Jika Rasulullah itu masih ada
Ini hanyalah satu muhasabah bukan realiti dan harap ia tidak menjadi kontroversi.
Bayangkan apabila Rasulullah dengan izin Allah tiba-tiba muncul mengetuk pintu rumah kita.
Ketika itu Baginda datang dengan tersenyum dan muka yang berseri-seri
di hadapan pintu rumah kita. Apa yang akan kita lakukan? Mesti kita
menjadi sangat terkejut, memeluknya erat-erat lantas mempersilakan
baginda masuk ke ruang tamu. Kemudian kita tentunya akan meminta agar
Rasulullah sudi menginap beberapa hari di rumah kita. Tapi barangkali
kita meminta Rasulullah menunggu sebentar di depan pintu kerana teringat
VCD 18+ atau lukisan wanita separuh bogel yang melekat di ruang tamu
kita sehingga kita terpaksa memindahkan semuanya ke belakang dengan
tergesa-gesa kemudian menggantikan khat nama Allah dan Muhammad yang
tersimpan dalam almari dan kita meletakkannya di ruang tamu.
Apa agaknya Rasulullah katakan jika baginda tahu semua itu? Bagaimana
pula jika Rasulullah bersedia menginap di rumah kita? Barangkali kita
menjadi malu kerana tidak mengetahui sedikitpun sejarah Rasulullah
s.a.w, keluarga dan sahabatnya. Kita terpaksa menukar ruang tamu menjadi
ruangan solat, malah segera mencari pakaian solat, kopiah, serban dan
al-Quran. Manakala bagi anak isteri, kita terus belikan pakaian menutup
aurat demi menutup malu selama ini kita berpakaian tidak menutup aurat .
Apa agaknya rasa Nabi dengan perlakuan dan lakonan kita itu? Belum
lagi koleksi buku-buku, kaset dan karaoke kita. Ke mana kita harus
menyingkirkan semua koleksi itu demi menghormati junjungan kita? Sudah
tentu kita menjadi malu kerana kita tidak pernah ke masjid meskipun azan
berkumandang. Kita juga pasti malu kerana pada waktu Maghrib keluarga
kita masih sibuk di depan televisyen. Kita hanya menghabiskan hampir
seluruh waktu untuk mencari kesenangan duniawi. Sudah tentu juga kita
berasa malu kerana keluarga kita tidak pernah menunaikan solat sunat,
sangat jarang membaca al-Quran dan tidak mengenal jiran tetangga kita.
Sudah tentu kita malu jika Rasulullah menanyakan kepada kita siapa
nama tukang sampah yang setiap hari lewat di depan rumah kita.
Justeru, bayangkan apabila Rasulullah tiba-tiba muncul di depan rumah
kita. Apa yang akan kita lakukan? Masihkah kita memeluk junjungan Nabi
kita itu dan mempersilakan baginda masuk dan menginap di rumah kita?
Atau akhirnya dengan berat hati, kita menolak kunjungan baginda kerana
hal itu akan sangat membuat kita segan dan malu. Maafkan kami ya
Rasulullah. Oh betapa memalukannya kehidupan kita saat ini di mata
Rasulullah. Itu belum lagi kalau hendak kira cara kita mencari duit,
membina keluarga, cara kita berpolitik, berniaga dan segala perlakuan
kita yang bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Layakkah kita
bergelar umat Muhammad, dan layakkah kita mendapat syafaat Nabi di hari
akhirat nanti?
di ambil dari ohislam.com
0 comments:
Post a Comment