.a. menceritakan; Seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w.;
„Ya Rasulullah! Apakah sedekah yang paling afdhal?‟. Jawab
Rasulullah s.a.w.; “Sedekah pada bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam
at-Tirmizi)
Imam Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Abbas yang menceritakan;
“Rasulullah s.a.w. merupakan manusia yang paling pemurah.
Baginda menjadi lebih pemurah lagi pada bulan Ramadhan tatkala
Jibril datang kepada baginda. Jibril datang kepada baginda pada
setiap malam di bulan Ramadhan untuk bertadarus al-Quran dengan
baginda. Sesungguhnya Rasulullah lebih pemurah dari angin lepas
(*yakni angin yang bertiup tanpa sekatan/halangan)”.
Berkata Imam al-Mawardi; “Disunatkan kepada seorang lelaki
melapangkan ahli-ahli rumahnya (*yakni melebihkan belanja kepada
mereka dan sebagainya-pent.) pada bulan Ramadhan dan melakukan
kebaikan kepada kaum kerabatnya dan jiran-jirannya terutama pada
sepuluh hari terakhir darinya”. (al-Majmu‟, Imam Nawawi, jil. 6,
halaman 398)
8) Menunaikan umrah sunat bagi yang berkemampuan
Sabda Rasulullah s.a.w.; “Sekali umrah pada bulan Ramadhan
menyamai pahala sekali haji”. (Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu
Majah dari Wahab bin Khanbasyi r.a.)
Dalam riwayat lain; “Sekali umrah pada bulan Ramadhan menyamai
pahala sekali haji atau sekali haji bersamaku”. (Riwayat Bukhari dan
Muslim dari Ibnu „Abbas r.a.)
9) Banyak berzikir, beristighfar dan memohon diberi syurga dan
dijauhi neraka
Sabda Rasulullah s.a.w; “Orang yang berzikir kepada Allah di bulan
Ramadhan, akan dikurniakan (Allah) keampunan untuknya. Dan
orang yang memohon dari Allah di bulan Ramadhan, ia tidak akan
kecewa (yakni ia pasti akan mendapat apa yang ia pohon)”. (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi dari Umar r.a.)


10) Banyak berdoa (terutamanya ketika sedang berpuasa, ketika
berbuka puasa dan doa lailatul-Qadar)
Sabda Rasulullah; “Tiga manusia yang tidak akan ditolak doa mereka
(oleh Allah);
1. Orang yang berpuasa hinggalah ia berbuka
2. Imam (pemimpin) yang adil
3. Doa orang yang dizalimi”.
(Riwayat Imam Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa  -ketika berbukanya- doa yang
tidak akan ditolak”. (Riwayat Ibnu Majah dari Abdullah bin „Amru
bin al-„As)
Doa yang makthur dari Rasulullah s.a.w. untuk dibaca ketika berbuka
puasa akan kita nyatakan di depan nanti. Adapun doa lailatul-Qadar,
maka diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan;
“Aku bertanya Rasulullah s.a.w.; „Ya Rasulullah, jika aku menemui
lailatul-Qadar (malam al-Qadar) apakah doa paling baik untuk aku
ucapkan?‟. Jawab Rasulullah; „Kamu bacalah doa;
الَّهُّمَ إَّكَ عَفُىٌ تُحُِّ العَفْىَ فاعْفُ عَِّي
“Ya Allah, ya Tuhanku! Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang
maha pemaaf. Engkau suka memaafkan (dosa hamba-hambaMu).
Maka maafkanlah daku (yakni ampunkanlah dosa-dosaku)”. (Riwayat
Imam at-Turmuzi)
Doa lailatul-Qadar ini ada baiknya kita membacanya pada setiap
malam di bulan Ramadhan kerana dengan membacanya pada setiap
malam, pastinya salah satu doa kita akan bertemu malam al-Qadar
sekalipun tanpa kita menyedarinya. Jika kita membacanya secara
berselang, ada kemungkinan malam yang kita tidak membaca doa itu,
malam tersebut merupakan malam al-Qadar. Maka akhirnya kita
terluput dari mendapat kelebihan yang besar ini, walhal ia amat
mudah diperolehi.
Menurut ulama‟, kita digalakkan supaya berdoa pada setiap ketika
dan lebih digalakkan lagi berdoa pada bulan Ramadhan terutamanya
pada sepuluh hari terakhir darinya (terutama yang ganjil). (rujuk; alAsas fi at-Tafsir, Syeikh Said Hawa, surah al-Qadar).


