“Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa,
ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).”
(Hadis Qudsi)
Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia
yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat
Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan.
Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin
dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan
(hari Arafah, ’Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).
Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah
radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah
sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman
(dalam hadis Qudsi):
Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia
adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).”
(Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di
tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah
berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151] Selain hadis di
atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.
Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya
Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih
Al-Bukhari no: 2840]
Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal.
Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan
tentang puasa sunat ini.
Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.
Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda :
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya
dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang
tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].
Di dalam hadis ini Rasulullah saw
menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari
pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.
Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan
mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari
sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari
sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari
dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai
jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt
maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang
dikehendaki-Nya.
Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.
Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu
dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di
bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan
berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal
pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas
mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh
kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem
pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk
kebaikan jasmani manusia itu sendiri.
Selain dari itu, sebagai manusia yang
menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa
yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga
di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan
bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi
satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang
benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana
itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah
pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.
Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.
Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas
menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’
yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada
bulan Syawal).
Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh.
Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian
dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa
Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]
Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana
tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa
pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:
Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].
Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.
Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:
1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?
Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus
(tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum
berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan
puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum
tanpa memberi ketentuan hari-harinya.
Maka puasa enam tersebut boleh
dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1
Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.
Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:
Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang
baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah
mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang
disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]
2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.
Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa
sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang
belum diqadhanya? Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat.
Pendapat Pertama: Boleh melakukannya,
berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu ‘anha pernah mengakhirkan
hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang
akan datang. Aisyah ra berkata:
Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu
mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani)
Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no:
1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan
salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]
Para ulama’ yang mengemukakan pendapat
pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni
Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau
melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada
bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali
pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.
Pendapat Kedua: Tidak boleh
melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam
Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis
tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia
mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia
berpuasa sepanjang tahun.”
Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa
Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam
hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya
dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika
ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu.
Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
Kalau diperhatikan secara teliti,
pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati
dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar
hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat.
Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum
ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah
tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.
Namun, sekiranya seorang itu tidak
berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian
berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum
Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima,
berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.
Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik,
Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan:
“Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti
kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara
bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila
boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa
yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara
berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan
puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah,
Beirut].
3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.
Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah
harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam
hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut
dengan puasa yang satu?
Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang
berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa
fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan
maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang
sunat.
Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah
berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila
seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan
kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang
berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi
‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma’rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261
Al-Maktabah Asy-Syamilah]
Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika
seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di
bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya
tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang
zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya).
Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis
yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang
tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini
kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa
Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184
cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]
Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang
membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil
al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya
mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama
seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang
terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat
juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.
Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa
ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba
yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan
memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan
(sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang
hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati
(ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih
utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh
mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan
puasa sunat yang lain.
Sebagai kesimpulan, puasa sunat
semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet)
mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan
oleh Rasulullah saw.
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal
kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada
bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah
kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.
Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari
yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang
ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.
Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan
puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat
dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:
Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak
dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya
pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir
dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]
Semoga kita semua diberi taufiq dan
hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya serta dapat
melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna.
Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan orang yang mendapat
kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.
0 comments:
Post a Comment