Pertamanya
tahniah kepada komponen Pakatan Rakyat atas sikap saling menghormati
dan cuba memahami kerenah serta kehendak antara parti-parti komponen.
Pertembungan ketegasan generasi senior PAS dan DAP berkaitan dapat
direda oleh generasi pertengahan serta generasi baru bukan saja dalam
Pakatan Rakyat, bahkan mereka yang sekadar memerhati dari luar.
Tulisan
ini sekadar mengajak pembaca membuka sedikit ruangan minda terhadap
kekalutan yang berlaku. Mungkin tidak sehebat tulisan mereka yang
berpengalaman. Cuma kadangkala timbul persoalan terutama kepada yang
mengaku beragama Islam, kenapakah sukar untuk mengakui, redha,
menggunapakai serta menjadi duta Islam menerangkan keindahan hukum Islam
kepada masyarakat keseluruhannya? Kebiasaannya mereka yang menentang
hukum Islam yang dilihat agak tegas tetapi penuh keindahan ini, samada
jahil , atau kerana mereka sendiri terlibat melakukan jenayah seperti
yang terkandung di dalam hukum Islam itu? Tak pasti, hanya Allah saja
mengetahuinya. Maka, mungkin boleh disimpulkan Hudud digeruni oleh
Muslim yang bersalah sahaja, yang tidak melakukan jenayah tak perlu
takut.
Memang
sukar untuk mereka yang tidak memahami untuk mudah menerima sesuatu
yang di luar lingkungan pemahaman mereka. Apatah lagi jika majoriti
menganggap “adil” dalam erti kata samarata. Timbulnya persoalan
(kadangkala dari mulut celupar pemimpin mengaku Islam) berkenaan tidak
adilnya jika berzina, yang non muslim hanya membayar denda sedangkan
yang muslim disebat 100 kali sebatan di khalayak ramai (bagi yang belum
berkahwin), dan rejam sampai mati bagi yang sudah berkahwin. Tidak
pasti persoalan itu timbul kerana kejahilannya, atau supaya masyarakat
umum memandang serong terhadap usaha PAS mendaulatkan hukum Islam.
Mufti-mufti, ulama’ samada dalam UMNO atau non partisan mendiamkan diri,
tidaklah diketahui samada mereka takut bersuara kerana jawatan, atau
memang kenyataan begitu tidak sesat dan menyesatkan orang lain.
Tidaklah
juga janggal jika non muslim dalam MCA, DAP, PKR, MIC, PBS, SNAP atau
mana-mana parti atau individu menyanggah hasrat PAS mengangkat hudud
untuk dilaksanakan. Bukankah adil mereka mempersoalkan atau menyanggah
kerana ianya bukan aspirasi, bahkan bukan termaktub di dalam agama
mereka? Adil bagi mereka mempersoalkan mahupun menyanggah, tetapi
zalim bagi yang mengaku beragama Islam bersikap sama.
Namun,
jika ahli UMNO sendiri menyanggah dan cuba mengelirukan dengan
memberikan gambaran negatif, sedangkan non muslim dalam Dewan Himpunan
Penyokong PAS (DHPP) boleh menyokong bahkan sedia memberi penerangan
kepada rakan-rakan non muslim, mungkin UMNO boleh berkursus atau
mengambil subjek Perundangan Islam dari mereka (sekadar sindiran).
Jikalah ada yang berkata, kita kena ambil masa supaya “semua” rakyat
tahu apa itu HUDUD barulah boleh dilaksanakan. Baik, cuba kita survey
“semua” rakyat di Malaysia, adakah mereka tahu kandungan undang-undang
sedia ada? Adakah mereka tahu undang-undang terkini yang digubal?
Adakah mereka tahu hak mereka jika ditahan dan disoal siasat
penguatkuasa? Adakah mereka tahu hak mereka apabila dibicara di
mahkamah? Pastinya ramai yang berkata, “Entah”. Tiada pula yang
mengatakan undang-undang sedia ada samada undang-undang sivil mahupun
syariah perlu dihentikan sementara dan dilaksanakan semula apabila
“semua” rakyat mengetahui kandungannya dan hak mereka.
Dalam kes
qazaf, agak pelik juga Jabatan Agama Islam negeri-negeri seolah-olah
tidak memberi respon terhadap tuduhan demi tuduhan terhadap dakwaan
liwat oleh Dato Seri Anwar Ibrahim. Paling tidak pun, mereka kata ini
bukan di mahkamah syariah sebagai mencuci tangan. Sehingga JAWI (
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) pun menolak untuk dilibatkan
atas alasan bukan urusan mereka. Jangan nanti ada yang berkata bila
ada organisasi agama lain yang campurtangan terhadap urusan perjalanan
tuduhan liwat ini, barulah geng-geng nasionalis bertempik supaya orang
non muslim jangan campurtangan urusan agama Islam.
Apa yang
susahnya untuk membuktikan UMNO yang mengaku beragama Islam mendakwa
DSAI dibawah undang-undang Islam? DSAI beragama Islam, Dr Munawar Anees
seorang muslim, Sukma Darmawan seorang muslim, Mohd Saiful Bukhari
Azlan juga muslim, apakah susah untuk dibawa ke mahkamah syariah? Islam
sebagai satu cara hidup yang merangkumi keseluruhan perjalanan
kehidupan termasuk undang-undang sudah pasti sepatutnya digunakan demi
menegakkan keadilan.
Satu
ketika kononnya negarawan kita berkata lebih kurang maksudnya jika nak
makan sup tangan boleh ke Kelantan. Juga kenyataan lebih kurang maksud
jika tangan orang Islam kudung, macam mana mereka umat Islam nak maju?
Bgaimana mereka nak berkerja? Termenung sekali logiknya macam ya.
Termenung sekali lagi, terserlah kebodohannya. Persoalannya, adakah
dengan hukuman potong tangan maka orang Islam berebut-rebut mencuri
untuk dipotong tangan untuk melariskan industri sup tangan? Mungkin saki
baki pencuri adalah non muslim kerana mereka hanya dikenakan denda
wang ringgit? Maka yang muslim pun berkata, tak adillah begitu. Umat
Islam diwajibkan berpuasa, dan tidak kepada non muslim melainkan mereka
ingin mencuba. Tiada pula yang bersuara tidak adil puasa dalam bulan
Ramadhan tidak dilaksanakan kepada non muslim?
Apa maksud
adil? Sama rata? Seorang anak perempuan mengatakan bapanya tak adil
(samarata) kerana membelikannya baju kurung sedangkan adik lelakinya
baju melayu bersamping. Seorang budak berumur 3 tahun mendakwa ibunya
tidak adil (samarata) kerana nasi dan lauk untuk sedikit sedangkan
abangnya berumur 13 tahun banyak. Apatah lagi jika ada yang berkata tak
adil (samarata) kerana suami boleh mempunyai lebih seorang isteri
dalam masa yang sama, sedangkan perempuan sebaliknya.
Adakah
mereka membuat neraca keadilan berdasarkan kefahaman dan keyakinan
terhadap perintah Allah, atau berdasarkan kejahilan, nafsu serta
dakwaan Islam mengikut kacamata orientalis?
Apa pun,
tahniah buat pimpinan Pakatan Rakyat kerana cermat menghadapi isu ini.
PAS perlu lebih berkerja keras untuk menerangkan kepada rakyat
menggunakan segala medium terhad yang ada sebagai jihad bekal mengadap
Allah di akhirat kelak.
0 comments:
Post a Comment