Piala Dunia MexicoTterselamat
JOHANNESBURG: Kapten Mexico Rafael Marquez menjadi pemusnah hajat pasukan tuan rumah Afrika Selatan untuk mencipta kemenangan pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2010 apabila menjaringkan gol penyamaan ketika perlawanan pertama Kumpulan A yang berkesudahan 1-1 semalam.
BOLOS...Marquez merembat gol penyamaan melepasi jangkauan penjaga gol Afrika Selatan, semalam.
Marquez, pemain Barcelona menjaringkan gol pada minit ke-79 selepas Afrika Selatan mendahului menerusi gol Siphiwe Tshabalala pada awal babak kedua.
Meskipun mendapat sokongan padu hampir 90,000 penonton yang memenuhi Stadium Soccer City di Johannesburg pasukan tuan rumah bermula hambar.
Sebaliknya, Mexico lebih mengancam menerusi percubaan pemain perancang Giovani dos Santos seawal minit ke-2, namun berjaya dihalang penjaga gol, Itumeleng Khune.
Malah tandukan penyerang Guillermo Franco pada minit ke-15 yang melepasi palang gol jelas menunjukkan penguasaan Mexico serta kesungguhan pasukan kendalian Javier Aguirre untuk mengecewakan Afrika Selatan yang berazam untuk melepasi pusingan pertama buat kali pertama.
Franco sekali lagi berpeluang menghasilkan gol selepas mendapat hantaran Carlos Vela dari sebelah kanan namun Khune sekali lagi menjadi penghalang dengan menepis bola tolakan penyerang berusia 33 tahun itu.
Kontroversi mencetuskan rasa tidak puas hati jurulatih Aguirre itu berlaku pada minit ke-37 apabila jaringan Vela menerusi gerakan sepakan penjuru tidak disahkan pengadil perlawanan, Ravshan Irmatov kerana mendakwa bintang Arsenal itu dalam posisi ofsaid, sekali gus kedudukan 0-0 kekal hingga tamat babak pertama.
Separuh masa kedua, jurulatih Carlos Alberto Parreira memperbaiki rentak permainan Afrika Selatan dengan melancarkan serangan yang akhirnya membuahkan hasil apabila Tshabalala melepasi kawalan pertahanan Mexico untuk melepaskan rembatan deras ke penjuru kiri gawang menewaskan Oscar Perez di minit ke-54.
Gol itu nyata menyemarakkan semangat skuad Bafana Bafana yang hampir menggandakan jaringan pada minit ke-69, namun sepakan leret Teko Modise berjaya diselamatkan Perez kali ini.
Mexico yang menyertai Piala Dunia sebanyak 13 kali dengan rekod terbaik mara ke suku akhir sebelum ini mengubah strategi dengan memasukkan Cuauhtemoc Blanco dan Javier Hernandez bagi memantapkan bahagian serangan.
Bagaimanapun, bukan pemain penyerang yang menyumbat gol penyamaan Mexico, sebaliknya pemain pertahanan, Marquez berada dalam kedudukan tidak dikawal untuk mudah menyepak masuk bola hantaran Andres Guardado pada minit ke-79. - Agensi
0 comments:
Post a Comment