Tudung Ekspres Papar Kisah Wanita Bertudung
Tampil berani memaparkan kehidupan seharian wanita bertudung mengharungi karier dan rutin harian dalam Tudung Ekspres. Bukanlah sesuatu yang luar biasa melihat wanita bertudung, namun sejauh manakah kita faham kesukaran mencari karier yang bersesuaian dengan imej mereka dan adakah benar bertudung mengongkong wanita untuk bersosial bersama teman-teman.
"Kami cuba tampilkan realiti di sini dan sengaja memilih pelakon yang asalkan tidak bertudung untuk memainkan watak ini. Realiti perlu dititikberatkan. Kebanyakan scene adalah di dalam komuter kerana itulah kehidupan dan rutin kebanyakan mereka yang keluar bekerja di pagi hari. Ekspres disini bermaksud mereka bekerja menggunakan komuter yang sentiasa sesak dan pantas.
"Kami juga serahkan sepenuhnya kepada Chermaine untuk melakonkan watak wanita Islam seperti berdoa dan solat dan syukur beliau bersetuju melakukannya tanpa paksaan. Chermaine memegang watak Mei, seorang wanita muallaf yang berhadapan isu penerimaan keluarga terhadap agama barunya. Dia juga sukakan wataknya sebagai wanita bertudung," ujar Faisal Ishak, pengarah drama ini.
Tudung Ekspres mengisahkan Erin (Lisa Surihani), Dira (Julia Ziegler), Mei (Chermaine Poo) dan Del (Linda Hashim) berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan dalam mengejar cita-cita dan isu semasa yang terpaksa wanita bertudung hadapi dalam konteks masa kini. Di samping penampilan sopan yang ditonjolkan, aspek kecantikan turut dititikberatkan di mana penglibatan Garnier dilihat membantu wanita untuk tampil lebih yakin dan jelita.
Kesempurnaan yang dicari, dilema persoalan cinta, isu agama dan cabaran cita-cita antara isu utama yang diutarakan dalam drama 13 episod ini. Jangan lepaskan peluang menyaksikan Tudung Ekspres setiap Khamis, jam 9.30 malam bermula 8 Julai ini, hanya di Astro Prima (saluran 105).