Lima hari perlu jadi renungan untuk keberkatan
Ummah perlu nilai amalan masa lalu, buat kebaikan masa kini dan mencari bekalan untuk akhirat
SELAIN hari yang dilalui dalam seminggu, ada hari yang perlu diketahui sebagai mengingatkan kepentingan menghargai waktu dilalui supaya diisi dengan perkara berfaedah selain berusaha mencari keredaan Allah.
l Hari yaum mafqud (hari yang sudah hilang). Hari yang hilang ialah hari kelmarin kita tinggalkan bersama amalan baik, buruk, kenangan pahit atau manis. Ia tidak akan kembali semula dengan apa cara sekalipun. Kita hanya mampu mengambil iktibar dan pengajaran dari hari kelmarin.
Jika kelmarin berlalu dengan kebaikan dan amalan salih, maka ia perlu diteruskan dan dipertingkatkan lagi tanpa henti, tetapi jika ia berlalu dengan kejahatan dan maksiat kepada Allah, maka ia perlu dihentikan dan dibajai dengan rasa menyesal supaya perkara itu tidak berulang lagi.
Hari kelmarin juga mengajar kita sentiasa muhasabah diri dan mengenal pasti segala kekurangan serta kelemahan untuk diperbaiki. Orang yang membiarkan kelmarinnya berlalu tanpa penilaian adalah orang yang tidak mempedulikan nasib dirinya, tidak mahu mengubah nasib hidupnya ke arah lebih baik dan diredai Allah.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." – (Surah al-Ra'd, ayat 11)
Nasib seseorang akan berada di takuk lama jika dia sendiri tidak mahu dan berusaha mengubah nasib hidupnya.
Yaum masyhud ialah hari yang sedang disaksikan iaitu hari yang kita berada padanya. Sudah pasti hari itu kita mempunyai banyak tugas untuk diselesaikan tidak kira sama ada doktor, pensyarah, jurutera, pekerja kilang, polis, petani atau nelayan. Yang penting ialah kepandaian mengurus dan mengatur tugas itu.
Orang bijak akan mendahulukan perkara utama yang perlu diselesaikan daripada perkara lain. Sebab itulah kita perlu memahami perkara keutamaan dalam hidup kita. Dengan memahami keutamaan, urusan hidup akan berjalan lebih lancar dan selesa.
Selaku mukmin sejati, kita juga digesa menyelesaikan perkara yang boleh diselesaikan pada hari itu dan tidak menangguhkannya sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu, "sesungguhnya aku akan melakukannya keesokan hari". – (Surah al-Kahfi, ayat 23)
Sifat suka menangguhkan kerja akan menyebabkan kerja itu bertimbun dan akhirnya ia tidak dapat disiapkan dengan sempurna. Ia akan menjadi beban berpanjangan kepada kita.
Sementara hari yang mendatang atau yaum mawrud ialah hari yang mendatang ialah hari esok yang bakal kita tempuhi. Sebaiknya kita mempunyai perancangan menghadapi hari esok supaya urusan hidup tidak terbantut. Kita masih boleh memperbaiki kelemahan dilakukan hari ini dengan memastikan ia tidak berlaku lagi keesokan harinya.
Pepatah 'sediakan payung sebelum hujan' amat tepat dalam menanti kedatangan hari esok. Kita perlu bersedia untuk apa keadaan sekalipun sama ada yang baik atau buruk.
Contoh terbaik ditunjukkan Nabi Yusuf dalam merancang untuk menghadapi keadaan kemarau setelah diketahui ia akan berlaku, patut diteladani kita semua. Perancangan Nabi Yusuf berjaya menyelamatkan rakyat Mesir ketika itu daripada bencana kemarau selama tujuh tahun.
Yaum maw'ud iaitu hari yang dijanjikan ialah hari kiamat yang dijanjikan Allah akan berlaku. Hari kiamat ialah rukun iman kelima yang wajib diimani setiap orang Islam. Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi menceritakan perihal hari kiamat yang dahsyat kerana ia adalah hari kemusnahan dunia.
Langit dan bumi akan hancur, begitu juga planet dan cakerawala yang ada di dalam alam maya ini. Hari kiamat juga menyaksikan semua manusia akan mati termasuk makhluk lain, malah malaikat juga akan mati. Yang kekal ketika itu hanyalah Allah kerana Allah itu Maha Kekal Abadi.
Tiada siapa yang tahu bilakah hari kiamat akan berlaku. Nabi Muhammad sendiri tidak diberitahu oleh Allah kerana ia urusan Allah. Apa yang Allah tunjukkan hanyalah tanda yang dapat dilihat manusia supaya insaf dan beriman kepada Allah.
Sabda Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Anas bin Malik dalam sahih Muslim yang bermaksud: "Aku diutuskan dan hari kiamat seperti dua jari ini. (Anas) berkata: Baginda menghimpunkan (mengisyaratkan) antara jari penunjuk dan jari tengah."
Nabi Muhammad SAW menggambarkan hari kiamat itu amat hampir dengan mengisyaratkan jarak hari kiamat dengan zaman Baginda sama seperti jarak antara jari telunjuk dan jari tengah. Jika pada zaman Nabi Muhammad SAW 1400 tahun yang lalu pun jaraknya sudah hampir, apatah lagi dengan zaman kita sekarang ini. Oleh itu kita mesti bersiap sedia dengan memperbanyakkan amalan salih untuk menghadapi hari kiamat yang akan tiba pada bila-bila masa saja.
Hari pembentangan (yaum mamdud) ialah hari dibentangkan semua makhluk di hadapan Allah di padang Mahsyar. Pembentangan bertujuan menjalani upacara menghitung amalan baik untuk diberi ganjaran nikmat syurga dan menghitung amalan jahat untuk diberi azab neraka.
Kehidupan di akhirat bersifat kekal abadi yang tiada kesudahannya sampai bila-bila. Ia memang tidak dapat difikirkan akal fikiran tetapi wajib diimani setiap umat Islam bahawa mereka akan dihidupkan kembali dan dibangkitkan untuk dihisab oleh Allah.
Penyelamat utama bagi umat Islam pada hari Mahsyar nanti hanyalah rahmat Allah dan syafaat Nabi Muhammad SAW. Untuk mendapat tiket rahmat dan syafaat pada hari itu ialah dengan beriman kepada Allah dan memperbanyakkan amalan salih di dunia ini.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang yang berbuat baik (amal salih)." - (Surah al-A'raf, ayat 56)
Berbahagialah orang beriman dan beramal salih kepada Allah dan amat rugilah orang yang ingkar kepada Allah. Begitulah lima hari yang perlu direnung supaya hidup kita sentiasa diberkati dan diredai Allah.
0 comments:
Post a Comment