11) Bersahur
Ramai di kalangan kita yang suka mengabaikan amalan bersahur di
bulan Ramadhan. Mungkin kita menganggap bersahur itu sematamata untuk mengelakkan kita dari terlalu letih pada siangnya. Namun
bersahur sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri. Ini
sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah dalam sabdanya;
“Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada barakah”.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Anas r.a.)
Pahala bersahur diperolehi dengan semata-mata makan atau minum
walaupun seteguk air. Sabda Rasulullah;
“Bersahurlah walaupun dengan seteguk air”.
(Riwayat Ibnu Hibban dan Abu Ya‟la dari Anas r.a.)
Waktu bersahur bermula apabila sudah masuk tengah malam. Walau
bagaimanapun disunatkan melambatkan sahur yakni sebelum
terbitnya fajar. Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w.;
“Senantiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mereka
menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur”.
(Riwayat Imam Ahmad dari Abu Zarr r.a.)
12) Segera berbuka sebaik saja masuk waktu berbuka
Apabila sampai masa untuk berbuka, kita disunatkan supaya segera
berbuka puasa. Sabda Rasulullah s.a.w.;
“Senantiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mereka
menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur”.
(Riwayat Imam Ahmad dari Abu Zarr r.a.)
Menjadi sunnah Rasulullah s.a.w. berbuka terlebih dahulu sebelum
menunaikan solat. Melambat-lambat berbuka puasa hukumnya adalah
makruh kecuali jika ada sebab yang tidak dapat dielakkan.
Selain itu, juga disunatkan perkara-perkara berikut ketika berbuka;
a) Berbuka dengan buah kurma atau air


Disunatkan berbuka puasa dengan buah kurma basah. Jika tidak ada,
dengan buah kurma kering. Jika tidak ada buah kurma, disunatkan
berbuka dengan air. Sabda Rasulullah s.a.w.;
“Sesiapa memperolehi buah tamar/kurma maka berbukalah
dengannya. Sesiapa yang tidak memperolehinya, maka berbukalah
dengan air kerana ia adalah penyuci”.
(Riwayat Imam Hakim, Tirmizi dan an-Nasai dari Anas r.a.)
Anas r.a. menceritakan bahawa; “Rasulullah s.a.w. berbuka puasa
dengan beberapa kurma basah/segar, kalau tidak ada kurma basah
maka dengan kurma kering dan kalau tidak ada buah kurma, baginda
akan berbuka dengan beberapa teguk air”. (Riwayat Ahmad, Tirmizi
dan Abu Daud)
b) Membaca doa ketika berbuka atau sesudahnya
Di antara doa yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w. ketika berbuka
ialah;
الَّهُّمَ لَكَ صُمْتُ وَعَّى رِزْقِكَ أفْطَرْتُ
“Ya Allah! BagiMu aku berpuasa dan dengan rezekiMu aku
berbuka”. (Riwayat Abu Daud dari Mu‟az bin Zuhrah)
اَلَّهُّمَ ذَهََّ الّظَمْأُ، وابْتََّتِ العُرُوْقُ، وَثَبَتَ األَجْرُ إِنْ شَاْءَ الَّهُ
“Ya Allah! Hilanglah dahaga, basahlah seluruh urat tubuh dan
tercapailah pahala insya Allah”. (Riwayat Imam an-Nasai dan Abu
Daud dari Abdullah bin Umar r.a.)
c) Tidak berlebihan ketika berbuka puasa
Di antara adab yang digalakkan oleh ulama‟ ketika berbuka puasa
ialah tidak berlebihan ketika menikmati makanan. Makanlah dengan
kadar sederhana sahaja, tidak terlalu banyak supaya tidak keletihan
untuk menunaikan ibadah malam nanti (solat terawikh, tadarus alQuran dan sebagainya). Kata ulama‟; “Sesiapa yang kenyang di awal
malam nescaya ia akan ketinggalan pada baki malamnya”.
13) Memberi makanan untuk orang berbuka puasa
Di bulan Ramadhan, disunatkan kita memberi makan atau minum
kepada orang-orang yang berpuasa sekalipun dengan sebiji kurma


