Soalan:
Salam sejahtera..
1.Terima kasih saudara untuk jawapan semalam.,sebagaimana yang saudara katakan
semalam bahawa "Sekiranya anda mengikuti mazhab Syafie maka wajib anda membacanya
selepas imam membaca surah fatihahnya".persoalan yang timbul pada saya ialah tidakkah
sekiranya kita terus membaca fatihah tatkala imam tengah membaca ayat(surah) lain
bertentangan dengan dalil yang saudara kemukakan;
"Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah
(dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat"
.(surah al-A'raf: 204.)
Begitu juga dalil hadis Drp Abu Hurairah bahwa Rasulullah s.a.w.bersabda:
"Sesungguhnya imam ditentukan supaya diikuti, apabila dia bertakbir maka hendaklah
kamu bertakbir. Apabila dia membaca yakni surah, maka hendaklah kamu diam".
(Riwayat Ahmad)
Mazhab Hanafi mengharamkan makmum membaca fatihah berdalilkan nas & hadis
tersebut.Imam Syafie tidak menolak dalil tersebut walaupun mewajibkan makmum
membaca fatihah tetapi dengan syarat imam tersebut mestilah diam sebentar.
Tidakkah dengan membaca fatihah tatkala imam sedang membaca surah lain kita melanggar
perintah surah al-araf ayat:204?
Tidakkah dengan terus membaca fatihah tatkala imam sedang membaca surah seolah-olah
kita mengikut sesuatu mazhab secara membuta tuli? Dalam hal ini tidakah kita patut
mengutamakan dalil yang jelas lagi nyata iaitu al-Quran & Hadis?
2.Apakah hukumnya jika dalam solat isyak berjamaah imam tidak membaca dengan
nyaring bacaanya kesemua rakaat.
Adakah tidak sah solat tersebut?
Harap dapat penjelasan secara terperinci. Wallahua'lam.
Daripada : Wan Kamaruzaman
Pada zahirnya membaca surah al-Fatihah di belakang imam yang membaca surah menunjukkan mazhab al-Syafi’i tidak beramal dengan ayat 204 surah al-A’raf. Masalah seperti ini tidak timbul bagi sesiapa yang mengikuti mazhab Hanafi dan Maliki.
Bagi mazhab Syafi`ie dan yang sependapat dengannya antaranya mazhab Ahmad, Ibn Hazm dan Ahli hadis mereka berpegang dengan hadis:
وَعَنْ عُبَادَةَ بْنِ اَلصَّامِتِ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِأُمِّ اَلْقُرْآنِ مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
Diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Samit katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak ada solat bagi sesiapa yang tidak membaca surah al-Fatihah. (al-Bukhari dan Muslim)
Mazhab Syafie menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan wajib kepada setiap orang yang bersembahyang, sama ada berseorangan, imam atau makmum wajib membaca surah al-Fatihah dalam setiap rakaat. Penafian dalam hadis ini umum merangkumi semua keadaan orang yang bersembahyang. Dalam keadaan sembahyang jemaah imam hendaklah memberi ruang kepada makmum untuk membaca fatihah. Jika tidak ada ruang maka makmum hendaklah mengutamakan perkara yang lebih wajib pada ketika itu yakni membaca surah al-Fatihah. Dalam ilmu usul fiqh pertentangan ini dinamakan pertentangan dua umum. Umum pada ayat 204 surah al-Anfal dan umum hadis penafian solat bagi orang tidak membaca fatihah. Antara kedua-dua umum ini, umum pada hadis itu lebih khusus lagi maka dengan sebab itu, dikecualikan daripada makmum perintah diam ketika imam membaca surah. Yakni mereka mengkhususkan umum ayat yang menyuruh diam dengan umum hadis ini yang mewajibkan bacaan fatihah. (lihat Tuhfah al-Ahwazi, jil. 2, hal.206)
Perbahasan tentang bacaan fatihah makmum merupakan perbahasan yang menarik dan setiap pihak mempunyai penulisan yang tersendiri, seperti Imam al-Bukhari, al-Baihaqi, Anwar Shah al-Kasymiri dan lain-lain. Masing-masing mempunyai hujah dan kaedah pendalilan.
2 - Membaca dengan nyaring dalam solat isyak adalah sunnat. Bermakna jika imam tidak membaca dengan nyaring dalam solat isyak, sembahyang itu masih lagi sah. Bagi makmum, jika ia mengikuti mazhab Hanafi bacaan fatihah imam sudah memadai kerana imam sudah menjamin atau menanggungnya. Tetapi bagi yang mengikuti mazhab Malik, dia wajib membaca al-Fatihah kerana dia tidak mendengar bacaan fatihah imam.
والله أعلم
Disediakan oleh Ust Muhammad Hanief bin Awang Yahaya
0 comments:
Post a Comment