Powered by Blogger.

Nov 6, 2008

Lima panduan berkesan elak tergelincir landasan Islam

KITA hidup dalam zaman yang penuh dengan pelbagai cabaran. Kehidupan manusia seakan-akan tidak mencukupi masa 24 jam untuk mengejar nikmat dunia dan membolot khazanahnya demi kehidupan yang menyenangkan.

Dalam pada itu, umat Islam tidak boleh lalai dan cuai untuk sentiasa merenung diri dan selalu ingat akan pesanan Nabi SAW supaya berwaspada tipu daya nikmat dunia. Oleh itu, sewajarnya kita mengingati lima pesanan Rasulullah SAW demi menjaga diri, keluarga dan masyarakat supaya tidak tergelincir daripada landasan Islam.

Pertama, memperbanyakkan menyebut Allah kerana tidak dinafikan menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji orang yang berbuat baik kepada kita hingga ada kalanya terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita....

Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Alhamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sendawa. Pujian begini hanya di lidah saja tidak meresap ke lubuk hati.

Kata Al-Imam Ibnu Qayyim: “Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang dari siraman zikir, maka jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.”

Kedua, memperbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia kerana dunia terlalu sedikit jika dibandingkan dengan akhirat. Seribu tahun di dunia sama dengan sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat.

Hanya orang yang berfikiran pendek sibuk memikirkan wawasan dunia hingga terlupa wawasan akhirat. Manusia yang cerdik ialah mereka yang sibuk merancang wawasan akhiratnya. Saham amanah dunia tidak penting, tapi yang paling penting ialah saham amanah akhirat yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda.

Oleh itu perlu diperbanyakkan menyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat. Dengan menyebut dan ingat kehidupan akhirat akan menyemarakkan semangat untuk berbuat amal ibadat sebagai bekalan.

Ketiga, memperbanyakkan menyebut dan mengingat hal kematian daripada kehidupan. Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tetapi jarang memikirkan bekalan hidup ketika mati. Memikirkan mati adalah sunat untuk menginsafi diri.

Perjalanan jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Jika tidak diusahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat.

Meskipun sudah dijamin syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali mengenai kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dosa.

Keempat, jangan menyebut kebaikan diri dan keluarga kerana syaitan memang sentiasa hendak memerangkap dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat serta menyebut kebaikan yang dilakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya.

Satu kebaikan yang dibuat, ibarat ayam bertelur sebiji riuh sekampung. Tetapi kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan itu sudah menimbulkan satu penyakit hati, iaitu ujub yang boleh merosakkan pahala kebajikan dibuat.

Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan riak atau bangga diri yang mana Allah memberi amaran sesiapa yang memakai sifat riak tidak akan mencium bau syurga. Riak adalah satu unsur dari syirik kecil. Nabi SAW pernah berpesan: “Yang amat kutakuti atas kamu ialah syirik yang paling kecil iaitu riak.”

Kelima, jangan menyebut dan menampakkan keaiban atau keburukan orang lain. Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut kesalahan dan kekurangan orang lain.

Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri sendiri. Bak kata orang tua-tua, “kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tidak kelihatan.”

Menuding jari mengatakan orang lain tidak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tetapi empat lagi menuding ke arah diri.

Oleh sebab itu, biasakan melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Islam menggariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan padanya.

Lihatlah kejahatan pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara itu kita terselamat daripada bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan manusia ke dalam api neraka........

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP