Powered by Blogger.

Oct 5, 2012

Usah beri gambaran salah tentang Nabi

Prof. Madya Datuk Mohd Asri Zainul Abidin
Ramai orang Muslim sayangkan Nabi s.a.w. Namun gambaran keindahan akhlak dan kehidupan baginda itu seringkali tenggelam disebabkan pencemaran terhadap kisah kehidupan baginda yang sebenar. Pencemaran itu datang dari beberapa sudut. Kadang-kala ia datang dari musuh-musuh, kadang-kala ia datang dari umat Islam itu sendiri. Musuh bertujuan untuk memberikan gambaran yang salah tentang baginda s.a.w. Sementara umat Islam terdapat mereka yang jahil, ataupun berkepentingan yang memberikan gambaran yang salah tentang Nabi s.a.w.
Palsu dan cacat
Umat yang jahil tidak dapat membezakan antara riwayat yang sahih dan yang palsu mengenai Nabi s.a.w. lantas mereka menyebarkan hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan baginda. Mereka inilah yang Nabi s.a.w sendiri nyatakan dalam hadis mutawatir: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.
Sementara yang berkepentingan pula menyebarkan hadis-hadis secara tidak seimbang berdasarkan kepentingan mereka. Umpamanya, jika mereka itu berkepentingan politik, maka Nabi s.a.w digambarkan bagaikan seorang politician seperti mereka. Sifat-sifat indah Nabi s.a.w dalam aspek yang lain tidak ditonjolkan, sebaliknya Nabi s.a.w seakan sepanjang hidupnya asyik berpolitik dalam semua perkara. 

Sementara yang berkepentingan ekonomi akan menggambarkan Nabi s.a.w seakan sibuk untuk menghasilkan harta berkempen barangan yang mereka jual sepanjang masa. Bagi yang berpewatakan keras pula, cuba menggambarkan seakan Nabi s.a.w itu keras sepertinya. Sementara yang sentiasa tewas pula, cuba menggambarkan Nabi s.a.w itu sentiasa tewas dan mengalah. Adapun yang mengampu pemerintah akan mencari hadis-hadis Nabi s.a.w yang seakan mengizinkan segala kekejaman rejim atas nama agama dan salafussoleh kononnya. Sementara yang menentang pemerintah pula, cuba mencari dalil yang menghalalkan segala tindakan mereka sekalipun sudah melampau batasan Islam.

 Begitu juga yang berusaha menawan hati pengikut dengan gaya tertentu lalu mendakwa Nabi s.a.w seakan sepanjang masa memakai jenis pakaian tertentu seperti yang mereka pakai. Saya melihat mereka yang sibuk dengan syamlah ataupun rida’ ataupun burdah yang disidai dibahu seakan memberikan gambaran Nabi s.a.w itu sentiasa dalam keadaan pakaian yang sebegitu. Padahal, baginda seorang yang terlibat dengan pelbagai urusan umat, baginda memakai pakaian biasa, baju besi perang, jubah Roman, Yaman dan pelbagai lagi. Berdasarkan kepada keperluan semasa.
 
Hidup Nabi s.a.w bukan sekadar jadi penceramah tetapi menguruskan umat dan perjalanan hidup mereka. Bagindalah pemimpin kerohanian, pemimpin akhlak, pemimpin politik, pemimpin perang dan segalanya.

Keindahan peribadi Nabi
Dalam catatan kali ini, saya ingin membuat beberapa kesimpulan tentang peribadi Nabi s.a.w untuk dibaca oleh semua pihak. Kesimpulan ini diambil dari riwayat yang sahih. Daripada riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah itu seorang yang kacak wajahnya dan indah akhlaknya. Beliau tidak mengucap ucapan yang keji. Tidak membalas dendam atas kezaliman ke atasnya, melainkan apabila seseorang melanggar perintah Allah. Tidak pernah diberikan pilihan antara dua perkara melainkan baginda memilih yang paling mudah selagi itu bukan satu dosa. Tangannya tidak pernah memukul wanita, tidak hamba abdi, tidak khadam kecuali semasa di medan perang. Apabila baginda berbicara dengan seseorang baginda mengadap wajah ke arah orang tersebut sehingga dia akan menyangka dialah orang yang paling baginda kasihi. Dalam masa yang sama baginda seorang pemalu sehingga disifatkan bagaikan pemalunya seorang gadis. Apabila baginda membenci sesuatu, nampak tandanya pada wajah baginda.

 Baginda selalu memberikan senyuman. Kata Jarir bin ‘Abdillah: “Sejak aku menjadi muslim, tidak pernah Rasulullah s.a.w berjumpa denganku melainkan senyum padaku.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata ‘Abdullah bin al-Harith: “Aku tidak pernah melihat seseorang lebih banyak senyuman daripada Rasulullah s.a.w.” (Riwayat al-Tirmizi, sahih).
 
Dalam hadis sahih riwayat Ibn Majah, Nabi s.a.w itu apabila berjabat tangan dengan seseorang, baginda tidak akan menarik tangannya sehinggalah orang tersebut menariknya.
Percakapan baginda pula jelas, tidak tergesa-gesa dan difahami oleh setiap yang mendengar. Apabila baginda ingin mengkritik seseorang baginda tidak menyebut: “Mengapa si dia itu melakukan atau berkata begitu”, tetapi baginda menyebut: “Mengapa ada pihak yang berkata sebegini.” (Riwayat Abu Daud, sahih).

Kehalusan budi
Kata Anas bin Malik: “Aku berkhidmat kepada Nabi s.a.w sepuluh tahun, tidak pernah baginda berkata kepadaku ‘ah! (mengherdik). Tidak pula berkata kepada apa yang aku lakukan: “mengapa engkau buat begitu?”. Tidak kepada apa yang aku tidak buat: “mengapa engkau tidak buat?” (Riwayat al-Tirmizi, sahih).
Nabi s.a.w seorang yang pemurah. Tidak pernah berkata “tidak” apabila diminta sesuatu haknya. Baginda bersabda: “Jika aku memiliki emas sebesar Bukit Uhud, aku tidak suka berlalu tiga malam sedangkan masih ada sedikit emas itu bersamaku. Melainkan sedikit untuk membayar hutang.” (Riwayat al-Bukhari).
Baginda seorang yang santun. Dalam riwayat al-Bukhari, pernah seseorang datang kepadanya, menarik rida’ (kain di leher baginda) dengan kuat sehingga berbekas di tengkok baginda, kemudian bercakap kasar dengan baginda. Namun baginda memandang kepada orang itu dengan senyuman dan memerintahkan agar diberikan pemintaannya.
Nabi s.a.w itu menunaikan hajat sahabat-sahabatnya. Baginda melunaskan hutang Bilal bin Rabah, mengkahwinkan sahabat-sahabat yang masih bujang, mendengar aduan kaum wanita mengenai suami mereka dan aduan setiap pihak tentang masalah mereka. Bahkan baginda mendengar aduan unta yang dibebankan oleh tuannya bebanan kerja yang berat. Baginda bersabda kepada tuannya: “Mengapa engkau tidak takutkan Allah mengenai haiwan yang Allah telah jadikan engkau memilikinya. Sesungguhnya ia telah mengadu kepadaku engkau membiarkannya lapar dan membebankannya.” (Riwayat Abu Daud, sahih).

Justeru itu, baginda itu adalah rahmat untuk sekelian alam.

Nabi s.a.w seorang yang tawaduk (humble), berjalan bersama para janda dan orang miskin untuk menunaikan keperluan mereka. Menerima jemputan makan sekalipun roti keras yang sudah berubah baunya. Baginda pernah bersabda: “Jika dijemputku memakan betis (kambing) sekalipun nescaya aku pergi. Jika diberikan kepadaku betis kambing sekalipun, aku terima.” (Riwayat al-Bukhari). Ini sehingga baginda pernah diracun oleh wanita yahudi di Khaibar semasa menerima hadiah makanan sehingga membawa kesan ke akhir hayat.
Baginda juga memanja dan bermain dengan anak-anak kecil. Baginda memberikan salam kepada kanak-kanak apabila baginda melalui mereka dan mendoakan untuk mereka keberkatan.
Banyak lagi sifat peribadi baginda yang unggul. Bayangkan keadaan seorang insan yang hidup dalam kalangan masyarakat Arab yang membunuh anak-anak perempuan mereka, tiada buku-buku peradaban seperti Rome, Parsi, China ataupun India. Namun, berakhlak dengan penuh ketinggian yang mengatasi segala tamadun.
Kita ini ingin mengikut baginda. Kita mungkin lemah dan gagal mencontohi baginda dalam segala aspek kebaikannya. Namun, jangan berikan gambaran yang salah kepada dunia dan non-muslim mengenai Nabi kita yang agung itu.
_______________
Penulis adalah bekas mufti Perlis

0 comments:


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP