Powered by Blogger.

Jun 22, 2010

Rebahnya Sebuah Penjara Tua

MALAM tanggal 21 Jun 2010 menyaksikan satu-persatu serpihan batu-bata dari tembok Penjara Pudu sepanjang 394 meter berusia 100 tahun itu rebah, lalu menyembah bumi.
Saat dinding merekah, disusuli adegan jentolak 'menggigit' tembok batu yang sebenarnya masih kukuh itu sehingga pecah, hampir 1,000 warga kota secara bersilih-ganti sudi meluangkan masa mereka melawat penjara tua itu bagi menyaksikan detik penuh bersejarah lagi dramatis itu.

Sebahagian daripada tembok Penjara Pudu yang telah dirobohkan. Foto AZMAN GHANI

Rata-rata yang berkunjung ke situ mahu melihat detik-detik tembok penjara itu ditumbangkan walaupun Penjara Pudu selama ini dilihat dengan pandangan kosong, bagai tidak memberi makna apa.
Malah ada juga yang menganggapnya sebagai tinggalan sejarah yang 'menyemak', mencemar keindahan kota dan cuma mampu menyumbang kepada kesesakan lalu lintas.
Seawal pukul 8 malam, kelihatan orang ramai mula berkumpul di sekitar Penjara Pudu, terutama di gerbang utamanya.
Bagai menjadi perkara wajib, setiap seorang yang berada di situ sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, pasti akan mengeluarkan sekurang-kurangnya telefon bimbit mereka untuk merakamkan gambar mereka di Penjara Pudu yang akan lenyap dari pandangan tidak lama lagi.
Pendek kata, Penjara Pudu yang selama ini sepi dan terpinggir, sekelip mata mempunyai ribuan peminat. Tidak keterlaluan juga dikatakan malam robohnya Penjara Pudu umpama pesta bagi sesetengah warga kota.

Tepat pukul 10 malam, dua jentolak yang dibawa khas oleh kontraktor yang telah dilantik oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan gagahnya telah memecahkan tembok yang terbina daripada susunan batu-bata dan simen yang dibawa masuk dari negara Britain pada tahun 1891 dulu.
Ada yang bersorak 'hooray', tak kurang juga yang diam seribu bahasa, pilu melihat penjara yang tidak bersalah itu dirobohkan.
Ternyata, memang mudah untuk menumbangkan tembok penjara yang teguh itu. Dalam masa lebih kurang satu jam, hampir 30 peratus tembok usang itu tiba-tiba menjadi serpihan batu-batu halus.
Jika 'harimau mati meninggalkan belang', 'manusia mati meninggalkan nama', Penjara Pudu yang berkeluasan 10 hektar dan dibiarkan sepi selama 14 tahun dulu meninggalkan apa pula untuk kita?
Kita mungkin boleh berbangga dengan rekod mural terpanjang di dunia yang diabadikan di sepanjang tembok bekas tempat himpunan segala macam penjenayah itu, namun amat tidak wajar jika penjara yang terletak di tengah kota Kuala Lumpur terus dibiar bersemadi di situ tanpa dipelihara.
Zaman yang berubah, pembangunan pesat serta tuntutan masyarakat yang berterusan mendambakan kesenangan dan keselesaan pabila mereka berada di tengah-tengah kota, khususnya semasa meluncuri jalan raya membuktikan ada juga relevannya tindakan menumbangkan penjara yang menyimpan 1001 kisah dan sejarah ini.
Bagi pencinta seni dan warisan misalnya, tindakan merobohkan penjara ini mungkin dilihat tidak wajar sama sekali.
Hj Piroz Ahmad, 60, ketika ditemui menyatakan kesedihannya bila mana dia melihat jentolak membaham tembok Penjara Pudu tanpa rasa belas kasihan.
Dia yang juga pengusaha pasar mini sanggup menutup kedainya lebih awal dan menaiki LRT semata-mata mahu menyaksikan detik bersejarah ini.
"Saya sedih, tapi saya tiada kuasa untuk menghalang. Bagi saya, kita perlu berbangga dengan tinggalan sejarah yang ada di negara kita," katanya.
Menurut Hj Piroz, kerana terlalu cintakan seni, dia sudah pun bergambar di hadapan Penjara Pudu 12 tahun lalu. Ketika itu kerajaan cuma berura-ura untuk merobohkannya.
Sebagai kenang-kenangan, dia telah mengambil dan membawa pulang serpihan mural dan bata yang pecah.
Hj Piroz Ahmad, 60, membawa pulang serpihan batu-bata tembok Penjara Pudu yang dirobohkan sebagai kenang-kenangan.

"Saya ambil ini tak bermaksud apa-apa. Saya cuma mahu simpan dan tunjukkan kepada anak-cucu saya bahawa inilah serpihan batu daripada tembok Penjara Pudu yang satu masa dulu gah di negara kita," katanya.
Penjara Pudu kini tinggal memori. Segala apa yang tinggal hanyalah baktinya. Bakti apabila tempat ini pernah menerima dan mengizinkan beribu-ribu penjenayah menghuni di dalamnya.

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP