Oct 13, 2012
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Jika sebelum ini saya menulis dua artikel berkenaan aurat dan wanita. Saya juga telah mendedahkan satu email yang mengandungi artikel berkenaan bahaya nafsu lelaki
dan sebagai pengetahuan am buat para wanita. Walaubagaimanapun, tidak
memadai info-info tersebut tanpa menyentuh satu lagi bab yang amat
berkaitan dengannya.
Bab berkenaan suami dan tanggungjawab mereka terhadap isteri mereka dan anak-anak perempuan mereka.
Sebenarnya, bab ini agak
panjang kerana terlalu banyak tanggung jawab suami dan ayah terhadap
ahli keluarganya. Cuma bagi memudahkan kefahaman, tulisan ringkas ini
akan fokus kepada satu isu terlebih dahulu. Iaitu siapa itu lelaki dayus
yang dimaksudkan oleh Nabi SAW tidak akan masuk syurga.
Nabi SAW bersabda :-
ثلاثة لا ينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة: العاق لوالديه، والمترجلة، والديوث. رواه أحمد والنسائي
Ertinya : Tiga golongan
yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan
azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu bapa, si
perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS" ( Riwayat Ahmad
& An-Nasaie: Albani mengesahkannya Sohih : Ghayatul Maram, no 278 )
Dalam sebuah hadith lain pula :
ثلاثةٌ
قد حَرّمَ اللهُ - تَبَارَكَ وَتَعَالَى - عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ،
والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد
والنسائي .
Ertinya : Tiga yang telah
Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka
kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli
keluarganya" ( Riwayat Ahmad )
Malah banyak lagi
hadith-hadith yang membawa makna yang hampir dengan dua hadith ini.
Secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki dayus?
ERTI DAYUS
Dayus telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadith yang lain iaitu :-
1) Sabda Nabi : -
وعن عمار بن ياسر عن رسول الله
قال ثلاثة لا يدخلون الجنة أبدا الديوث والرجلة من النساء والمدمن الخمر
قالوا يا رسول الله أما المدمن الخمر فقد عرفناه فما الديوث قال الذي لا
يبالي من دخل على أهله
Ertinya : Dari Ammar
bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata : " Tiga
yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaiatu Si DAYUS, si wanita
yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak" lalu sahabat berkata
: Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak,
tetapi apakah itu DAYUS? , berkata nabi : "IAITU ORANG YANG TIDAK
MEMPERDULIKAN SIAPA YANG MASUK BERTEMU DENGAN AHLINYA (ISTERI DAN
ANAK-ANAKNYA) - ( Riwayat At-Tabrani ; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat)
Dari hadith di atas, kita
dapat memahami bahawa maksud lelaki DAYUS adalah si suami atau bapa yang
langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan
anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja
isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan
lelaki lain.
2) Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang sama dari sahabat tentang siapakah dayus, lalu jawab Nabi:-
قالوا يا رسول الله وما الديوث قال من يقر السوء في أهله
Ertinya : Apakah dayus itu
wahai Rasulullah ?. Jawab Nabi : Iaitu seseorang ( lelaki) yang
membiarkan kejahatan ( zina, buka aurat, bergaul bebas ) dilakukan oleh
ahlinya ( isteri dan keluarganya)
Penerangan Ulama Tentang Lelaki Dayus
Jika kita melihat tafsiran oleh para ulama berkenaan istilah Dayus, ia adalah seperti berikut :-
هو الذي لا يغار على أهله
Ertinya : "seseorang yang
tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan
anak-anaknya) (An-Nihayah,2/147 ; Lisan al-Arab, 2/150)
Imam Al-‘Aini pula berkata : "Cemburu lawannya dayus" ( Umdatul Qari, 18/228 )
Berkata pula An-Nuhas :
قال النحاس هو أن يحمي الرجل زوجته وغيرها من قرابته ويمنع أن يدخل عليهن أو يراهن غير ذي محرم
Ertinya : cemburu ( iaitu
lawan kepada dayus ) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan
kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan
mahram " (Tuhfatul Ahwazi, 9/357)
Disebut dalam kitab Faidhul Qadir :
فكأن الديوث ذلل حتى رأى المنكر بأهله فلا يغيره
Ertinya : Seolah-olah
takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) sehingga
apabila ia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli
keluarganya ia tidak mengubahnya" ( Faidhul Qadir, 3/327 )
Imam Az-Zahabi pula berkata :-
فمن كان يظن بأهله الفاحشة ويتغافل لمحبته فيها فهو دون من يعرس عليها ولا خير فيمن لا غيرة فيه
Ertinya : Dayus adalah
sesiapa yang menyangka ( atau mendapat tanda) bahawa isterinya melakukan
perkara keji ( seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana CINTAnya
kepada isterinya , maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada
kecemburuan ( yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya" ( Al-Kabair,
1/62 )
Imam Ibn Qayyim pula berkata :-
قال
ابن القيم وذكر الديوث في هذا وما قبله يدل على أن أصل الدين الغيرة من لا
غيرة له لا دين له فالغيرة تحمي القلب فتحمى له الجوارح فترفع السوء
والفواحش وعدمها يميت القلب فتموت الجوارح فلا يبقى عندها دفع البتة
Ertinya : Sesungguhnya asal
dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat (protective) atau
kecemburuan ( terhadap ahli keluarga) , dan barangsiapa yang tiada
perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana
perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh
dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah
juga sensitiviti anggota ( terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan
tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama
sekali.
Dayus adalah dosa besar
Ulama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar :
لَعَنَ اللَّهُ الدَّيُّوثَ ( وَاللَّعْنُ مِنْ عَلَامَاتِ الْكَبِيرَةِ فَلِهَذَا وَجَبَ الْفِرَاقُ وَحَرُمَتْ الْعِشْرَةُ)
Ertinya : Allah telah melaknat
lelaki dayus ( laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu
wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul
dengannya) (Matalib uli nuha, 5/320 )
Walaupun ia bukanlah satu
fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan
betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini.
Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrifan para ulama tentang erti dayus dan istilah yang hampir dengannya :
والقواد عند العامة السمسار في الزنى
Ertinya : Al-Qawwad ( salah
satu istilah yang disama ertikan dengan dayus) di sisi umum ulama adalah
broker kepada zina" (Manar as-sabil, 2/340 , rawdhatul tolibin, 8/186 )
Imam Az-Zahabi menerangkan lagi berkenaan perihal dayus dengan katanya :-
الديوث وهو الذي يعلم بالفاحشة في أهله ويسكت ولا يغار وورد أيضا أن من وضع يده على امرأة لا تحل له بشهوة
Ertinya : Dayus, iaitu lelaki
yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan ia sekadar
senyap dan tiada rasa cemburu ( atau ingin bertindak), dan termasuk juga
ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita
yang tidak halal baginya dengan syahwat" (Al-kabair, 1/45 )
Cemburu Dituntut Islam & Jangan Marah
Ada isteri yang menyalahkan
suami kerana terlalu cemburu, benar cemburu buta memang menyusahkan,
memang dalam hal suami yang bertanya isteri itu dan ini menyiasat, saya
nasihatkan agar isteri janganlah memarahi suami anda yang melakukan
tindakan demikian dan jangan juga merasakan kecil hati sambil membuat
kesimpulan bahawa suami tidak percaya kepada diri anda. Kerap berlaku,
suami akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai kepercayaan'
kepada isteri.
Sebenarnya, kita perlu
memahami bahawa ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan anda
sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.
Selain itu, bergembiralah sang suami
yang memperolehi isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk
mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah kedayusan. Ini kerana
tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari sang suami, isteri sudah
pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.
Nabi SAW bersabda :
من سعادة ابن آدم المرأة الصالحة
Ertinya : "Dari tanda kebahagian
anak Adam adalah memperolehi wanita solehah ( isteri dan anak)" (
Riwayat Ahmad, no 1445, 1/168 )
Memang amat beruntung, malangnya
tidak mudah memperolehi isteri solehah di zaman kehancuran ini,
sebagaimana sukarnya mencari suami yang tidak dayus. Sejak dulu, agak
banyak juga email dari pelbagai golongan muda kepada saya menyebut
tentang keterlanjuran mereka secara 'ringan' dan 'berat', mereka ingin
mengetahui cara bertawbat.
