Awas jerat dosa facebook
Oleh Raihana Syamimi Ahmad Jamil
RAMAI di kalangan kita menyalahgunakan penggunaan media sosial seperti
facebook, Twitter dan blog dari menggunakannya untuk menyampaikan mesej
baik.
Akibatnya, tanpa disedari tujuan baik itu bertukar kepada perbuatan yang mengundang dosa.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau
tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa,
benci, marah terhadap individu yang menjadi sasarannya.
Kemudian, mereka memaparkan rasa ketidakpuasan hati itu di status masing-masing sehingga ramai pula kenalannya memberi komen.
Penggemar facebook suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain.
Namun, perbuatan itu tergolong dalam perkara yang diharamkan Islam.
Kita tidak boleh sewenang-wenangnya bercerita keaiban orang lain secara
terbuka.
Sebarang masalah yang tidak dapat diselesaikan hanya dibenarkan untuk
diluahkan kepada seseorang yang diyakini seperti ibu bapa, adik-beradik
yang diyakini boleh membantu, bukannya berpotensi mengeruhkan lagi
keadaan.
Firman Allah dalam ayat 12 surah al-Hujurat yang bermaksud : “Dan
janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah di
kalangan kamu orang yang suka memakan daging saudaranya yang telah mati
sedangkan mereka tidak menyukainya”
Bertanyalah Nabi s.a.w kepada mereka: Tahukah kamu apakah yang
dimaksudkan dengan Ghibah itu?. Lalu mereka menjawab: Allah dan
Rasul-Nya yang lebih tahu. Maka sabda nabi s.a.w: iaitu kamu
membicarakan saudaramu mengenai sesuatu yang dia tidak menyukainya.
Kemudian Rasulullah SAW ditanya: Bagaimana jika pada saudaraku itu
terdapat apa yang saya katakan tadi? Rasulullah menjawab: Jika padanya
terdapat apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu mengumpatnya dan
jika tidak seperti apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu
menuduhnya (Riwayat imam Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan Nasai’e)
Mengumpat adalah salah satu dosa besar dan ia perbuatan tercela
seolah-olah pelakunya memakan daging saudaranya sendiri yang sudah mati.
Selain itu, ramai wanita hari ini yang mempunyai akaun facebook.
Mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang menginginkan kecantikan dan
pujian.
Sebab itu semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka dengan
pelbagai gaya dan aksi. Kesannya, ramai lelaki yang menyamar sebagai
wanita untuk menjadi kawan dan seterusnya mendapat maklumat wanita yang
ingin dikenalinya.
Ada juga dilaporkan sebahagian lelaki berang kerana tidak ‘diterima’
menjadi rakan seorang wanita yang ditemuinya dalam laman sosial popular
itu.
Akibat tidak dapat mengakses gambar wanita itu, menyebabkan ada
lelaki mula menyamar menjadi wanita; meletakkan gambar mana-mana wanita
dijumpai di Internet kemudian menyatakan itu dirinya.
Melalui cara itu, lelaki itu berjaya menjadi rakan dan dapat melihat
semua foto wanita terbabit dan boleh buat apa yang disukainya dengan
gambar itu.
Wanita yang merasakan dirinya sudah ‘menapis’ sebaiknya, sebenarnya
masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak dikenalinya.
Sebab itu, pastikan semua gambar di dalam keadaan terjaga auratnya.
Terdapat juga wanita penampilannya cukup sempurna sewaktu zaman di
universiti atau sekolah.
Namun, selepas masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imej berubah
begitu drastik dengan mengenakan ‘make-up’ menghiasi wajah, baju
berkerlipan warnanya dan pelbagai ragam lagi.
Cukup menyedihkan apabila tersiar gambar lama tidak berpakaian
menutup aurat di facebook yang disebarkan rakan lama. Tanpa disedari, ia
mendedahkan keaiban diri sendiri.
Justeru, facebook boleh menjadi sumber pahala jika digunakan dengan
cara yang betul dan ia juga boleh menjadi penambah dosa jika digunakan
tanpa ilmu.
Niat untuk menguatkan ukhuwah antara rakan lama tidak sama sekali
boleh menghalalkan sembang mesra, gurauan senda antara lelaki dan wanita
yang bukan mahram.
Janganlah mempermainkan lagi maksud ‘ukhuwah’ itu untuk melakukan
dosa. Ukhuwah hanya terhad sesuatu yang membawa ingatan kepada Allah,
mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran
0 comments:
Post a Comment