Eid
al-Fitri atau Hari Raya Fitrah adalah hari yang disyariatkan umat
Islam menyambutnya sebagai hari bergembira dan bersyukur di atas nikmat
yang Allah SWT anugerahkan kepada hamba-Nya yang berjaya melakukan
ibadat pada bulan Ramadan.Oleh itu untuk mendapatkan kesempurnaan
sambutan ini, hendaklah mengikut panduan sunnah Rasulullah SAW
menyambut Hari Raya, antaranya ialah;
1. Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
Imam
Malik meriwayatkan: “Sesungguhnya Abdullah bin Umar akan mandi pada
pagi hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari
raya.”
Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama‟ telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.
2. Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya ‘Eid al-Fitri dan untuk ‘Eid al-Adha makan selepas solat.
Ini
berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada
Anas bin Malik katanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak keluar pada
pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu
beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.”
[HR Al-Bukhari: 953].
Sekiranya
tidak ada tamar, makanlah sesuatu yang harus dimakan. Al-Imam Ibnu
Hajar al-Asqalani mengulas hadis ini dengan berkata: “Ini kerana untuk
mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, ia juga
(petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah SWT (untuk tidak berpuasa
pada hari tersebut).” [Fath al-Bari: 2/446].
3. Bertakbir pada hari Raya
Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman
Allah SWT: Maksudnya: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan
hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang
diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: 185].
Daripada
al-Walid bin Muslim katanya: “Aku bertanya kepada al-Auza’ie dan Malik
bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka
berdua: “Ya, adalah Abdullah bin Umar menzahirkan takbir pada hari raya
al-Fitri sehinggalah Imam keluar (untuk menunaikan solat raya).”
Waktu
bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu
setelah tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan sehingga masuknya
imam ke tempat solat untuk solat hari raya.
4. Takbir Hari Raya
Di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Mas‟ud ra. yang bertakbir pada hari Tasyrik.
Kata
ulama, “Ada keluasan dalam lafaz takbir ini, mana-mana lafaz boleh
dibaca dan amalkan.” Diangkat suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki
dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat; di masjid, di
rumah dan di pasar-pasar.
5. Ucapan Tahniah Pada Hari Raya
Termasuk dalam adab berhari raya ialah menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik
6. Berpakaian baru/cantik di hari raya
Daripada Jabir katanya: “Nabi SAW mempunyai sehelai jubah yang baginda
akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” [Sahih Ibnu
Khuzaimah: 1765].
Memakai
pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. Adapun
untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (di
sebelah luar/atasnya) seperti sabda Nabi SAW: Maksudnya: “Jangan kamu
tegah hamba perempuan Allah daripada masjid Allah, tetapi hendaklah
kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian” [HR: Ahmad dan
Abu Daud “Sahih”].
Keluar
dengan berpakaian biasa di luar dan tidak bertabarruj berhias dan
mengenakan wangian yang boleh dihidu baunya oleh lelaki ajnabi.
Sekiranya wanita berkumpul dalam kelompok mereka sahaja tidak mengapa
untuk berpakaian cantik.
7. Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik melalui jalan yang lain.
Daripada Jabir bin Abdillah ra katanya: Maksudnya: “Adalah Nabi SAW,
pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat
hari raya).” [Al-Bukhari: 986]
Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini;
i. Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan
Allah pada hari kiamat nanti. Hal ini kerana bumi akan membicarakan
pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya daripada perkara-perkara
yang baik dan jahat.
ii Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam.
iii. Untuk menzahirkan zikir kepada Allah SWT.
iv. Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang
bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan
silaturrahim.
8. Solat
Hari Raya. Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya.
Sebahagian mengatakan hukumnya sunat muakkad/ fardhu kifayah dan fardhu
ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah
pendapat Mazhab Imam Abu Hanifah, pendapat ini dipilih juga oleh
beberapa orang ulama semasa.
Cara-caranya (kaifiyat) Solat Hari Raya.
a- Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah. Ditunaikan
sebanyak dua rakaat. Rakaat pertama ada tujuh kali takbir dan rakaat
kedua ada lima kali takbir. Hukum bilangan takbir ini adalah sunat bukan
wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap
sah. Sunnah mengangkat tangan ketika takbir-takbir ini kerana thabit
daripada para sahabat Nabi SAW.
b-Imam
membaca pada rakaat yang pertama surah al-A‟la dan pada rakaat kedua
membaca al-Ghasyiah berdasarkan hadis riwayat Muslim, atau membaca
surah Qaf pada rakaat pertama dan membaca surah al-Qamar pada rakaat
kedua, juga berdasarkan hadis riwayat Muslim. Kedua-dua bacaan ini
sahih dari Nabi SAW.
c- Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah. Ini berdasarkan hadis Ibnu Abbas katanya:
“Aku menyaksikan Rasulullah SAW menunaikan solat hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah.”
d-
Menyegerakan solat hari raya dan tidak memanjangkannya. Disunatkan
menyegerakan solat hari raya selepas terbitnya matahari (selepas waktu
larangan). Ibnu Hajar al-Asqalani telah menukilkan di dalam Fath
al-Bari: “Telah sepakat para fuqaha‟ bahawa solat hari raya tidak
dilaksanakan sebelum atau ketika terbit matahari, sebaliknya ia
dilakukan ketika disunatkan solat sunat.”
9. Keluar
dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya. Ibnu Majah meriwayatkan
daripada Ibnu Umar katanya: “Adalah Rasulullah SAW keluar ke tempat
solat Hari Raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan
berjalan.” [Sahih Ibnu Majah “Hasan”]
Kata Ibnu
al-Munzir: “Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari
raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawaduk dan
tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan.”
Bagi mereka yang uzur atau rumahnya jauh dari musalla / masjid tidak mengapa naik kenderaan.
10.
Wanita yang uzur juga keluar menyaksikan solat hari raya. Para wanita
keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah
Nabi SAW. Untuk menyaksikan perhimpunan umat Islam dan mendengar
nasihat (khutbah).
Daripada
Umm Atiyyah katanya: “Kami disuruh oleh Nabi SAW untuk mengeluarkan
mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha; wanita yang
baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun
wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.”
11. Zakat
Fitrah. Nabi SAW menyuruh membayar zakat al-Fitr sebelum solat hari
raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari lebih awal. Imam
al-Bukhari meriwayatkan: “Adalah mereka (sahabat Nabi SAW) mengeluarkan
(zakat al-Fitr) sebelum hari raya sehari atau dua hari.”
Kesalahan yang dilakukan pada hari raya
Pergaulan/ikhtilat yang bebas pada Hari Raya. Ramai dalam kalangan kita
telah mengambil mudah akan hal ini. Apabila hari raya datang, mereka
menganggap hari raya adalah “hari kebebasan” iaitu hari yang terlepas
daripada ikatan agama (agama asing, kita asing). Mereka menganggap hari
raya ini merupakn lesen bagi mereka untuk bebas bercampur gaul,
bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan mahram (Ajnabi: yang halal
dinikahi), berpakaian dan berhias sebebasnya bagi perempuan dan
rumah-rumah pula dipenuhi dengan alunan muzik dan filem-filem yang
melalaikan.
Semoga ‘Eidil-Fitri yang kita sambut pada tahun ini dipenuhi dengan keberkatan dan kebajikan.
http://www.abuanasmadani.com
0 comments:
Post a Comment