Sydney diancam ribut debu merah
Kenderaan-kenderaan dan bangunan di Sydney berubah warna kepada jingga apabila angin kuat membawa debu padang pasir ke seluruh bandar raya, menjejaskan pengangkutan komuter dan pengangkutan udara di samping memaksa kanak-kanak serta warga emas tinggal di dalam rumah.
Penduduk juga terpaksa memakai topeng muka dan menutup mulut mereka dengan kain sekiranya ingin ke mana-mana, sementara penerbangan-penerbangan di lapangan terbang Sydney dijangka tertunda dalam tempoh yang agak lama selepas beberapa penerbangan antarabangsa dilencongkan.
Jurucakap syarikat penerbangan Air New Zealand, Mark Street berkata, tiga penerbangan dari New Zealand ke Sydney terpaksa berpatah balik berikutan ribut debu.
Turut terjejas adalah pengangkutan feri setelah khidmat kemudahan itu di Pelabuhan Sydney dihentikan beberapa jam ekoran jarak penglihatan yang terhad.
Perkhidmatan ambulans negeri pula memberitahu, pihaknya menerima 250 panggilan sebelum waktu tengah hari daripada penduduk yang mengalami sesak nafas.
Berikutan itu mereka menggesa penduduk yang menghidap asma atau masalah pernafasan supaya tidak keluar dari rumah.
Di New South Wales, hujan batu sebesar bola kriket menghentam tingkap apabila ribut petir dan angin kencang melanda negeri itu lewat malam tadi.
“Kita turut menerima laporan tentang kenderaan-kenderaan yang pecah cermin hadapan dan belakang akibat hujan batu,” kata seorang pegawai dari Perkhidmatan Kecemasan Negeri.
Di bahagian utara, Queensland menguatkuasakan larangan membakar api di sebahagian besar negeri itu sehari selepas beberapa kawasan hutan terbakar berikutan cuaca panas dan kering yang luar biasa.
Victoria pula diletak dalam keadaan berjaga-jaga selepas banjir kilat melanda ekoran hujan lebat. Ia disusuli dengan gempa kecil lewat malam tadi. Namun gegaran 3.0 dan 2.6 pada skala Richter itu tidak mengakibatkan sebarang kerosakan, ujar pegawai.
Polis di barat daya New South Wales yang bersempadan dengan Victoria melaporkan, keadaan di situ juga terjejas teruk semalam apabila debu tebal mengakibatkan langit berubah warna merah selain jarak penglihatan yang terhad kepada dua hingga tiga meter.
– Agensi
0 comments:
Post a Comment