Keampunan Allah mesti ditagih dibulan mulia
KINI kita sedang berada di fasa kedua bulan Ramadan. Fasa kedua ini dikategorikan di dalam hadith nabi sebagai fasa maghfirah atau keampunan Allah.
Memohon ampun terhadap Allah swt adalah satu usaha yang sangat murni dan digalakkan dalam ajaran agama islam kerana melalui usaha tersebut dapat melahirkan manusia yang sedar akan diri dan matlamat hidupnya.
Sifat-sifat mulia seperti tawaduk , rendah diri, akur dengan kelemahan diri adalah antara sikap yang mampu mencipta budaya memohon ampun kepada TuhanNya.
Jika kita mempunyai sikap ego, bongkak, besar diri, tidak mudah mengaku kesilapan, maka amat sukar untuk berada dimedan keampunan Allah SWT. Orang beriman yang yakin dengan iman dan agamanya akan sentiasa menjadikan dirinya kerdil disisi Tuhannya. Walau setinggi mana ilmu dan kepakarannya, sikap dan nilai diri sentiasa membuat muhasabah dan sentiasa terucap dibibir dengan zikrullah dan astaghfirullah. Manusia dimuka bumi ini tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Tatkala kita memulakan kehidupan harian pastinya ada dosa-dosa yang dilakukan samada disedari atau tidak. Oleh kerana ilmu yang kurang dan jiwa yang kadangkala kosong daripada mengingati Allah swt sudah pastilah kita melakukan dosa-dosa kecil yang mana akan mengudang amarah daripada Allah SWT. Ramadan al-karim yang dikirimkan oleh Allah kepada manusia dimuka bumi adalah satu hadiah yang sangat besar maknanya semata-mata memberi peluang untuk meraih sebanyak mungkin keampunan allah sepanjang hidup. Sebab itu jangnlah kita merasa kikir dan kedekut untuk menagih keampunan allah dimana keampunan itu sebenarnya adalah tanda kash dan sayang Allah kepada hambanya. Kasih dan sayang Allah adalah matlamat kita kerana cinta kepada Nya adalah usaha sangat disukai tuhan sebagai tanda syukur kita kepada Nya. Dalam satu hadis Qudsi Allah SWT berfirman “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan, maka untuknya sepuluh kali ganda pahala, bahkan mungkin lebih. Sesiapa yang berbuat kejahatan, maka dibalas dengan satu dosa, bahkan mungkin diampuni. Dan sesiapa yang menghampiri-Ku (Allah) sejengkal, Aku akan menghampirinya sehasta. Sesiapa yang datang kepada-Ku berjalan, maka Aku akan berlari kepadanya. Sesiapa yang menghadap kepada-Ku dengan dosa sepenuh isi bumi, sedangkan dia tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, nescaya Aku akan menemuinya dengan keampunan sebesar itu pula.” (Riwayat Muslim). Bagaimana kah kita sebagai manusia untuk memohon ampun kepada Allah swt. Firman allah dalam surah al-Nasr ayat 1-3 yang bermaksud ’apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah berbondong-bondong. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia Maha Menerima taubat. Allah SWT adalah tuhan penerima taubat hambanya. Sifat kasih dan sayang, rahmat dan rahman yang terkandung dalam bait asmaul husna menggambarkan bagaimana Allah sentiasa mengampunkan hambaNya dengan syarat kita tidak menyekutukannya. Kita mulakan doa keampunan dengan ucapan tasbih dan puji-pujian kepadaNya kerana sememangnya Allah adalah yang berhak mendapat pujian atas segala nikmat yang diberikan kepada hambaNya sepanjang hidup. Buktinya dijelaskan sendiri oleh Allah dalam firmannya dalam surah al-Zumar ayat 53 yang bermaksud "Hai hamba-hamba'Ku yang melampaui batas terhadap dirimereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya,Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya, Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." Maka ambillah kesempatan dibulan mulia ini untuk mengecapi sebanyak mungkin keampunan daripada Allah swt. Jangan kita rasa selesa dengan kehidupan kita semata-mata kita rasa seperti tidak berdosa dihadapannya. Tidak rugi sekali untuk kita menzahirkan ucapan astaghfirullah terhadap tuhan yang empunya alam semesta atas nikmat yang kita perolehi tanpa sebarang bayaran daripadanya. Moga keampunan ini bakal menjadi usaha terakhir kita sebelum menemuinya yang pasti entah bila. HASRI B HARUNPenulis adalah Presiden Kumpulan Pengajian Islam, (MISG) ABIM UK-Eire
0 comments:
Post a Comment