Kekeliruan sambutan hari Asyura’
Jawapan
ASYURA berasal daripada kata ‘asyarah yang bermakna: “10″. Hari Asyura maksudnya adalah hari ke-10 daripada bulan Muharam.
Hari ini sangat dihormati oleh bangsa Arab pada masa Jahiliah, terutamanya kaum Quraisy. Pada hari itu mereka mengganti kiswah (kelambu) yang menutupi Kaabah dan berpuasa.
Besar kemungkinan amalan itu merupakan peninggalan syariat Nabi Ibrahim yang masih berlaku di kalangan bangsa Arab pada saat itu. Itu sebabnya Rasulullah SAW turut berpuasa pada hari Asyura semasa baginda masih berada di Mekah.
Apabila berpindah ke Madinah, Rasulullah SAW melihat bangsa Yahudi yang menetap di sana berpuasa pada hari Asyura juga.
Baginda bertanya: “Mengapa kalian berpuasa pada hari ini?” Mereka menjawab: “Hari ini hari baik. Pada hari ini Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka. Oleh itu Nabi Musa berpuasa padanya.”
Rasulullah SAW bersabda: “Aku lebih berhak dengan Musa daripadamu.” Baginda lalu berpuasa dan memerintahkan para sahabat untuk berpuasa.
Puasa Asyura hukumnya wajib pada tahun pertama kehadiran kaum Muslimin di Madinah. Hukum itu mula berubah apabila Allah menurunkan kewajipan puasa Ramadan satu tahun kemudian.
Siti Aisyah berkata: “Selepas puasa Ramadan diwajibkan, maka sesiapa yang hendak berpuasa pada hari Asyura, maka dipersilakan. Dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, maka dipersilakan.”
Namun begitu, puasa pada hari Asyura tetap disunatkan dan mengandungi fadilat besar. Rasulullah SAW menyatakan bahawa puasa pada itu dapat menggugurkan dosa satu tahun sebelumnya. Demikian diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah.
Menurut Al-Hafiz Ibn Hajar, puasa Asyura terdiri daripada tiga tingkatan. Tingkatan yang paling rendah berpuasa hanya pada hari ke-10 sahaja. Tingkatan pertengahan berpuasa pada hari 9 dan ke-10.
Tingkatan tertinggi adalah berpuasa tiga hari iaitu pada 9, 10 dan 11 Muharam.
Pembunuhan Husein
Daripada penjelasan singkat di atas, jelaslah puasa Asyura bukan kerana pembunuhan Sayidina Husein bin Ali cucu Nabi Muhammad SAW yang berlaku di Karbala pada tahun 61 Hijrah. Pendapat sebegini tidak pernah dikenal dalam ajaran ahli sunnah wal jamaah.
Sebaliknya, mengaitkan Asyura dengan pembunuhan Sayidina Husein berasal daripada aliran Syiah. Mereka memperingati peristiwa itu dengan meratap bersama-sama. Ada juga yang menganjurkan perarakan di jalan-jalan sambil melukai tubuh dengan benda-benda tajam. Perbuatan ini haram dilakukan menurut para ulama.
Peristiwa pembunuhan Sayidina Husein adalah lembaran hitam dalam sejarah Islam. Sebagai umat yang mencintai keluarga Nabi Muhammad SAW, kita mengutuk pelaku perbuatan kejam itu. Namun kesedihan tidak boleh membawa kita kepada perilaku melampau yang bertentangan dengan ajaran Islam sendiri.
Baginda pernah bersabda: Bukan termasuk daripada golongan kami orang yang suka menampar muka, mengoyak baju dan melaungkan sebutan-sebutan Jahiliah. (riwayat al-Bukhari)
0 comments:
Post a Comment