Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Tiada makhluk
bernyawa yang akan kekal hidup selamanya. Firman Allah: “Tiap-tiap yang bernyawa akan
merasai mati” (Ali Imran: 185). Ketahuilah bahawa kematian pasti tiba
kepada seluruh umat tanpa mengenal erti bangsa, kedudukan, kekayaan atau
kekuatan. Tiada sesiapa pun yang boleh melarikan diri daripada maut. Apabila
ditetapkan waktu kematian seseorang, ia tidak akan tertunda atau dicepatkan
walaupun sesaat. Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetap menemui
kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang
ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah
lakukan (serta membalasnya).” (Al-Jumu’ah: 8) Setelah tercabut nyawa
seseorang maka dia akan menempuh alam barzakh dan alam akhirat dan menerima
balasan yang setimpal dengan amalannya semasa di dunia. Oleh kerana itu
Rasulullah s.a.w. memerintahkan kita untuk banyak-banyak mengingat kematian
agar kita lebih
berwaspada dalam menghadapi liku kehidupan dan sentiasa berusaha menurut
perintah Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan larangannya kerana kita tidak
tahu bila ajal tiba. Oleh itu, Islam amat menganjurkan kita sentiasa mengingati
kematian. Baginda
bersabda: “Perbanyaklah mengingat pemutus kelezatan (yakni kematian) ”(Hadis
riwayat Imam al-Tirmidzi)
Di
antara cara yang paling efektif untuk kita merenungkan tentang alam kematian dan
akhirat adalah dengan menziarahi kubur. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dahulu
aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur, sekarang
berziarahlah kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata
dan mengingatkan kepada Hari Akhirat. Akan tetapi janganlah kalian berkata-kata
dengan perkataan yang keji dan batil” (Hadis riwayat Imam al-Hakim di
dalam al-Mustadrak). Sekiranya ziarah kubur ini banyak manfaatnya pasti
Rasulullah s.a.w. telah memberi penjelasan
tentang adab-adab yang perlu kita patuhi kerana Rasulullah s.a.w. telah
menyampaikan segala perkara yang dapat membantu umatnya untuk menjejak syurga
sebelum baginda wafat. Baginda bersabda: “Tidaklah tertinggal sesuatu pun
yang mendekatkan ke syurga dan menjauhkan dari neraka melainkan telah
dijelaskan semuanya kepada anda.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Oleh itu mari kita memperhalusi apa yang Rasulullah sampaikan kepada kita
tentang ziarah kubur.
Apabila
berjalan di dalam kawasan perkuburan hendaklah seseorang itu membuka selipar
atau kasutnya. Ini berdasarkan sebuah riwayat di mana Rasulullah s.a.w. pernah melihat seorang lelaki yang berjalan
di antara kubur dengan memakai sepasang kasut, lalu baginda menegurnya: “Wahai
pemilik kasut al-Sibtiyyah! Celakalah engkau! Lemparkanlah kasut al-Sibtiyyah
engkau itu.” Maka lelaki itu menoleh lalu tatkala mengenali yang menegur itu
ialah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dia membuka kedua-dua kasutnya
itu dan melemparnya.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud).
Di
larang memijak kubur-kubur yang berada di kawasan itu ketika berjalan
disekitarnya. Jabir r.a menerangkan: “Nabi s.a.w. melarang dari mengkapur kubur,
menulis di atasnya, membuat binaan di atasnya dan memijaknya.” (Hadis
riwayat Imam al-Tirmidzi) Menerusi hadis ini juga terdapat larangan-larangan
Rasulullah yang semakin tidak di endahkan oleh umat Islam iaitu tidak membuat
binaan disekeliling kubur dan tidak menulis nama, doa-doa atau ayat-ayat
al-Qur’an di batu nisan mahupun di binaan sekeliling kubur. Imam al-Syafi’i r.h
di dalam kitabnya al-Umm
telah berkata: “Saya menyukai agar
kuburan tidak dibangunkan dan tidak pula dikapur (disimen) kerana perkara ini
menyerupai hiasan dan kebanggaan sedangkan kuburan bukanlah perhiasan atau
bangunan yang dibanggakan; dan saya tidak melihat kuburan golongan muhajirin
dan ansar (iaitu para sahabat Nabi) yang dikapur.”
Rasulullah
s.a.w. turut mencela mereka yang bersandar kepada kubur dan duduk di atasnya.
‘Amr bin Hazm al-Anshari r.a menceritakan: “Rasulullah s.a.w. melihat aku bersandar
kepada sebuah kubur lalu baginda berkata: “Jangan menyakiti ahli kubur ini.”
(Hadis riwayat Imam Ahmad) Rasulullah s.a.w. turut bersabda: “Sungguh,
jika seseorang kalian duduk di atas bara api lalu ia membakar pakaiannya
sehingga mengenai kulitnya lebih baik baginya dari dia duduk di atas kubur.”
(Hadis riwayat Imam Muslim) Betapa ramai umat Islam pada zaman ini yang tidak
mematuhi larangan ini terutamanya semasa upacara pengkebumian jenazah di mana
kubur-kubur pihak lain dipijak, disandar dan diduduk di atasnya tanpa rasa
bersalah.
Umat
Islam turut di larang untuk membuang air besar mahupun kecil di kawasan
perkuburan. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sungguh, berjalan di atas bara api atau
pedang atau aku ikat kasutku dengan kakiku lebih aku sukai dari berjalan di
atas kubur orang Islam. Tidak ada beza keburukannya bagiku sama ada membuang
hajat di tengah perkuburan atau di tengah pasar (kedua-duanya amat buruk, maka
jangan melakukannya).” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)
Rasulullah
s.a.w. memerintahkan untuk mengucapkan salam dan mendoakan ahli kubur. ‘Aishah
telah berkata: “Rasulullah pernah keluar ke Baqi’ (tempat pemakaman kaum muslimim),
lalu baginda mendoakan mereka. Kemudian aku (iaitu ‘Aisyah) bertanya tentang
hal itu, baginda menjawab: “Sesungguhnya aku diperintahkan hal itu.”
(Hadis riwayat Imam Ahmad) Di antara doa yang telah diajarkan oleg baginda
adalah: “Salam sejahtera wahai penghuni kubur mukminin dan muslimin dan Insya
Allah kam akan menyusulmu. Aku mohon keselamatan kepada Allah bagi kami dan
kamu.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Ketika berdoa hendaklah menghadap ke
arah kiblat dan bukan ke arah kubur. Tentang amalan kebanyakan umat Islam
membaca al-Qur’an sama ada surah Yasin atau yang lainnya di kuburan maka amalan
ini tidak sah bersumberkan daripada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan, sesungguhnya
syaitan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah.”
(Hadis riwayat Imam Muslim) Hadis ini menunjukkan bahawa kawasan perkuburan
bukanlah tempat untuk membaca al-Qur’an sebagaimana rumah. Menerusi hadis ini
juga, dapatlah difahami bahawa dilarang menjadikan rumah seperti kuburan yang
tidak dibacakan al-Qur’an. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah di dalam
kitabnya Iqtidhaa’ Shirathal Mustaqim:
“Daripada (Imam) al-Syafi’i sendiri tidak terdapat perkataan tentang masalah ini.
Ini menunjukkan bahawa (baca al-Qur’an di perkuburan) menurut beliau adalah
bid’ah. Imam Malik berkata: “Tidak aku dapati seorangpun daripada para sahabat
dan tabi’in yang melakukan hal itu.” Amalan menabur bunga, menyiram air
atau menanam pokok di atas kuburan juga bukanlah sebahagian dari sunnah
Rasulullah s.a.w.
Bukanlah
menjadi satu kesalahan untuk menangis ketika menziarah kubur kerana Rasulullah
s.a.w. pernah mengeluarkan air mata ketika mengunjungi kubur ibu baginda. Yang
dilarang adalah meratap di kuburan iaitu menangis dengan meraung-raung,
menampar pipi atau mengoyakkan baju disebabkan kesedihan kerana perbuatan
sebegini jelas bertentangan dengan syarak. Diharamkan untuk mengerjakan solat
di kawasan perkuburan melainkan solat jenazah (bagi yang tidak sempat
menunaikannya sebelum pengkebumian) kerana Rasulullah telah bersabda: “Jangan
duduk di atas kubur dan jangan solat kepadanya (menghadap kuburan)” (Hadis
riwayat Imam Muslim) Di dalam riwayat lain Rasulullah turut bersabda: “Laksanakanlah
dalam rumah kalian sebahagian dari solat-solat kalian dan jangan kalian
jadikannya kuburan.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Hadis ini jelas
melarang solat di kawasan perkuburan.
Di dalam
sebuah hadis riwayat Imam al-Hakim yang telah dipaparkan sebelum ini Rasulullah
s.a.w. bersabda: “ …Akan tetapi janganlah kalian berkata-kata dengan perkataan yang keji
dan batil.” Oleh itu di kawasan perkuburan janganlah kita berbicara
perkara-perkara yang bercanggah dengan syarak seperti menceritakan tentang keburukan si mati. Termasuk dalam
kategori ucapan-ucapan yang batil adalah berdoa memohon pertolongan kepada
kuburan atau bertawasul kepada kubur-kubur yang di anggap keramat. . Syaikh Al
Albani r.h di dalam Ahkaamul Janaaiz berkata: “Tidaklah samar lagi bahawa apa yang orang-orang awam lakukan ketika
menziarah kubur seperti berdoa kepada mayat, memohon pertolongan kepadanya dan
meminta sesuatu kepada Allah menerusi perantarannya (tawasul), adalah termasuk
al-hujr (perkataan yang keji dan batil) yang paling berat dan ucapan batil yang
paling besar. Maka wajib bagi para ulamak untuk memperjelaskan kepada mereka
tentang hukum Allah dalam hal itu. Dan memberi penerangan kepada mereka tentang
ziarah yang disyariatkan dan tujuan yang dikehendaki syarak dari ziarah
tersebut” Oleh itu adalah diharamkan untuk melakukan perjalanan jauh dengan
tujuan untuk beribadah di kawasan perkuburan seperti yang di gambarkan di atas
di sebabkan kuburan tersebut dianggap memiliki keutamaan atau keberkatan kerana
ia tertanam jenazah para Nabi atau Rasul, para sahabat atau wali-wali tertentu.
Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.: “Tidak boleh bersusah payah
mengadakan perjalanan kecuali ke tiga masjid, iaitu al-Masjid al-Haram (di
Mekah), Masjid Rasulullah s.a.w. (di Madinah) dan Masjid al-Aqsa (di
Palestin).” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Perjalan khusu untuk ibadah
hanya boleh dilakukan ke tiga destinasi yang disebutkan di atas.
|
Perkuburan Baqi |
Ziarah
kubur adalah termasuk ibadah dan amal soleh. Oleh itu sewajarnya ia
dilaksanakan sesuai dengan ajaran Rasulullah s.a.w. yang merupakan contoh
ikutan yang terbaik (Uswatun Hasanah)
bagi seluruh umat Islam. Cukuplah bagi kita amalan-amalan yang sah daripada
baginda dan tinggalkanlah perbuatan yang tiada landasan dari al-Qur’an dan
al-Sunnah. Ayuh kita hidupkan sunnah dan benteras bid’ah!
0 comments:
Post a Comment