Ke mana wang RM5 bilion dari KWSP akan pergi?
KUALA LUMPUR, 3 Nov: Akhbar laman web, Malaysiainsider.com hari ini mempertikaikan ke manakah sebenarnya wang pinjaman sebanyak RM5 bilion dari KWSP untuk Valuecap Sdn Bhd akan pergi selepas ini.
Ini kerana, pada bulan Februari 2009 tahun depan, Valuecap sepatutnya membayar balik RM5.1 bilion pinjaman modal yang diperolehinya sebelum ini.
Wang itu dipinjam oleh Valuecap dari Khazanah, Kumpulan Wang Amanah Pencen and Permodalan Nasional Bhd pada Mac 2003 dalam bentuk modal untuk dilaburkan dalam pasaran saham.
Pinjaman dibuat dalam bentuk bond tanpa faedah.
Menurut laman web itu, mereka menerima dokumen yang menyebut, Valuecap perlu membayar bond-bond pinjamannya itu pada tahun 2006 tetapi syarikat itu telah diberikan tempoh tiga tahun lagi untuk membayarnya iaitu ke tahun 2009.
Setiap pemegang saham itu memberikan RM1.7 bilion dalam bentuk bond tanpa faedah dan perlu dibayar balik pada tahun 2006 itu.
Kini timbul persoalan, apakah pinjaman baru RM5 bilion wang simpanan rakyat dari KWSP itu juga akan mengalami nasib yang sama.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan, kerajaan telah bersetuju untuk memberikan pinjaman sebanyak RM5 bilion wang KWSP kepada Valuecap untuk dilaburkan ke dalam pasaran saham bagi mengawalnya agar tidak terus merudum.
Menteri Kewangan Kedua, Nur Muhamad Yaakub pula berkata, pinjaman itu akan menguntungkan KWSP kerana saham-saham sekarang berada di bawah paras nilai sebenar mereka.
Namun, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berhujjah, tindakan melaburkan wang dalam pasaran saham sekarang umpama "memasukkan barang ke dalam telaga buruk" atau "memasukkan garam ke dalam laut" yang tidak akan memberikan sebarang kesan dan pulangan.
"Valuecap tidak akan terlebih baik dari Jawatankuasa Pelaburan yang ada di KSWP dalam hal mengendalikan pelaburan di pasaran saham," tulis seorang pelawat dalam akhbar laman web itu mengulas berita ini.
Sumber dari Sini...
0 comments:
Post a Comment