Powered by Blogger.

Jul 10, 2010

Fatwa diharam: ESQ nafi langgar akidah, dakwaan satu fitnah


Barisan Panel Syariah ESQ Leadership Center (dari kiri) bekas mufti Johor Datuk Noh Gadut dan bekas ketua pengarah Jakim Datuk Mustafa Abdul Rahman pada sidang media pagi tadi. – Gambar Sinar Harian



















KUALA LUMPUR, 9 Julai — Syarikat program motivasi ESQ Leadership Center hari ini secara terbuka mempertahankan kursus anjuran mereka sambil berkata, ia tidak pernah menyimpang daripada akidah Islam dan dakwaan pihak tertentu adalah “satu fitnah semata-mata.”
Pengurus Besar ESQ Marhaini Yusoff berkata, dakwaan tersebut tidak benar kerana modul program pihaknya menjadikan al-Quran dan Sunah sebagai bahan rujukan utama.
“Dakwaan tersebut adalah fitnah dan memang menafikan dakwaan tersebut kerana program ini hanya untuk memupuk asas kepimpinan ahli dengan menjadikan al-Quran dan Sunah sebagai rujukan.
“Selain itu, kita dapati program ini telah menerima respons positif daripada ahli malah mufti juga,” katanya.
Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang mengeluarkan fatwa pada 10 Jun lepas bahawa ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh syarikat berkenaan dan apa-apa ajaran yang seumpama dengannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam.
Syarikat berkenaan mengendalikan latihan modal insan, dengan menggunakan kaedah yang melibatkan intelektual, emosional dan spiritual.
Setelah 10 tahun beroperasi, sejak 16 Mei 2000, sehingga kini jumlah alumni ESQ telah mencapai lebih 850,000 termasuk di Malaysia.
Operasi di Malaysia bermula sejak 2006.
Marhaini berkata dakwaan tersebut telah menimbulkan keresahan dan persoalan di kalangan ahli.
“Sejak dakwaan ini timbul ramai ahli resah akan perkara ini malah kita terpaksa menjawab banyak soalan.
“Jadi ingin saya tegas bahawa program tersebut tidak menyeleweng, malah akan terus dijalankan di negeri lain kecuali Wilayah Persekutuan,” kata beliau pada sidang media ESQ Leadership Center di sini.
Wan Zahidi mengeluarkan fatwa pada 10 Jun lepas bahawa ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh syarikat berkenaan dan apa-apa ajaran yang seumpama dengannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam.
Syarikat berkenaan mengendalikan latihan modal insan, dengan menggunakan kaedah yang melibatkan intelektual, emosional dan spiritual.
Program itu disediakan dengan aktif di beberapa negara di Asia dan Eropah, termasuk di Malaysia sejak 2006.





























Marhaini berkata, tiada sebarang tindakan undang-undang akan diambil kerana perkara tersebut boleh diselesaikan secara baik.
“Pihak pengurusan tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang kerana percaya bahawa masalah ini boleh diselesaikan.
“Malah kita akan tetap meneruskan perjalanan program ini di negeri lain kecuali Wilayah Persekutuan.
“Kita menghormati keputusan tersebut tapi kita juga berharap supaya fatwa tersebut ditarik balik,” kata Marhaini.
Difahamkan empat negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Pahang membenarkan program tersebut dijalankan.
Turut hadir pada sidang media itu ialah dua anggota panel pematuhan syariahnya iaitu bekas mufti Johor Datuk Noh Gadut dan bekas ketua pengarah Jakim Datuk Mustafa Abdul Rahman.

























Noh juga berkata, tidak terdapat unsur penyelewengan dalam program syarikat itu kerana barisan Panel Syariah yang ditubuhkan sejak September lalu berfungsi untuk memantau dan menasihati perjalanan ESQ Leadership Center dari semasa ke semasa.
Semalam bekas Ketua Umum Nahdlatul Ulama Hasyim Muzadi mempertikai tindakan mufti Wilayah Persekutuan sambil mempertahankan, tidak ada penyimpangan akidah Islam dalam program motivasi ESQ pimpinan Ary Ginajar Agustian dari Indonesia, yang semakin berkembang.
“Saya sudah memberikan surat syor kepada Jakim atau majlis ulama Malaysia melalui pimpinan ESQ Ary Ginanjar beberapa hari lalu,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan di Jakarta semalam.
Hasyim berkata, kegiatan motivasi ESQ mengajar keimanan yang kuat melalui teori keilmuan.
Laporan-laporan dari Indonesia menyebut program firma itu pernah disertai beberapa mufti yang masih berkhidmat.
Majlis Ulama Indonesia juga mengecam tindakan mengeluarkan fatwa sedemikian,
Malah semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan sentiasa memantau program-program motivasi yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam bagi mengelak berlakunya kerosakan akidah.
Jamil menjelaskan jabatan-jabatan berkaitan termasuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jakim sedang menyiasat perkara itu meskipun penguatkuasaannya tidak melibatkan negeri-negeri lain.
Fatwa dikeluarkan itu menyebut ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh ESQ dan apa-apa ajaran yang seumpama dengannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam.
Ciri-ciri penyelewengan tersebut adalah seperti yang berikut:
i. mendukung fahaman liberalisme iaitu memahami atau mentafsir nas-nas agama (al-Quran dan As-Sunah) secara bebas, dan fahaman pluralisme-agama iaitu fahaman yang mengajarkan semua agama adalah sama dan benar. Kedua-dua fahaman ini adalah sesat dan boleh membawa kepada kekufuran.
ii. mendakwa bahawa para Nabi mencapai kebenaran melalui pengalaman dan pencarian dan ini bercanggah dengan akidah Islam tentang Nabi dan Rasul. Menurut akidah ahli Sunah Wal Jamaah, kenabian dan kerasulan adalah pilihan Allah s.w.t semata-mata (al-Isthifaiyyah), dan bukan sesuatu yang boleh diusahakan (al-Kasbiyyah).
iii. mencampuradukkan ajaran kerohanian bukan Islam dengan ajaran Islam, ‘SQ’ adalah hasil penemuan seorang Yahudi, Danah Zohar manakala ‘God Spot’ adalah hasil kajian seorang Hindu VS Ramachandran. Kedua-dua penemuan ini disahkan dengan ayat al-Quran (Al-Hajj, ayat 46).
iv. menekanan konsep ‘suara hati’ atau ‘conscience’ sebagai sumber rujukan utama dalam menentukan baik dan buruk sesuatu perbuatan. Konsep suara hati adalah ajaran paling suci dalam agama Kristiani. The Oxford Dictionary of World Religion menyebut ‘In the main forms of Christianity, conscience is the absolutely inviolable and sacrosanct center of the person as human as responsible for her or his decisions;. Konsep suara hati juga merupakan ajaran Hindu seperti yang dijelaskan oleh Swami Vivekandanda. Menurut Imam Abu al-Abbas, pendapat demikian adalah zindik dan kufur.
v. menjadikan logik sebagai sumber rujukan utama. Ini bertentangan dengan akidah Islam yang menetapkan bahawa al-Quran dan As-Sunah sebagai sumber rujukan utama.
vi. mengingkari mukjizat dan menganggapnya tidak dapat diterima oleh akal dan tidak sesuai dengan zaman sekarang yang serba logik. Mengingkari mukjizat adalah kufur dengan ijmak ulamak kerana ia bermakna mengingkari nas-nas al-Quran dan Hadis Mutawatir yang mensabitkan mukjizat bagi para Nabi a.s.
vii. menggunakan Kod 19 rekaan Rasyad Khalifah untuk mentafsir al-Quran. Rasyad Khalifah mengaku dirinya sebagai rasul dan membawa agama baru yang dinamakan ‘submission’. Teori Kod 19 dianggap lebih tinggi daripada al-Quran kerana mengikut teori ini, ayat-ayat al-Quran perlu dibuang atau ditambah bagi menyesuaikan dengan Kod 19.
viii. menyamakan bacaan Al-Fatihah sebanyak 17 kali sehari oleh orang Islam dengan amalan Bushido oleh orang jepun yang berteraskan ajaran Buddha.
ix. mendakwa bahawa kekuatan luar biasa seperti mukjizat boleh berlaku melalui rumus Zero Mind Process (ZMP). Dengan rumusan ZMP ini, ESQ mengiaskan bahawa mukjizat Nabi Musa a.s diselamatkan daripada Fir’aun boleh juga berlaku kepada orang lain seperti yang berlaku kepada juru terbang Kapten Abdul Razak. Kefahaman mukjizat seperti ini, merupakan ajaran agama Hindu seperti yang diterangkan oleh Swami Vivekananda.
x. mentafsirkan makna kalimah syahadah dengan ‘triple one’. Ini adalah tafsiran bidaah dan sesat. Dalam konteks akidah, ‘triple one’ digunakan oleh Kristian untuk menghuraikan konsep triniti. Buku ‘Christianity For Dummies’, ketika menghuraikan konsep ini menyatakan ‘The Trinity: How 1+1+1 Equals 1. Christianity says that God is Trinity - one God expressed in three beings. The term trinity means: three-oneness.

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP