Air setitik dilautkan, tanah sekepal digunungkan.
Usia semakin memanjat dan masa memadam banyak memori pahit dalam hidup ini. Bila terdengar musibah yang menjengah hidup artis, Kakak Tua tidak mahu turut bersorak kerana 'Ini hari orang, besok mungkin hari kita.' Malang tidak berbau, malapetaka boleh menimpa siapa saja. Nauzubillah. Tapi sudah resam manusia yang selalu terkhilaf, tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki. Sebetulnya kita harus bersyukur dengan apa yang ada walaupun sedikit anugerah dilimpahiNya. Manusia jarang beringat dan selalu tidak puas. Selalunya, sudah ada biduk, serempu (sejenis sampan) pula yang dicari. Dah ada sirih nak makan sepah pula dan dah ada tangga, teringin pula hendak panjat tiang. Dalam dunia artis, memang kebetulan mungkin terlalu banyak kemungkaran yang berlaku. Terlalu ketara kerana mereka selalu diteropong, makanya nampak sangatlah kejahatan yang dilakukan. Bila sudah terlalu banyak yang buat onar, artis yang baik-baik dan mempunyai rekod bersih boleh dibilang dengan jari. Bak kata orang tua, 'hilang ikan dalam kerabu' sehingga tiba satu ketika sesuatu kejahatan tidak dipandang serong lagi apabila di sana sini orang melakukannya. Ada saja kisah artis ambil dadah, merampas suami orang, mengganggu rumahtangga orang, suntik muka, teguk air syaitan, bersekedudukan, berkata dusta sehingga melibatkan maruah keluarga, menipu status dan bermacam lagi onar dan pendustaan yang terang-terang dilakukan. Walaupun kita wajib menegur kemungkaran di depan mata kerana itu satu tanggungjawab tetapi sebagai orang Islam, kita dilarang membuka aib atau pekung orang. Melainkan perkara itu terang-terang dilakukan seperti yang pernah dikatakan oleh Mufti Perlis, Dr Asri di dalam kolumnya yang bertajuk 'Bila yang nyata dibiar, yang tersembunyi dicari.' Beliau menegur sikap orang kita yang suka sangat "mendedahkan perbuatan maksiat tertutup namun membiarkan perbuatan maksiat terbuka" seperti perbuatan penguat kuasa agama yang ada masa dan berusaha pergi mengintip, memecah pintu milik peribadi orang lain pada jam 3 pagi bagi memastikan maksiat wujud ataupun tidak. Namun dalam masa yang sama tiada 'kudrat' untuk menghentikan suami yang zalim memukul isteri yang sudah berulang kali membuat aduan, tidak cukup masa untuk menyelesaikan kes-kes kezaliman rumah tangga dan seumpamanya, kata Dr Asri lagi. Ternyata beliau tidak bersetuju dengan pendedahan tangkapan khalwat keatas Norman Hakim dan pelakon baru Memey oleh jabatan agama dan disiarkan secara meluas di muka depan beberapa buah akhbar tempatan baru-baru ini. Menurutnya, tindakan itu dianggap sebagai 'promosi maruah' yang ternyata bertentangan dengan ajaran Islam. "Maksiat yang dibanteras secara keras oleh Islam ialah maksiat yang berlaku secara terbuka kerana ia menggalakkan aktiviti mungkar dan mencemarkan iklim masyarakat Muslim. "Maksiat yang berlaku secara sembunyi dan hanya membabitkan soal peribadi insan, bukan keselamatan awam, maka ia tidak didedahkan," ulasnya. Beliau mempersoalkan pelaksanaan maksiat terbuka di mana penguatkuasa tidak mencegah lelaki yang menyerupai wanita dan 'mengiktiraf' drama, pertunjukan dan filem yang terselit 'wanita jadi-jadian' ini. "Seakan kita ada tiga spesis; saudara, saudari dan 'saudarai'. Inilah maksiat terbuka yang lebih patut dibantah daripada mencari-cari 'kemungkinan' maksiat di belakang pintu yang berkunci," kata Dr Asri. Ada benarnya kata Dr Asri. Janganlah duri dipertajamkan lagi. Kes yang sedang dihadapi oleh Norman Hakim-Abby Abadi dan Memey ibarat 'Tutup lutut terbuka pusat. Lepas kaki leher terjerat.' Rasanya antara mereka sudahpun merasa azab dan tempiasnya angkara berdusta dan bercakap bohong. Dan kedukaan Abby tentu lebih berpanjangan kerana tiga cahayamata yang berkongsi kasih ikatan yang hampir terlerai. Begitu juga dengan kemelut yang dihadapi oleh pasangan Aziz M.Osman dan Nor Radhiah. Kebarangkalian kekusutan terlerai apabila ada tokoh agama yang membuat pengesahan pernikahan mereka. Semoga hikmah di sebalik kejadian akan dapat jadi iktibar untuk kita semua. Dan harap-harap 'Air saja yang besar tapi sampan tidak hanyut.' Tetapi selalunya dari pengalaman dan pengamatan Kakak Tua, kes yang melibatkan ikatan ukhuwah begini, "Air sama air, sampah ketepi jua." Wallahualam. KAKAK TUA: Selalu ingat pesan ayah, air setitik jangan dilautkan, tanah sekepal jangan digunungkan.
0 comments:
Post a Comment