atau seteguk air. Namun yang lebih baik ialah memberi makan
sampai mengenyangkan mereka. Fadhilatnya ialah sebagaimana
sabda Rasulullah s.a.w.;
“Sesiapa yang memberi makanan berbuka puasa kepada orang yang
berpuasa, maka pahalanya seumpama orang yang berpuasa itu tanpa
berkurang sedikitpun”. (Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Ibnu
Majah dari Zaid bin Khalid r.a.)
Dan disunatkan juga kita  makan bersama dengan orang yang
berpuasa dan cara seperti ini lebih baik bagi menunjukkan rasa
rendah diri.
14) Menjaga segala anggota, tingkah-laku dan tutur-kata
sepanjang bulan Ramadhan
Sabda Rasulullah s.a.w.; “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata
dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada
keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah
tidak berhajat kepada puasanya)”. (Riwayat Imam Bukhari, Abu
Daud dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.)
15) Meningkatkan ketakwaan dan kesabaran
Tujuan puasa sebagaimana yang dijelaskan Allah ialah untuk
melahirkan ketakwaan dalam jiwa. Ini sebagaimana yang
difirmankan Allah di dalam al-Quran; “Hai orang-orang yang
beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan
atas orang-orang sebelum kamu  agar kamu bertakwa”. (al-Baqarah:
183)
Oleh itu, supaya tujuan puasa itu benar-benar dapat dihayati oleh kita,
maka di sepanjang bulan Ramadhan ketika kita melaksanakan ibadah
puasa, hendaklah ada keazaman yang kuat dalam jiwa kita untuk
menjadi manusia yang bertakwa seperti yang dihendaki Allah. Kita
hendaklah mengelak dari berpuasa semata-mata kerana kebiasaan
atau rutin tahunan yang menyebabkan kita tidak berusaha mengambil
apa-apa pengajaran dari puasa kita itu.
Mengenai kedudukan sabar pula, maka Rasulullah s.a.w. bersabda
dalam hadis yang disampaikan oleh Ibnu Khuzaimah tadi;


“Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedang sabar itu pahalanya adalah
syurga..”. (Riwayat Abu Khuzaimah dari Salman r.a.)
Begitu juga dalam satu hadis yang lain, Rasulullah bersabda; “Puasa
adalah separuh kesabaran”. (Riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah
r.a.)
**** تّم بعىن اهلل وله الحمد في األولى واآلخرة ****


Bacaan dan Rujukan
1- صسُر يسهى تشزذ انُىوٌ)انًدهذ انزاتغ(، نإياو انُىوٌ، يِِؤسسح انًختار-انقاهزج
)2001و(
2- روضح انًتقٍُ شزذ رَاض انصانسٍُ)اندزء انثانج(، نهشُخ ػثذ انقادر ػزفاٌ تٍ
سانى انذيشقٍ، دار انفكز-نثُاٌ )1998(
3- انًُتقً يٍ كتاب انتزغُة وانتزهُة نهًُذرٌ)اندزء اأول(، نهذكتىر َىسف
انقزضاوٌ ، يطاتغ دار انىفاء—انًُصىرج )1993(
4- انتاج اندايغ نأصىل فٍ أزادَج انزسىل)انًدهذ انثاٍَ(، نهشُخ يُصىر ػهٍ َاصف
،دار انفكز-نثُاٌ )1986(
5- يتٍ انغاَح وانتقزَة فٍ انفقه انشافؼٍ، نهقاضٍ أتٍ شداع )زققه وػهق ػهُه وتٍُ
أدنته: ياخذ انسًىٌ(، دار اتٍ ززو- تُزوخ )1993(.
6– انفقه انًُهدٍ ػهً يذهة اإياو انشافؼٍ )اندزء انثاٍَ(، د. يصطفً انخٍ/ د.
يصطفً انثغا/ ػهً انشزتدٍ، دار انقهى - ديشق )1991(
7- اأساس فٍ انتفُسز )انًدهذ انسادٌ ػشز - سىرج انقذر( ، نهشُخ سؼُذ زىي، دار
انسالو - انقاهزج )1989(
8- دروس انزياٌ فٍ شهز انصُاو، نهشُخ سؼُذ ػثذ انؼظُى، دار اإًَاٌ - اإسكُذرَح
)دوٌ انتارَخ(
9- سثُم انًهتذٍَ، انشُخ يسًذ أرشذ انثُدزٌ، (Thinkers Library (1989
9.01 اإصذار ،)www.muhaddith.org( سذثًان تزايح -10






















0 comments:


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP