NABI MUHAMMAD SAW
Pada waktu umat manusia
dalam kegelapan dan suasana jahiliyyah,
lahirlah seorang bayi pada 12
Rabiul Awal tahun Gajah di Makkah. Bayi yang dilahirkan bakal membawa
perubahan besar bagi sejarah peradaban manusia.
Bapa bayi tersebut
bernama Abdullah bin Abdul Mutallib yang telah wafat sebelum baginda
dilahirkan iaitu sewaktu baginda 7 bulan dalam kandungan ibu.
Ibunya
bernama Aminah binti Wahab. Kehadiran bayi itu disambut dengan penuh
kasih sayang dan dibawa ke ka'abah, kemudian diberikan nama Muhammad,
nama yang belum pernah wujud sebelumnya.
Selepas itu Muhammad
disusukan selama beberapa hari oleh Thuwaiba,
budak suruhan Abu Lahab
sementara menunggu kedatangan wanita dari Banu Sa'ad. Adat menyusukan
bayi sudah menjadi kebiasaan bagi bangsawan-bangsawan Arab di Makkah.
Akhir tiba juga wanita dari Banu Sa'ad yang bernama Halimah bin
Abi-Dhuaib yang pada mulanya tidak mahu menerima baginda kerana Muhammad
seorang anak yatim. Namun begitu, Halimah membawa pulang juga Muhammad
ke pedalaman dengan harapan Tuhan akan memberkati keluarganya. Sejak
diambilnya Muhammad sebagai anak susuan, kambing ternakan dan susu
kambing-kambing tersebut semakin bertambah. Baginda telah tinggal
selama 2 tahun di Sahara dan sesudah itu Halimah membawa baginda
kembali kepada Aminah dan membawa pulang semula ke pedalaman.Kisah Dua Malaikat dan Pembedahan Dada Muhammad
Pada
usia dua tahun, baginda didatangi oleh dua orang malaikat yang muncul
sebagai lelaki yang berpakaian putih. Mereka bertanggungjawab untuk
membedah Muhammad. Pada ketika itu, Halimah dan suaminya tidak menyedari
akan kejadian tersebut. Hanya anak mereka yang sebaya menyaksikan
kedatangan kedua malaikat tersebut lalu mengkhabarkan kepada Halimah.
Halimah lantas memeriksa keadaan Muhammad, namun tiada kesan yang aneh
ditemui.
Muhammad tinggal di pedalaman bersama keluarga Halimah
selama lima tahun. Selama itu baginda mendapat kasih sayang, kebebasan
jiwa dan penjagaan yang baik daripada Halimah dan keluarganya. Selepas
itu baginda dibawa pulang kepada datuknya Abdul Mutallib di Makkah.
Datuk
baginda, Abdul Mutallib amat menyayangi baginda. Ketika Aminah membawa
anaknya itu ke Madinah untuk bertemu dengan saudara-maranya, mereka
ditemani oleh Umm Aiman, budak suruhan perempuan yang ditinggalkan oleh
bapa baginda. Baginda ditunjukkan tempat wafatnya Abdullah serta
tempat dia dikuburkan.
Sesudah sebulan mereka berada di Madinah,
Aminah pun bersiap sedia untuk pulang semula ke Makkah. Dia dan
rombongannya kembali ke Makkah menaiki dua ekor unta yang memang dibawa
dari Makkah semasa mereka datang dahulu. Namun begitu, ketika mereka
sampai di Abwa, ibunya pula jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia
lalu dikuburkan di situ juga.
Muhammad dibawa pulang ke Makkah oleh
Umm Aiman dengan perasaan yang sangat sedih. Maka jadilah Muhammad
sebagai seorang anak yatim piatu. Tinggallah baginda dengan datuk yang
dicintainya dan bapa-bapa saudaranya.
"Bukankah Dia mendapatimu
sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu. Dan Dia mendapatimu
sebagai seorang yang bingung lalu Dia memberikan petunjuk" (Surah
Ad-Dhuha, 93: 6-7)Abdul Mutallib Wafat
Kegembiraannya
bersama datuk baginda tidak bertahan lama. Ketika baginda berusia
lapan tahun, datuk baginda pula meninggal dunia. Kematian Abdul
Mutallib menjadi satu kehilangan besar buat Bani Hashim. Dia mempunyai
keteguhan hati, berwibawa, pandangan yang bernas, terhormat dan
berpengaruh dikalangan orang Arab. Dia selalu menyediakan makanan dan
minuman kepada para tetamu yang berziarah dan membantu penduduk Makkah
yang dalam kesusahan.Muhammad diasuh oleh Abu Talib
Selepas
kewafatan datuk baginda, Abu Talib mengambil alih tugas bapanya untuk
menjaga anak saudaranya Muhammad. Walaupun Abu Talib kurang mampu
berbanding saudaranya yang lain, namun dia mempunyai perasaan yang
paling halus dan terhormat di kalangan orang-orang Quraisy.Abu Talib
menyayangi Muhammad seperti dia menyayangi anak-anaknya sendiri. Dia
juga tertarik dengan budi pekerti Muhammad yang mulia.
Pada
suatu hari, ketika mereka berkunjung ke Syam untuk berdagang sewaktu
Muhammad berusia 12 tahun, mereka bertemu dengan seorang rahib Kristian
yang telah dapat melihat tanda-tanda kenabian pada baginda. Lalu rahib
tersebut menasihati Abu Talib supaya tidak pergi jauh ke daerah Syam
kerana dikhuatiri orang-orang Yahudi akan menyakiti baginda sekiranya
diketahui tanda-tanda tersebut. Abu Talib mengikut nasihat rahib
tersebut dan dia tidaak banyak membawa harta dari perjalanan tersebut.
Dia pulang segera ke Makkah dan mengasuh anak-anaknya yang ramai.
Muhammad juga telah menjadi sebahagian dari keluarganya. Baginda
mengikut mereka ke pekan-pekan yang berdekatan dan mendengar
sajak-sajak oleh penyair-penyair terkenal dan pidato-pidato oleh
penduduk Yahudi yang anti Arab.
Baginda juga diberi tugas
sebagai pengembala kambing. Baginda mengembala kambing keluarganya dan
kambing penduduk Makkah. Baginda selalu berfikir dan merenung tentang
kejadian alam semasa menjalankan tugasnya. Oleh sebab itu baginda jauh
dari segala pemikiran manusia nafsu manusia duniawi.
Baginda terhindar
daripada perbuatan yang sia-sia, sesuai dengan gelaran yang diberikan
iaitu "Al-Amin".
Selepas baginda mula meningkat dewasa, baginda
disuruh oleh bapa saudaranya untuk membawa barang dagangan Khadijah
binti Khuwailid, seorang peniaga yang kaya dan dihormati. Baginda
melaksanakan tugasnya dengan penuh ikhlas dan jujur. Khadijah amat
tertarik dengan perwatakan mulia baginda dan keupayaan baginda sebagai
seorang pedagang. Lalu dia meluahkan rasa hatinya untuk berkahwin
dengan Muhammad yang berusia 25 tahun ketika itu. Wanita bangsawan yang
berusia 40 tahun itu sangat gembira apabila Muhammad menerima
lamarannya lalu berlangsunglah perkahwinan mereka berdua. Bermulalah
lembaran baru dalam hidup Muhammad dan Khadijah sebagai suami isteri.Turunnya Wahyu Pertama
Pada
usia 40 tahun, Muhammad telah menerima wahyu yang pertama dan diangkat
sebagai nabi sekelian alam. Ketika itu, baginda berada di Gua Hira'
dan sentiasa merenung dalam kesunyian, memikirkan nasib umat manusia
pada zaman itu. Maka datanglah Malaikat Jibril menyapa dan menyuruhnya
membaca ayat quran yang pertama diturunkan kepada Muhammad.
"Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan" (Al-'Alaq, 96: 1)
Rasulullah
pulang dengan penuh rasa gementar lalu diselimuti oleh Khadijah yang
cuba menenangkan baginda. Apabila semangat baginda mulai pulih,
diceritakan kepada Khadijah tentang kejadian yang telah berlaku.
Kemudian
baginda mula berdakwah secara sembunyi-sembunyi bermula dengan kaum
kerabatnya untuk mengelakkan kecaman yang hebat daripada penduduk
Makkah yang menyembah berhala.
Khadijah isterinya adalah wanita pertama
yang mempercayai kenabian baginda. Manakala Ali bin Abi Talib adalah
lelaki pertama yang beriman dengan ajaran baginda.Dakwah yang
sedemikian berlangsung selama tiga tahun di kalangan keluarganya
sahaja.Dakwah Secara Terang-terangan
Setelah
turunnya wahyu memerintahkan baginda untuk berdakwah secara
terang-terangan, maka Rasulullah pun mula menyebarkan ajaran Islam
secara lebih meluas.
"Maka sampaikanlah olehmu secara
terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan
berpalinglah dari orang-orang yang musyrik." (Al-Hijr, 15:94)
Namun
begitu, penduduk Quraisy menentang keras ajaran yang dibawa oleh
baginda. Mereka memusuhi baginda dan para pengikut baginda termasuk Abu
Lahab, bapa saudara baginda sendiri. Tidak pula bagi Abu Talib, dia
selalu melindungi anak saudaranya itu namun dia sangat risau akan
keselamatan Rasulullah memandangkan tentangan yang hebat dari kaum
Quraisy itu. Lalu dia bertanya tentang rancangan Rasulullah seterusnya.
Lantas jawab Rasulullah yang bermaksud:
"Wahai bapa saudaraku,
andai matahari diletakkan diletakkan di tangan kiriku dan bulan di
tangan kananku, agar aku menghentikan seruan ini, aku tidak akan
menghentikannya sehingga agama Allah ini meluas ke segala penjuru atau
aku binasa kerananya"
Baginda menghadapi pelbagai tekanan,
dugaan, penderitaan, cemuhan dan ejekan daripada penduduk-penduduk
Makkah yang jahil dan keras hati untuk beriman dengan Allah. Bukan
Rasulullah sahaja yang menerima tentangan yang sedemikian, malah para
sahabatnya juga turut merasai penderitaan tersebut seperti Amar dan
Bilal bin Rabah yang menerima siksaan yang berat.Wafatnya Khadijah dan Abu Talib
Rasulullah
amat sedih melihat tingkahlaku manusia ketika itu terutama kaum
Quraisy kerana baginda tahu akan akibat yang akan diterima oleh mereka
nanti. Kesedihan itu makin bertambah apabila isteri kesayangannya wafat
pada tahun sepuluh kenabiaannya. Isteri bagindalah yang tidak pernah
jemu membantu menyebarkan Islam dan mengorbankan jiwa serta hartanya
untuk Islam. Dia juga tidak jemu menghiburkan Rasulullah di saat
baginda dirundung kesedihan.
Pada tahun itu juga bapa saudara
baginda Abu Talib yang mengasuhnya sejak kecil juga meninggal dunia.
Maka bertambahlah kesedihan yang dirasai oleh Rasulullah kerana
kehilangan orang-orang yang amat disayangi oleh baginda.Hijrah Ke Madinah
Tekanan
orang-orang kafir terhadap perjuangan Rasulullah semakin hebat selepas
kepergian isteri dan bapa saudara baginda. Maka Rasulullah mengambil
keputusan untuk berhijrah ke Madinah berikutan ancaman daripada kafir
Quraisy untuk membunuh baginda.
Rasulullah disambut dengan
meriahnya oleh para penduduk Madinah. Mereka digelar kaum Muhajirin
manakala penduduk-penduduk Madinah dipanggil golongan Ansar. Seruan
baginda diterima baik oleh kebanyakan para penduduk Madinah dan sebuah
negara Islam didirikan di bawah pimpinan Rasulullas s.a.w sendiri.Negara Islam Madinah
Negara
Islam yang baru dibina di Madinah mendapat tentangan daripada kaum
Quraisy di Makkah dan gangguan dari penduduk Yahudi serta kaum bukan
Islam yang lain. Namun begitu, Nabi Muhammad s.a.w berjaya juga
menubuhkan sebuah negara Islam yang mengamalkan sepenuhnya pentadbiran
dan perundangan yang berlandaskan syariat Islam. Baginda dilantik
sebagai ketua agama, tentera dan negara. Semua rakyat mendapat hak yang
saksama. Piagam Madinah yang merupakan sebuah kanun atau perjanjian
bertulis telah dibentuk. Piagam ini mengandungi beberapa fasal yang
melibatkan hubungan antara semua rakyat termasuk kaum bukan Islam dan
merangkumi aspek politik, sosial, agama, ekonomi dan ketenteraan.
Kandungan piagam adalah berdasarkan wahyu dan dijadikan dasar
undang-undang Madinah.
Islam adalah agama yang mementingkan
kedamaian. Namun begitu, aspek pertahanan amat penting bagi melindungi
agama, masyarakat dan negara. Rasulullah telah menyertai 27 kali
ekspedisi tentera untuk mempertahan dan menegakkan keadilan Islam.
Peperangan yang ditempuhi baginda ialah Perang Badar (623 M/2 H),
Perang Uhud (624 M/3 H), Perang Khandak (626 M/5 H) dan Perang Tabuk
(630 M/9 H). Namun tidak semua peperangan diakhiri dengan kemenangan.
Pada
tahun 625 M/ 4 Hijrah, Perjanjian Hudaibiyah telah dimeterai antara
penduduk Islam Madinah dan kaum Musyrikin Makkah. Maka dengan itu,
negara Islam Madinah telah diiktiraf. Nabi Muhammad s.a.w. juga telah
berjaya membuka semula kota Makkah pada 630 M/9 H bersama dengan 10 000
orang para pengikutnya.
Perang terakhir yang disertai oleh
Rasulullah ialah Perang Tabuk dan baginda dan pengikutnya berjaya
mendapat kemenangan. Pada tahun berikutnya, baginda telah menunaikan
haji bersama-sama dengan 100 000 orang pengikutnya. Baginda juga telah
menyampaikan amanat baginda yang terakhir pada tahun itu juga. Sabda
baginda yang bermaksud:
"Wahai sekalian manusia, ketahuilah
bahawa Tuhan kamu Maha Esa dan kamu semua adalah daripada satu
keturunan iaitu keturunan Nabi Adam a.s. Semulia-mulia manusia di antara
kamu di sisi Allah s.w.t. ialah orang yang paling bertakwa. Aku telah
tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat
selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh dengan dua perkara itu,
iaitu kitab al-Quran dan Sunnah Rasulullah."Wafatnya Nabi Muhammad s.a.w
Baginda
telah wafat pada bulan Jun tahun 632 M/12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah.
Baginda wafat setelah selesai melaksanakan tugasnya sebagai rasul dan
pemimpin negara. Baginda berjaya membawa manusia ke jalan yang benar
dan menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab, berilmu dan
berkebolehan.
Rasulullah adalah contoh terbaik bagi semua manusia
sepanjang zaman.
sumber kisah25 nabi
0 comments:
Post a Comment