'Ringan-ringan' Sebelum Kahwin
Jika seorang bapa mengetahui
'ringan-ringan' anak dan membiarkannya, ia dayus. Ingin saya tegaskan,
seorang wanita dan lelaki yang telah 'ringan-ringan' atau 'terlanjur'
sebelum kahwin di ketika bercinta, tanpa tawbat yang sangat serius,
rumah tangga mereka pasti goyah. Kemungkinan besar apabila telah berumah
tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan
'ringan-ringan' dengan orang lain pula.
Hanya dengan tawbat nasuha dapat
menghalangkan aktiviti mungkar itu dari melepasi alam rumah tangga
mereka. Seterusnya, ia akan merebak pula kepada anak-anak mereka, ini
kerana benih 'ringan-ringan' dan 'terlanjur' ini akan terus merebak
kepada zuriat mereka. Awas..!!
Dalam hal ini, semua suami dan ayah perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda.
Suami juga patut sekali sekala
menyemak hand phone isteri, beg isteri dan lain-lain untuk memastikan
tiada yang diragui. Mungkin ada isteri yang curang ini dapat
menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya
akan tertangkap jua. Saya tahu, pasti akan ada wanita yang kata.
"habis, kami ini tak yah check suami kami ke ustaz?"
Jawabnya, perlu juga, cuma
topic saya sekarang ni sedang mencerita tanggung jawab suami. Maka
perlulah saya fokus kepada tugas suami dulu ye.
Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya.
Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi
قَالَ
سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي
لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ
اللّهِ صلى الله عليه على آله وسلم فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ
سَعْدٍ ؟ فَوَ الله لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ،
مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا
بَطَن.
Ertinya : Berkata Ubadah
bin Somit r.a : "Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku,
nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku", maka disampaikan kepada Nabi
akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu nabi memberi respond : "Adakah kamu
kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa'ad ? ,
Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama)
berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan
Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan
tersembunyi.. " ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )
Lihat betapa Allah dan
RasulNya inginkan para suami dan ayah mempunyai sifat protective kepada
ahli keluarga dari melakukan sebarang perkara keji dan mungkar, khasnya
zina.
BILA LELAKI MENJADI DAYUS?
Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :-
1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.
2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.
3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.
4) Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.
5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.
6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.
7) Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.
8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain,
kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa
berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.
9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.
10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktoraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.
11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.
12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.
13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.
14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.
Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan
ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan
oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun
jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab
dan tidak sabit 'dayus' kepad dirinya.
Mungkin kita akan berkata dalam hati :-
" Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku"
Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi.
Awas wahai lelaki beriman..jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini.
Wahai para isteri dan
anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah
anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke
syurga Allah SWT.
Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.
Akhirnya, wahai para suami dan
ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian
kerananya. Nabi SAW bersabda :
من قتل دون أهله فهو شهيد
Ertinya : "Barangsiapa
yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah
mati syahid" ( Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Blog Archive
-
▼
2012
(220)
-
▼
Oct
(11)
- New York Tenggelam, Angka Korban Kini 84 Orang
- Selangor senaraikan statistik rumah mampu milik
- Krisis Air S’gor: Usaha Memburukkan Kerajaan Neger...
- Petua tidur Rasulullah s.a.w.
- Iman Bertambah Sempurna Dan Berkurang?
- BERGERAK YANG MEMBATALKAN SOLAT
- Siapa Lelaki Dayus Menurut Islam ?
- Kopi baik untuk kesihatan & kecantikan
- (KAJIAN) Kos Pemilikan Kereta di Malaysia Antara T...
- Usah beri gambaran salah tentang Nabi
- Cara Tikus Masuk Rumah Melalui Lubang Tandas
-
▼
Oct
(11)
0 comments:
Post a Comment